Monday, April 6, 2009

SEKELUMIT DARI SASTERAWAN NEGARA...

WAWANCARA ? DENGAN ++

? Bagaimana dengan status bangsa Melayu sekarang ini dari segi semangat nasionalisme di kalangan pada pemimpin utama kita?
++ Segala-galanya musnah dan reput. Nasioanlisme sudah terhakis; diganti secara melulu dengan seklularisme. Agama sudah terhakis diganti dengan materialisme yang melimpah ruah. Islam sudah terhakis, diganti dengan slogan Islam Hadhari dengan berbagai takaluf (berlebihan) dan tasyannuk (tokok tambah). Ukhrawi dengan segala keabdian diganti dengan duniawi yang serba sementara, sorak sorai. Para pemimpin kita asyik bersenda-gurau dan melatah.

? Maksud saudara musnah dan reput kerana penyelewengan?

++ Musnah dan reput kerana limpahruah kekayaan dan kemakmuran yang tak terjamin kesahihannya. Semuanya korap dan seleweng.

? Bagaimana dengan perjuangan Bahasa Melayu? Pelajaran Matematik dan Sains umpamanya masih kekal dalam bahasa Inggeris.

++ Perjuangan Bahasa Melayu memang perlu diteruskan dan Matematik serta Sains patut kembali diajar dalam BM tapi perjuangan Bahasa Melayu ini bukan titik-tolak perjuangan Bahasa Melayu yang pokok. Ia hanya secondary saja.

? Apa yang pokoknya.

++ Keimanan dan ketaqwaan yang diabaikan dan diremehtemehkan selama ini, yang hanya riuh dengan slogan saja. Buat apa kita bermegah dengan BM sedangkan status kita sebagai mukmin sebagai umat Islam keliru dan menjadi remeh-temeh, kerdil dan kontot. Buat apa kita bermegah dengan BM sedangkan bangsa kita berkehendak dengan rasuah, dengan jenayah yang tak habis-habis, dengan seks dan pelacuran yang terdedah, terbolos dan terbuka, dengan pembuangan bayi dan kemusnahan zuriat, dengan para pemimpin yang tak tahu malu dengan dadah dengan pendedahan aurat yang berleluasa.

? Apa lagi yang patut diutamakan selain bahasa Melayu

++ Banyak. Politik sekarang adalah politik pecahbelah dan politik murahan yang hanya mementingkan kuasa dan perut saja. Para pemimpin kita lebih banyak berjuang untuk diri dan sukusakat mereka dan sanggup membuat apa saja demi untuk kuasa.

? Ada jalan keluar dari kemelut sebegini teruk?

++ Kembali kepada Allah dalam ertikata yang sebenar. Kembali beriman dan bertaqwa. Hapuskan sekularisme dan uruskan materialisme dengan mengikut tuntutan syariat.

? Caranya?

++ Kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam erti kata menjalankan suruhan-Nya dan menolak larangan-Nya. Berseronok dengan berita gembira-Nya dan berdukalara dengan ancaman-Nya. Pelajari dari kiasan-Nya dan perumpamaan-Nya dan cerita nikmatnya yang terlalu banyak dalam kitab-Nya. Pelajari cerita zaman silamnya yang terakam dalam Furqan-Nya.

? Lebih khusus lagi caranya untuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.

++ Antaranya mendekati kaedah-kaedah ala Sufistik supaya lebih mendekati dan memahami alam metafizika. Beri kursus pendek kepada setiap individu terutama para pemimpin supaya sering mengingati mati dan membuat persediaan, untuk menghadapinya kerana inilah pesanan Rasullullah SAW untuk menjadi orang yang pandai lagi bijaksana. Bawa mereka berzuhud, menjadi duniawi bukan sebagai matlamat tapi sebagai keperluan untuk meneruskan perjalanan menuju kebahagiaan yang abadi.

Ajak mereka berqanaah, berpuas dengan rezeki yang ada. Bawa mereka bertafakur tentang keajaiban dan kerahsiaan penciptaan-Nya. Bawa mereka muraqabah (sentiasa teguh hati kepada Allah sebagai satu-satunya sumber pertolongan), kekalkan imuninasi (kekebalan ketaqwaan), pegang pada tali Allah dan jangan bertasyannuk (tokok tambah) dan jangan bertakalluf (melampaui batasan). Kursus mereka dengan makna-makna istilah yang sebenar seperti apa itu keuntungan yang sejati dan apa itu kerugian yang sebenar?

Apa itu Aflaha (keuntungan), apa itu ilim sakinah (ketenangan) dan mutmainnah (tenteram hati), apa itu al-amnu (keamanan hati) As-salam (sejahtera), yastabsyir (kegembiraan yang sebenar) dan apa itu Su'idu (kebahagian yang sebenar)

(SN Profesor Emertitus Dato' Shahnon Ahmad, bekas Ahli Parlimen Sik dari PAS adalah sasterawan besar Melayu yang dianggap oleh Tun Abdul Razak sebagai Victor Hugo Malaysia. Karya-karyanya menjadi idola penulis-penulis muda)

No comments:

Post a Comment