Wednesday, December 3, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


JANGAN MELIHAT SUDUT NEGATIF:
KEKEBALAN RAJA & BUDAYA MELAYU

Assalamualaikum,

Tahniah kepada YTM Dato’ Lela Maharaja, Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman yang menyambut ulangtahun ke 10 menyandang pesaka Undang Luak Rembau pada 21 November 2008 lalu. Saya turut dijemput hadir pada majlis makan malam di Dewan Majlis Perbandaran Rembau pada 22 November 2008, di samping pelancaran buku autobiografi YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip. Sekalipun YTM Undang Luak Sungai Ujong dan YTM Tunku Besar Tampin tak hadir pada majlis makan malam itu, tetapi tetap memperlihat kemantapan institusi Undang Yang Empat dalam struktor pemerintah Negeri Sembilan ‘gemuk berpupuk, segar bersiram; dianjak layu, dicabut mati!’ Malah diperingkat akar umbi warga Negeri Sembilan memang mempertahankan kekebalan raja-raja Melayu yang menjadi benteng terakhir ketuanan bangsa. Barangkali!

Majlis makan malam berkenaan dihiburkan oleh artis jemputan Salleh Yaakob yang saya kira cukup bertenaga dengan penyampaian yang menghiburkan. Di samping artis jemputan, turut juga diundang ialah artis dari Negeri Sembilan yang menerima augerah ‘Datuk Kurnia’ seperti Dato’ Mustapha Maarof dan Dato’ Aziz Singah. Sekalipun saya ditempatkan di meja yang berhampiran dengan pentas VIP, tetapi memang cam dengan tetamu-tetamu yang hadir. Tetamu yang semeja dengan saya Ketua Polis Daerah Rembau, sementara di sebelah saya (meja No 4) ialah Pegawai Daerah Rembau yang pernah terserempak ketika saya mengadap ke Balai Undang Rembau sebelumnya.

Sebelum majlis makan malam berkenaan, memang sudah beberapa kali saya mengadap ke Balai Undang Rembau. Malah pada peringkat awalnya saya tak berhasrat untuk hadir, disebabkan malam yang sama adik sepupu saya juga mengadakan kenduri kerana mahu berangkat ke Mekah menunaikan fardu haji. Bagaimanapun pada 21 November 2008 YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip sendiri menelefon, menyebabkan saya serba salah untuk menolaknya. Apalagi pagi berikutnya YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip menelefon lagi mengingatkan saya mengenai jamuan makan malam berkenaan, justeru saya tak boleh mengelak kerana menghormati permintaan beliau.

Justeru dalam sistem feudalisme tak semuanya dilihat secara negatif. Apabila PRIMA mengambil pendekatan menyokong dipulihkan semula kekebalan raja-raja, tak bermakna ianya undur ke belakang dalam perjuangan menentang ‘perhambaan minda’. Ketika isu DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terbabit dalam kes Mahkamah Khas berkaitan institusi perbankan, memang pernah juga YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip berbual-bual spontan. Bagaimanapun saya merasakan disegi perundangan tak menjejas takhta baginda, sebaliknya kekebalan raja-raja wajar dipulihkan untuk memelihara maruah ketuanan bangsa. Allahyarham Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang kuat menentang feudalisme juga pernah mengingatkan saya wajarnya kekebalan raja-raja dipertahankan. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


ANIAYA PENERBIT BUMIUTERA:
SARAWAK BATAL DI SAAT AKHIR

Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein diminta bertanggungjawab dengan kerenah birokasi dalam kementeriannya yang menganiaya penerbit-penerbit kecil bumiputra yang terbabit dengan skim buku bacaan tambah di bawah Biro Teknologi Pendidikan (BTP). Menurut sumber, BTP mempunyai peruntukan membekal bahan bacaan tambahan ke sekolah-sekolah dengan meluluskan buku-buku pilihan sejak tahun lalu. Bagaimanapun berlaku masalah kerenah birokrasi apabila buku-buku yang sudah ditetapkan oleh BTP untuk dipesan oleh pembekal-pembekal di Sarawak dibatal pada saat-saat akhir. “Tempahan yang dibuat oleh pembekal-pembekal buku bacaan tambahan di Sarawak di bawah skim BTP membabitkan kos cetakan yang terpaksa ditanggung oleh penerbit kecil apabila ianya dibatalkan,” beritahu sumber tersebut.

Pegawai di BTP mengesahkan pembatalan tersebut, tetapi enggan memberitahu nama kontraktor yang diberi hak membekalkan buku-buku berkenaan yang sepatutnya disalur ke sekolah-sekolah rendah dan menengah, menurut sumber berkenaan. Seterusnya sumber itu menjelaskan, penerbit-penerbit dikehendaki menghantar terus buku-buku berkenaan ke sekolah-sekolah, tetapi bayaran menerusi kontraktor-kontraktor terbabit. Justeru adalah tak adil penerbit-penerbit tak dibenarkan berhubung terus dengan kontraktor dalam urusan tersebut, kerana pembayaran tak dibuat oleh sekolah-sekolah yang menerima bekalan. “Dengan peruntukan kementerian hampir RM3 juta ke Sarawak adalah tak wajar pesanan buku berkenaan dibatalkan,” kata sumber itu.

INFO SASTERA & BUDAYA


BELASUNGKAWA KPD SYED ALWI:
GALERI UNTUK KARYAWAN TEATER

Kematian mengejut Seniman Negara Dato’ Syed Alwi Syed Hassan semalam (1 Disember 2008) adalah kehilangan besar kepada warga karyawan teater di negara ini, menurut aktivis budaya Yassinsalleh. Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham bagi pihak PRIMA, Yassinsalleh juga mencadangkan diwujudkan ‘Galeri Syed Alwi’ sama seperti memperingati sumbangan Ismail Marzuki di Indonesia. Menurut Yassinsalleh yang juga aktivis teater di Pahang pada dekad 1970-an, di samping pengarah filem terbaik dalam Pesta Filem Malaysia sekitar 1980-an menerusi fiem ‘Dia Ibuku’, Syed Alwi membawa dimensi baru dalam persembahan teater di Malaysia. “Karya-karya Syed Alwi menampil revolusi baru dalam persembahan teater seperti di lihat menerusi Tok Perak atau Alang Rentak Seribu,” beritahu Yassinsalleh menambah.

Menyentuh karya teater Syed Alwi yang dianggap masterpeace beliau ‘Tok Perak’ dan ‘Alang Rentak Seribu’, Yassinsalleh menjelaskan kemampuan seorang seniman secara langsung berinteraksi dengan penonton. Katanya, Tok Perak mengangkat keterampilan golongan prolitar ialah penjual ubat jalanan dengan pemikiran besar memperjuangkan jatidiri bangsanya. Begitu juga ‘Alang Rentak Seribu’ menterjemahkan pembabitan golongan seniman ketika berada di tengah masyarakat desa, di samping mahu merombak pemikiran rakyat dengan nilai-nilai pembaharuan (reformasi), menurut Yassinsalleh selanjutnya. Justeru katanya, mewujudkan ‘Galeri Syed Alwi’ boleh menggerakkan pertemuan aktivis teater secara kesenimanan. “Orang Melayu tak rugi sekiranya ‘Galeri Syed Alwi diwujudkan,” ujar Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

PENIAGA NAK UNTUNG SEMANGKUK
TAPI PADAHNYA AKAN RUGI SEBELANGA

Minggu lalu (22 November 2008), saya singgah makan di Hentian Seremban, apabila melalui lebuhraya. Singgah digerai untuk makan nasi. Gulainya siput sedut. Baru nak jamah tengok siput tu berlendir. Maknanya gulai tu daha dipanas-panaskan beberapa hari. PLUS yang memantau gerai, kena tengoklah sikit. Jangan sampai pengguna keracunan. Disebabkan saya tahu gulai tu dah berhari-hari, saya tak makanlah. Si pemilik gerai janganlah ‘nak untung semangkuk, ruginya sebelanga’. – (SMS; 1 Disember 2008; 13:41:27 – Mokhtar, Hulu Kelang, Selangor)

BERAS SUBSIDI MEMANG MURAH:
ANTARA YANG NAIK DAN YANG TURUN

Dulu semua rakyat Malaysia diberitahu kenaikan harga barang disebabkan harga minyak. Dah lima kali harga minyak diturunkan sejak Dato’ Shahrir Abdul Samad dibawa semula ke kabinet, harga barang keperluan tak juga turun. Harga kelapa parut sebiji masih lagi RM1.80, harga beras subsidi aje yang RM17.50 bagi kampit 10 kilo dengan campuran 15% beras hancur. Kalau kos pengangkutan, takkan minyak dah turun kos pengangkutan masih tak turun. – (SMS; 2 Disember 2008; 14:22:45 – Man Cincai, Selayang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TAKBURNYA ORANGKAYA SHAFIE APDAL
MACAM RAJA SINGAPURA DAN MAJAPAHIT

Sebermula tersebutlah alkisah Orangkaya Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Shafie Apdal memberitahu orang banyak akan perihal anak-anak buah Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bermimpi di siang hari kerana kasadnya mahu menawan Sabah. Syahdan terlalulah takburnya Orangkaya Dato’ Shafie itu, setelah dicalonkan ia untuk jawatan pemimpin tertinggi harakah Melayu (UMNO). Maka terlupalah Orangkaya itu mengenai ‘budi bahasa budaya kita’ yang menjadi amalan diajarkan kepada sekalian anak-anak buahnya. Arakian di negeri Sabah itulah juga USNO yang dipimpin bekas Orangkaya Tun Datu Mustapha Datu Harun dikalahkan oleh BERJAYA yang dipimpin bekas Orangkaya Tun Mohd Fuad Stephen dan Dato’ Harris Salleh pada 1976 Masehi, yang dianggap ‘bermimpi di siang hari’.

Arakian maka disuruh buka oleh baginda, maka dilihatnya tatal bergulung seperti subang. Maka baginda pun tersenyum, tahu baginda akan ibarat kehendak Betara Majapahit itu. Syahdan titah baginda, ‘Dipertidaknya laki-laki kita oleh Betara Majapahit maka kita dikirimi subang.’ Maka sembah utusan itu, ‘Bukan demikian kehendak paduka kekanda itu; adakah orang yang pandai di bawah duli paduka sangulun yang demikian?’ Maka Paduka Seri Pikrama Wira mendengar sembah utusan itu, maka titah baginda, ‘Lebih daripada itu ada orang yang pandai kepada kita.’ Sebermula maka Paduka Seri Pikrama Wira menyuruh panggil seorang pandai, Pawang Bentan namanya. Telah ia datang, maka disuruh oleh baginda cukur kepala budak menggunakan kapak oleh kerana takburnya ia seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment