Thursday, June 4, 2009

DR MAHATHIR IKTIRAF KMM


Melayu lebih awal berjuang merdeka:
Tak mahu Perjuangan UMNO diperlekeh

oleh:
Tun Dr. Mahathir Mohamad
(Bekas Perdana Menteri Malaysia)


1. Terdapat usaha berterusan untuk memperlekeh perjuangan UMNO dan orang Melayu untuk kemerdekaan.

2. Kononnya orang yang pertama memperjuangkan kemerdekaan ialah Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya. Chin Peng lah yang cuba membebaskan Malaya daripada penjajah British sebelum mana-mana orang Melayu mencuba melakukannya.

3. Perjuangan UMNO adalah kemudian dari itu.
4. Chin Peng bukanlah orang yang pertama yang memberontak melawan British. Sebelum Parti Komunis Malaya (PKM atau MCP - Malayan Communist Party), sudah ada Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak sebelum Perang Dunia II. Mereka tidak mendapat sokongan penuh daripada orang Melayu Semenanjung kerana mereka cenderung ke kiri. Dengan itu perjuangan mereka tidak begitu berhasil. Namun terdapat beberapa pertubuhan yang secara tidak langsung mewarisi perjuangan mereka. Malay Nationalist Party atau Party Kebangsaan Melayu, Angkatan Belia Insaf dan Putera adalah di antara pertubuhan yang meneruskan perjuangan KMM. Mereka juga tidak mendapat sokongan daripada majoriti orang Melayu kerana disyaki dipengaruhi oleh Komunis.

5. Selepas KMM barulah datang Chin Peng dan PKM. Chin Peng berjuang untuk mendirikan sebuah Communist Dictatorship di mana dia akan menjadi diktator. Bagi orang yang bukan Komunis, terutama bagi orang Malayu kejayaan Chin Peng bukan akan membawa kemerdekaan tetapi mengganti penjajahan British dengan penjajahan Komunis pimpinan Chin Peng dengan majoriti daripada pemerintahan terdiri daripada kaum Cina. Melayu yang akan ada dalam pemerintahan Komunis ini hanyalah hiasan, seperti juga kita lihat keadaan di Singapura sekarang.

6. Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu lambat laun akan terhapus.

7. Sebab itu Melayu yang sedikit yang mirip ke kiri pun tidak ingin menyertai MCP. Keadaan dalam MCP sepanjang ia mencuba rebut kuasa, mulanya daripada British dan kemudian daripada Kerajaan Campuran Perikatan dan Barisan Nasional, memberi gambaran akan pemerintahan Chin Peng jika ia berjaya. Orang Cina Komunis akan menjadi pemerintah tetapi Komunis Melayu dengan orang Melayu dan India akan diberi peranan yang kecil dan tidak bermakna sama sekali.

8. Inilah sebabnya yang orang Melayu tidak menyertai pemberontakan MCP melawan British, dan tidak anggapnya sebagai perjuangan untuk kemerdekaan Malaya.

9. Dengan kesedaran dan kepercayaan ini maka orang Melayu telah tubuh badan yang tersendiri untuk betul-betul memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Badan yang ditubuh ialah UMNO.

10. Orang Melayu tidak percaya yang pemberontakan bersenjata akan berkesan. Ini adalah kerana negara yang akan di warisi jika menang sekalipun sudah tentu akan rosak teruk kerana peperangan.

11. Pendekatan orang Melayu dan UMNO mengambilkira kemampuan mereka. Mungkin perjuangan UMNO tidak gah seperti perjuangan kemerdekaan bersenjata di negara-negara lain, tetapi kemerdekaan yang dicapai oleh UMNO lebih bermakna kerana Malaysia dapat menegak pendirian sendiri dan mengecam kuasa besar di dunia apabila mereka membuat kesalahan.12. Sesungguhnya UMNO lah yang perjuangkan kemerdekaan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan yang bermakna. Chin Peng berjuang untuk mendirikan pemerintahan diktator Komunis yang akan menjajah orang Melayu dan kaum-kaum lain juga.

No comments:

Post a Comment