Thursday, September 11, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


JUMPA SAUDARA BULAN RAMADHAN
EKSPLOITASI SYARIKAT LUAR NEGERI


Assalamualaikum,


Selepas zohor hari ini (10 September 2008), sengaja berligar-ligar di kawasan perumahan Taman Seri Gombak, sementara menunggu anak saya balik dari tuisyen jam 4.30 petang. Disebabkan tak menetapkan destinasi yang dituju, saya bersama isteri singgah di sebuah kedai dobi. Tak pernah pun saya menemui pemilik kedai berkenaan, tetapi sekadar beliau menelefon sebelumnya ketika berpulangnya ke rahmatullah anak saya Allahyarham Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 lalu. Pemilik kedai berkenaan mahu tahu sama ada benar atau tidak saya ialah ‘bapa saudaranya’, disebabkan sepupunya memberitahu mengenai Ikram Hafiz meninggal dunia. Apabila bertemu Liza, memang sah beliau pangkat ‘anak saudara’, yang selama ini merupakan aktivis wanita UMNO di sini, di samping suaminya ‘orangkuat’ Rukun Tetangga. Alhamdullillah!


Belumpun selesai solat terawih, adik angkat saya Ir Adnan Khalid pula datang ke rumah beritahu mengenai dirinya menjadi mangsa syarikat Jepun apabila dilantik menjadi pengarah syarikat terbabit. Beliau dijadikan umpanan oleh syarikat berkenaan bagi buat pinjaman bank menjangkau RM4 juta, kira-kira dekad 1990-an. Apabila syarikat Jepun berkenaan tak beroperasi sejak 11 tahun lalu, Ir Adnan tak menyedari hutang masih tak dilunaskan. Dua orang ahli lembaga pengarah syarikat berbangsa Jepun terbabit sudah balik ke negara mereka, justeru bank ‘mengejar’ ahli lembaga pengarah warga tempatan. Bukan sahaja syarikat berkenaan mengeksploitasi warga tempatan, malah banyak lagi syarikat asing yang konon melabur di negara ini mencari kesempatan. Begitulah!

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


KEWIBAWAAN MT UMNO DIPERTIKAI
AKAR UMBI SOKONG DATO’ AHMAD ISMAIL


Pimpinan peringkat akar umbi UMNO melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menggantung keahlian Ketua UMNO Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Rata-rata pimpinan peringkat akar umbi menyokong kenyataan Dato’ Ahmad Ismail kerana ianya tak bertentangan daripda persfektif sejarah, beritahu Dato’ Kamal Amir. Menurutnya, beliau dihubungi oleh pimpinan Pemuda di Kelantan, termasuk Sdr Azizi dari Gua Musang yang kecewa dengan keputusan menggantung keahlian Dato’ Ahmad Ismail, semata-mata kerenah pimpinan Parti Gerakan. “Pimpinan Parti Gerakan sendiri kucar kacir, hingga ramai menyertai PKR, kenapa UMNO bimbang?” tegas Dato’ Kamal Amir yang mempertikai kredibiliti MT UMNO dalam isu berkenaan.


Menurut Dato’ Kamal Amir ketika Parti Gerakan mempersoal ‘kontrak sosial’ yang sebenarnya sudah diterima sejak sebelum merdeka, Dato’ Ahmad Ismail tak pernah membuat laporan polis mahupun mengkritik Parti Gerakan. Malah apabila Parti Gerakan ‘mencuri’ ahli MCA dan memperlekeh PPP dan Dato’ M Kyveas dalam isu kerusi Parlimen Taiping, UMNO terus bersabar dengan kerenah mereka. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, hebat sangatkah Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hingga MT UMNO tunduk dengan desakannya. Menurutnya lagi, Parti Gerakan sekadar bertapak di Pulau Pinang dalam masa yang sama cuba merebut pengaruh MCA di negeri-negeri lain. “MT UMNO sepatutnya menghormati MCA yang memberikan kerjasama sejak 1952, bukannya Parti Gerakan yang menempel pada 1973,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA:


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA


Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(5)

2
MENGEJAR BAYANG:


PAGI LAGI HOBI TEKUKUR
CUCU HILANG KETIKA TIDUR


NASI goreng sudah terhidang untuk sarapan. Tak perlu menghadapi meja makan, tetapi sekadar terconggok di lantai sahaja. Memang tak selesa atuk makan berjuntai kaki duduk di kerusi. Dia lebih senang bertinggung dengan sebelah lutut tupang ke bawah ketiak. Sudah menjadi kebiasaan atuk, selepas jamah makanan atau sarapan dia akan gulung rokok daun tembakau cap kapal terbang sampai sebesar ibu jari kaki.


Kadangkala atuk akan gulung beberapa batang buat bekalan kopek kelapa. Sejak semua anak-anak dewasa atuk juga tak larat turun ke laut. Sebab itu dia tumpu kerja-kerja di kebun kelapa sahaja.

Terpaksa abah dengan emak juga ikut sama bersila tengah dapur menghadap sarapan. Tetapi atuk tak jamah nasi goreng apabila bersarapan. Tahu sangat opah kegemaran atuk lempeng tepung cecah dengan gula. Pagi-pagi lagi emak sudah bangun membantu opah sediakan sarapan.

Bagaimanapun atuk masih belum terjongol, setelah abah terconggok menghadap sarapan. Apalagi anak-anak juga masih lingkup selimut akibat cuaca sejuk tatkala angin pantai memuput. Memang emak tak peduli sangat anak-anak lewat bangun apabila sekali sekala balik ke kampung. Opah juga tak benarkan emak bangunkan anak-anak, kalau sekadar mahu menggesa bersarapan bersama-sama.

Hai, ke mana pula bapak ni?” gerutu emak disebabkan atuk masih belum terjongol.

“Ke mana lagi, kalau tak dengan burung tekukurnya!” sahut opah mencebek bibir kerana faham sangat dengan hobi atuk. “Lama-lama ikut sama terangguk-angguk macam tekukur,” ujar opah mendengus.

“Biarlah mak, asalkan bapak bahagia,” sengaja abah bergurau sambil mengerling emak sibuk menyediakan sarapan.

Dia tahu bapa mentuanya gemarkan burung tekukur sejak masih remaja. Kalau memikat burung tekukur, memang tak siapapun di Sungai Belukang mampu tandingi atuk. Hingga di sekeliling rumahnya banyak tergantung sangkar burung. Atuk sendiri yang raut buluh atau tarah kayu membuat sangkar burung ikut citarasanya sendiri.

Mujurlah abah tak berminat memelihara burung tekukur, sekalipun di sekeliling rumah atuk banyak tergantung sangkar. Kadangkala riuh bunyi tekukur mendekur apabila salah seekor mula nyaringkan suara.

“Cukuplah tu main dengan burung, marilah bersarapan dulu,” laung opah sebaik sahaja ternampak atuk memetik jari mengacah-acah tekukur di dalam sangkar tepi tingkap.

“Minumlah dulu, jangan susahkan aku!” sahut atuk terangguk-angguk mengacah burung tekukur galak mendekur.

“Tengoklah orang tua ni, anak menantu dah tunggu nak minum sama, leka dengan burung pula!” rungut opah disebabkan atuk masih terangguk-angguk acah burung di depan tingkap dapur.

“Emmm, kamu tu kalau tak berleter satu hari, tak sah gamaknya!” atuk mencemik muka lantas melangkah ke muka pintu dapur.

Belum sempat atuk masuk ke dapur, tergamam dia apabila dipanggil Alang Seman. Cepat-cepat pula Alang Seman berhentikan motorsikal di tengah halaman. Dia masih terconggok di atas motorsikal sambil menggamit atuk. Tak bertangguh atuk mara mendekati Alang Seman.

“Cucu kamu Hafiz, di mana Abang Ngah?” segera Alang Seman mendesak.

(bersambung…)


PUISI

Balada Kepondanan Melayu

Melayu kena gertak sikit je
UMNO pun minta maaf
sampai hantar menteri pergi
negeri China minta ampun
- orang lain sumpah seranah Melayu
ungkit ‘kontrak sosial’, takpe
diam aje macam pondan bisu.

Paling berani hunus keris
di gelanggang sendiri –
orang lain marah
UMNO pun terketar-ketar
minta maaf mohon ampun
- dengan orang lain kecut koro
hilang ‘telur’
TAPI sesama Melayu
bukan main gagah
pordah!

Ketuanan Melayu konon!
mana ada dah –
yang tinggal lagi hanya
kepondanan kepimpinan Melayu
‘Biarkan Si Luncai terjun
dengan labu-labunya!’

ITU AJE LAH YANG MELAYU TAU
nyanyi, janji, tamakhaloba
berlagak, rasuah, fitnah, sumpah
dan MINTA AMPUN MINTA MAAF
meluatnya aku! Loya! Nak muntah
balada kepondanan Melayu!

Yasleh Rita Ayu
Universiti Malaya
10 Sep 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

JANGAN GADAI NYAWA PENGGUNA
TUTUP KALAU LEBUHRAYA BERBAHAYA

Lagi-lagi ‘Lebuhraya Lingkaran Tengah’. Kalau tiangnya retak, mungkin sia-sia saja dibaiki. Maknanya, struktor pembinaan lebuhraya itu tak kukuh. Hari ini dibaiki, macam mana dua tiga bulan lagi retak semula? Kalau di peringkat awal sudah ada masalah, ianya akan berterusan bawa masalah. Sekiranya tak selamat digunakan, tutup sahaja. Justeru bukan takat (nak) siasat, tetapi perlu tindakan. Jangan biarkan nyawa pengguna jalanraya jadi mangsa, ketika pihak lain menikmati hasil pembangunan negara kita. – (SMS; 10 September 2008; 16:42:09 – Man Cincai, Selayang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA PANGLIMA GELABAH SEMACAM
BELUM BERPERANG BIMBANG KESELAMATAN


Kata sahibul hikayat berasa masyghol Panglima Angkatan Tentera negeri Melayu itu Orangkaya (atau disebut anak cucu fakir Jeneral) Tan Sri Abdul Aziz Zainal akan perihal keselamatan. Syahdan Orangkaya Panglima itu mengakui perkara kaum berbahaya pada rakyat jelata. Akan hulubalang-hulubalang Orangkaya Panglima (ATM) bersama anak buah Orangkaya Temenggung (PDRM) sudahlah bersiap sedia. Arakian Orangkaya Panglima itu memberitahu orang banyak ketika majlis penyerahan sumbangan hari raya wanita harakah Melayu (Wanita UMNO) yang diketuai oleh Orangkaya Kuala Kangsar Tan Sri Rafidah Aziz semalam 9 Ramadan 1429 (9 September 2008), adanya. Syahdan diberitahu oleh Orangkaya Panglima sejumlah 15,000 hulubalang dikerah bertugas untuk menjaga keselamatan sepanjang hari raya ini. Arakian diberitahu orang banyak kepada fakir, sebelum ini tak pernah pula Orangkaya Panglima bercakap demikian. Aduhai!

Hatta, berapa lamanya di laut, sampailah ke Pasai. Maka orang Melaka pun naiklah ke darat berperang dengan orang Pasai, ada empat lima kali, tiada juga alah Pasai; kerana orang Melaka yang datang itu hanya dua laksa, rakyat Pasai dua belas laksa banyaknya. Pada sebuah dusun seorang tuanya. Telah tiada hasil pekerjaan orang Melaka, maka laksamana dan Seri Bija Diraja (pada masa itu ia yang menjadi Orangkaya Panglima) dan segala hulubalang sekaliannya berkampung pada bendahara mesyuarat, membicarakan pekerjaan Pasai itu. Maka kata bendahara, ‘Apa bicara tuan-tuan sekalian, kerana kita lama di sini; suatu pun pekerjaan kita tiada bertentu?’ Maka kata laksamana dan Seri Bija Diraja, ‘Adapun kita akan mengalahkan Pasai ini sahaja musykillah, kerana kita sedikit, orang Pasai terlalu banyak, pada bicara saya baiklah kita kembali.’ Ketika Orangkaya Panglima gelabah, Tun Mat anak bendahara (yang tak berpangkat) tetap bersemangat seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment