Monday, February 23, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

ISA SEKADAR PUSAT PEMULIHAN:
ABDUL WAHUB TENTU LEBIH TAHU!


Assalamualaikum,

Majlis Bicara Tokoh anjuran Pertubuhan Penggerak Generasi Muda Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri di Kuantan semalam (22 Februari 2009) membincangkan ‘Adakah ISA Satu Bentuk Penganiyaan?’ memang menakjubkan. Apalagi ahli panel yang diundang ialah bekas tokoh penting al-Arqam, Zabidi Mohamed dan bekas bendahari kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) Faiz Abu Bakar Bafana, di samping Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Rumusan ahli-ahli panel ialah ISA sebagai pusat pemulihan, bukan berbentuk hukuman yang bersifat penganiayaan. Kalau tak silap, Zabidi juga pernah tampil di kaca TV bersama pimpinan al-Arqam Ustaz Ashaari Muhammad sekitar dekad 1990-an dulu. Barangkali!

Mungkin sahaja saya tak kenal rapat dengan Zabidi, Faiz mahupun Ustaz Ashaari, tetapi berkawan dengan Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) malah Tan Sri Abdul Samad Idris (pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri). Pak Sako dan Pak Boes memang bekas tahanan ISA sejak period kolonial British, sementara Tan Sri Abdul Samad adalah bertanggungjawab dengan ISA sekitar dekad 1970-an, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Ibrahim Ali, Tan Sri A. Samad Ismail, Dato’ Abdullah Ahmad dan Dato’ Abdullah Majid turut menjadi tahanan ISA.

Tak pernah pula ISA ditakrif sebagai pusat pemulihan, kecuali pada period kolonial British dekad 1940-an, Pak Sako memohon supaya tahanan ISA diberi latihan kemahiran sebelum dibebaskan. Pak Sako dan Pak Boes juga pernah memberitahu saya mengenai bilik SW (di kurung dalam bilik gelap melebihi 50 hari hingga tak mengenal siang dan malam, apabila keluar mata mereka berbinar-binar disilau matahari, menyebabkan mereka mengalami masalah mata). Saya difahamkan ISA untuk membanteras anasir-anasir subversif, komunisme dan menjaga ketenteraman awam. Ironinya, isu Dato’ Harun tak pula digunakan ISA, kerana MT UMNO yang bersidang 18 Mac 1976 dalam Perkara 4 jelas menyebut:

“…Memandangkan keadaan keselamatan dan ketenteraman dalam negara adalah terancam oleh musuh-musuh negara di mana persefahaman dan perpaduan rakyat seluruhnya sangat-sangat penting dan mustahak untuk menghadapi ancaman ini maka Majlis Tertinggi UMNO telah membincangkan dan mengambil keputusan menasihatkan Dato’ Haji Harun supaya meletakkan semua jawatannya dalam parti UMNO dan Barisan Nasional dan juga Menteri Besar Selangor…”

Maknanya, keselamatan negara tak terancam kalau Dato’ Harun menerima keputusan tersebut, dengan tak memerlukan ISA. Disebabkan Dato’ Harun enggan, beliau dipecat mengikut Fasal 11 Ceraian 13 Perlembagaan UMNO dan heh heh heh! Apabila Zabidi dan Faiz diminta bercakap di hadapan Timbalan Ketua Polis Negara, selaras dengan filem ‘Tiga Abdul’ karya Tan Sri Dr P. Ramlee: “Oh, sebut fasal nak bawa ayahanda ke hospital semua harta tak ada…” Untuk tambahan – kalau minta ayahanda cepat mati, barulah peruntukan harta boleh dibahagi mengikut ‘demokrasi terpimpin kepala otak kamu’ kata Abdul Wahab. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

PPSMI MIRIP ‘MALAYAN UNION’
UNTUK KUBURKAN BAHASA MELAYU


(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharma di Kuala Lumpur, 23 Februari 2009 menyokong Gerakan Mansuh PPSMI, bagi menggerakkan ‘Perhimpunan 100 Ribu’ orang umat Melayu di hadapan Istana Negara pada 7 Mac 2009, sebagai manifestasi bangsa Melayu yang tergugat bahasanya, kerana kebobrokan dasar pelajaran, kepongahan pimpinan negara dan keberantakan pemikiran penjenayah budaya.)

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) memberi sokongan kepada Gerakan Mansuh PPSMI (GMPPSMI) pimpinan Dato’ Dr Hassan Ahmad yang menggerakkan suara rakyat dalam ‘Perhimpunan 100 Ribu’ di hadapan Istana Negara 7 Mac 2009 ini. Malah PRIMA sudah menghubungi Dato’ Dr Hassan dengan memberi jaminan akan turut serta dalam perhimpunan tersebut, di samping bersetuju menggerakkan 100 orang pencinta Bahasa Melayu menyertai ‘Perhimpunan 100 Ribu’. Memang PRIMA prihatin dengan isu PPSMI yang mirip kepada gagasan ‘Malayan Union’, justeru harus ditentang sebagai musuh nombor satu negara.

Hari ini (23 Februari 2009) PRIMA menghubungi Dato’ Dr Hassan, di samping berasa kagum dengan kesungguhan beliau tak berkompromi dalam isu PPSMI. Memang secara berterusan PRIMA menganggap mereka yang menyokong PPSMI adalah penjenayah budaya yang tak boleh dimaafkan, berikutan memperdaya ibu bapa pelajar-pelajar Melayu. PPSMI bukan sekadar dua mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris, sebaliknya merangkumi semua mata pelajaran yang berkaitan dengan Sains dan Matematik. Bahasa Melayu tak seharusnya menjadi mangsa dasar yang sudah membunuh ‘tulisan Jawi’ malah turut mengkuburkan akhbar ‘Utusan Melayu’.

LEMPAR BATU SEMBUNYI TANGAN:
SIKAP ‘MEMPERBODOH’ DIRI SENDIRI
Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengingatkan calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tak ‘memperbodohkan’ dirinya dengan politik ‘limpar batu sembunyi tangan’, malah ditertawakan oleh masyarakat umum. Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin hari ini (23 Februari 2009) meminta jangan dikaitkan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan salah guna kuasa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato’ Kamal Amir berkata Tan Sri Muhyiddin sudah memalukan UMNO seolah-olah kerajaan sekarang bukan ditadbirkan oleh BN. “Siapa SPRM hingga ianya boleh mengatasi kuasa kerajaan,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya menurut Dato’ Kamal Amir, banyak kes laporan polis dibuat berkaitan salah guna kuasa lebih awal daripada kes lembu di Selangor, sekadar diberi jaminan ianya akan disiasat tetapi tak pula diambil tindakan segera untuk didakwa. Dato’ Kamal Amir juga membangkitkan kuasa SPRM yang keterlaluan dalam soal siasat seorang aktivis UMNO yang ditahan Temerloh pada 23 Januari 2009 iaitu dengan no repot Kuantan/002014/09 tak ditakrifkan sebagai salah guna kuasa. “Tan Sri Muhyiddin calon untuk jawatan nombor dua, janganlah memperbodohkan diri dengan kenyataan begitu,” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

SUMBANGAN SASTERAWAN SILAM:
LESTARIKAN GAGASAN PERSURATAN BARU

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) didesak mengambil inisiatif mengenang sumbangan sasterawan-sasterawan silam dengan menggerakkan majlis memperkatakan karya-karya mereka, menurut pengkritik sastera tersohor Mohd Affandi Hassan. Katanya, majlis mengenang sasterawan silam bukan sahaja menghormati karya-karya mereka, malah turut menghimpunkan pemikiran bersama dalam melestarikan gagasan persuratan baru. Mohd Affandi yang juga bekas pegawai tinggi kementerian melahirkan rasa kesal kerana badan-badan persuratan termasuk Gapena, Pena mahupun ormas-ormas yang lain gagal untuk mengambil inisiatif menggerakkan majlis demikian.

“Ramai pengarang lama yang berjasa kepada persuratan Melayu dilupakan oleh generasi sekarang,” beritahu Mohd Affandi ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Seterusnya beliau menyebut tokoh-tokoh persuratan seperti Ahmad Bakhtiar, Mohamad Sallehuddin, Ahmad Rashid Talu, Harun Aminulrashid, Abdullah Sidek, Shamsuddin Salleh dan ramai lagi seolah-olah hilang bersama angin. Serentak dengan itu beliau menyarankan DBP, menggerakkan perjumpaan sasterawan-sasterawan warga emas dalam majlis bertukar-tukar pandangan mengenai karya-karya mereka.
Sementara itu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah bersetuju dengan saranan Mohd Affandi meminta DBP mengenang jasa sasterawan silam menerusi majlis perjumpaan demikian. Menurut Dato’ Dr Mohamad Mansor, sumbangan Mohamad Sallehuddin novelis ‘Dua Orang Tawanan’ (terjemahan daripada karya barat) dan banyak lagi hampir tak diketahui oleh penulis-penulis muda sekarang. “Mohamad Sallehuddin satu-satunya wartawan Melayu yang terpilih menyertai ‘victory parade’ di London pada 1945, iaitu pencapaian tak pernah diterima oleh penulis sekarang,” kata Dato’ Dr Mohamad Mansor.

PRIMA TAK TERBABIT GERAKKAN:
DEKLAMASI PUISI DENGAN WANG

Dalam gerakan deklamasi puisi menentang PPSMI, tak pernah PRIMA meminta mana-mana pihak menyalurkan sumber wang secara mengugut untuk meranapkan reputasi mereka, beritahu penyelaras deklamasi puisi PRIMA penyair Yassinsalleh. Beliau mengakui terkejut dengan dakwaan seorang Ahli Parlimen kepada beberapa rakan di lobi Parlimen baru-baru ini, bahawa pihaknya menuntut peruntukan besar bagi majlis berkenaan. Menurut Yassinsalleh, pihaknya sekadar ditawar menyelaraskan deklamasi puisi di kawasan Parlimennya. “Kalau pihak Ahli Parlimen itu mahu memperalat PRIMA untuk kepentingan politiknya, kami pun tak ambil kira,” beritahu Yassinsalleh.

Sebaliknya kata Yassinsalleh, apabila ditawarkan lokasi bagi menggerakkan majlis tersebut, PRIMA akan hadir sebagai manifestasi menentang PPSMI. Malah beliau juga menambah, PRIMA sanggup ke Jerantut di Pahang yang jaraknya jauh dari Kuala Lumpur dengan tak pernah mengharapkan diongkosi. Beritahu Yassinsalleh lagi, lokasi di Jerantut disediakan oleh PKR, justeru PRIMA tak menolak apabila tawaran itu datang dari UMNO. “Disebabkan tak semua pimpinan UMNO bersetuju dengan PPSMI, sebab itu PRIMA menerima tawaran, tapi tak pernah mendesak peruntukan yang memang karut jumlahnya,” jelas Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

TAK HORMAT PIMPINAN LAMA:
MEMANG FENOMENA DALAM UMNO

Pengakuan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir, mengenai ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad tak diberi penghormatan selepas persaraan oleh pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun Dato’ Mukhriz semasa bercakap ketika melawat mangsa ribut di Rembau, meminta pentadbiran selepas ini hendaklah memberi penghormatan kepada Dato’ Seri Abdullah. Semua itu mendedahkan kebobrokan sebenar dalam UMNO. Selepas insiden 1987, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri mahukan monomen Tunku di depan bangunan Parlimen dibuang.

Dato’ Seri Najib tak akan bercakap begitu, kalau tak direstu oleh bos ketika itu. Malah Dato’ Seri Najib tak berasa segan mengkritik ayahnya Tun Razak yang perkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Felda. Pada masa pentadbiran Dato’ Seri Abdullah, barulah Dato’ Seri Najib berbangga dengan DEB dan Felda. Masa Tun Abdul Razak pun heboh dengan ‘orde baru’ dan ‘orde lama’. Pimpinan yang dikira pro ‘orde lama’ pun tak diberi tempat termasuklah Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Fatimah Hashim, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan lain-lain. Begitulah fenomena UMNO - (SMS; 23 Februari 2009; 21: 36: 09 - Mat Toro, Felda Jenderak Utara, Pahang)
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

KISAH MAKAN MUNTAH HANTU:
& KISAH ORANGKAYA MURAH HATI

Sebermula akan Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pergilah ia ke Tawau. Berkatalah Orangkaya Menteri itu guru-guru yang mengajar al-Quran dan Fardu Ain (atau disebut anak cucu fakir, Kafa) berada dalam kelompok miskin. Arakian bersetuju Orangkaya Menteri itu mahu menyemak bayaran kepada guru-guru itu. Maka terfikirlah kepada orang banyak, terlalu bermurah hati Orangkaya Menteri ketika pertandingan merebut jawatan dalam harakah Melayu (UMNO) itu semakin hampir.

Syahdan maka hantu itu pun muntahlah, terlalu banyak muntahnya itu. Maka dimakannya oleh Badang muntah hantu itu habis semuanya; akan janggut hantu itu, dipegang oleh Badang, tiada dilepaskannya. Telah sudah ia makan muntah hantu itu, maka dicubanya oleh Badang, dibantunnya pohon kayu yang besar-besar itu habis tercabut. Maka dilepaskannya janggut hantu itu, maka Badang pun berjalanlah. Sambil berjalan dibantunnya kayu yang besar itu habis tercabut, sepertilah orang di akhir zaman ini makan muntah hantu berupa ampu sana ampu sini untuk menjadi senang linang yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




HIDUP BAHASA MELAYU.

No comments: