Friday, December 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA
SUARA < < < > > > PRIMA

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PETANI PROLITAR MAKIN BIMBANG:
BUKIT RUNTUH PASTI MENUNGGU WAKTU

Assalamualaikum,

Penarahan bukit bagi membangunkan estet perumahan di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur cepat menerima respons daripada pelbagai pihak, kerana ianya lokasi perumahan mewah yang dihuni golongan elit. Apalagi insiden bukit runtuh menimbus 14 rumah menjelang Hari Raya Aidiladha lalu, membuatkan pelbagai pihak saling tuding menuding jari. Tetapi penarahan bukit di kawasan golongan prolitar tak diberi perhatian, malah pelbagai pihak seolah-olah mahu menunggu bukit runtuh, di samping menimbus hidup-hidup golongan prolitar yang melarat, menyarat dan menyerat. Barangkali! Memang begitulah keluhan petani-petani prolitar di Kampung Teriang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Ketika balik menziarah keluarga Hari Raya Aidiladha, salah seorang petani Zainal Maakir, 68 atau dikenali Tok Busu memberitahu penarahan bukit di Hulu Gepau dan Japas mungkin memberi impak kepada perkampungan petani ini dalam tempoh beberapa tahun lagi. Justeru Tok Busu sangat berharap wartawan TV3 terutama Karam Singh Walia tampil mendedahkan penarahan bukit kononnya untuk projek takungan air terbesar di Negeri Sembilan. Tok Busu setelah berlaku insiden seperti di Bukit Antarabangsa, barulah pelbagai pihak mahu bersuara!

Sekalipun jawapan sudah diberikan oleh Pejabat Daerah Jelebu bertarikh 6 Februari 2007 ianya projek Jabatan Bekalan Air (rujuk bil 62 dlm PTJ 1/101/2002), tetapi jaminan keselamatan akibat penarahan bukit tak diberikan. Apalagi kehadiran jurutera perunding dari SMHB Sdn Bhd seolah-olah memberi gambaran syarikat koprorat berkenaan terbabit dengan projek berkenaan. Jabatan Bekalan Air dan SMHB Sdn Bhd mungkin sahaja tak berasa bimbang dengan insiden runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur disebabkan mereka tak mendiami lokasi perkampungan petani-petani prolitar ini. Apalagi mereka lebih percaya kepada legenda naga turun apabila bukit pecah dan terpokah. Aduhai!

Sebaliknya Tok Busu bukan sahaja melihat sendiri, pencemaran Sungai Teriang semakin memilukan hati, malah beliau penduduk asal perkampungan berkenaan. Justeru dia merayu Karam Singh Walia dan TV3 tampil mendedahkan pencemaran sungai di Kampung Teriang, penarahan bukit di Hulu Gepau dan Japas, pemusnahan alam semula jadi yang menjadi agenda kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohamad Hassan. Bukan sahaja suara rakyat di Negeri Sembilan mula kedengaran meminta Dato’ Seri Mohamad Hassan segera berundur dari kerusi Menteri Besar, malah pimpinan UMNO di peringakt akar umbi juga mempertikaikan pimpinannya. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

K’JAAN BARU SEBELUM MAC 09
KALAU PR BERKOMPROMI KU LI PM.

Kerajaan alternatif akan menjadi kenyataan sebelum Mac 2009, sekiranya pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sedia berkompromi menerima Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah selaku Perdana Menteri dengan konsep ‘Kerajaan Perpaduan’. Justeru pilihanaya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari 2009 menjadi medan ujian kepada spekulasi penubuhan kerajaan baru. Sekiranya pilihanraya kecil itu nanti tak menyebelahi UMNO, harapan mempertahankan BN sebagai sebuah kerajaan hanya ‘macam berpaut di dahan rapuh’.

Malah sumber yang rapat dengan pimpinan PR mengakui beberapa pertemuan sudah digerakkan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Tengku Razaleigh. Apalagi pemecatan ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim dikatakan mempunyai kaitan dengan permuafakatan Dato’ Seri Anwar-Tengku Razaleigh, menurut sumber tersebut. Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh enggan memberikan komen, tetapi tak menafikan berlakunya pertemuan tersebut. Kata sumber itu menambah, Tengku Razaleigh masih membuat pertimbangan sama ada akan membawa penyokongnya atau tidak menyertai PR.

Pendedahan Dato’ Zaid Ibrahim mengenai segelintir pimpinan UMNO mencemuh Dato’ Seri Abdullah, memperlihatkan perpecahan dalam UMNO sukar dibendung, beritahu sumber itu seterusnya. Mereka yang tak sebulu dengan Dato’ Seri Mohd Najib tak teragak-agak menyokong Tengku Razaleigh sebagai kumpulan Bebas yang akan menjadi komponen PR. Menurut sumber itu lagi, sekiranya Dato’ Seri Anwar sedia berkompromi dengan memberi laluan kepada Tengku Razaleigh membentuk ‘Kerajaan Perpaduan’, riwayat UMNO yang bakal memilih Dato’ Seri Mohd Najib bagi kerusi presiden akan berakhir.

SISTEM KEHAKIMAN SUKAR DIPERTAHAN
SELAGI TAK DIPERBAIKI SECARA KOMPREHENSIF.

Sistem kehakiman di Negara ini akan kembali dipandang rendah oleh masyarakat antarabangsa, malah lebih buruk daripada insiden 1987 sekiranya kerajaan masih berteka teki dalam beberapa isu, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas kenyataan Pengarah Siasatan BPR Dato’ Mohd Shukri Abdul dalam media hari ini (12 Disember 2008) mengenai 90 peratus aduan rasuah dan politik wang dalam pemilihan peringkat Bahagian UMNO, sudah selesai disiasat Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO berkata, “Selesai disiasat tak perlu dihebohkan, yang penting tindakan susulan selepas penyiasatan dibuat.”

Dato’ Kamal Amir juga menambah, calon BN bagi kawasan Parlimen Teluk Kemang di Negeri Sembilan pada PRU12 dilaporkan pernah membuat aduan polis berhubung kes peti undi pos, tetapi tak diketahui tindakan susulannya. Apalagi spekulasi menyebut peti undi berkenaan berpindah ke kawasan Parlimen lain, yang seharusnya diberi penjelasan kepada umum terutama pihak Surhanjaya Pilihanraya (SPR). Berikutan SPR akan mengendalikan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, ketelusan dan kewibawaan SPR mengenai kes di Teluk Kemang perlu diperjelaskan, beritahu Dato’ Kamal Amir. “Kita mahu sistem kehakiman benar-benar dipulihkan, terutama dalam pendedahn klip video Linggam,” ujar beliau lagi.

INFO SASTERA & BUDAYA

GERAKKAN SEMULA HARI PUISI:
KEKAL MEWAKILI SUARA RAKYAT

Hari Puisi perlu dihidupkan semula sebagai acara tahunan Persatuan Penulis Nasional (PENA) iaitu kemuncak majlis baca puisi bulanan yang digerakkan sekarang, kata penyair Yassinsallah. Menurut Yassinsalleh yang juga aktivis PENA, acara Hari Puisi lebih awal digerakkan pada awal dekad 1970-an, malah lebih awal daripada ‘Hari Sastera’ yang dijayakan oleh GAPENA. Justeru Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan seharusnya peka dengan ‘Hari Puisi’, seperti pernah diberi sokongan kewangan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sekitar dekad 1970-an sebagai manifestasi suara rakyat, menurut Yassinsalleh selanjutnya.

“Bagaimanapun puisi seharusnya dirakyatkan, bukan digerakkan ke hotel-hotel mewah atau dewan besar,” ujar Yassinsalleh menambah. Yassinsalleh yang kerap tampil dalam acara baca puisi PENA, PRIMA dan lain-lain organisasi massa (ormas) mengakui, Hari Pusi seharusnya dirayakan bersama rakyat seperti dilaksanakan pada dekad 1970-an. Penampilan jurubicara dari institusi pengajian tingi kadangkala mencacatkan acara baca puisi yang seharusnya langsung digerakkan bersama rakyat, kata Yassinsalleh selanjutnya. “Biarlah puisi itu kekal mewakili suara rakyat, bukan berlagak sebagai pemangkin pemikiran elit dan keegoan ilmuan di institut pengajian tinggi,” beritahu Yassinsalleh.

PUISI

Bulan Membariskan

Malam ini bulan
membariskan bintang-bintang
bagaikan nakhoda tempang
cuba membariskan pelautnya
di pucuk gelombang
dan esok mentari pula
akan membariskan pelangi
bagaikan bendahara
membariskan perawan tua
bertelanjang di anjung istana.

Lalu akan berebutanlah
para sida-sida perkasa
menagih mimpi menerpa janji
syahwat yang dikasi raja,
demikianlah adanya
kau yang bernama Melayu
hanyalah sekadar lembu-lembuKASI
yang amat setia berbaris
menunggu janji menanti mimpi
sementara para dewa
bermukah di mimbar biara.

-Yassinsalleh
Dis, 12 08, jam 1821.


INFO SUARA PROLITAR

GUNA PENULIS DARI KL
TULIS BUKU MENGENAI NS.

Laporan mengenai Muzium Negeri Sembilan gunakan penulis Kuala Lumpur membuat penyelidikan buku Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau memang memalukan. Kurangkah Negeri Sembilan dengan penulis? Bukankah Negeri Sembilan sudah dua kali memberi anugerah kepada sasterawan Negeri Sembilan? Kenapa tak gunakan khidmat penulis dan sasterawan Negeri Sembilan sendiri. Kalau nak harapkan penulis dari Kuala Lumpur, lebih baik kerajaan Negeri Sembilan tak beri anugerah keapda penulis di Negeri Sembilan. – (SMS; 11 Disember 2008; 14:43:56 – Anak Waris; Rasah, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ULANGKAJI PERIHAL WARGA EMAS:
MEMAKAN MASA HINGGA LEBIH SETAHUN

Sebermula tersebutlah ceritera Orangkaya Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon perihal akan mengkaji Dasar Warga Emas Negara (DWEN). Kononnya kajian itu akan mengambil masa satu tahun untuk disiapkan kerana barangkali terlalulah susah mahu dikaji. Syahdan anak cucu fakir pun berkatalah, kalau susah sangat tak payahlah dikaji-kaji, kerana perkara yang diulangkaji biasanya sudah kita faham segalanya.

Arakian untuk mendalami pemahaman, maka hendaklah dulangkaji atau dikaji-kaji. Adapun perkara orang warga emas itu pada firasat fakir ialah orang tua-tua; orang sudah tua dan sudah bongkok tiga, adanya. Kalau perihal orang yang dituakan atau ketua, tak payahlah dikaji-kaji. Syahdan kadangkala terlalu banyak dikaji-kaji, bimbanglah fakir ianya akan dikeji-keji pula. Sebermula akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad termasuklah orang warga emas, tetapi tak payahlah dikaji-kaji kerana sebelumnya sudah banyak ianya dikeji-keji.

Syahdan maka Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga, geranganya begitulah warga emas yang dimasudkan. Maka ia berkata pada Tun Mamat, ‘Adapun segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani kepada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, jikalau raja Melaka hendakkan aku perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka ke Gunung Ledang, mudah-mudahan berlaku kejadian seperti di Bukit Antarabangsa,’ begitulah disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment