Wednesday, February 4, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


ABANG ENGKU MAHU TERUS BERBAKTI:
SEMBUNYI SAKIT KERANA PERJUANGAN

Assalamualaikum,

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia yang juga aktivis PRIMA di Pahang Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku) meninggal dunia jam 7.30 petang semalam (3 Februari 2009) selepas dimasukkan ke ICU Hospital Temerloh sejak minggu lalu. Beliau menghidap sakit buah pinggang kritikal, di samping lama mengalami kencing manis, tetapi tetap bersemangat mengikuti semua aktiviti PRIMA. Sebelum dimasukkan ke ICU, di sebelah paginya beliau menelefon saya beritahu sudah menghubungi anak saudaranya di Pekan (yang juga pimpinan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian) fasal aktiviti kelabnya. Katanya, lanjutan pertemuan dengan Dato’ Sheikh (Setiausaha Sulit Kanan, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) 3 Januari 2009, respons untuk aktiviti kelabnya amat menggalakkan.

Sebelumnya memang saya ikut bersama ke Pekan pada 20 Disember 2008, disebabkan Dato’ Sheikh mengiringi Dato’ Seri Mohd Najib balik ke kawasan pilihanrayanya setiap hari Sabtu. Dalam keadaan kakinya terdengkot-dengkot, Abang Engku berkeras mahu memandu sendiri keretanya dari Lancang bagi menyembunyikan kesakitannya. Tetapi sudah berkali-kali saya nasihatkan beliau membuat pemeriksaan di hospital, disebabkan ketika menemui Ezam Mohd Noor di Kuala Lumpur keadaan fizikal Abang Engku tak berapa stabil. Beberapa bulan sebelum itu, beliau masih mahu melawan penyakitnya apabila menemui bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam menyertai aktiviti PRIMA. Aduhai!

Pertemuan di kediaman bekas Menteri Besar Selangor itu, hampir memberi keputusan positif tetapi Abang Engku beritahu saya,”Pada mulanya Abang Engku fikir nak ajak kita menebas hutan, tapi dah bertukar nak suruh tangkap harimau!”. Bagaimanapun Abang Engku tak pernah mengalah, kerana ianya mempunyai strategi perjuangan jangka panjang untuk menjaga kepentingan Melayu. Tak hairanlah beliau memberi jaminan kepada saya mahu cepat keluar dari hospital untuk sama-sama menentang PPSMI. Ketika di wad hospital pun Abang Engku masih menghubungi saya, hingga di sebelah petang apabila dimasukkan ke wad ICU, isterinya mengirimkan SMS. “Semangatnya memang kental untuk berjuang,” ujar Exco kerajaan negeri Pahang Dato’ Mohd Sharkar Shamsuddin.

Dato’ Mohd Sharkar yang juga ADUN Lancang turut menziarahi jenazah Abang Engku malam 3 Februari 2009, dan menghargai sumbangan Abang Engku kepada penduduk tempatan. “Semangatnya yang kental itu menyebabkan dia sentiasa menyembunyikan kesakitan yang dideritainya,” beritahu beliau menambah. Abang Engku adalah anak bekas ADUN Mentakab (1964 –1974) Dato’ Syed Abdullah Syed Ali, di samping datuknya Syed Ali al-Habshi (al-Jaffri) dilantik oleh istana menjadi pengganti Dato’ Bahaman Orangkaya Semantan bergelar Dato’ Setia Pahlawan bagi menyatukan semula masyarakat Melayu yang berpecah belah ketika itu. Pada 1964 dan 1974, Abang Engku bertanding dalam pilihanraya atas tiket Bebas apabila kawasan terbabit diserahkan kepada kouta MCA, tetapi tewas dalam kedua-dua percubaannya. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

UNSUR-UNSUR SALAH GUNA KUASA:
NAJIB PERLU DIAJAR RAKYAT PERAK

Penulis-penulis diseru menentang kejahatan bagi memartabatkan kehebatan bangsa, terutama dalam masa berhadapan dengan pimpinan politik yang korup dan tak bermaruah, menurut pengkritik sastera terunggul di Malaysia, Mohd Affandi Hassan. Karya-karya yang bersifat mengampu akan mendorong bangsa Melayu dipengaruhi pimpinan politik jahat yang memesongkan kemurnian penulis. Beliau menyentuh pergolakan politik di Perak yang membabitkan campur tangan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dengan unsur-unsur salah guna kuasa yang ketara. “Sekarang baru jelas peranan Najib. Bekas Timbalan Menteri Pertahanannya dulu mengaku membawa orang PKR bertemu Najib,” beritahu Mohd Affandi melahirkan rasa kesal dengan peranan Dato’ Seri Najib mempersenda-sendakan politik Melayu.

“Jadi ada pertemuan. Yang dinafikan sogokan RM50 juta, tak bincang pun kata Timbalan Menteri yang cerdik itu! Adakah ini sudah terang lagi bersuluh? Para sasterawan perlu analisis dengan mendalam mengapa ahli politik berlumba-lumba membuat jahat. Adakah kerana mereka sayangkan rakyat begitu mendalam hingga sanggup menipu dan memerasugut? Dan rakyat pula tahu orang politik yang jahat ini sayangkan mereka, maka orang itu itu juga yang mereka pilih. Di sinilah kejayaan besar UMNO, kerana telah dapat mempengaruhi rakyat untuk menjadikan kejahatan sebagai budaya politik yang dibanggakan. Tidak sia-sia UMNO memerintah lebih dari 50 tahun! Wassalam,” Mohd Affandi menambah sambil meminta rakyat Perak mengajar kepongahan Dato’ Seri Najib.

INFO SASTERA & BUDAYA


PUISI

Tender Untuk Malaysia

Sebelum keadaan jadi tambah buruk
kita kena keluarkan tender
untuk jual Malaysia di dalam negeri
dan seterusnya di antarabangsa
kerana tak lama lagi
Malaysia akan jadi Malstin
(Malaysia-Palastin).

-Yassinsalleh
3 Februari 2009.

Balada Serindit Luka Lidah

Serindit di dahan meranti
lidahnya luka
kicaunya hilang lagu.

Merbah di pucuk mengkudu
paruhnya terkancing
suaranya hilang nyaring.

Tiba-tiba hijau daun-daun
bertukar perang, dan
air terjun menerjahkan lumpur.

Di permatang sawah
anak digital-games kepatahan lidah
mereka tak pandai lagi menghitung jari.

Di puncak bicara
lidah nusa diiris-iris
di puncak alpa
jiwa bangsa dipersenda-senda
di gurun algojo
lingua franca utama
dunia terpenggal.

Apalagi yang tinggal padamu
duhai Melayu
tanahairmu sudah
cuma papan catur
di mana kedaulatan bangsamu
ditawar-menawar
dan lidahmu bertukar
separuh belut separuh ular
membacakan talqin
mamakamkan bahasamuMELAYU.

Begitulah kau di demikiankan
oleh para pemimpinmu
duhai Melayu!

-Yassinsalleh
Lebuhraya menuju ke selatan.
3 Februari 2009
jam 1800.

INFO SUARA PROLITAR

KEDUDUKAN KERAJAAN NEGERI RAPUH
TAK HAIRAN BN RAMPAS PERAK DRP PR

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) ditumbangkan oleh BN kerana kedudukan yang rapuh. Kelemahan kerajaan PR itu disebabkan kepongahan dalam komponen, apabila ADUN bukan Melayu cuba menguasai ADUN Melayu. Tetapi tak tahu pula berapa lama BN boleh bertahan dengan kedudukan 31-28 (iaitu sama seperti PR sebelum ini). Kalau ADUN boleh kong kalikong, tak mustahil dalam tempoh beberapa waktu lagi akan berlaku lagi lompat melompat, kerana BN pun bukanlah kuat sangat. Harapkan UMNO, orang Melayu pun dah cuba beralih rasa. UMNO tak boleh bertahan dengan isu ‘politik wang’, kerana yang mengajar ‘politik wang’ itu kalangan pimpinan UMNO sendiri. Isu yang ada pada PR ialah masing-masing mahu menjadi juara kaum tertentu hingga tak menyedari hati pihak lain terluka.





Kerajaan negeri di Pulau Pinang mahu tunjuk hebat dengan pelaksanaan papan tanda nama jalan mesti gunakan pelbagai bahasa, sekalipun melukakan hati orang Melayu. Mahu menjadi juara kaum sendiri dengan mempersoal Hukum Hudud, dengan tak hirau hati orang Melayu terluka. Waktu maghrib jamuan atau ceramah tak boleh tangguh, kerana orang bukan Melayu nak hadir. Pimpinan Melayu daripada komponen PR kena ikut kehendak mereka. Setidak-tidak mahu tunjuk orang Melayu selaku komponen PR, mesti ikut kemahuan bukan Melayu. Sebab itu Parti Gerakan juga terikut-ikut iaitu orang Melayu perlu ikut kemahuan Parti Gerakan. Akibat mahu jadi juara kaum masing-masing (walaupun sekadar berlakon), ketegangan emosi sukar dikawal. Kebencian kepada komponen inilah mempercepatkan hancurnya PR.

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

GEMPARLAH SEGALA ORANG BANYAK
BERKIRA-KIRA HARTA SEKALIAN PEGAWAI

Sebermula segala orang banyak di negeri Perak gemparlah dengan kejadian lompat melompat di kalangan anak-anak buah Orangkaya Permatan Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan anak-anak buah Orangkaya Pekan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Adapun Orangkaya Pekan itu berwaspadalah ia, kerana tak lama lagi akan dialih kuasa menjadi Orangkaya Perdana Menteri. Syahdan sepuluh tahun yang lalu Orangkaya Permatang Pauh tak sempat menjadi Orangkaya Perdana Menteri kerana perbalahan dengan bekas Orangkaya Kubang Pasu. Oleh yang demkian Orangkaya Pekan pun pergilah ia membuat huru hara di negeri Perak. Hatta diungkitlah oleh sekalian orang banyak akan perbuatan Orangkaya Pekan selepas kalah pemilihan setahun yang lalu.

Hatta, maka dipersembahkan orang pula Feringgi membakar Bulang. Maka disuruh panggil Temenggung Seri Udani. Adapun Temenggung Seri Udani itu, ia duduk makan
di Bukit Batu. Maka hamba raja yang dititahkan Sultan Mahmud Shah itu datanglah pada Temenggung Seri Udana, katanya, “ Dato’, titah hilirlah kerana Feringgi sudah membakar Bulang.” Maka sahut Temenggung Seri Udana, “Persembahkan sembah hamba ke bawah duli Yang Dipertuan, patik itu lagi menyurat akan harta dan hamba sahaya, belum habis. Jikalau patik itu mati pun, biarlah tentu ke bawah duli Yang Dipertuan.” Maka hamba raja pun hilirlah menghadap baginda, segala pesan Temenggung Seri Udana itu disembahkannya kepada Sultan Mahmud. Maka baginda pun menyuruh berhadir segala pegawai, kerana melawan Feringgi itu tak sama macam membeli orang Melayu menyokong dirinya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:












HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: