TETAPI MELESTARI DOKUMENTASI
Ketika dijemput memperkatakan Adat Perpatih di TV502 (Bernama) bagi slot 'Helo Malaysia' pengacara Dahalan Makmur beberapa kali menyebut buku 'Dato' Lela Maharaja, Dato' Haji Muhamad Sharip Haji Othman: LEGASI KETUANAN REMBAU'. Sukar bagi saya mahu menjelaskan kerana ketika itu buku berkenaan belum dicetak, sebaliknya sekadar disiapkan contohnya sahaja sempena majlis ulangtahu ke 10 Ke Bawah Kaus YTM Dato' Haji Muhamad Sharip menyandang pesaka Dato' Lela Maharaja, Undang Luak Rembau. Memang penulisan buku berkenaan bagi memberi kefahaman kepada generasi sekarang fungsi Undang Yang Empat di Negeri Sembilan dalam sistem pemerintahan 'Raja Berperlembagaan'.
Generasi sekarang hampir hilang pedoman laksana 'tulisan jawi' yang sudah pupus hingga membaca al-Quran terpaksa menghafal (by heart), disebabkan tak mampu lagi mengeja. Memang generasi muda tak menyedari peranan Undang Yang Empat menurunkan tanda tangan 'Perjanjian Kemerdekaan' mewakili Negeri Sembilan bersama Yang Dipertuan Besar. Undang Yang Empat juga bergambar bersama raja-raja Melayu selepas upacara tersebut sebagai manifestasi kedaulatan ketuanan Melayu. Menerusi buku 'Legasi Ketuanan Rembau' juga dilengkapkan perjuangan Undang Luak Rembau, Dato' Nganit, Dato' Haji Sahil dan Dato' Abdullah menentang kepongahan kolonial British.
Pembabitan Dato' Nganit, Dato' Haji Sahil dan Dato' Abdullah melawan kolonial British menerima risiko yang tak mungkin mampu dilestarikan oleh generasi yang mabuk dengan 'politik wang'. Dato' Nganit misalnya, bangkit membantu saudara Melayunya di Naning melawan kolonial British pada 1831, diikuti dengan Dato' Haji Sahil yang rela dipecat kemudian dibuang ke Singapura pada 1883. Dato' Abdullah pula tampil bersama Tuanku Muhammad Shah, Sultan Alang Iskandar dan Raja Sir Chulan mendesak kolonial British menubuhkan pasukan tentera pertahanan Melayu dikenali 'Askar Melayu' pada 1 Mac 1933. Justeru buku ini bukanlah untuk glori penulisan, tetapi menjadi dokumentasi yang sewajar, sejajar dan sejanjar!
No comments:
Post a Comment