Tuesday, April 21, 2009

DARI LAMAN BLOG...


Selepas jambatan bengkok dan tol:
Harga bagi jawataan Perdana Menteri!
Bukan sahaja jambatan bengkok bagi menghubungkan Tanjung Puteri ke Singapura kembali menjadi isu, malah kenaikan kadar tol di lebuhraya juga kembali diungkit oleh Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Barangkali dana KWSP, Petronas, PNB atau Felda juga akan menyusul seperti keperihalan sebelum 1998 yang dikira tsunami politik pertama. Tetapi ianya sekadar spekulasi, kerana seperti perbilangan orang tua-tua menyebut: 'Jangan menyelam air di tunggak; jangan dikira buah kerayung dari jauh' (Kalau tak faham kenalah tanya Dato' Seri Dr Rais Yatim yang arif dengan perbilangan orang tua-tua).

Bagaimanapun projek pembangunan Wilayah Iskandar menerima tentangan dari masyarakat Melayu, yang dianggap membuka penempatan baru kepada rakyat Singapura seperti perihal di Palestin. Pimpinan Profesional dan Warisan Melayu (ProWaris) dikatakan paling lantang dalam naratif menentang pembangunan Wilayah Iskandar, sebaliknya tak memberikan sebarang reaksi dengan isu jambatan bengkok. Kadangkala isu pembangunan sekadar 'kenderaan' bagi mencapai sasaran politik, malah ianya dijaja laksana barang lelongan di pasar malam. Tetapi politik akan menjadi kayu mati, sekiranya tak disusuli dengan isu-isu sensasi.

Pada pilihanraya 1969 misalnya, Parti Gerakan yang baru sahaja ditubuhkan menampilkan manifesto untuk membina jambatan dari Pulau Pinang ke Tanah Besar Semenanjung. MCA melihat manifesto Gerakan sebagai 'angan-angan Mat Jenin' yang sukar dilaksanakan. Malah ada calon-calon yang bertanding pada pilihanraya 1969 itu menawarkan diri untuk terjun ke laut sekiranya manifesto Gerakan boleh dilaksanakan. 10 Mei 1969, kerajaan negeri Pulau Pinang bertukar tangan dengan Tun Dr Lim Chong Eu pimpinan Gerakan membentuk kerajaan. Tak lama selepas itu berlaku kekecohan apabila Tun Dr Lim tak sehaluan dengan Timbalan Ketua Menteri, Mustapha Hussein.

Kekecohan semakin meruncing apabila Gerakan berpecah kepada tiga kumpulan, disebabkan Tun Dr Lim bersedia membentuk kerajaan campuran bersama UMNO. Keberangan Profesor Dr Syed Hussein al-Attas, Presiden Gerakan terhadap Tun Dr Lim (Naib Presiden), membawa kepada kes mahkamah. Dengan sokongan Tun Abdul Razak dan UMNO, Tun Dr Lim mampu mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, yang menyebabkan Profesor Dr Syed Hussein al-Attas berundur dari politik, Tan Sri Dr Tan Chee Khoon menubuhkan Pekemas dan Mustapha Hussein menubuhkan KITA.

Bagaimanapun Tun Abdul Razak dan UMNO terpaksa membayar harga yang tinggi dalam kekecohan tersebut, kerana perlu memenuhi tuntutan Tun Dr Lim bagi membina jambatan Pulau Pinang. Dengan merampas kerajaan negeri Pulau Pinang (atas nama Parti Perikatan, tetapi yang berkuasa tetap Parti Gerakan), harga pembangunan itulah ganjaran UMNO di samping MCA hilang dominasi di Pulau Pinang hingga sekarang. Justeru tak hairanlah kalau Najib juga terpaksa membayar harga yang tinggi bagi jawatan Perdana Menteri dengan sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu jambatan bengkok dan kenaikan kadar tol. Barangkali!


-Pak Dharma

No comments: