Happy Birthday To Me!
Di bumi Thai
cakra dharma
jauh dari anak-anakku
tersayang
dan isteriku
tercinta
aku membuka
pintu waktu dan
melangkah ke
hari
ulang tahun
kelahiranku
yang bagaikan
separuh tertawa
mengatakan
“Tua dah engkau ya!”
Duhai,
seri intan
permata hati
wahai
seri nilam
permata budi
bersamamu
aku mau
membuka
banyak lagi pintu
waktu
sebegini
demi kelangsaian
perjuangan yang
tertangguh.
Mummy, Mama,
Abang, Adik dan
Along,
di langit kota
Bangkok ini
daddy
menghitung
senandung
bintang-bintang
mengulit simfoni
duka
helang segara
kakinya luka
patahpun
sayapnya
rekahpun
paruhnya
namun terbang
tetap jua ia
terbang
tanpa walang
sayang disayang
serunai malam.
Duhai kota
Bangkok
Happy Birthday
To Me!
-yassinsalleh
2104 hrs mei 19, 2009
kamar 1103
Grand Hyatt
Erawan,
Bangkok,
Khabarkan Jua Kepadanya!
Di awal Januari 1512
panglima-kapitan raja Portugis
Alfonso de Albuquerque
telah mengarahkan dutanya
Antonio Miranda de Azavedo
"Engkau khabarkan
kepada raja Siam
bahawa aku pasti sekali
dia sedang amat gumbira
di atas kehancuran si raja Melaka
yang telah sekian lama
diperanginya.
"Khabarkan jua padanya
bahawa baginda raja Portugis
amatlah terlalu gumbiranya
kapal dan orang Siam
akan datang berdagang ke Melaka.
dan khabarkanlah juga padanya
bahawa itulah sebab utama
musababnya aku menakluk
Melaka.
"Dan khabarkan jua lagi
sekiranyalah teringin dia
akan bantuan soldadu
dan armada kita segalanya
makanya aku
selaku panglima-kapitan
baginda raja Portugis
akan menyempurnakan
laksana segala hajatnya
yan sedemikian itu
hasratnya."
Demikianlah
yang tercatat di dalam
BRAS DE BUQUERQUE
COMENTARIO DO GRANDE
AFONSO DE ALBUQUERQUE
COLOMBIA, 1923
Bahagian III Bab XXXVI.
Sedemikianlah di dalam buku
Thailand - a traveller companion
aku terbaca betapa serakahnya
keangkuhan penakluk sejarah
yang megah kerana mereka
punyai bijaksana.
Aduhai Melaka
demikianlah kau dulu
bebal dan kalah
dan terjajah
dan 500 tahun
berlalu telah
apalah pula lagi
aib yang kini kau tatang
selaku kandang pulau selatan
untuk berzaman lagi?
-yassinsalleh
jam 0423
Mei 20, 2009
Grand Hyatt
Erawan Bangkok
Kota Bangkok, Thailand.
kebal dan gagah.
Wednesday, May 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment