Wednesday, December 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

HADIAH MENJELANG TAHUN BARU:
MENYAMBUT KEHADIRAN CUCU PERTAMA

Assalamualaikum,

Bagi pihak PRIMA saya mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena hari jadinya ke 82 pada 20 Disember 2008, kerana tarikh berkenaan memang sentiasa menjadi ingatan saya, berikutan hari jadi saya jatuh pada 21 Disember. Rupa-rupanya selepas hari jadi saya pada 21 Disember, hadiah menjelang tahun baru ialah menyambut kehadiran cucu pertama saya Puteri Nurlaili Suffiyah, selepas solat Maghrib kira-kira jam 7.40 malam pada 22 Disember 2008. Memang agak terlewat saya menimang cucu, kerana rakan-rakan sebaya sudah mempunyai lebih 10 orang cucu. Malah kawan-kawan yang lebih muda usia pun cucunya ramai, disebabkan pada usia awal 20-an sudah mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun semalam (22 Disember 2008), seorang kawan beritahu mengenai kong kalikong dalam frasa pengagihan buku menerusi skim Biro Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran. Buku-buku yang dihantar ke Sarawak dan Sabah yang diberikan kepada ‘pembekal’, menunggu bayaran dari BTP untuk melunaskan wang kepada pihak penerbit. Malah ‘pembekal’ yang gagal menyalurkan buku-buku ke sekolah melaporkan penerbit-penerbit tak mempunyai stok. Isu yang dihadapi oleh penulis-penulis buku ialah sama ada ‘pembekal’ benar-benar peniaga yang ‘tulen’ atau sekadar peniaga ‘anugerah’ menerusi kroni politik. Apabila penerbit ‘kantoi’, sudah tentu peruntukan BTP tak sampai kepada sasaran untuk membantu penulis. Barangkali!
Misalnya, berlaku kes BTP sudah melunaskan bayaran kepada pembekal ‘anugerah’ berdasarkan dokumen yang dilampirkan, tetapi buku-buku tak sampai ke destinasi atas alasan penerbit tak mempunyai stok. Astaga! Sepatutnya bayaran yang sudah dilunaskan kepada pembekal ‘anugerah’ seharusnya dikembalikan, bukan menyenarai hitamkan penerbit yang kononnya tak mempunyai stok mencukupi. Justeru, Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein wajar ‘turun padang’ bagi memantau pembekal buku ‘anugerah’ yang sekadar kroni dengan diluluskan oleh BTP. Setidak-tidaknya pembekal buku lengkap dengan kemudahan perhubungan yang boleh dihubungi oleh penerbit.

Isu yang sama turut dihadapi Perpustakaan Negara yang diberi peruntukan membeli buku-buku terus dari pengarang ketika di bawah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa), Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Bagaimanapun apabila kementerian yang sama berubah nama kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di samping menterinya Dato’ Shafie Apdal, skim membeli buku terus kepada pengarang dimansuhkan. Perpustakaan Negara membeli buku-buku daripada penerbit, tetapi ironinya satu penerbit sahaja memperoleh lebih 100 judul buku; apalagi ianya dikenali bukan penerbit bumiputera. Kalau BTP untuk pembekal buku, Perpustakaan Negara untuk penerbit ‘tunggal’, siapa pula untuk pengarang Melayu? Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

ORANG KUAT GAPENA BUAT KEPUTUSAN YANG TEPAT
AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP KP

Syabas! Ketua Satu Gapena Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran dalam isu Bahasa Melayu dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana mencabul perlembagaan negara mengikut Perkara 152. Tak timbul selepas enam tahun dilaksanakan baru Gapena mengambil tindakan seperti didakwa Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, tetapi perjuangan bahasa sudah digerakkan sejak 1950-an, malah dilanjutkan hingga 1960-an dan pada 1970-an Bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya di Dewan Rakyat dan mahkamah. Barangkali Dato’ Seri Hishamuddin sudah terlupa, justeru perlu diingatkan menerusi tindakan undang-undang.

PRIMA menyokong penuh langkah Gapena, malah bersedia untuk mengumpul dana bagi membantu tindakan undang-undang ke atas kementerian terbabit boleh dilaksana. Profesor Emeritus Tan Sri Ismail tak akan berseorangan dalam perjuangan bahasa, dan Dato’ Seri Hishamuddin wajar memahami aspirasi bangsa Melayu. Langkah PRIMA menyokong ‘Grup Pemuisi Simfoni Pasir Salak’ menganjurkan majlis baca puisi di samping kesediaan mengarak ‘Keranda 152’ seperti pada dekad 1960-an seharusnya menyedarkan Dato’ Seri Hishamuddin ‘sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan’. Melaksanakan kekuatan ‘kuasa’ bagi menghalal cara, belum pernah mencapai matlamatnya, kerana George W Bush yang mampu menggunakan kekuatan militan ke atas Iraq akhirnya dimalukan dengan lontaran kasut ke muka. Begitulah!

INFO SASTERA & BUDAYA

ANTOLOGI PUISI ‘HIJRAH MUSAFIR’
SENTUHAN BERSAHAJA PENULIS PAHANG

Sempena ulang tahun ke 50 Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), organisasi massa (ormas) berkenaan menerbitkan antologi puisi penulis Pahang ‘Hijrah Musfair’. Antologi yang diselenggara oleh Baharuddin C D dan Rahman Haji Yusof memuatkan karya 35 penulis kebanggaan ormas di negeri Pahang. Dengan kata pengantarnya dari Profesor Rahman Shaari, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, ‘Hijrah Musafir’ mungkin sahaja sentuhan bersahaja penyair-penyair veteran termasuk E. Tan Alauddin, M. Ashikin, M.Z. Alias, Baharuddin C.D., Sahmad Malaya atau L. Mankadir Shamsi. Sekalipun tak menampilkan bait-bait simbolisme, ambiguitis atau imajeri yang hebat, tetapi ‘Hijrah Musafir’ tetap merakamkan jatidiri ‘Melayu’nya.

Membaca beberapa puisi yang termuat dalam ‘Hijrah Musafir’, ormas di Pahang seolah-olah meminggirkan Yassinsalleh, penyair yang sentiasa bermain dengan ungkapan melankoliknya seperti ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ dan ‘Semantan Tersulakah Engkau’. Memang ketiadaan Yassinsalleh dalam antologi puisi yang diterbitkan DPMP, ianya seolah-olah tak melengkapi suara penyair anak Pahang. Misalnya, apabila GAPENA sekitar dekad 1980-an dimalukan dengan penolakan Pak Sako bagi menerima anugerah ‘Budayawan Gapena’, ianya dianggap kerana hadiahnya sekadar sepasang pakaian Melayu. Fakta sebenarnya ialah, Pak Sako terkilan apabila Pak Zek (Zakaria Hitam) juniornya terlebih dahulu diberi anugerah ‘Budayawan Gapena’ itu. Maknanya, kenapa beliau dipinggirkan oleh Gapena sebelum itu?

PUISI

Legasi Puteri Prolitar

(Selamat datang cucuku
Puteri Nurlaili Suffiyah)

Ku perhatikan malam
tertegun merapati
kilau mimpi melimpah
ke sisi angin waktu
yang terhambat memukau
bibir lembutmu membelah
getar tangis di tembok pasrah
mengombak ke dadaku
bak siulan camar senja.

Lepaskan jarum arloji
memutar waktuku yang singkat
di atas permaidani ungu
ku hitung bulatan cahaya
di celah jeriji purnama
tabtibau semakin galak
melompati lurah gaung
mencari keramahan tangismu.

Ku cari aroma wangian
di hujung pelipismu
antara getar angin & sumber rahsia
bayang malam di dadaku
hulurkan jari jemarimu
menyambut butir-butir doa
dalam genggaman syahdu
titisan legasi puteri prolitar!

-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
22 Disember 2008.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERKARA HUKUM HUDUD DISEBUT:
KETIKA PILIHANRAYA DI TERENGGANU

Sebermula berkatalah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perkara hukum hudud yang disebut-sebut harakah Islam (PAS) itu sudah lapuk. Arakian akan PAS itu tak pula menyebut-nyebut hukum hudud, tetapi Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib sengaja mahu melaga-lagakan mereka. Syahdan kalau tak berlakulah pilihanraya kecil di Kuala Terengganu itu, maka Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib pun tak tahu bercakap mengenai hukum hudud. Maka akan kerajaan negeri Melaka dan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Ali Rustam juga akan menjemput Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib hari ini (25 Zulhijjah 1429/23 Disember 2008) untuk melancarkan kewangan Islam (DMDI) heh heh heh!

Syahdan maka raja Pahang pun tersenyum. Titah baginda, ‘Adapun Telanai Terengganu kita suruh bunuh itu sebab biadap mulutnya, mengata-ngata negeri Melaka di bawah kelengkapannya. Adapun saudara sepupu Seri Akar Raja yang mati itu, mana bicara laksamana dengan Seri Akar Raja, kerana ia bukan orang lain pada laksamana.’ Maka laksamana dan Seri Akar Raja bermohon pergi menanamkan saudara sepupunya itu. Maka Sultan Pahang berangkat masuk. Maka segala yang mengadap itu pun masing-masing kembali ke rumahnya. Maka laksamana pun turun ke perahunya, kerana tak mahulah ia mendengar akan perkara hukum hudud yang dibesar-besarkan oleh Orangkaya Seri Akar Raja seperti halnya Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib yang dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment