Friday, June 26, 2009

INFO LUAR NEGARA

Obama diberi amaran:
'Jangan berlagak macam Bush'


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menuduh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bersikap seperti bekas pemimpin George W Bush dalam urusannya dengan Iran serta mahu beliau meminta maaf kerana mencampuri hal-ehwal dalaman negaranya berikutan pilihan raya terbaru di Teheran. "Obama silap menyebut semua perkara itu. Persoalannya, mengapa beliau boleh terjebak dalam perangkap dengan membuat ulasan seperti apa yang pernah dilakukan oleh Bush," lapor agensi berita Fars yang memetik Ahmadinejad sebagai berkata. Obama dilaporkan berkata beliau 'ngeri dan marah' dengan kekerasan ke atas penunjuk perasaan yang membantah kemenangan Ahmadinejad.

Kira-kira 20 orang terbunuh dalam demonstrasi sejak polis dan militia memenuhi jalan raya di Teheran sejak Sabtu lalu bagi menghalang bantahan paling meluas sejak revolusi Islam pada 1979. Keadaan ini menyukarkan Obama mendekati Iran berhubung program nuklear-nya, dengan Teheran menyalahkan Britain dan Amerika kerana menghasut keganasan. "Saya harap anda mengelak dari campur tangan dalam hal-ehwal Iran dan meluahkan kekesalan dengan cara diketahui negara ini," kata Ahmadinejad.

Tokoh pembangkang Iran, Mir Hossein Mousavi, berikrar meneruskan cabaran kepada pilihan raya itu yang disifatkan mereka dicemari penipuan. Laman web Mousavi mendakwa 70 profesor universiti ditahan selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pembangkang itu. Ada laporan mengatakan lebih 100 ahli Parlimen menolak jemputan meraikan kemenangan Ahmadinejad. Seramai 105 daripada 290 anggota dewan tidak hadir. Dalam perkembangan lain, Presiden Venezuela, Hugo Chavez menuduh Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjadi dalang di sebalik protes anti kerajaan di Iran. – Agensi/http://www.bharian.com.my.

No comments:

Post a Comment