Sunday, January 11, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

DASAR KEBINATANGAN AS & ISRAEL
ANCAM KEAMANAN MASYARAKAT DUNIA.

Assalamualaikum,

Laporan berita di radio Klasik Nasional tengahari ini (11 Januari 2009) menyebut Exco Pemuda UMNO Dato’ Mukhriz Mahathir meminta ‘genjatan senjata’ 24 jam dalam siri kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bagi menunjukkan simpati kepada penderitaan rakyat Palestin dibuli oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS). Terpulanglah pada UMNO, PAS dan Bebas sama ada mahu menyahut seruan Dato’ Mukhriz atau pun sebaliknya. Kalau mahu melancarkan ‘genjatan senjata’ wajarlah ianya dimulakan oleh UMNO sendiri, dengan tak memperalatkan media perdana dan media elektronik untuk memprovok PAS; apalagi Bebas tak menjadi sasaran UMNO kerana dianggap tak beri persaingan apa-apa. Barangkali.

Malam semalam (10 Januari 2009), YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau mempelawa makan malam di sebuah hotel terkemuka di Bukit Bintang dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur. YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip juga turut melahirkan simpati dengan tragedi berdarah yang menimpa penduduk di Semenanjung Gaza apabila menerima serangan bertali arus Israel sejak awal tahun baru. Bagaimanapun sebagai pemerintah dalam institusi beraja di Negeri Sembilan YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip sekadar mampu melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin, disebabkan YTM terikat dengan etika yang disebut dalam perbilangannya: ‘Tangan terikat ke langit, kaki terpasak ke bumi’.

Tetapi rakyat Malaysia tak mengira agama dan kepercayaan, tetap tak berkompromi dengan Israel dan AS yang menggerakkan ‘kebinatangan’ terhadap rakyat Palestin di Gaza. Malah secara pongah Israel menggunakan pesawat menggugur risalah propaganda pagi ini (11 Januari 2009) menyebut ‘Israel masih dahagakan darah rakyat Palestin’. Justeru janji bakal Presiden AS Barrack Hussein Obama untuk menangani isu Palestin selepas 20 Januari 2009, sekadar fantasi dongeng kerana pentadbiran AS tak mampu tunduk dengan kemahuan Israel. Golongan minoriti Yahudi di AS sudah tersebati sebagai kuasa mutlak di Rumah Putih, sekalipun siapa saya menduduki kerusi Presiden sama ada Parti Demokrat mahupun Parti Konservatif.

Penyelesaian terbaik demi keamanan dunia ialah perlunya wujud perimbangan kuasa di kalangan negara-negara yang mempunyai kekuatan militan bagi memantau AS dan Israel melaksanakan dasar ‘kebinatangan’. Dengan kekuatan tentera AS, tak hairanlah Israel menolak sebarang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan dana pentadbirannya ditunjangi korporat-korporat Israel yang berselindung di sebalik kuasa ekonomi AS. Sebaliknya saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan urusniaga antarabangsa bertukar dari dolar AS kepada dinar Islam sukar diterima oleh pelabur-pelabur besar dunia. Tak tahulah kalau saranan Dato’ Mukhriz mahukan UMNO dan PAS menggerakkan ‘genjatan senjata’ di Kuala Terengganu boleh diterima secara telus, tulus dan turus. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

MALAYSIA DIGESA AMBIL INISIATIF:
PINDAHKAN IBU PEJABAT PBB KE GENEVA

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menggesa kerajaan Malaysia mengambil inisiatif menggerakkan usaha memindahkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari AS ke Geneva sebagai langkah alternatif menangani isu Palestin. Menurut Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO Biro Antarabangsa, Geneva wajar dipilih sebagai lokasi baru PBB disebabkan resolusi di bandar berkenaan yang mewujudkan PBB dulu. Selagi ibu pejabat PBB masih di AS, ianya adalah harta milik AS dan Israel, hingga setiap resolusi yang diputuskan menjadi sampah yang sesuai dicampakkan ke longkang. “Dunia tak akan aman selagi ibu pejabat PBB di AS,” tegas Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAYUTI PENULIS BUKU PROLIFIK:
SETELAH DUA KALI NAJIB BERJANJI.

Koleksi 46 buah rencana Haji Mohd Sayuti Omar termuat dalam bukunya ‘Perang Salib: Najib-Anwar’, iaitu himpunan penulisan yang dikutip menerusi laman blognya http//:http://www.msomelayu,blogspot.com/ di samping beberapa artikel yang tersiar di akhbar tabloid Siasah sejak Jun higga Oktober 2008. Memang Haji Mohd Sayuti antara penulis buku politik yang prolifik, malah sentiasa mendahului beberapa isu semasa menerusi inisiatifnya mencari sendiri secara eksklusif. ‘Perang Salib: Najib-Anwar’ sekadar menyingkap lanskap politik Malaysia selepas PRU12, bukan memfokuskan krisis terbuka Najib-Anwar dalam persaingan masing-masing mahu mencapai sasaran ke kerusi Perdana Menteri. Malah pada Bab 10, Haji Mohd Sayuti secara sinikal menempelak sumpah yang pernah dilafazkan oleh Najib.

Haji Mohd Sayuti bukan sahaja meragui sumpah (muhabalah), malah menyebut: “Dua kali timbalannya Mohd Najib Razak berjanji akan bersetia kepadanya. Sebaik dilantik menjadi TPM Najib melafazkan janji tidak akan menikam Abdullah dari belakang. Dan ketika termetrainya pelan peralihan kuasa beberap bulan lepas sekali lagi Najib berikrar akan bersetia dan berkerjasama bersama Abdullah.” Buku berkenaan dibahagikan kepada empat bahagian, tak memfokuskan kepada Najib mahupun Anwar sahaja. Dengan jumlah 223 halaman, ianya dijual RM20.00 senaskah; justeru boleh dipesan terus kepada penerbitnya TINTA MERAH, 55 Jalan Wangsa Siaga 1, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur atau telefon 019 2336996.

PEMERINTAH MEMANG TAK TEGAS:
DAULATKAN AGAMA, BANGSA & TANAH AIR

Lebih 50 tahun Malaysia merdeka namun rakyatnya gagal berkomunikasi dalam bahasa rasmi kerana itu Menteri Penerangan (Dato’ Ahmad Shaberey Cheek) masih menggunakan bahasa lain komunikasi, dan lebih 50 tahun jugalah tiada usaha pemerintah untuk tegas mendaulatkan perlembagaan negara, perjuangan agama, bangsa dan tanah air tercinta – (SMS; 11 Januari 2009; 14:44:43 – Dato’ Kamal Amir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur)

INFO SUARA PROLITAR

INFORMATIF DAN CETUSKAN MINAT
INSTITUSI BERAJA & KETUANAN MELAYU

Memang hebat sahabat. Sangat informatif dan mencetuskan minat. Selingan saudara tentang kaitan institusi beraja dan ketuanan Melayu sangat menarik. Kerana masyarakat kurang faham. Terutamanya Cina dan India. Mereka perlu tahu selagi ada raja – Melayu ada tuan. – (SMS; 10 Januari 2009; 00:39:59 – Dr Wahid Mohd Suhaimi, Batu Caves, Selangor).

TERINGAT CERITA LAMA SEORANG KAWAN
APABILA MENONTON PAK DHARMA DI TV

Sdr. Dharmala NS yang dihormati, Saya baru habis menonton Hello Malaysia Bernama TV. Bila lihat sdr. bicara pasal ketuanan Melayu NS, saya teringat cerita lama daripada seorang kawan yang bilang sama saya sdr. sepatutnya dilantik salah seorang undang, sekiranya tidak ada mainan politik. Tak tahulah sama ada teman itu hanya bergurau atau apa. Saya tak kisah, tapi saya gembira sdr. aktif kembali menulis. Tolong beri alamat rumah/pejabat untuk saya kirim buku saya terbaru Gagasan Persuratan Baru (2008). Selain itu, saya juga mohon buku yang disebut dalam program Hello Malaysia itu. Insha Allah jika ada peluang, saya ingin bersembang dengan sdr. di mana2 yang sesuai untuk mengetahui lanjut tentang ketuanan Melahyu ini. Saya harap sdr. tidak terganggu dengan e-mail ini. – (E-mail; 10 Januari 2009; 12:45:35 ­ – Saudara Mohd. Affandi)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KALAU PERUNTUKAN BUKAN RASUAH:
GERANGAN APA PULA MAHU DIKATAKAN

Syahdan tersebutlah ceritera akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah ia ke Kuala Terengganu. Maka Orangkaya itu tak semena-mena memberi peruntukan beribu-ribu ringgit seperti perihal di Permatang Pauh tempoh hari. Arakian ia memberitahu orang banyak pemberian itu bukanlah rasuah, tetapi adalah peruntukan. Maka berkatalah orang banyak, adapun dalam harakah Melayu (UMNO) itu pemberian juga peruntukan kepada cawangan dan Bahagian untuk mereka bermesyuarat. Sebermula tak dikira rasuah gerangannya oleh pengerusi tata tertib bekas Orangkaya Tan Sri Tengku Ahmad Ritahuddin. Syahdan ramailah orang-orang UMNO itu dilepaskan oleh pengerusi tata tertib kerana peruntukan bukanlah dikira rasuah. Maka peruntukan yang di Permatang Pauh dulu sudahlah senyap sekarang ini.

Arakian, maka tiada berapa lamanya, dengan takdir Allah Taala mahligai itu pun terbakar, tiba-tiba di atas kemuncak mahligai itu api. Maka Sultan Mansor Shah dan Raja Perempuan dan segala dayang-dayang habis turun dari istana itu ke istana lain; suatu pun tiada harta raja lepas; sekaliannya tinggal di dalam istana itu. Maka orang banyak pun datang hendak berlepas harta itu, terlalu sukar kerana timah atap istana itu hancur, turun seperti hujan yang lebat. Maka seorang pun tiada berani masuk mengambil harta raja itu. Maka bendahara pun berdiri menyuruh berlepas harta raja. Maka segala anak tuan-tuan berfikirlah dalam hatinya perihal istana itu dibina dengan keringat rakyat melalui macam-macam peruntukan yang dikatakan bukanlah rasuah seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment