Monday, June 8, 2009

BUDAYA POLITIK MELAYU...

Gaya Kepemimpinan Islam
Mengikut landasan dalam PAS

Antara perkara menyeronokkan ketika melihat gaya berpakaian dalam muktamar PAS, ialah kemunculan songkok dan baju Melayu, bersama-sama jubah dan serban atau baju Melayu dan ketayap (kopiah). Apakah imej yang ingin ditonjolkan melalui cara berpakaian itu? Jawapannya mungkin berada dalam tata kelakuan dan cara berpakaian para pemimpin UMNO. Di sini yang terjadi adalah sebaliknya: kita lihat songkok dan baju Melayu bertaburan dengan banyaknya, diselit sekali sekala dengan ketayap tanpa serban. (Gambar hiasan, pimpinan PAS berketayap, bersongkok dan berserban)

Apakah kesimpulan yang boleh kita ambil? Nampaknya UMNO sangat yakin menayangkan semangat Melayu, atau kebangsaan Melayu, yakni Malay nationalism yang berkerak hangit dalam gerakan itu. Manakala PAS pula menayangkan gaya Arab yang dimelayukan dalam pakaian baju Melayu dengan serban, atau paling kurang baju Melayu dengan ketayap. Yang bersongkok dalam PAS kelihatan agak janggal dan diri pemakainya juga kelihatan tak berapa selesa, seolah-olah (?) terkeluar dari kelompok yang dominan.

Orang berketayap dalam UMNO pun berasa macam itu juga. Jelas songkok dan ketayap tidak boleh bersama, kerana kedua-duanya adalah lambang dua jenis gaya berlagak dan gaya bertindak yang berbeza. Adakah ini mencerminkan kelemahan tamadun Melayu? Sehingga ini soalan ini tidak pernah dibincangkan, kerana bagi rakyat biasa songkok dan ketayap melambangkan pertentangan politik orang Melayu dari kumpulan yang sama, yang perbezaannya hanya kelihatan dari segi zahir, tetapi masih kabur dari segi batinnya.

Bagi rakyat songkok melambangkan orang yang kurang agamanya, atau bukan dari golongan yang berpendidikan agama; manakala yang berketayap sudah pasti dari kumpulan yang mendapat pendidikan agama dan boleh dipercayai orang yang kuat agamanya. Sekarang timbul soalan baru: Adakah cara berfikir rakyat ini perlu dilanjutkan selama-lamanya? Bagaimana jika dikemukakan slogan Satu Islam untuk Malaysia? Jadi tidak ada lagi Islam Hadhari, Islam PAS, Islam UMNO dan lain-lain. Kata orang UMNO, mereka sudah ada Satu Malaysia, yang di dalamnya termasuk Satu Islam.

Tentu saja pandangan ini ditentang oleh orang PAS, kerana sudah jelas UMNO menjadikan Islam hanya layak ditempatkan pada kedudukan kedua, bukan kedudukan utama. Bagi PAS slogan Satu Islam itu di dalamnya termasuk Satu Malaysia, yang tentu saja ditolak oleh orang UMNO. Jika orang UMNO menerima slogan Satu Islam, mereka tidak relevan lagi. Yang akan jadi ketua mereka nanti ialah para pemimpin PAS. Adakah ini cara berfikir dalam tamadun Melayu yang dikatakan bercorak Islam itu? Masalah ini tidak pernah timbul, baik di kalangan UMNO mahu pun di kalangan PAS. (Gambar hiasan, pimpinan UMNO bersongkok dan berbaju Melayu)

Tetapi dengan menimbulkan masalah ini, kita boleh melihat dengan jelas bagaimana terpisahnya orang Melayu dari segi politik dan agama. Satu kelompok mewakili kumpulan nasionalis Melayu yang menggunakan agama untuk mendapatkan legitimasi dalam gerakan politik mereka. Inilah UMNO. Satu kelompok lagi mewakili golongan agama (yang di dalamnya termasuk ulama) yang melihat politik sebagai alat yang berkesan untuk mendapat peluang terbuka dalam kehidupan moden, yang hanya boleh dicapai melalui kekuasaan politik.

Kumpulan agama dalam UMNO mengambil jalan pintas berasaskan kekuatan politik UMNO untuk mendapat faedah politik itu bagi diri mereka. Dalam konteks ini mereka adalah golongan oportunis. Bolehkan kita membuat kesimpulan yang sama tentang golongan nasionalis dalam PAS? Para penganalisis politik berkata, kedua-dua parti Melayu ini menjadi tempat hijrah ahli politik yang ditolak oleh UMNO yang akan diberi tempat dalam PAS; dan sebaliknya. Kata mereka, ini tidak bererti kedudukan ini sama dengan peri bahasa “dua kali lima” yang terkenal itu.

Apa yang terjadi, kata mereka, kedua-dua parti Melayu itu menggunakan orang buangan itu untuk mendapat kekuatan baru dengan menggunakan orang buangan tadi sebagai bukti kelemahan pihak lawan. Adakah ini pun jenis tamadun Melayu yang baru timbul setelah mereka pandai berpolitik? Jika kesimpulan ini benar, maka kita boleh melihat bagaimana parti nasionalis dan parti agama tidak berasa janggal menggunakan orang buangan sebagai alat politik mereka. Dalam konteks ini, kita tidak boleh bercakap tentang kebenaran dan kejujuran, kerana semuanya ditentukan oleh matlamat politik yang tidak semestinya jujur.
Di sinilah terdapat persamaan antara kepemimpinan UMNO dan PAS. Adakah ini yang menyebabkan PAS mengajak UMNO untuk menubuhkan kerajaan perpaduan? Kita harus ingat, masing-masing mempunyai muslihat politik tersendiri; dan tujuan muslihat politik itu hanya satu, iaitu melemahkan kedudukan pihak lawan dengan menunggang mereka jika terdapat isyarat mereka boleh ditunggangi untuk mendapat matlamat politik masing-masing. Adakah inilah budaya politik yang dipakai oleh UMNO dan PAS untuk mendapat matlamat politik mereka?
Soalan ini penting kerana jawapannya berada dalam cara berpakaian dan bertindak kedua-dua parti Melayu ini. Biarlah para penganalisis politik memikirkan persoalan ini dan memberikan jawapannya dalam analisis politik mereka. Kita pun harus ingat, lebih ramai yang memihak kepada salah satu kumpulan, dan sangat sedikit yang bertunjangkan analisis ilmiah yang objektif. Jadi sudah jelas betapa korupnya budaya politik Melayu ini. - [7/6/2009]. Mohd. Affandi Hassan

No comments:

Post a Comment