Saturday, March 14, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Bahasa Global Di Inggeriskan:
Yang Maju Bukanlah Orang Melayu

Keberangan rakan-rakan seperti L Mankadir Shamsi yang sanggup bertolak dari Lancang di Pahang ke Kuala Lumpur selepas subuh 7 Mac 2009 bagi menyertai perhimpunan 100 ribu rakyat di Istana Negara sukar dipujuk. Mankadir bersama rakan-rakannya Ali Madun, Mohd Zain dan Radzi enggan memaafkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggerakkan PPSMI di bawah pentadbirannya. Memang saya gagal meredakan keberangan keberangan Mankadir ketika bersarapan di restoran mamak di Taman Seri Gombak. Apa pun alasan yang diberi mereka tetap menyalahkan Tun Dr Mahathir, sekalipun PRIMA pernah membuat kunjungan hormat ke Yayasan Pimpinan Perdana, ketika beliau diperlekeh seteruk-teruknya seperti insiden di Kubang pasu pada 2003.

Saya sekadar berpegang kepada pandangan Tun Dr Mahathir dalam kunjungan ke pejabatnya 15 Ogos 2007 iaitu yang bersalah bukan UMNO tetapi orangnya! Mankadir bersama rakan-rakannya tak mahu menerima alasan yang saya kemukakan, seolah-olah saya sengaja mahu berkompromi hingga menjejaskan matlamat PRIMA. Hari ini (14 Mac 2009) membaca laporan media arus perdana, saya tersentak apabila Tun Dr Mahathir mahukan pelaksanaan PPSMI dilestarikan bagi bersaing dengan kemajuan global. Masya Allah! Memang saya tak berhasrat mempertikai Tun Dr Mahathir dengan dasar yang pernah digubalnya sebagai mempertahan kewibawaan beliau, sebaliknya saya juga sukar mahu memberitahu Mankadir mengenai kunjungan ke Yayasan Pimpinan Perdana dulu. Aduhai!

PRIMA tetap dengan pendekatan mendaulatkan Bahasa Melayu, malah menolak saranan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jun 2007, bahasa rasmi ialah Bahasa Malaysia. Kita menolak kerana di England juga mereka tak menggunakan Bahasa England, tetapi bahasa Inggeris; apalagi Israel yang menguasai ekonomi global juga tak menggunakan Bahasa Israel. Malah mereka juga mempertikai al-Quran yang dianggapnya bukan Bahasa Arab tetapi dimomokkan sebagai Bahasa Aramic (bahasa Yahudi Tua). Masya Allah! Apabila kita menganggap Bahasa Inggeris sebagai bahasa global, malah dikembangkan di Korea dan Jepun, kita bukan sahaja tersentak tetapi melongo - apakah nasib Bahasa Melayu yang dihina oleh mereka yang mengaku dirinya Melayu?

Adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid adalah graduan dari Jepun sekitar dekad 1980-an (berikutan dasar pandang ke Timur Tun Dr Mahathir yang kononnya anti Barat) yang menerima ijazah kejuruteraan yang diiktiraf. Sepanjang beliau menuntut di Jepun, bahasa pengantarnya adalah Bahasa Jepun yang tak sepatah pun menggunakan Bahasa Inggeris (kalau Tun Dr Mahathir mahu melawat Jepun, Ir Adnan bersedia menjadi interpriter, dengan tak perlu menggunakan bahasa Inggeris). Bahasa Melayu sudah lama dijadikan bahasa ilmu dalam perundangan menerusi 'Kanun Melaka', atau 'Undang-Undang 20' di Sumatera Barat lebih 2000 tahun dulu (atau sebelum Barat mampu mencipta sistem demokrasi). Sudah menjadi rujukan perubatan menerusi kitab 'Tajul Muluk' dan beberapa lagi yang tak larat nak disenaraikan. Begitulah!

-Pak Dharma

No comments:

Post a Comment