Wednesday, November 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



SENATOR BOLEH MENJADI TPM
PELUANG MAT TAIB MEMANG TERBUKA



Assalamualaikum,



Ketika makan tengahari di Restoran Rembau Ria selepas selesai mesyuarat di Balai Undang Rembau semalam (11 November 2008), beberapa aktivis UMNO melahirkan rasa kecewa dengan insiden baling batu serta pergaduhan fizikal di mesyuarat UMNO Bahagian Seremban sebelumnya (9 November 2008). YM Dato’ Perba Haji Yahaya, Ahmad Afian Kadir (wakil Muzium Negeri Sembilan) dan anak Undang Luak Rembau sekadar mendengar sahaja dari meja lain, disebabkan kami lebih tertumpu kepada persiapan menyambut ulangtahun ke 10 YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman dikerjankan menyandang pesaka Undang Luak Rembau pada 21 November 2008 ini. Isu pemilihan UMNO biarlah dibincangkan oleh aktivis UMNO sendiri: Kok baik jadikan tauladan, kok buruk jadikan sempadan!




Bagaimanapun di kalangan aktivis UMNO di peringkat akar umbi, masih kurang yakin dengan pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sekalipun menerima 186 pencalonan daripada Bahagian UMNO. Satu sahaja Bahagian iaitu Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah, di samping empat lagi ditangguhkan mesyuarat termasuklah Seremban yang terbabit dengan insiden baling kerusi. Apalagi kalau didasarkan dengan spekulasi, Dato’ Seri Najib kurang serasi dengan calon Timbalan Presiden Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Muhd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Sekiranya berlaku masalah dalam pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib selepas Mac 2009, pemilihan ke atas Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden memudahkan lalaun untuk ke kerusi Perdana Menteri.


Sebaliknya pemilihan Dato’ Seri Muhd Ali atau Tan Sri Muhammad menduduki kerusi Timbalan Presiden, memerlukan jangka masa untuk pilihanraya kecil memenangi kerusi Parlimen. Dato’ Seri Muhd Ali sekadar ADUN di Melaka, tak boleh secara automatik menggantikan Dato’ Seri Mohd Najib termasuk juga Tan Sri Muhammad dengan kedudukan senator. Justeru ketika Haji Abu Bakar Ninggal menelefon di sebelah petang mahu tahu sama ada Ahli Dewan Negara dibolehkan memegang jawatan Perdana Menteri atau sebaliknya, secara perlembagaan hanya Ahli Dewan Rakyat yang menerima sokongan majoriti di kalangan Ahli Parlimen sahaja dilantik untuk kerusi Perdana Menteri. Maknanya, Ahli Dewan Negara dan ADUN tak berkelayakan untuk menduduki kerusi Perdana Menteri, tetapi Ahli Dewan Negara memang boleh memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Heh heh he!


Selepas berakhir mesyuarat Bahagian UMNO 9 November 2008 lalu, bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) tak tersenarai melepasi kuota 10 untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT). Tak tahulah kalau empat lagi Bahagian yang ditangguhkan mesyuaratnya bersedia untuk mencalonkan Dato’ Ron, kerana ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu!’. Justeru kumpulan penulis-penulis laman blog saling bertanya pula, kalau Dato’ Ron gagal melepasi kouta 10 bagi pencalonan bertanding MT, bagaimanapun dengan resolusi menuntut jawatan senator kepada kerajaan seperti diluluskan pada perjumpaan di Hotel Concorde pada 21 Oktober 2008. Lantas aktivis masyarakat Yassinsalleh memberitahu, “Tak ada tempat bagi golongan prolitar dalam perjuangan UMNO.” Barangkali!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:



DESAKAN AWAL MEMINTA BERUNDUR
RAFIDAH AKAN DIMALUKAN MAC 2009




Desakan awal mendesak Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz akan memberi input kepada beliau dimalukan pada Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009 nanti, beritahu penganalisis politik Dr Seri Intan Mokhtar. Katanya, majoriti pimpinan wanita di peringkat akar umbi mahukan Tan Sri Rafidah berundur sekalipun secara realiti menerima 117 pencalonan. Keengganan Dato’ Kamalia Ibrahim yang juga seorang peguam menerima keputusan Exco Wanita semalam (11 November 2008) meminta dua jawatan tinggi (Ketua dan Naib Ketua) tak dipertandingkan, membayangkan tiada lagi kompromi dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung UMNO kelak. “Apabila Dato’ Kamalia meneruskan hasrat untuk bertanding Naib Ketua Pemuda, ianya adalah mandat dari Kuala Kangsar iaitu kawasan Parlimen yang diwakili oleh Tan Sri Rafidah,” beritahu Dr Seri Intan seterusnya.



Justeru menurut Dr Seri Intan, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah seharusnya menerima keputusan akar umbi dengan memberi laluan kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil. Jelas Dr Seri Intan menambah, sekiranya Tan Sri Rafidah mengambil langkah bijak berundur secara terhormat, dua jawatan tertinggi dalam Wanita UMNO tak akan dipertandingkan. Sekiranya, Tan Sri Rafidah mahu meneruskan pelan peralihan kuasa sebelum ini, pertandingan akan berlaku bagi jawatan Ketua Wanita di samping penyokong-penyokong Dato’ Kamalia akan bersatu menyokong Dato’ Seri Shahrizat. Fenomena berkenaan tak dapat dielakkan apabila Dato’ Seri Shahrizat memberi laluan kepada Dato’ Kamalia bagi jawatan Naib Ketua, beritahu Dr Seri Intan. “Sekalipun Tan Sri Rafidah menerima 117 pencalonan, ianya bukan satu jaminan untuk menang seperti insiden pemilihan 1999,” ujar Dr Seri Intan.



INFO SASTERA & BUDAYA:



NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz




(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).



(sambungan kelmarin…)



(32)



10
PANTANG BERPUTUS ASA



PERSAHABATAN KLON WIRA PULAU
BANTU HANG JEBAT DI PLANET BONEKA.



BELUM sempat dia meminta penjelasan lajut, boneka yang sudah diubahsuai terus masuk ke dalam terowong. Cepat-cepat pula saya meminta Si Tongkol memulangkan semula hanset saya yang dirampasnya sebelum itu. Apabila saya mendail nombor hanset Si Tongkol, terasa gembira saya kerana ianya mempunyai respons. Bunyi ton hanset Si Tongkol yang dipasang pada peti suara boneka itu ternyata berfungsi.



Segera saya hantarkan SMS minta boneka berkenaan ke bilik makmal. Tak lama selepas itu saya terdengar kekecohan berlaku di dalam terowong planet boneka. Wira pulau yang sudah diubahsuai seolah-olah menjadi klon saya pula. Ia tak lagi menuruti sistem berkomputer yang dipantau oleh Bapak profesor. Sebaliknya mematuhi arahan melalui SMS di hanset Si Tongkol.



Memang klon wira pulau yang saya ubahsuai berjaya membolos masuk ke bilik makmal. Dia kopakkan dinding pada logam tungsten yang kebal. Geselan tubuhnya mampu menjejaskan kekebalan logam berkenaan, hingga membolos ke situ. Ketika wira-wira pulau yang berkawal mahu melawan, pantulan cahaya yang menyinggahi kaca cermin menyebabkan semua tentera boneka jatuh terlentang.



Sebaik sahaja tentera-tentera wira pulau ciptaannya tak boleh bertindak balas, segera Bapak Profesor ke bilik makmal. Terkejut dia melihat wira pulau yang diubahsuai bertindak menjadi pembelot. Punat butang di tangannya tak mampu memantau setiap pergerakan tentera boneka tersebut.



“Bapak Profesor sudah keluar dari bilik operasinya, biar saya masuk ke sana,” ujar saya memanggil Mail Kengkang dan Usin Sodok membantu Abang Din memapah Si Tongkol. Kemudian saya mengajak Sahak Salai membolos masuk ke bilik operasi yang dikelilingi berpuluh-puluh monitor komputer.



Selepas saya dapat mencari data tentera boneka yang diubahsuai, memang terdapat banyak bayang pijat-pijat di seluruh badannya. Tak bertangguh saya pindahkan bayang pijat-pijat berkenaan ke dalam CPU yang dikawal oleh Bapak Profesor. Tujuan saya sengaja mahu menyibarkan virus pijat-pijat ke dalam sistem komputer di bilik operasi berkenaan.



Sempat juga saya ubahsuai sistem berkomputer di bilik operasi, hingga berlaku letupan kecil menyebabkan kebakaran aliran elektrik. Semua kawalan di bilik operasi itu memang sengaja dimusnahkan. Tentera boneka bukan takat di dalam terowong itu sahaja, malah berkawal di sekitar terumbu batu karang di pulau berkenaan.



“Cepat kita tinggalkan planet bonek ini!” tegas Si Tongkol sebaik sahaja klon wira pulau yang saya ubahsuai berjaya membawa keluar Bung Hirman, Bung Superman dan Jojo dari bilik makmal.



“Kamu tak dapat melarikan diri ke mana-mana, Kolonel Si Tongkol!” bentak Bapak Profesor tercegat di pintu terowong setelah melihat kami jauh meninggalkannya. “Dalam tempoh setengah jam kamu semua akan musnah dalam ledakan denamit,” katanya mahu mengugut.



Tetapi kami tak hiraukan lagi jeritan Bapak Profesor. Sewaktu melepasi zon larangan di sempadan planet boneka, saya melihat beberapa objek wira pulau Bapak Profesor hanya tercegat tak bergerak. Selepas sistem berkomputer di bilik operasi dimusnahkan, mereka juga tak boleh berfungsi apa-apa. Ternyata saya berjaya menyibarkan virus pijat-pijat ke dalam CPU di bilik operasi.



“Kamu yang sepantasnya menjadi wira pulau, Hang Jebat,” ujar Si Tongkol menepuk bahu saya setelah naik ke atas bot laju. Sementara Bung Hirman pula menarik bot Abang Din yang kehabisan petrol ditambat di belakang bot laju berkenaan.



“Bukan saya, tapi klon wira pulau ni,” saya mengerling boneka sudah diubahsuai yang dibawa bersama.



(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).



(bersambung)



PUISI LAMA



Ibu Segala Adat



Adapun adat sebenar adat
Adat tak lekang dek panas
Adat tak lapuk dek hujan
Adat berwaris kepada Nabi
Adat berkhalifah kepada Adam
Adat berinduk kepada ulama
Adat dianjak layu diumbut mati
Adat ditanam hidup dikubur mati
Adat terconteng di lawanng
Adat tersurat di kertas
Adat tersirat di dalam Sunnah.



Pesaka yang tak dapat dirubah-rubah
Waris yang tak putus dek cincang
Kalau tinggi dipanjatnya
Bila rendah dijalarnya
Riaknya sampai ke tebing
Unutnya sampai ke bakul
Resamnya sampai ke laut
Sampai ke pulau karam-karaman
Sampai ke tebing lembak-lembakan
Sampai ke arus yang berdayung
Ibu segala adat ‘muafakat’!



- Chairil Achdiat
Balai Adat
Siak, Propinsi Riau,
Indonesia.
12 September 2008.



INFO SUARA PROLITAR:



ORANG MELAYU SANJUNG ARTIS
TAPI ANGKASAWAN DI PANDANG REMEH



Kenapa nak pertikai RM8000 kepada ceramah angkasawan daripada bajet RM1.2 juta? Sedangkan apa yang disumbang kepada negara, bangsa dan remaja terutama murid-murid sekolah terlalu bermakna. Ianya juga berkorban dengan kecekalan, keyakinan dan ketabahan untuk jadi angkasawan. Kalau nak dikira tak berbaloi. Apalah guna cerita fasal peruntukan sebanyak tu, kalau bandingkan dengan kongsi pengalaman bersama remaja. Anehnya, masyarakat tak kisah dengan penyanyi yang menuntut bayaran tinggi untuk show. Kononnya untuk pertunjukan amal. Modal penyanyi pakai baju cantik, mekap lawa-lawa tapi otak kosong. Kadang-kadang cakap pun tak tentu arah. Sebaliknya ramai berduyun-duyun datang untuk mendengar suara, nak tengok rupa, nak tidur fesyen dan ingin nak glamour. Tak kira artis yang suka porak perandakan rumah tangga orang.



Sedangkan angkasawan tu belajar, buat kajian, cekang mata, aktif otak untuk kerja-kerjanya. Remaja boleh mendapat manfaat daripada sumbangan pemikirannya. Setidak-tidaknya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian tersebut. Memang masyarakat Melayu pernah dilabel oleh penjajah Inggeris dulu sebagai bangsa yang suka berfoya-foya, berbual kosong di kedai kopi dan tak berminat berusaha (maknanya, nak kaya dengan sekelip mata tapi malas bekerja). Justeru sekarang ni, eloklah ubah pendekatan. Jangan galakkan remaja tengok artis berpesta aje sama ada ‘jom heboh’ atau lain-lain. Kadangkala dengar ceramah agama pun tak mahu, nak bayar mahal pada pendakwah pun tarik muka masam. Macam mana nak pertahankan kata-kata Hang Tuah, tak Melayu hilang di dunia? – (Siti Mariah, Selayang, Selangor)



SLOT MELAYU DI TV TERUK SANGAT
PENONTON DISOGOK DENGAN SLOT INDON



Kalau komplen mengenai slot di TV terutama Astro, pak menteri akan memberikan jawapan mengikut peratus begitu dan begini. Baik Menteri Penerangan mahupu Menteri Komunikasi Multi Media akan bangun ‘menegakkan benang basah’. Bolehlah juga gamaknya! Tapi macam mana nak tegakkan guni kosong? Tengoklah Astro channel 105, 106, 104, 121, 122 kadangkala serentak slot Indonesia. Ditambah lagi dengan TV3 dan TV2, seolah-olah hebat sangat ‘Sulaiman’, ‘Oliva’ dan entah apa lagi. Bukan sahaja slot Indonesia, malah dari Amerika Latin, Bollywood, Hong Kong, Thailand dan Filipina. Audhai! Slot TV Melayu ditayangkankah di negeri-negeri terbabit? Atau teruk sangat slot Melayu untuk TV di negara ini? (Man Cincai, Selayang, Selangor).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo



GEMPARLAH ORANG MELAYU SEKALIAN:
KERANA TAK TAHU PEKERJAAN ORANGKAYA



Kata sahibul hikayat gemparlah sekalian orang banyak apabila bekas Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim apabila ia meletakkan jawatan suatu waktu dahulu, kerana tak gemar akan kanun menahan orang dengan tak dibicara terlebih dahulu (disebut anak cucu fakir ISA). Adapun bekas Orangkaya itu, bersedia ia meninggalkan jawatan sebagai anak tuan-tuan di balai besar bersebelahan balairong seri itu, adanya. Arakian disebut orang banyak akan bekas Orangkaya Menteri itu menulis suratlah ia kepada orang banyak, malah bertemu ia dengan segala ketua orang banyak kerana tak sukakan kanun berkenaan. Syahdan marahlah akan anak-anak buah harakah Melayu (iaitu UMNO) dengan perbuatan Dato’ Zaid itu. Sebermula akan Dato’ Zaid tak berasa bimbang ia sekalipun akan dipecat, seperti disebut orang banyak, ‘tangan sanggup mencincang, bahu juga sanggup memikul’.


Syahdan, pada suatu hari maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah sama-sama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, ‘Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki jua; adapun orang Kelang ini meghadap dibawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fi’il tuan?.’ Arakian tiga kali tak disahut Tun Perak akan pertanyaan Seri Amerta, kemudian barulah disahutnya, ‘Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan hamba pelihara, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini di mana tuan hamba tahu?’ Sebermula Seri Amerta tak tahu akan kerja-kerja Tun Perak mahupun bekas Orangkaya Dato’ Zaid itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment