Wednesday, May 27, 2009

DARI LAMAN BLOG:


Episod perjuangan berbeza:
gerila nasionalisme bukan komunis!

Assalamualaikum,

Barangkali mereka yang kurang peka dengan sejarah terkeliru dengan persepsi gerakan militan komunis dan pembabitan gerila nasionalisme dalam epiosd perjuangan yang berbeza. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dato' Seri Dr Rais Yatim mahupun Menteri Pertahanan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan pandangan mengenai gerakan militan menerusi pendekatan politik semasa. Dakwaan negatif pembunuhan beribu-ribu jiwa akibat gerakan mlitan komunis, seharusnya tak membabitkan pejuang gerila nasionalisme.

Tok Janggut Haji Mat Hassan di Pasir Putih, Kelantan terbabit dalam gerakan gerila pada 1915, malah ramai pengikutnya terbunuh di tangan kolonial British. Begitu juga insiden di Padang Kacong, Hulu Terengganu berpuluh-puluh umat Islam terbunuh di hujung senapang tentera upahan kolonial British pada 1928 termasuk Haji Musa Minangkabau, Sayyid al-Sagoff, Abu Bakar Cinting, Penghulu Salleh Pasir Nyiur, Tahir Pasir Padang, Mamat Tok Pintas, Ismail Kuala Por, Lebai Kiya dan Tok Janggut Zakaria. Mereka adalah pejuang gerila nasionalisme yang sama sekali menolak komunisme!

Mahkamah dan undang-undang skular British menjatuhkan hukuman buang negeri ke atas Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dengan menggunakan kuasa institusi istana. Malah pembunuhan beramai-ramai dilakukan kolonial British ke atas penduduk Jenderam di Kajang pada awal dekad 1950-an, sengaja disembunyikan daripada pengetahuan umum. Apalagi yang terbabit termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas, semata-mata mahu memberkas Abu Bakar Jali. Mereka ditahan dilokap Balai Polis Kajang dengan berasak-asak sebelum dibuang ke Muar. Selepas merdeka 1957 barulah mereka dibenarkan balik ke Jenderam, setelah berulang kali membuat rayuan kepada Tunku. Sutan Djenain yang terbabit dalam perjuangan gerila adalah bapa mentua Dato' Abu Bakar Baginda, Menteri Besar Selangor pertama pasca merdeka.

Pembunuhan 2,000 masyarakat Cina dari Bau, Sarawak yang disumbat ke dalam gua sekitar dekad 1850-an dengan dibakar serta ditutup pintu gua adalah pembunuhan kolonial British paling kejam ke atas penduduk tempatan, tetapi disembunyikan daripada fakta sejarah. Pembabitan Rentap @ Libau dalam tragedi 28 Oktober 1861 di Bukit Sadok atau Mat Salleh di Sabah adalah gerila nasionalisme yang tak boleh disamakan dengan militan komunis.

Tun Abdul Razak dan Tun Ghazali Shafie juga terbabit dalam gerakan gerila 'Wataniah', malah Tan Sri Tengku Osman Jewa dan Tun Ibrahim Ismail pejuang gerila 'Force 136' sekitar dekad 1940-an. Apalagi pembabitan Rashid Maidin yang dengan ihsan Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan fardu haji, atau Abdullah CD yang diperkenan menghadap ke istana oleh Sultan Azlan Shah pada 1998. Malah pada 2007 Abdullah CD juga dijemput dalam majlis yang dihadiri Tun Haniff Omar dan Dato' Seri Aziz Shamsuddin tak seharusnya mengelirukan Rais mahupun Ahmad Zahid. Aduhai!

-Pak Dharma

No comments: