Monday, April 20, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo

Jambatan bengkok dibatal:
Sekarang mahu dibuat semula!

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Johor Bahru Dato' Shahrir Samad yang tak mahu lagi menjadi menteri bersuaralah ia meminta dibuatkan semula jambatan bengkok untuk menghubungkan Tanjung Puteri ke Singapura. Adapun jambatan bengkok itu sudah dibatalkan oleh bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Arakian barulah orang banyak mendengar akan Orangkaya Johor Bahru itu menyokong akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohammad. Adapun sejak sekalian lama tak pernah Orangkaya Johor Bahru itu bersetuju dengan Tun (Tabib) Mahathir, adanya.

Syahdan jambatan bengkok (gambar sebelah ialah tambak Johor) itu diketahui orang banyak tak dipersetujui oleh kerajaan Singapura, sekalipun ianya tak mengeluarkan perbelanjaan membuatnya. Maka terlalulah gembira Tun (Tabib) Mahathir mendengar peri Orangkaya Johor Bahru itu sudah bersetuju menyokongnya. Maka iapun menyuruh Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah melawan Orangkaya Permatang Pauh, bagi memilih orangkaya yang baru di Penanti itu. Arakian serba salahlah Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib, kerana bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir menyuruhnya juga berlawan macam Tuah dan Jebat. Barangkali!

Arakian akan Raja Maluku itu terlalu gagah; jika nyiur duduk umbi, ditikamnya dengan lembing, terus ke sebelah. Akan Sultan Alauddin pun perkasa, jika nyiur duduk umbi, dipanah baginda, berbayang ke sebelah. Maka Sultan Alauddin terlalu banyak kurnia kepada Raja Maluku, maka baginda berjanji akan mengambil Maluku dari tangan Kastilan, seperti itulah juga akan bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir menolong akan Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib menjadi Perdana Menteri yang berkuasa di balairongseri itu. Maka oleh Raja Muluku diambilnya kuda Maulana Yusuff, hingga diperbuat orang nyanyian:

Raja Maluku meminjam kuda
kuda dipinjam kuda Maulana;
Tuanku nyawa orang muda
bertambah arif bijaksana

Itulah yang disuratkan dalam 'Kitab Melayu' daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. Mahathir kembali memerintah Malaysia dengan menjadikan Najib Rosmah sebagai patung sahaja.

    ReplyDelete