Wednesday, April 15, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Penitir-penitir canang dimarahi:
Kerana Orangkaya tak peduli jasa

Arakian terlalu marah Orangkaya Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana kononnya segala penitir-penitir canang memutar belitkan kata-katanya. Adapun Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu berkatalah ia sekalian orang bukan Melayu tak menyokong anak buahnya dalam pemilihan di Bukit Gantang. Syahdan apabila tersauk ikan tersenyumlah Orangkaya itu, tetapi tersauk bangkar maka masamlah muka ia. Tetapi akan penitir-penitir canang itu tak dihiraukan sama ada orang besar-besar itu marah ataupun tiada; asal sahaja menerima habuan padalah!

Sebermula akan Orangkaya Pagoh itu setelah bergelar Orangkaya Timbalan Perdana Menteri, semakin garanglah ia. Segala barang lakunya ditakuti sekalian orang banyak. Maka penitir-penitir canang yang sentiasa mengekori penggawa menteri dan sekalian binti-binti perwira itu berdiam diri setelah dicerca, kerana masa ini ialah orang yang paling berkuasa di negeri Melayu itu, adanya. Barang katanya mestilah dipatuhi kalau mahu menjaga periuk nasi; apalagi disebut orang dahulukala, maka sekalian orang pun kabullah akan Seri Maharaja jadi bendahara.

Syahdan maka datanglah persalin seperti adat bendahara, dianugerahi keris bandan dengan selengkapnya. Adapun akan adat dahulukala, apabila orang jadi bendahara atau jadi penghulu bendahari, atau temenggung, akan jadi menteri, dianugerahi baju sakhlat dan keris dengan selengkap alatnya. Tetapi penghulu bendahari dan temenggung dan para menteri tiada berkebak; akan bendahara berkebak dan buli-buli dawat; jikalau jadi temenggung dianugerahi tombak bertetampan. Setelah Seri Maharaja jadi bendahara, Melaka pun makin makmur maka para pedagang berpantun:

Bandar Melaka
pisang jarum
air Bukit Cina
Bendahara Seri Maharaja.

Begitulah peri masyhurnya negeri Melayu itu sejak zaman bahari sudah bersatu padu ia dengan disebut 'Satu Melaka' jua (sebelum dikenali sekarang 'Satu Malaysia') seperti dirawikan dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment