Saturday, May 16, 2009

INFO HAK ASASI MANUSIA...


Catatan peguam muda wanita:
Di tahan dilokap polis Brickfileds

(Puspawati Rosman, peguam wanita yang masih muda ditahan oleh polis ketika datang ke balai polis, di Brickfileds, Kuala Lumpur pada malam 7 Mei 2009 bagi menjadi peguambela kepada rakan-rakannya yang ditahan oleh polis sebelumnya. Ikuti catatan beliau ketika ditahan di balai polis, dan lanjutannya boleh layari laman blog http://www.lanailestari.blogspot.com/).


Ketika tiba di balai polis Travers, jam sudah menunjukkan hampir pukul 5 pagi. Kami diberi sepasang baju berwarna pink dan seluar warna hitam. Fadiah, Murnie dan Syu enggan memakai baju tersebut kerana ia berlengan pendek. Akhirnya polis wanita tersebut mengalah dan memberi mereka sepasang baju dan seluar berwarna oren terang. Baju tersebut berlengan panjang. Ketika Fadiah menyarungkan baju tersebut, kami kedua ketawa berdekah-dekah selama 10 minit. Ini kerana beliau nampak sangat lawak dan sangatlah hiphopper wannabe.

Kami disuruh diam oleh polis. Kemudian, cermin mata dan sepit rambut kami diambil. Kami juga tidak dibenarkan memakai bra dan selipar juga kena ditanggalkan. Kami diberi seikat gelang getah yang selalu digunakan untuk bermain 'zero point' ketika kecik-kecik dahulu untuk mengikat rambut. Fadiah telah mengambil segenggam getah tersebut dan menyarungkan kesemuanya ke rambut. Kata beliau, lepas ni kita boleh main "zero point" dalam lokap.

Keempat-empat kami ditempatkan di dalam lokap yang sama. Lokap yang paling hujung, bersebelahan dengan bilik air yang tak ada pintu. Bau jamban mula menusuk ke hidung. Keempat-empat kami tidak diberikan selimut dan bantal. Kami baring berbantalkan lengan. Kami cuba untuk tidur, tapi tidak boleh. Maka kami hanya berbaring sahaja memandang ke siling. Kami berbaring sebaris menunggu hari pagi.

Kira-kira pada pukul 9 pagi, sarapan kami pun tiba - 2 keping roti yang disapu marjerin dan sebungkus teh o tanpa straw. Kira-kira sejam selepas itu, Murnie dipanggil keluar oleh seorang polis wanita. Kami yang lain terpinga-pinga. Sejam selepas itu, seorang polis lelaki berada di depan bilik lokap kami. Fadiah terus bersembunyi di belakang aku kerana dia tidak bertudung ketika itu. Polis lelaki tersebut bertanya kepada kami tentang firma guaman manakah kami beramal, dan alamat firma. Selepas mengambil butir-butir tersebut, polis tersebut mengarahkan kami dibawa ke ruang depan balai.

Apabila keluar dari pintu, aku nampak Kak Lat dan ibu Murnie. Seorang polis wanita menyarungkan gari kepada aku. Aku kata, "Tak perlulah, saya bukan penjenayah berat". Tapi akhirnya kami digari juga.Kami telah dibawa ke bangunan sebelah. Di sana, cap jari dan gambar kami diambil. Ketika itu, datang seorang pegawai polis dan berkata, buat"Kamu ni peguam-peguam muda apa nak kecoh-kecoh. Sebab kamu, Majlis Peguam buat press conference. Lepas ni kamu akan diblacklist dan akan susah nak kerja." Fadiah kata, "Eh lepas ni lagi senang kami nak buat kerja!" Aku hanya tersenyum - Puspawati Rosman.

1 comment:

  1. Kalau kita samakan pemburu dengan anjing, adakah boleh disamakan Umno dengan polis?

    ReplyDelete