Tuesday, January 27, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


FENOMENA GERHANA MATAHARI:
AHLI KORPORAT ZAMAN JAHILLIYAH

Assalamualaikum,

Gerhana matahari semalam (26 Januari 2009) mungkin dianggap fenomena biasa, sekalipun radio turut mengumumkan mengenai solat sunat khusuf berjemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. Apalagi masjid berkenaan memang menarik perhatian umum, sejak insiden 15 Ogos 2008 apabila pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh mula dicanangkan. Masjid berkenaan pula dipilih selepas jadual awalnya mahu diadakan solat sunat tersebut di Masjid Negara tak diteruskan. Entahlah! Bagaimanapun fenomena gerhana matahari waktu asar 26 Januari 2009 itu, kebetulan ketika masyarakat Cina menyambut Tahun Baru, di samping warga kota majoritinya balik ke kampung sempena cuti panjang sejak 24 – 27 Januari 2009. Heh heh heh!

Memang anak-anak saya sempat merakamkan fenomena gerhana matahari dari jam 4.00 petang hingga 6.30 petang, sekalipun diganggu awan hitam yang tebal di udara. Tetapi ketika gerhana matahari menjadi perhatian termasuk juga kalangan masyarakat antarabangsa, saya macam tak percaya apabila perangai manusia pada period jahiliyah masih dilestarikan ketika era internet menguasai dunia. Barangkali! Saya difahamkan seorang majikan berstatus cendekiawan Melayu berusia melewati 50-an, cuba menggoda pekerja sendiri, gadis yang lebih muda dari anak perempuannya sendiri. Pencapaian dalam bidang korporat hasil sokongan kerajaan seolah-olah melalaikan lelaki terbabit mahu merosakkan hidup anak gadis terbabit.

Barangkali majikan terbabit tak memahami mengenai mesej yang disampaikan di sebalik fenomena gerhana matahari itu, sebagai pengajaran betapa Allah SWT memiliki kerajaan di langit dan dibumi. Justeru pencapaian kemewahan lelaki yang berstatus usahawan itu tak sebesar mana, tetapi masih ghairah mahu meneruskan nafsu sarakah duniawi. Moga-moga tragedi yang menimpa gadis-gadis malang terperangkap dengan nafsu sarakah lelaki yang berstatus korporat berikutan kekayaan melimpah ruah apabila menerima sokongan projek-projek kerajaan, menyedari fenomena gerhana matahari ini memang besar maknanya. Hanya pada period jahiliyah sahaja lelaki-lelaki hartawan merasakan diri mereka ‘akulah aku’!

Malamnya fenomena alam semakin menarik apabila bintang-bintang memancar berkilau dengan pecahan sinarnya memercik laksana bunga api. Fenomena kilauan bintang ini kelihatan di udara antara 9 -10 malam, tetapi tak sempat dirakamkan anak-anak saya. Jiran-jiran Cina yang menyambut Tahun Baru pula tak menampakkan meriah sambutan di kalangan anak-anak mereka. Rata-rata jiran berkenaan mengeluh apabila menyentuh perniagaan mereka kurang selesa sepanjang tahun, seolah-olah kesan ekonomi global turut memberi impak kepada perniagaan di dalam negeri. Apalagi di sebalik keluhan peniaga-peniaga terbabit, kerajaan terus menyampaikan janji yang molok-molok mengenai lonjakan ekonomi yang huh huh huh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

MELAYU MATI KERANA ‘GELARAN’:
TERSEPIT DI TENGAH GLORI KETUANAN

(Petikan ucapan Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. dalam ceramah ‘Pengkisahan Sejarah Pembukaan Negeri Sembilan dan Adat Istidatnya’ anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan UKM – Permanis pada 27 Januari 2009, jam 9.00 pagi di Dewan Budiman, Fakulti Pendidikan, UKM, Bangi berikutan program siri ‘Kembara Seri Perpatih II’ dari 27 Januari hingga 3 Februari 2009; iaitu program menjelajah ke seluruh Negeri Sembilan dan Naning di Melaka bagi mendekati lagi pemahaman mengenai Adat Perpatih. Program ini di bawah pengawasan Profesor Dato’ Dr Baharuddin Mohd Yatim, di samping dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Adat Perpatih Negeri Sembilan, Profesor Dato’ Dr Kamaruddin Kacar).

Kalau masyarakat Cina pada period penjajah Inggeris dianggap ‘mati kerana judi’, India pula diejek sebagai ‘mati kerana todi’, orang Melayu dimomok-momokkan ‘mati kerana gelaran’ atau ‘mati kerana pangkat’. Maksunya, kelemahan komuniti berkenaan memudahkan kolonial British mengeksploit mereka dalam melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’. Fenomena berkenaan menjadi masyarakat beradat di Negeri Sembilan terikut-ikut dengan kebijaksanaan diplomasi kolonial Inggeris memainkan emosi mereka, hingga yang sekadar berstatus buapak sahaja dalam heiraki adat tersepit di tengah glori ketuanan Melayu. Pemuka-pemuka adat yang dipuji-puji dengan gelaran berjela-jela panjang memang tak menyedari mereka diperalatkan untuk menindas orang Melayu sendiri. Begitulah!

Justeru sejarah pembukaan ‘Negeri Sembilan Dan Adat Istiadatnya’ turut dipupuk dengan glori gelaran mirip seperti dilestarikan di Minangkabau. Misalnya, gelaran raja-raja di Minangkabau menjadi kebanggaan kepada pemuka-pemuka adat di Negeri Sembilan seperti perihal Yang Dipertuan Sakti Raja Bagewang III Tuanku Raja Alam Barandangan (1636-1641) atau Yang Dipertuan Sakti Tuanku Abdul Jalil Johan Berdaulat Yamtuan Patah Raja Alam Muningshah I (1719-1780). Tak hairanlah, kolonial British menggunakan Tengku Abu bagi memerangi Dato’ Bandar Tunggal di Sungai Ujong pada 1874 dengan gelaran Tengku Imam Perang Tampin atau Tengku Imam Hakim bagi membicarakan pemimpin Melayu yang menentang penjajah.

Bukan sahaja di Negeri Sembilan, malah dalam tragedi pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak, Perak hakim yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Dato’ Maharajalela Pandak Lam, Dato’ Sagor dan Pandak Edot ialah kerabat diraja Melayu. Bagaimanapun hukuman berkenaan sudah dimonitor oleh kolonial British, dengan hakim Melayu yang dilantik sekadar heh heh heh! Justeru bagi mengangkat kehebatan ketuanan Melayu ini, pembukaan negeri selalunya dikaitkan dengan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan ciri-ciri ‘super naturalpower’ untuk melonjakkan limpah daulat rajanya. Kerajaan Melayu Melaka misalnya diasaskan menerusi insiden pelanduk putih yang menendang anjing perburuan raja.

Legenda di Minangkabau mengangkat Sang Sapurba dari Bukit Seguntang menjadi penyelamat golongan prolitar di kalangan petani-petani di lereng gunung apabila mampu membunuh seekor ular sakti. Sang Sapurba memerintahkan panglimanya Permasku Mambang membunuh ular berkenaan dengan pedangnya sendiri dinamakan Corek Semandang Kini, menyebabkan mata pedang sumbing 199. Berdasarkan kehebatan Sang Sapurba inilah menjadi sejarah pembukaan negeri Pagarruyung, kemudiannya mewariskan pemerintahan di Negeri Sembilan. Kebanggaan komuniti Minangkabau apabila menelusuri sejarah bangsanya ialah mengungkapkan:

Dari mano asal terbit pelito
Dari telong nan bertali
Dari mano asal nenek kito
Dari lereng Gunung Merapi.


MEMANG WAJAR MANSUHKAN PTPTN:
PELAJAR MELAYU PERLU JADI PERANTAU

Tokoh pendidik yang juga bekas Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) Profesor Dato’ Kamaruddin Kacar menganggap pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar ke IPTA/IPTS adalah wajar dimansuhkan. Serentak dengan itu beliau meminta kerajaan mengkaji semula program berkenaan yang menjejaskan prestasi pelajar-pelajar bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tinggi. Profesor Dato’ Kamaruddin memberitahu selepas merasmikan siri program ‘Kembara Seri Perpatih II’ di Dewan Budiman, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini (27 Januari 2009). “Tak sesuai program PTPTN itu diteruskan, justeru kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaannya,” kata Profesor Dato’ Kamaruddin.

Sebelumnya ketika merasmikan program ‘Kembara Seri Perpatih II’ anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan UKM (Permanis), Profesor Dato’ Kamaruddin mengajak pelajar-pelajar menjadi perantau dengan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pelajar-pelajar Melayu yang berhasrat mahu mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan perlu menanamkan semangat keberanian berdikari, di samping memperbaiki kemampuan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Menurutnya, beliau berkunjung ke Australia dua kali setahun apabila mampu memiliki harta ketika menuntut di negara itu. “Ketika beli rumah pada dekad 1970-an bukan disebabkan banyak wang, tetapi sebagai perantau kita sentiasa bersaing,” beliau menjelaskan.

Katanya, dalam kunjungan ke Sydney baru-baru ini beliau sempat bertemu dengan jiran-jiran yang menetap berhampiran rumah kediaman dan ladang ternaknya dengan 250 ekor lembu, tetapi tak seorang pun dari Malaysia. Menurutnya lagi, daripada sejumlah 92 etnik dari seluruh dunia yang memperoleh status penduduk tetap (PR) di Sydney, adalah dari negara-negara sedang membangun dan negara miskin seperti Korea, China, Laos, Nepal, Timor Liste dan lain-lain. Justeru Profesor Dato’ Kamaruddin meminta pelajar-pelajar di Malaysia menukar sikap untuk berani berdikari dengan menjadi perantau di negara-negara maju. “Jadilah perantau ke negara-negara maju seperti dilakukan oleh etnik lain untuk mencapai kecemerlangan,” beritahu Profesor Dato’ Kamaruddin.

DERMA UNTUK DANA PERMANIS:
SUMBANGAN DRPD DATO’ KURNIA NS

Persatuan Dato’ Kurnia Negeri Sembilan (PDKNS) menyumbangkan derma RM1,000 bagi mengisi dana Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan UKM (Permanis) dalam usaha menggerakkan aktiviti persatuan berkenaan. Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh pengerusinya Profesor Dato’ Dr Kamaruddin Kacar kepada Presiden Permanis, Mohd Afiq Aizat bin Juhari pada majlis pelancaran program ‘Kembara Seri Perpatih II’ di Dewan Budiman, Fakulti Pendidikan UKM hari ini (27 Januari 2009). Di samping mengalu-alukan aktiviti kembara Permanis, bagi pihak pimpinan PDKNS Dato’ Aziz Singah (setiausaha) dan Dato’ Mustapha Maarof (bendahari), Profesor Dato’ Dr Kamaruddin Kacar turut menyampaikan cheque peribadinya kepada Permanis.

‘Kembara Seri Perpatih II’ adalah kesinambungan daripada aktiviti ‘Kembara Seri Perpatih I’ yang digerakkan awal tahun 2008. Dalam ‘Kembara Seri Perpatih I’ pelajar-pelajar ditempatkan bersama keluarga angkat yang mengamalkan Adat Perpatih, di samping meninjau aktiviti kebudayaan di Negeri Sembilan. Mereka turut diperkenalkan dengan permainan tradisi, adat resam mencukur jambul dan masakan tempatan bersama keluarga angkat masing-masing. Dalam ‘Kembara Seri Perpatih II’, pelajar-pelajar dalam rombongan empat buah bas itu disertai juga oleh pelajar-pelajar dari IPTA yang lain. Permanis yang berpusat di UKM digerakkan di bawah penasihatnya Profesor Dato’ Dr Baharuddin Mohd Yatim.

INFO SASTERA & BUDAYA

MANKADIR INGATKAN HISHAMUDDIN:
JANGAN CUBA KEJUTKAN HARIMAU TIDUR

Pendeklamator puisi dari Kuala Lumpur akan berkampung di Felda Jenderak Utara, Pahang, 7 Februari 2009 sebagai aktiviti yang berkesinambung menentang PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), kata penggiat budaya dari Pahang, L Mankadir Shamsi. Mesej yang disampaikan oleh sebahagian besar penggiat budaya kepada Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein adalah jelas iaitu ‘jangan sekali-kali cuba kejutkan harimau tidur’, beritahu Mankadir menambah. Sejak enam tahun sebelum ini penggiat budaya tak berdiam diri, tetapi media dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan. “Tetapi laman web dan blog sudah membawakan suara penggiat budaya dan bahasa sekarang,” katanya lagi.

Seterusnya Mankadir menambah, Dato’ Seri Hishamuddin jangan menyandarkan isu PPSMI dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau menjelaskan, Tun Dr Mahathir menyedari keberangan orang Melayu justeru beliau berundur pada 2003. Maknanya, ujar Mankadir lagi pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir juga orang Melayu sudah menentang isu berkenaan, malah turut mendesaknya berundur. Dato’ Seri Hishamuddin akan didesak berundur kalau berdegil mahu meneruskan program PPSMI, malah ianya akan digerakkan berterusan di Pahang. Mankadir juga memberitahu, deklamasi puisi membantah PPSMI akan digerakkan di Temerloh tak lama lagi. “Orang Melayu tak mahu ianya ditangguhkan, tapi PPSMI perlu dimansuhkan,” menurut Mankadir selanjutnya.

PUISI

(Ucapan Tahun Baru Cina
dari Yassinsalleh
dalam bentuk pantun jenaka
- Pengarang Suara Prima)


Raya Cina sudah mari
Balik kampung banyak happy
Panggil member cari kaki
Mari rumah saya
(karektor tulisan Cina heh heh heh)

Tikus pergi XO mari
Sui pergi ong mari
Tahun lepas sudah pergi
Tahun ini mesti happy.

Kena magnum kena loteri
Dalam bank banyak money
Badan sihat tiap hari
Always senyum tak ada rugi.

Senyum tak berhenti tikus pergi
(karektor tulisan Cina) and famili
(karektor tulisan Cina – Yassinsalleh)

-27 Januari 2009.
10:32:24.


KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

MASYGHOL ORANGKAYA BAGAN DATOH:
ORANG AKAN MEMBASUH ARANG DI MUKA!

Arakian bertambah dukacitalah Orangkaya Bagan Datoh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu merebut jawatan tiga pimpinan teratas harakah Melayu (UMNO) tak lama lagi. Maka terlalu masyghol ia mendengar Orangkaya Bota sudah menyokong akan Orangkaya Permatang Pauh. Syahdan sekalian anak buah Orangkaya Dato’ Seri Ahmad Zahid di negeri Perak juga ramai juga tak menyenangi harakah Melayu itu. Maka teringat fakir akan cerita orang tua-tua dulu, perihal ayam itu mengekas ia kerana mencari jarum emas yang dipinjam daripada sang helang. Sebermula Orangkaya Dato’ Seri Ahmad Zahid itu gerangannya tak faham akan ayam yang mengekas-ngekas mencari jarum emas. Adapun Orangkaya Bota itu tak rugilah ia mengekas-ngekas, mudah-mudahan bertemu jua jarum emas yang dipinjam daripada sang helang itu, adanya.

Hatta telah sampai orang itu kepada Hang Tuah, segala kata Seri Nara Diraja itu semuanya disampaikannya kepada Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun segeralah ia bersikap dirinya lalu berjalan. Telah sampai ke hadapan Sultan Mansor Shah, maka dilihat oleh baginda Hang Tuah itu pucat kurus, berjalan tergoyang-goyang, kerana terlalu sangat lama dalam pasungan itu. Telah Hang Tuah sampai maka dianugerahi baginda ayapan, (macam perihal Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada zaman anak cucu fakir menganugerahi peruntukan ke Kuala Terengganu dan Permatang Pauh, adanya). Setelah sudah Hang Tuah makan (mungkinlah ia tak berapa kenyang gamaknya), maka diambil sultan keris dari pinggang baginda diberikan pada Hang Tuah. Maka titah baginda, ‘Basuhkan arang di mukaku ini,’ seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:












HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. Salam Pak Dharma,

    Kalau boleh satu tajuk satu posting untuk mudah kami link sesuatu tajuk dalam blog kami.

    Tima kaceh

    ReplyDelete