FRU DIKERAH KE MASJID NEGARA:
RAKYAT DIHALANG MENEMUI RAJANYA
RAKYAT DIHALANG MENEMUI RAJANYA
Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada ketua gerakan GMP kita Yang Berbahagia Datuk Dr. Hassan Ahmad mantan Ketua Pengarah DBP dan semua ahli-ahli penyokong gerakan ini yang begitu berani menghadapi segala rintangan yang terpaksa melalui ranjau onak dan duri bagi menyampaikan memorandum kami kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Tetapi, apa yang memelik dan mendukacitakan saya mengapa kerajaan UMNO sehingga kini masih terus berdegil dan bersikap keras kepala? Menurut apa yang saya difahamkan, surat izin daripada pihak polis hanya membenarkan untuk mengadakan perhimpunan sahaja, tetapi tidak memberi kebenaran untuk berarak beramai-ramai ke Istana Negara. Sedangkan tujuan utama kenapa gerakan ini mesti berarak ramai-ramai adalah bagi membuktikan kepada Menteri Pelajaran bahawa gerakan menentang PPSMI ini bukan hanya suara daripada rakyat minoriti sebagaimana yang didakwanya sahaja, sebaliknya ia adalah gerakan besar-besaran daripada cetusan rasa tidak puas hati dan bantahan rakyat secara keseluruhan.
Malangnya, apa yang terjadi, di sekitar Masjid Negara itu telah disiap-sedikan pula pasukan FRU yang serba lengkap dengan alat seperti mahu menghadapi satu pertarungan pula. Dan apabila pengiring-pengiring yang membantah PPSMI mahu bergerak mengiringi ketua mereka ke Istana Negara, pasukan FRU yang buat kacau dahulu. Mereka menyerang, memukul orang ramai supaya bersurai. Tak cukup itu sahaja, mereka tembak dengan mereka semua dengan asap pemedih mata, dan pancutkan pula meriam air kepada semua yang hadir.Kemudian buat dalih mengatakan kononnya orang ramai yang tidak ikut peraturan, dan tidak hiraukan amaran! Saya mengaku, bahawa memang pada ketika itu tidak siapa lagi mahu dengar amaran dan larangan. Semangat yang telah berkobar-kobar itu bertukar menjadi perasaan sentimen melawan yang tinggi. Akhirnya, dalam kekecohan begitu, sudah tentulah ramai mereka yang disyaki dan ditahan untuk disoal siasat pihak polis dan berkesudahan dengan penahanan 8 orang yang dikatakan bertujuan untuk membantu pihak polis melanjutkan penyiasatan kononnya.
Saya amat berharap kepada pihak polis, agar mereka yang ditahan ini janganlah pula diapa-apakan, atau mereka ini dikasari pula. Mereka ini terdiri daripada bangsa Melayu yang bersemangat jitu, yang ingin mendaulatkan semula bahasa ibundanya, iaitu bahasa yang sama digunakan oleh anggota polis yang menahannya itu. Oleh itu tidakkah pernah terbetik di dalam hati sanubari anggota polis itu nanti, bahawa anak-anak mereka di sekolah masing-masing terkial-kial belajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris?
Sedangkan, mereka yang ditahan itu pula adalah para pejuang bahasa yang bertujuan memberikan keselesaan kepada anak-anaknya juga. Sepatutnya mereka itu ada menaruh perasaan simpati, malah berasa megah kerana dapat bertemu dengan orang-orang yang berjuang kerana Allah! Sebaliknya, saya memang muak! Saya naik meloya apabila tengok muka YB Hishamudin di dalam TV. Dia sudah bercakap tujuh kali, setiap kali dia muncul di TV, tak ada modal lain, asyik-asyik dia mengulang kata-kata yang sama. Dia bertanya dan bertanya kenapa sehingga enam tahun PPSMI dijalankan, baru sekarang hendak buat protes?
Baru sekarang pula nak buat bantahan dan baru sekarang buat perhimpunan? Sesekali saya kasihan melihatnya, tapi kadang-kadang benci pula, kerana saya melihat memanglah Hishamuddin laknat ini pekak telinga dan buta mata orangnya. Dia benar-benar jahil dan tak erti bahasa agaknya. Sehinggakan dia tak sedar ataupun sengaja tak mahu seda-sedar. Untuk pengetahuan Hishamuddin, lama dulu lagi kami sudah membantah. Iaitu semasa PPSMI ini diumumkan lagi, kita sudah buat macam-macam kecaman dan bantahan.Kalaulah anda benar-benar sudah sedar, itu suatu yang amat bagus! Oleh yang demikian, elok benar kalau kalian bangun menentang dia! Mari kita sama-sama tulis surat dan tandatangani ramai-ramai, buat undi tak percaya terhadapnya. Minta dia turun daripada menerajui Kementerian Pelajaran sekarang ini juga. Jangan biarkan dia meneruskan niat jahatnya sehingga anak cucu cicit kita semua dilaknatnya. Kalau dia nak laknatpun, biarlah kepada anak-anak dan cucu cicitnya sahaja yang dilaknatinya.
Tambah lagi apabila dia mencabut keris, dan peristiwa itu menjadi gawat sekejap, ini membuatkan sanjungan kami anak-anak Melayu jati atas keberaniannya itu melambung sekali. Tetapi, malangnya apabila dia menarik balik dan mengakui kebodohan dan kebiadabannya itu, kami menganggap dia bacul! Kami pun sudah mula hilang keyakinan! Dan sekarag dia memang sudah sah dan nyata tidak bermaruah lagi. Dia sudah tidak ada harga diri langsung. Sumpah, saya tidak menyangka sama sekali bahawa dia seorang anak orang besar-besar, tetapi perangainya pula macam anak melarat yang tak berdarjat!
Jangan hanya mendengar cakapdan pengaduan orang-orang di sekeliling YB saja. Ini disebabkan mereka itu hidupnya memang ibarat pecacai yang meminta dan menadah tangan sahaja. Lupakah YB perumpamaan Melayu ada mengatakan, jikalau hendak tahukan kebaikan seseorang itu, tanyalah kepada rakan karibnya, dan kalau hendak tahu kejahatan seseorang itu pula tanyalah kepada seteru dan lawannya! Bertindak begitu, barulah bijaksana namanya. Kalau tidak, YB hanya bersaksikan lutut selama-lamanya…dan YB akan dikelentong orang sahaja sudahnya!
Mengulas bicara Pak Lah dalam TV malan tadi yang telah mengeluarkan kenyataan yang jelas kelihatan dia amat kecewa dan kesal sekali. Sehinggakan suaranya mendatar sahaja bunyinya. Jika dilihat daripada nada suaranya amat hambar dan sedih, namun, isinya seperti mengancam dan memberi kata dua kepada YB Hishamuddin. Jadi, YB Hishamuddin kena buat keputusan muktamad sekarang, sama ada dia masih mahu berkeras meneruskan PPSMI atau sebaliknya? Kata-kata begini memang besar ertinya. Pak Lah sendiri mengaku bahawa dia juga menerima desakan demi desakan yang semakin lama semakin besar dan kuat.
Jikalau YB Hishamuddin masih terus bertegak dengan pendiriannya, tak tahulah apa akan jadi kalau Melayu sudah hilang pertimbangan dan kesabarannya! Sepatutnya YB Hisahmuddin sedarlah diri...jikalau sudah sampai Pak Lah terpaksa berdehem-dehem begitu, kenalah berlagak bijaksana dan tidak lagi meneruskan aksi angkuh dengan sentimen kerasnya macam orang gila kuasa! Kalau YB Hishamuddin tidak mahu berganjak dari pendiriannya, saya yakin, akan datang, lagi besar perhimpunan diadakan kerana kami semua mahu membuktikan kepadanya bahawa gerakan kami ini bukan lagi gerakan GMP yang hanya diwakili oleh segelintir rakyat, tetapi sebenarnya, ia adalah lambang dan mewakili suara rakyat majorit!
Apakah Hisghamuddin pekak telinganya lagi dan masih berusaha mahu mengempang air deras dari gunung? Takut nanti YB sendiri akan dihanyutkan oleh air deras itu pula. Sedarlah YB, kerana kesombongan, keangkuhan dan kebobrokan anda, parti lawan yang tidak fasal-fasal tumpang sekaki, mencari palform. Mereka hanya sekadar menyokong gerakan GMP membasmi perlaksanaan PPSMI sahaja, dan mereka sebenarnya tidak menunggang kami, atau menggunakan kami, kerana perjuangan ini adalah perjuangan kami semua.
Padahal, kalau YB betul bijaksana dulu, YB jangan peduli enam atau tujuh tahun PPSMI sudah terlaksana, tetapi anda dengan berani bangun tegak mencabut keris sekali lagi bagi mendaulatkan semula Bahasa Melayu itu dengan cara menarik balik penggunaan PPSMI, saya kira YB adalah jagkami yang terbilang dan akan kekal diingati rakyat sampai ke mati, sebagaimana Hang Jebat yang tampil menyanggah penindasan minda oleh Sultan Melaka dan konco-konconya. Justeru itu, belum terlambat YB, kerana masanya sudah tiba, sepatutnya YB bersembahyang Istiqarah, minta Tuhan tunjukkan jalan yang benar.
Jangan minta pendapat orang-orang yang mengampu bodek di sekeliling YB sahaja. Apa yang saya khiuatirkan, nanti YB sendiri yang akan kena main, macam YAB Timbalan Perdana Menteri ketika pilihanraya 1999 dulu. Bila dia tanya pada juak-juak dan pecacainya, semua kata, everything Ok, Boss! Natijahnya, cemas-cemas lagi periuk nasinya tidak terlingkup.! Ha, begitulah pengajaran buat YB Hishamuddin yang kami sayangi. Maka kembalilah YB ke pangkal jalan macam yang dilakukan oleh YAB TPM dahulu. Dia melihat dirinya kembali, mencari mana-mana kesilapan, dan kelemahan sambil beliau cuba memperbaikinya pula.
YAB tidak mudah lupa dengan pesanan datuk neneknya Orang Besar Berempat Pahang, bahawa tidak ada gading yang tidak retak. Jadi, beliau mengambil pendekatan yang bijaksana, lalu percaya bahawa tidak ada bocor yang tidak boleh ditampal. Insya-Allah bahtera yang bocor pun boleh kembali belayar dengan selamat kalau ditampal dengan baik. - Wak Semar memang sukakan pemimpin yang mahu kembali ke pangkal jalan setelah tersesat di hujung jalan.

No comments:
Post a Comment