Jangan Tinggal Daku
Setelah sekian lama
dia mempertinggi
tempat jatuhnya
terdirilah dia kini
di puncak siksa
yang enggan
dirunding.
Di hadapan
ternganga gaung
tak berdasar
di belakang
kian berkerumun
barisan demi barisan
demi barisan
semut merah, hitam
dan jingga
mengarak lentera sarat
amarah
merebahkan
mimpi meroboh
lestari.
Kian tambah
gagah semut-semut
merah, hitam,
jingga dan hijau
menongkah nestapa
berlarian
saf demi saf
demi saf
semut-semut perkasa
menggenta gempita
genderang kebencian
yang tak terbenamkan
lagi.
Di setiap langkah
perlariannya
kesan tapak
injakan kakinya
bergelimpangan
bangkai-bangkai
sampah
dan janji-janji
syurga
yang kian
mengelembung
busuk
bagaikan khinzir korban
JE.
Kian menghampir jua
armada semut-semut
Merah, Hitam, Jingga,
Hijau dan Kuning
yang tidak lagi
kelabu
terpilin satu
dalam gemerlap
sinar warna
pelangi;
badannya naga
sayapnya garuda
aduhai FRU
jangan tinggal daku!
-Yassinsalleh
jam 0942,
Mei 1, 09
Selamat Hari Jadi
Seri Intan,
Lata Kinjang,
Chenderiang, Perak.
Kian Tak Terkawal
Biangnya
Pun berkali-kali sudah
bagaikan bertukar
enjin kereta
ia menunda dan
menunda
terlabuhnya tirai
penamat takdir
dia masih jua
terus mahu merasuk
bagaikan pocong
kehilangan kapan
ke syurga tak dapat
ke neraka tak diterima.
Dalam kepawangannya
hilan magis upayanya
memaksa langit
menarikan bintang-bintang
tidak lagi menjadi
lalu untuk membujuk pilunya
berpautlah ia pada dahan
yang sekah pohon
kesementaraan senda
fatamargona
yang tidak pernah engkar
untuk mungkir
sepasti-pastinya.
Dalam demikian
ia terlontar
ke jeram iktibar
masih jua ia tak
mahu percaya
sudah tiada lagi
ia terdaya menyekat
robohnya
puncak menara
masih jua ia
mahu membina
jambatan yang entah
ke mana nak
disambungkan.
Aduhai,
ingin saja aku kirimkan
kepadanya
secangkir duri kaktus
agar reda berahinya
yang kian tua
kian tak terkawal
biangnya.
-Yassinsalleh
jam 2238
Mei 1, 09
Lata Kinjang
Chenderiang,
Tapah, Perak.
Friday, May 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment