Status sebenar tahanan:
Kementerian perlu mohon maaf!
(Kenyataan media Ketua Pembangkang Parlimen dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pada 10 Mei 2009, mengenai pembebasan 13 tahanan ISA yang tergesa-gesa oleh Kementerian Dalam Negeri hari ini).
Saya gembira sebaik dimaklum berkenaan pembebasan 13 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuklah tiga orang pimpinan Hindraf. Kesemua mereka termasuk beberapa rakan yang didakwa terlibat dalam keganasan tanpa bukti - satelah 6-7 tahun ditahan telah mengharungi dugaan ini dengan penuh kesabaran.
Meski pun kepedihan dan kesengsaraan yang ditanggung amat berat, mereka tetap teguh berpegang kepada prinsip perjuangan serta tidak mahu menyerah kepada tuntutan pemerintah agar patuh pada beberapa syarat mengongkong.
Syabas saya ucapkan kepada saudara P. Uthayakumar dan rakan-rakan lainnya. Maka seharusnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah status sebenar tahanan yang dibebaskan walau sebelum ini mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan. Mereka semua perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri seharusnya memohon maaf kepada mereka. Sepanjang ditahan, kerajaan seringkali memutarkan fitnah kononnya mereka semua terlibat dengan aktiviti keganasan, namun tidak pula dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.
Nah! Sekarang sekonyong-konyong dibebaskan tanpa penjelasan. Jelaslah walau apapun penjelasan, juga justifikasi yang diberikan, ISA perlu dimansuhkan serta merta dan kesemua tahanan perlu dibebaskan. Undang-undang kuku besi lagi kuno ini sudah tidak mempunyai tempat jika benar-benarlah perubahan yang dihajati.
Kenyataan Menteri Dalam Negeri semalam membuktikan kerajaan sememangnya tidak berhasrat untuk memansuhkan ISA. Beliau menyifatkan pembebasan 13 tahanan semalam hanya berdasarkan keadaan bukannya kerana akta tersebut zalim.
Maka jelas terbukti lantaran tertekan dengan kebiadapan wakil-wakil rakyat BN sewaktu sidang DUN Perak tempoh hari, langkah pembebasan ini hanya sekadar satu upaya untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu pencabulan perlembagaan serta prinsip demokrasi di negeri Perak.
No comments:
Post a Comment