Friday, June 5, 2009

DARI LAMAN BLOG

Kes dera semakin terdedah:
Mencari definasi yang sukar

Barangkali isu Manohara Odelia Pinot, 17 yang berstatus Cik Puan Temenggung Kelantan tak akan meledak, kalau tak dikaitkan dengan penderaan sekalipun definasinya masih kabur. Bekas model Indonesia itu mendakwa dilayan dengan unsur-unsur kebinatangan (yakni tak berperi kemanusiaan). Di samping kerajaan Kelantan (tak diketahui sama ada maksudnya kerajaan negeri Kelantan atau kerajaan Malaysia) tak mengambil langkah-langkah segera bagi mengatasi masalahnya. Bagaimanapun sumber istana Kelantan menyebut, Manohara marah disebabkan didesak bangun pagi untuk solat subuh.

Tak tahulah! Tetapi Manohara berlepas ke Jakarta dari Singapura dua hari lalu dengan bantuan ahli perniagaan Malaysia Dato' Qadar Shah (Dato' Kadar Shah bin Tun Sulaiman Ninam Shah), tetapi ironinya dengan keizinan Tengku Temenggung, suaminya. Sebaliknya kes penderaan tak sama dengan 'buli' barangkali atau kepada anak-anak kecil dipanggil 'sakat'; justeru dikalangan pawang juga istilah 'sakat' disebut apabila hantu puaka 'merasuk' mangsa. Begitulah! Apalagi lanskap politik yang kalut menyebabkan isu berkenaan semakin meledak, berikutan media di Indonesia menjadikan ianya bahan laporan yang sensasi.

Dalam politik juga kes penderaan boleh dianalisis dengan insiden 'rampasan kuasa' di DUN Perak, apabila pihak yang merasa kuat mahu 'membuli' dengan pelbagai cara. Tak boleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) digerakkan bagi memerangkap mangsa, kekuatan pasukan bersenjata dan mahkamah dikerah melaksanakan misi. Pada dekad 1980-an, Tunku (yang diberi gelaran Bapa Kemerdekaan) pun tak berapa nak percaya apabila kes S46 dibawa ke mahkamah. Justeru Dato' Seri Najib Tun Razak (ketika itu Ketua Pemuda sahaja), mendesak kerajaan menarik balik gelaran 'Bapa Kemerdekaan' daripada Tunku. Siapa yang beri gelaran itu rakyat atau UMNO?

Najib juga yang sebut dalam ucapannya merasmikan sidang Wanita, Pemuda dan Puteri di PWTC 24 Mei 2009 lalu : 'RAJA BERTAKHTA TAPI TAK BERKUASA' - ianya juga boleh ditakrif sebagai 'mendera'. Kalau dalam adat pepatih disebut 'Dilepas kepala, diuja ekor' - apa maknanya bertakhta tetapi tk berkuasa? Bukan sahaja Najib dan UMNO; pembangkang juga melakukan 'dera' apabila merasa dirinya berkuasa. Pimpinan yang berkuasa akan menyingkirkan pimpinan lain yang berpengaruh, di samping bertanding pada pilihanraya di kawasan selamat.

Mudah sahaja mahu mengenalpasti kawasan selamat kepada pembangkang, misalnya kawasan yang tak pernah kalah sekalipun lokasinya di Pulau Pinang, seseorang yang berkuasa dalam parti akan ke sana untuk mencari kawasan selamat dengan meninggalkan lokasi di Melaka. Pimpinan yang tak sehaluan wajar disingkirkan dengan menggunakan pengaruh si ayah mengikut tradisi parti, dalam tahap penderaan yang sukar ditafsirkan. Justeru PRU12 kebetulan pula 'tuah' menyebelahinya ketika pihak lawan kucar-kacir, mundar-mandir dan nanar-pandir. Aduhai!

-Pak Dharma

No comments:

Post a Comment