Pejuang jauh di perantauan
Wajar mereka dibawa pulang
Sempena Hari Pekerja 1 Mei yang diiktiraf di seluruh dunia, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan baru, sepatutnya prihatin dengan pejuang-pejuang bangsa yang terbabit dalam gerakan pekerja ini. Mereka sekarang menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) di selatan Thailand, berikutan perjanjian damai pada period Tun Dr Mahathir Mohamad 1989. Majoriti mereka ingin balik semula ke tanah air, tetapi peraturan yang memerlukan mereka ditahan terlebih dahulu, barangkali tak relevan dilaksanakan.
Baru-baru ini Pakcu Duwi (atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Sarip - 1935 – 2009) meninggal dunia pada pukul 10 pagi, 9 April 2009, dengan tak berpeluang balik ke tanah airnya. Berita awal yang diterima, beliau meninggal ketika berada di rumah isterinya di Daerah Raman, Wilayah Yala. Sebuah kereta telah dihantar untuk membawa jenazah pulang. Allahyarham dikebumikan pada malam itu juga di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12).
Allahyarham berasal dari Kampung Paya Pasir, Temerloh, Pahang, Pernah menyertai Platun 5 Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Manap Jepun. Tahun 1953, mengikuti Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 berpindah ke kawasan sempadan. Berikutnya Abu Samah Kassim (1926-2009, jenazahnya ketika meninggal dunia 14 April 2009) juga meninggal dunia jauh dari kampung halaman. Beliau berasal dari Lanchang, Pahang adalah cucu kepada Dato' Bahaman (Dato' Setia Pahlawan Orangkaya Semantan).
Sempena 'Hari Pekerja', wajar bagi kerajaan membawa mereka balik semula ke tanah air, kerana mereka adalah pencetus kepada perjuangan pekerja dan prolitar. Kalau kerajaan sudah membenarkan Musa Ahmad, Zainab Mahmud (kakak wartawan Osman Abadi), Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Ahmad, apa salahnya mereka dibenarkan balik ke tanah air. Negara sepatutnya berasa akan kehilangan Ibrahim Haji Yaakob (gambar), Rashid Maidin, Onan Haji Siraj dan ramai lagi yang meninggal dunia jauh di perantauan. Mereka juga pejuang nasionalisme yang menggunakan Bahasa Melayu dan persurat khabaran bagi menentang kolonial British.
No comments:
Post a Comment