Monday, September 15, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

GEJALA SOSIAL KALANGAN REMAJA
KERAJAAN BN SIBUK DENGAN TAHANAN ISA

Assalamualaikum,

Beberapa orang anak remaja menemui saya malam (13 September 2008), apabila sekumpulan remaja dari kampung lain menyerbu mereka, selepas insiden adik perempuan salah seorang remaja itu lari dari rumah. Terpaksa pula keluarga remaja meminta khidmat polis untuk membawa semula anak gadisnya (baru sahaja dalam Tingkatan Satu) balik ke rumah. Tak semena-mena pula abang remaja yang terbabit dengan anak gadis sunti itu menyerang abang (anak gadis sunti berkenaan) atas alasan ‘kurang ajar’ terhadap ibu bapanya. Ketika mempertahankan diri abang gadis sunti terbabit dikatakan mencederakan sedikit remaja yang menyerangnya iaitu lebam di mata. Sebaliknya keluarga remaja itu membuat laporan polis, menggunakan khidmat jemaah ‘Pekida’ dan bertindak seolah-olah negara sudah tak mempunyai peraturan lagi.

Bagaimanapun fokus saya tak tertumpu kepada remaja-remaja terbabit, apalagi jam 12.00 malam, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon. Sebelumnya Yassinsalleh sudah mengirim SMS beritahu mengenai penahanan pengendali laman web Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA jam 1.00 tengahari; diikuti wartawan ‘Sin Chew Daily’, Tan Hoon Cheng jam 8.30 malam di Bukit Mertajam dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok jam 11.30 malam. Tan Hoon Cheng, 33 dibebaskan kemudiannya, malah Presiden PPP M Kayveas turut mensifatkan penahanan wartawan terbabit disebabkan ‘mangsa keadaan’. Sekalipun Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Hamid Albar menafikan penahanan tersebut mempunyai kaitan dengan ura-ura penubuhan ‘kerajaan baru’ pada 16 September 2008, tetapi mungkin sahaja menteri berkenaan terlupa minda rakyat Malaysia pada 2008 tak sama dengan 1958!

Dato’ Ahmad Boestamam menjadi mangsa ISA pertama pasca merdeka, apabila ditahan disebabkan menentang penubuhan Malaysia yang ditakrifnya sebagai neo-kolonial. Ketika ISA diperkenal British pada 1948, mereka yang ditahan ada aktivis yang pro komunisme (tetapi sebenarnya gerakan politik radikal) dan anasir-anasir subversif (tetapi kalangan wartawan yang lantang mengkritik penjajah). Sebelumnya British menahan pejuang-pejuang Melayu atas tuduhan menderhaka (tak tahulah menderhaka kepada siapa), kerana mereka yang menentang penjajah dilabel sebagai menderhaka kepada raja-raja Melayu (disebabkan mereka dianggap penasihat raja-raja Melayu). Alahai bangsaku!


Selepas gerakan pro komunisme dan anasir-anasir subversif dianggap lemah berikutan termetrainya perjanjian damai di selatan Thailand, mereka yang mengkritik kebobrokan, kepongahan dan keberantakan kerajaan pula ditahan di bawah ISA. Raja Petra dan Teresa Kok mungkin sahaja antara pengkritik yang menjadi mangsa ISA, kerana dakwaan yang dikenakan ke atas mereka sekadar prejudis. Sepatutnya UMNO tak perlu memperalatkan ISA, asal sahaja memperbaiki kebobrokan, mengurangi kepongahan dan terus mengawasi keberantakan. Dari perspektif sejarah UMNO sudah menjadi bahan kutukan apabila ISA diperalatkan bagi menahan pejuang-pejuang bangsa seperti Dato’ Ahmad Boestamam, Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad, Abdul Aziz Ishak, Dr Burhanuddin al-Helmi, Tan Sri A Samad Ismail, Dato’ Abu Hanifah Abdul Ghani, Dato’ Kampo Radjo, Hasnol Hadi, Tajuddin Kahar, Nazar Nong dan ramai lagi.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


KU LI TOLAK JAWATAN PM:
UMNO PERLU JADI PARTI BERDAULAT

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan semakin mendapat sokongan pimpinan di peringkat akar umbi UMNO bagi dicalonkan bertanding jawatan Presiden UMNO, Disember 2008 ini. Bagaimanapun menurut sumber, Tengku Razaleigh enggan memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya tak mampu mendaulatkan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu. Justeru sebagai langkah persediaan kepada era perubahan UMNO Disember 2008 ini, Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin disebut-sebut bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO bagi mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dalam usaha Tengku Razaleigh mendaulatkan semula UMNO sebagai parti nasionalisme Melayu yang berpaksi kepada perjuangan 1946, beritahu sumber berkenaan selanjutnya.

Menurut sumber itu lagi, satu perjumpaan sudah digerakkan awal September 2008 lalu yang dikatakan turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh, bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Muhyiddin, malah Dato’ Mazlan Harun (anak bekas Ketua Pemuda Dato’ Harun Idris) terbabit dalam perjumpaan tersebut. Mereka menganggap UMNO perlu didaulatkan semula, berikutan kehilangan ‘roh perjuangan’ akibat virus politik wang yang terlalu dahsyat, sekalipun jawatankuasa pemantau diwujudkan, beritahu sumber tersebut. Pembabitan Tun Dr Mahathir menggerakkan perpaduan di kalangan pejuang-pejuang Melayu dilihat sebagai langkah serius mahu melihat UMNO kembali didaulatkan sebagai parti yang menjadi tulang belakang pemerintahan negara, kata sumber itu menambah.

SUMPAH NAJIB TERLALU ‘JELIK’
PELAN PERALIHAN KUASA TERJEJAS

Sumpah Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dianggap ‘jelik’, berikutan kenyataannya mahukan pelan peralihan kuasa diserahkan kepada Bahagian-Bahagian UMNO, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, Dato’ Seri Najib bukan sahaja ‘melanggar sumpah’ taat setianya kepada Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diwarisi sebagai legasi ayahnya Tun Abdul Razak Hussein kepada Tunku Abdul Rahman, malah mempersenda ‘sumpah Melayu’: Pantang anak Melayu menderhaka! Dalam perkambangan terbaru dilaporkan Dato’ Seri Mohd Najib mahukan pelan perubahan berkuasa tak mengikut seperti dipersetujui sebelum ini hingga Jun 2010. “Kita dipersenda dengan sumpah Najib yang terlalu jelik,” beritahu Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO.

Sebelum ini menurut Dato’ Kamal Amir, Dato’ Seri Najib sudah bersumpah mengaku taat setia kepada ketua, seperti dilakukan oleh ayahnya Tun Abdul Razak. Sebaliknya Tun Abdul Razak kata Dato’ Kamal Amir lagi, bersedia menyerahkan semula jawatan Perdana Menteri kepada Tunku dalam insiden menjelang pilihanraya 1959. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, menjelang pilihanraya 1959 Tunku meletak jawatan Perdana Menteri bagi memantapkan UMNO berikutan krisis Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), di samping provokasi MCA di bawah Tun Dr Lim Chong Eu. “Selepas UMNO kembali memenangi pilihanraya 1959, Tun Razak menyerahkan semula jawatan Perdana Menteri kepada Tunku sekalipun tak pernah bersumpah, dan bukan menikamnya dari belakang,” ujar Dato’ Kamal Amir.

SUKAR BAGI PIMPINAN UMNO
HALANG KEMARAAN POLITIK ANWAR

Pengakuan Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim tak meneruskan sasaran 16 September 2008 bagi penubuhan ‘kerajaan baru’, tak bermakna UMNO mampu untuk menghalang kemaraannya, beritahu aktivis sosial Yassinsalleh. Beliau yang juga terbabit sebagai penganalisis politik berasa optimis, Dato’ Seri Anwar akan meneruskan kejutan yang sukar diramal oleh pimpinan UMNO di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sejak sebelum PRU12, Dato’ Seri Anwar tetap meneruskan kemaraan hingga memaksa Ahli-Ahli Parlimen BN dibawa ke Taiwan dalam usaha terdesak bagi mengelakkan proklamir ‘kerajaan baru’ pada 16 September. “Penahanan Raja Petra Kamaruddin dan Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok di bawah ISA, bukan bermakna BN mampu untuk menghalang kemaraan Anwar ketika keberangan rakyat memuncak,” menurut Yassinsalleh.

Bagaimanapun Yassinsalleh menjelaskan, memang sudah tersibar desas desus Dato’ Seri Anwar juga dikatakan akan ditahan di bawah ISA. Sebaliknya kata Yassinsalleh lagi, sekiranya Dato’ Seri Anwar ditahan di bawah ISA ianya akan mempercepatkan lagi proses penubuhan ‘kerajaan baru’ Pakatan Rakyat. Seterusnya beliau menambah, dengan penahanan Raja Petra dan Teresa Kok, Menteri Luar Dato’ Seri Dr Rais Yatim sendiri mengakui kerajaan sudah memberi penjelasan kepada Amerika Syarikat (AS). Justeru beliau mengakui berasa hairan, kenapa kerajaan terpaksa memberi penjelasan kepada AS berkaitan urusan dalam negeri sendiri. Seterusnya Yassinsaleh turut berasa hairan, apabila Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia menerima risiko apabila menggesa pelan peralihan kuasa dipercepatkan.

“Lanskap politik sekarang memperlihatkan UMNO menuntut perubahan, tetapi pemimpinnya enggan menerima perubahan itu,” beritahu Yassinsalleh. Seterusnya beliau percaya, kenyataan Tan Sri Muhyiddin tak mungkin pandangan peribadi kerana Naib Prrsiden UMNO itu menyedari risikonya. Justeru kata Yassinsalleh, pandangan Tan Sri Muhyiddin adalah suara di peringkat akar umbi bagi menghadapi kemaraan Dato’ Seri Anwar bersama Pakatan Rakyat. Bagaimanapun beritahu Yassinsalleh, UMNO sudah terlambat sekiranya bergantung kepada pelan peralihan kuasa, malah mungkin sahaja menjelang Disember 2008, kemaraan Dato’ Seri Anwar tak mampu dihalang. “UMNO sudah ditolak orang Melayu, justeru parti komponen dalam BN juga seolah-olah tak hormat lagi,” jelas Yassinsalleh.

PENYIBAR ISLAM DI RANTAU MELAYU
PERLU DIMARTABAT DARI PERSPEKTIF SEJARAH

Gerakan dakwah di rantau Melayu perlu diberi persepsi baru bagi memartabatkan kesyumulan Islam apabila disibarkan secara terancang oleh ulama-ulama muktabar, kata aktivis budaya L Mankadir Shamsi. Mengulas pandangan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan pihak jabatan agama, ahli akademik dan sejarawan menelusuri sejarah penyibaran Islam di rantau Melayu, L Mankadir Shamsi turut mengalu-alukan sebarang langkah positif membuat kajian secara ilmiah. Masyarakat Melayu perlu mengangkat ulama-ulama besar sebagai penyibar Islam bukannya melalui mitos batu bersurat, legenda mimpi raja Melaka diludah mulutnya oleh Rasullullah atau pengembaraan Sheikh Abdullah dalam ‘Merong Mahawangsa’. “Islam disibarkan oleh para sahabat, ulama-ulama dan guru-guru yang mursyid bukan menerusi mitos, legenda dan khayalan,” beritahu L Mankadir Shamsi.

Seterusnya L Mankadir menambah, di Yaman dan Mesir pun Islam disibarkan oleh para sahabat bukan menerusi mitos, legenda dan khayalan, justeru kenapa rantau Melayu masih menerima bermula dengan Raja Kecil Besar (Parameswara) bermimpi mulutnya diludah oleh Rasullullah, di samping terbangun tidur lengkap dikhatankan? Menurut L Mankadir bagi memartabatkan Islam supaya tak diperlekeh oleh penentang-penentangnya adalah wajar ulama yang menyibarkan Islam ke rantau Melayu diberi persepsi baru. Katanya, penyelidikan ilmiah perlu dibuat bagi memastikan makam Sheikh Abdul Aziz sebagai tokoh yang ditemui solat di pantai pada period para Islam di Melaka diabadikan. “Secara logik penyibaran Islam di Melaka memang bermula daripada dakwah Sheikh Abdul Aziz itu,” jelasnya menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(7)

2
MENGEJAR BAYANG:

“JANGAN kamu nak tunjuk berani, ubun-ubun kamu tu masih lembik lagi,” segera Alang Seman ingatkan. “Orang heboh fasal ombak besar, kamu ke laut nak buat apa?” suaranya keras memberi amaran.

“Hang Tuah lima bersahabat tak takut ombak; dikejar perompak pun mereka tetap melawan,” tersengih-sengih Mail Kengkang mencelah.

“Kamu jangan ke mana-mana besok, Din,” lantas Alang Seman ingatkan anaknya. “Kumpulkan kelapa yang dah dikait, lori nak datang ambil!” ujarnya tak membenarkan Abang Din membawa bot ke laut.

Terkebil-kebil mata Abang Din. Dia tak berani membantah ayahnya. Memang dia diharapkan oleh ayahnya membantu kerja-kerja di kebun kelapa sama ada mengait, kopek atau mematik. Sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, Abang Din tak mahu fikir fasal kerja kilang di kota sama ada di Ipoh mahupun Shah Alam.

Sekalipun sepupunya Mat Rijal mempelawa tinggal bersamanya di Shah Alam sambil bekerja di kilang, tetapi Abang Din lebih suka membantu ayahnya di kebun kelapa. Kalau ayahnya turun ke laut menjaring, Abang Din juga ikut sama kendalikan enjin bot.

Selepas ditegah memang Alang Seman percaya anaknya tak akan turun ke laut. Tahu sangat dia fasal Abang Din tak pernah membantah kata-katanya. Sebab itu Alang Seman tak menduga botnya dilarikan juga selepas subuh.

“Nak cari ke mana kalau dia dah sampai ke tengah laut?” ujar Alang Seman kesal. “Macam kita mengejar bayang-bayang, sia-sia aje!” gerutunya melepaskan geram.

“Setidak-tidaknya kita perlu buat laporan polis,” segera emak memberikan pandangan. “Biar pihak polis usahakan, sebelum ombak besar sampai,” beritahu emak mendesak abah memantau segera.

“Betullah kata Alang Seman tu, sekarang ni kita macam mengejar bayang-bayang,” sahut abah mencebek bibir.

“His, mau aje aku turun ke laut cari budak-budak tu,” atuk pula mendengus geram. “Bukan dia orang fikir mak bapa di rumah ni runsing, ikut seronok sendiri aje!” katanya menambah.

Ketika Alang Seman mahu melangkah keluar selepas meneguk kopi, keadaan menjadi kecoh apabila Kee Hang terjongol. Taukeh Cina pemilik bot laut dalam itu sengaja mahu menemui atuk. Memang Acik Zahar juga bekerja menjadi nelayan laut dalam dengan taukeh Cina berkenaan.

Becok mulutnya ingatkan atuk supaya tak benarkan sesiapapun ke laut. Apalagi dia sudah menyuruh acik Zahar balik sahaja ke rumah sekalipun memang bersiap-siap mahu naik bot selepas subuh ketika air mula pasang.

“Sungai Burung sudah kena, kasi tahu semua orang jangan tangkap ikan,” Kee Hang masih tak turun dari motorsikalnya dengan bertongkat kaki sahaja. “Ombak besar sudah kena di Pulau Pinang,” dia menjelaskan selepas mengaku menonton laporan TV.

“Kita di Bagan Datoh macam mana Kee Hang?” soal atuk panik.

“Saya ingat ombak besar tak sampai sini, tapi jangan turun ke laut ini hari,” ujar Kee Hang masih kelihatan cemas. Ketika membeli barang-barang di Sungai Tiang, dia sendiri mendengar nelayan di Sungai Burung berdekatan sudah gempar. Mereka melihat pantai kering hingga landai jauh ke tengah.

“Cucu aku dah turun ke laut subuh tadi!” tak bertangguh opah keluar menerpa ke arah Kee Hang. Tergamam taukeh Cina itu. Dia mengeluh perlahan apabila kenang bayang ombak tsunami melanda di Aceh pagi berkenaan.

(bersambung…)

PUISI

Puteri Buni an an an!

(dengan apologi
kepada Tan Sri P Ramlee)

Indah nian istana bunian
puteri bunian manis menawan
berat rasa
nak ku tinggalkanlah sayang
kerana hati dah tertawan
bagai bulan jatuh ke riba
wahai puteri seri bunian
(lagu ciptaan & dendangan
Tan Sri P Ramlee)
he he he! he he he!

Puteri buni an an an
puteri juni an an an
puteri j j j an an an
puteri puteri puteri
jan jan jalan an an an!

-Tak Yesman
Kuala Lumpur
13 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR

UMNO PERLU SUNTIKAN KU LI
BAKI PEMIMPIN KLASIK MELAYU

Pemimpin UMNO tidak sinonim pemimpin negara lagi. UMNO tidak sinonim kumpulan memerintah lagi. Tengku Razaleigh adalah baki pemimpin klasik dan serbazaman yang masih merata diyakini dapat memulih keadaan ‘khayalan ketagih’ pemimpin yang ada. Keadaan ‘unta sesat’ menyelubungi negara. UMNO saat ini tidak utama dipulihkan. Keutamaan di sisi negara adalah ‘menegarakan’ minda pemimpin. Satu-satunya ‘option’ yang perlu susunan pesanan – kekal kepada semua ialah pemimpin-pemimpin yang bersalah pasti direban, direndam atau direjam! – (SMS; 12 September 2008; 19:34:44 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

MENTERI DESAK BEBAS TAHANAN
BERSEDIA UNTUK LETAK JAWATAN

Law Minister, Zaid Ibrahim today threatened to resign if the government continued to use the Internal Security Act, which he described as ‘unjust’ the outspoken Barisan Nasional politician, also called the immediate release of DAP MP Teresa Kok and controversial Raja Petra Kamaruddin who were held under the security law – Beh Lih Yi http://www.malaysiakini.com/ - (SMS; 15 September 2008; 02:51:09 – Dr Seri Intan, KL)


JANGAN SEDIH JIKA
MENDAPAT ANAK DYSLEXIA

OLEH : Asalbayu

Objektif saya memperturunkan kisah ini ialah sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja agar mereka jangan sedih jika mendapat anak yang seperti saya,Anak saya yang ketiga (lelaki lahir pada 17.9.1987) juga mengalami dyslexia walaupun ringan sahaja. Dulu saya risau juga kerana apa yang ditulisnya terbalik. Misalnya jika huruf ‘b’ dia tulis ‘d’, ‘b’ ditulis ‘d’, ‘p’ ditulis ‘q’ dan ‘q’ ditulis ‘p’. Manakala ‘N’ yang selalunya terbalik, kesimpulannya dia keliru. Begitu juga dengan angka yang selalu jadi mangsa ialah ‘4′ dan ‘9′. Pernah saya baca tulisannya ‘dersih’ yang sebenarnya ialah ‘bersih’. Masa dia kecil dulu susah nak berenggang dengan saya atau ibunya bila pergi ke mana-mana.
Masa dia mula-mula masuk sekolah darjah satu dulu pula saya tunggu di bilik darjahnya selama seminggu. Abangnya yang masa itu darjah tiga tunggu sebulan. Saya ikhtiarkan perubatan secara tradisional menerusi dukun yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran (air, gula-gula dan minyak rambut).Alhamdulillah berhasil biarpun dengan agak perlahan. Lepas tu sekolah cuti pun dia nak pergi ke sekolah. Dia hanya bersekolah di tadika cuma 5 bulan saja berikutan patah tulang selangka. Namun di hari penutup tadika yang mengadakan jamuan di KFC dekat Stadium Darul Aman, Alor Setar, dia joint tapi ibunya terpaksa temankan. Dia lambat bercakap dan agak pendiam serta tidak berupaya menguruskan dirinya dan pernah buang air kecil dalam bilik darjah masa di tadika. Hampir masuk sekolah darjah satu barulah boleh bercakap terus, sebelumnya ‘telor’.Masalah yang dihadapinya ialah ’slow learner’ dan emosi rendah diri, tapi memorinya kuat.
Sering juga dia salah faham terhadap sesuatu perkara. Pernah dia tanya saya Jakarta itu jauhkah. Lalu saya beritahu bahawa ia di Indonesia. Sebenarnya ialah Jitra, dan saya ketawa. Pernah juga dia beritahu kakaknya Asmarani Hidayah bahawa dia dilantik jadi ‘bidadari hoki’ di sekolahnya. Sebenarnya ialah ‘Bendahari Hoki’. Saya amat geli hati betul. Barangkali Asmarani masih tak lupakan hal ini. Kepada abangnya dia pernah tanya berkenaan ‘jangka tolak’ sebenarnya ‘jangka tolok’. Saya cari apa saja maklumat berkenaan dyslexia. Ibunya dan ahli keluarga yang lain kurang ambil perhatian akan hal ini. Masa dia mendaftar untuk mengikuti Kursus Sijil Automotif di Kolej Komuniti Bandar Baru Darul Aman dulu, ibunyalah yang banyak main peranan.
Dia duduk di bilik sewa hanya di tahun pertama. Saya berikan dia telefon bimbit dan dia tanya: "Nak buat apa?" Sebenarnya dia tak tahu apa-apa perihal telefon bimbit, jauh sekali nak guna sms. Sekarang dah cekap, malah selalu chating pula di computer siap dengan headphone dan microphone.Tahun kedua dia berulang dari rumah dengan motosikal yang hanya ambil masa 25 minit saja. Pernah dia nak pergi ke kolej masa berlaku banjir yang menenggelamkan jalan di Bandar Baru Darul Aman. Bertengkar dengan ibunya yang berpendapat bahawa pihak kolej di tutup akibat bencana alam tu. Malah jalan menuju ke sana di Bandar Alor Setar juga ditenggelami air sekitar seperempat meter. Bila ada kawannya telefon maklumkan mengenai hal itu barulah dia batalkan hasrat tersebut.
Sekarang dia dah bekerja di sebuah bengkel. Seperkara yang perlu diketahui iaitu penghidapan dyslexia lazimnya bukanlah berkekalan dan golongan ini bila membuat sesuatu kerja itu akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Salah seorang penghidap dyslexia ialah Thomas A Edison. Meskipun saya pernah membaca riwayat hidup tokoh sains yang mencipta lampu elektrik dan wayang gambar ini masa di sekolah menengah dulu, baru beberapa tahun kebelakangan ini mengetahui bahawa beliau pernah menghidap dyslexia. Tentang memori itu anak saya itu boleh mengingat spaner nombor berapa untuk sekeru atau nat. Saya percaya dia banyak menggunakan otak kiri berbanding dengan otak kanan kerana masa di sekolah rendah biarpun tidak berkemahiran membaca tetapi dalam soal kira mengira dia mahir.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TAAT SETIA TAK BERBELAH BAHAGI
CARANYA SOMBONG ORANG BERBUNDA
Sebermula sekali persetua tersebutlah ceritera akan Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku taat setia tak berbelah bahagi kepada Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Arakian ia terkekeh-kekeh mengejek perihal kononnya mahu menyokong Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Syahdan katanya, ‘Buat apa saya lompat kalau nak bagi jawatan menteri juga, kalau setakat menteri, lupakanlah!’. Maka lupalah Orangkaya Menteri itu, orang yang hari ini boleh berkata-kata, besoklah boleh menutup mulutnya, hari ini ladang tamarnya berbuah melimpah ruah, besoknya menjadi debu berterbangan. Arakian terlalulah sombongnya ia hingga mengatakan siasah lawannya berada di alam baqa’, semata-mata setelah dikutip dengan penuh ihsan menduduki balairongseri menjadi Orangkaya Menteri.

Syahdan, maka pada suatu malam bendahara turun hendak sembahyang subuh. Maka dilihat bendahara betul kepala Tun Mutahir bernyala, cahaya menerus ke langit. Maka dihampiri oleh bendahara dilihatnya Tun Mutahir. Maka dengan sekejap itu juga cahaya itupun padamlah. Arakian kata bendahara, ‘Akan Tun Mutahir ini kelak menjadi orang besar lebih daripada aku kebesarannya, tetapi tiada kekal.’ Maka oleh bendahara segala candu peti yang ditinggalkan Seri Nara Diraja akan anaknya itu semuanya dituanginya timah, supaya jangan dapat dibuka orang lagi; dan makan minumlah Tun Mutahir dan Tun Tahir itu pada bendahara. Syahdan ada seorang lagi anak Seri Nara Diraja, Tun Abdullah namanya, bundanya lain terlalu ulahan; jika ia berbuang kuku, tiga hari baru sudah kerana ia lagi ada bundanya (hingga terlalu sombong pekertinya) seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment