Wednesday, February 18, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA < < < > > > PRIMA
(menentang perhambaan manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

TIGA CALON KETUA PEMUDA:
DEBAT TERBUKA DI TV9 ‘HUJAH’.

Assalamualaikum,

Penampilan tiga calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam slot ‘HUJAH’ di TV9 malam kelmarin (17 Februari 2009), memberi peluang kepada perwakilan menilai keterampilan mereka dalam pemilihan Mac 2009 nanti. Tiga calon terbabit bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempunyai peluang yang seimbang, sekalipun kemampuan menarik perhatian audien di Dewan Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seolah-olah didominasi oleh Dato’ Seri Dr Mohd Khir. Malah pada satu peringkat Dato’ Mukhriz dilihat kurang bersemangat dibanding dengan dua pencabarnya; apalagi mahu digantung harapan untuk membawa pembaharuan dalam lokomatif pimpinan Pemuda.

Secara rasional Dato’ Seri Dr Mohd Khir memang kelihatan berani apabila mahu merakyatkan Pemuda UMNO; apalagi turut mempertikai ISA yang dipertahan oleh Dato’ Mukhriz. Sebaliknya Khairy Jamaluddin mengikut rentak Dato’ Seri Mohd Khir yang mengakui sudah membangkitkan beberapa kali dalam Exco Pemuda pelaksanaan ISA memberi kesan kepada UMNO dalam PRU12 lalu. Justeru dua calon Pemuda UMNO Dato’ Seri Dr Mohd Khir dan Khairy Jamaluddin menampilkan diri dengan keberanian agresif, sementara Dato’ Mukhriz masih tercari-cari haluan. Ketika Khairy mahu membawa ‘suara orang muda’, di samping Dato’ Seri Dr Mohd Khir mahu menjadikan Pemuda UMNO ‘suara rakyat’, Dato’ Mukhriz sekadar mahu melaksanakan pendekatan pembaharuan, tetapi tak jelas kea rah mana disasarkan.

Kalau berdasarkan slot ‘HUJAH’ di TV9 itu sebagai ‘debat terbuka’, barangkali Dato’ Seri Dr Mohd Khir berada pada rating di hadapan sekali. Bukan saja pakej pengalaman beliau selaku Presiden Majlis Kerjasama Belia Asian, malah beliau mempunyai rangkaian pimpinan yang akrab dengan belia termasuk GPMS dan Belia 4B. Ketika Dato’ Seri Dr Mohd Khir tak berkompromi dengan ketuanan Melayu di samping isu PPSMI, Khairy Jamaluddin masih terikat dengan kelemahan-kelemahan ketuanya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dalam isu ketuanan Melayu dan PPSMI. Apalagi Dato’ Mukhriz bagaikan teraba-raba berkaitan isu berkenaan yang dilihat mahu berkompromi dengan Pemuda di kalangan komponen BN. Heh heh heh!

PILIHANRAYA KECIL ‘BUKIT’ MENULAR:
SPR BERTAMBAH RIMAS SEPANJANG 2009

Isu foto bogel ADUN Bukit Lanjan di Selangor, boleh mendorong satu lagi pilihanraya kecil sekiranya Elezabeth Wong kekal dengan keputusan mahu meletak jawatan. Sebelum ini dua ‘Bukit’ bersiap sedia untuk pilihanraya kecil iaitu ‘Bukit Gantang’ di Perak dan ‘Bukit Selambau’ di Kedah. Desas desus juga menyebut Parlimen ‘Bukit Katil’ di Melaka akan dikosongkan selepas Mac 2009, diikuti DUN ‘Bukit Baru’ yang akan melengkapi pilihanraya kecil ‘bukit’ berterusan demi satu. Bukan sahaja SPR bertambah rimas, malah BN yang mahu berlagak dengan ‘politik kotor’ akan berhadapan insiden seperti sebelum Mei 1969, apabila ADUN dan Ahli Parlimen Parti Buroh meletak jawatan satu demi satu. Disebabkan UMNO dan BN tak mahu belajar daripada sejarah, justeru sejarah itu boleh berulang tak diduga, tak disangka dan tak dijangka!

Memang selepas Perak, kerajaan PR di Kedah mahu digugat disebabkan kedudukan 16 kerusi PAS berbanding 14 kerusi UMNO tak cukup kuat, apabila bergantung kepada 4 (PKR) 1 (DAP) dan 1 (Bebas).. Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau boleh sahaja menular Bukit Lada, Bukit Pinang, Bukit Kayu Hitam atau Anak Bukit. Kelantan juga boleh menular pilihanraya kecil ‘bukit’, kerana meman terdapat DUN Bukit Panau, Bukit Bunga, Bukit Tuku; diikuti di Terengganu dengan DUN Bukit Tunggal, Bukit Payung dan Bukit Besi.. SPR dan UMNO juga bole memikirkan pilihanraya kecil ‘bukit’ di Pulau Pinang yang membabitkan Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Bukit Bendera dan Bukit Gelugor. Bersediakan SPR dan UMNO menghadapi scenario pilihanraya kecil ‘bukit’ sekiranya mahu meneruskan ‘politik kotor’ itu. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

KUASA SPRM WAJAR DIPANTAU:
ELAKKAN MALAYSIA JADI GESTAPO

Meletakkan kuasa berlebihan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PRM) dengan tak dipantau boleh mendorong Malaysia menjadi seperti Gestapo, kata pengkritik sastera tersohor sekitar dekad 1960-an Haji Yahaya Ismail (Pak Ya). Mengulas insiden lapoiran polis yang dibuat ahli UMNO yang terbabit dalam kes ‘politik wang’ pada 28 Januari 2009, Pak Ya soal siasat dijalankan amat keterlaluan seolah-olah melakukan jenayah berat. Isu ‘politik wang’ sudah ditimbulkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sejak 1971 lagi, justeru cara soal siasat keterlaluan itu sukar diterima. Apalagi Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah mengingatkan supaya tak dilakukan soal siasat keterlaluan itu. “berdasarkan 12 perkara yang dilapor dalam aduan berkenaan tak sepatutnya berlaku,” beritahu Pak Ya.

Aktivis UMNO terbabit Halimi Kamaruzzaman membuat laporan di Balai Polis Damansara pada 28 Januari 2009, berikutan ditangkap di pejabat SPRM Temerloh pada 23 Januari 2009. Berdasarkan laporan tersebut kata Pak Ya memang terdapat unsure-unsur didera dan di ‘assault’ malah pada perkara (a) disebut dengan jelas, “Saya telah dipukul di bahagian kepala, perut dan bahu bertubi-tubi oleh ketiga-tiga pegawai ini pada 23.1.09 di dalam bilik tahanan. Menurut Pak Ya, dalam isu ketidak adilan, pihak kami bukan sahaj mempertahankan aktivis di luar UMNO, malah aktivis UMNO juga wajar diberi perlindungan dan keadilan. “Keadilan adalah untuk semua bukan kepada aktivis di luar UMNO sahaja,” beritahu Pak Ya.

SEJARAH PERJUANGAN BANGSA MELAYU:
UMNO SEKADAR PERUNDING KEMERDEKAAN

oleh: Mohd Affandi Hassan
(Pengkritik Sastera Melayu Moden)

Sejarah sebenar yang objektif tentang perjuangan rakyat menentang penjajahan di Tanah Melayu belum lagi ditulis. Yang ada dan dipakai di sekolah-sekolah ialah sejarah yang dipinda untuk mendaulatkan UMNO sebagai “perunding” kemerdekaan. Tidak ada ahli sejarah atau penulis buku sejarah yang membezakan antara ”pejuang” kemerdekaan dengan “perunding” kemerdekaan. Hal ini terjadi kerana sejarah politik di Tanah Melayu dilihat sebagai peristiwa, sebagai naratif khusus tentang kumpulan yang “menang”, bukan sejarah perjuangan rakyat yang objektif. Sejarah itu masih lagi dalam bentuk dan semangat Hikayat Sejarah Melayu yang meletakkan golongan bangsawan dan para raja sebagai watak utama yang mencorakkan sistem politik dan kewujudan negara.

Dalam konteks moden, peristiwa Malayan Union menjadi asas kepada sejarah baru yang pada hakikatnya adalah penerusan daripada feudalisme yang dicorakkan oleh Hikayat Sejarah Melayu. Peristiwa Malayan Union ini melahirkan feudalisme baru ciptaan UMNO dengan kerjasama dan sokongan penjajah Inggeris. Dalam konteks ini, tidak saja Malayan Union merupakan projek penjajahan Inggeris, malah apa yang disebut “kemerdekaan” itu sendiri adalah projek penjajah Inggeris untuk menafikan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Melalui projek kemerdekaan tajaan Inggeris ini, satu kumpulan pemimpin Melayu berketurunan bangsawan diwujudkan oleh Inggeris untuk menjadi rakan mereka dalam perundingan kemerdekaan dengan bangsa asing di Tanah Melayu.

Pada hakikatnya Inggeris ingin membalas jasa golongan pendatang ini yang menyokong mereka dalam Perang Dunia II. Mereka melahirkan para “perunding” kemerdekaan untuk menjayakan projek kemerdekaan penjajah Inggeris. Sementara itu, para pejuang kemerdekaan seperti Ishak Hj. Muhammad, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan lain-lain dijadikan pemberontak dan penjahat. Suara mereka tidak ada langsung dalam perundingan itu, yang diwakili sepenuhnya oleh golongan bangsawan, birokrat asuhan Inggeris, dan wakil-wakil pendatang asing. Melalui dua cara ini, yakni melalui cara yang diwujudkan dalam Hikayat Sejarah Melayu dan episod selepas Perang Dunia II dalam Hikayat Malayan Union, maka terciptalah sejarah Tanah Melayu moden yang dilihat dan dihuraikan sepenuhnya daripada perspektif penjajahan Inggeris dan pewarisnya “perunding” kemerdekaan tajaan Inggeris.

Dari perspektif inilah sejarah itu tidak objektif, menghadkan naratifnya kepada tingkah laku “perunding” kemerdekaan warisan Malayan Union, dengan menjadikan para perunding itu wira bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Jika sejarah yang palsu ini diteruskan, maka yang terjadi ialah krisis politik di Perak yang berakhir dengan rampasan kuasa yang biadab dengan restu sultan sendiri. Oleh itu adalah penting jika sejarah Tanah Melayu dilihat dari perspektif dua mitos agung, iaitu Mitos Sejarah Melayu dan Mitos Malayan Union, jika kebenaran sejarah ingin ditonjolkan. (17/2/2009).

KOMENTAR:
Bersama Pak Parjo

KERAJAAN YANG TELAH DIRAMPAS KUASANYA
DIIBARAT SEBAGAI CETEK AKAN KANUN NEGERI

Sebermula Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri yang dirampas kuasanya itu sebagai cetek akan kanun negeri, adanya. Syahdan akan Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Nazri sentiasa mahu menunjuk-nunjuk seperti hulubalang lakunya, kerana selama ini ia sukar mahu melawan bayang-bayang bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir Mohamad. Arakian fakir diberitahu akan Orangkaya itu satu purnama lagi nasibnya terumbang ambing, kalau tak bertindak menjadi hulubalang sekarang. Kasihan! Memang pernahlah orang tua-tua mengingatkan ‘kalau banyak bercakap, biasanya akan tergigit lidah’. Disebabkan Orangkaya itu tak gemar belajar akan papatah petitih orang tua-tua dahulukala, maka ia mahu juag terus bercakap.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan raja Maluku, negerinya dialahkan oleh Kastilan. Maka raja Maluku pun larilah ke Melaka. Pada ketika itu Raja Rokan dan Telanai Terengganu pun ada di Melaka menghadap Sultan Alauddin. Maka raja Melaka dipersalin oleh Sultan Alauddin dengan pakaian anak-anak raja dengan sepertinya. Adapun raja Maluku itu terlalu tahu bersepak raga. Maka segala anak-anak tuan yang muda –muda bermain sepak raga, dan raja Maluku yang menjadi ibunya. Setelah raga dating kepadanya disepaknya raga itu, seratus, tengah dua ratus kali, maka baru diberikan kepada orang lain, kerana itulah caranya ia mahu menunjuk-nunjuk akan perihal hulubalangnya pada masa itu. Arakian raja Maluku itu biasanya akan termengah-mengah selepas menyapak raga itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU.

No comments:

Post a Comment