Monday, June 15, 2009

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...


Kerajaan Perpaduan dan
hakikat politik Melayu

Tiga perkara terserlah dalam huru-hara penubuhan “kerajaan perpaduan”. Pertama, huru-hara itu menyerlahkan kemiskinan berfikir ahli politik Melayu. Kedua, huru-hara itu menyerlahkan betapa tidak jujurnya ahli politik Melayu. Ketiga, ahli politik Melayu sanggup berbuat apa saja untuk mencari pengaruh dan publisiti. Sekarang sedikit penjelasan tentang istilah huru-hara. Di kalangan polis dan tentera, huru-hara berlaku jika polis memukul orang ramai yang berhimpun dan orang ramai membalas balik dengan cara mereka.

Sekiranya polis sebelah pihak saja memukul orang ramai, maka bagi polis perbuatan itu pun dikira huru-hara kerana orang ramai menentang polis yang menyuruh mereka bersurai walaupun mereka diam dan tidak berbuat apa-apa. Walau apa pun yang terjadi, misalnya jika yang dipukul polis itu mati, maka polis tetap berada di pihak yang benar dan mereka berbuat demikian (memukul hingga mati) menurut undang-undang. Jadi huru-hara adalah satu istilah yang baik untuk menggambarkan kejahatan orang ramai atau rakyat dan kebaikan polis dalam melaksanakan undang-undang.

Dalam keadaan huru-hara itu polis boleh berbuat apa saja kerana semuanya mengikut undang-undang. Bagaimana pula istilah huru-hara apabila dihalakan ke arah perdebatan politik? Dalam apa juga perbincangan yang tidak jelas buah butirnya, yakni kedua-dua belah pihak tidak jelas tentang maksud mereka yang sebenar; tetapi mereka jelas dari segi mengaut faedah daripadanya, yakni mereka tahu mereka akan mendapat keuntungan dari segi pengaruh atau publisiti, maka dalam konteks ini ahli-ahli politik yang terlibat dengan sengaja mewujudkan keadaan huru-hara untuk mendapat faedah peribadi.

Jika dalam situasi pertama kita lihat polis berbuat apa saja dalam keadaan huru-hara yang mereka cipta yang semuanya dilakukan mengikut undang-undang, maka dalam situasi kedua di kalangan ahli politik pula mereka menggunakan huru-hara kekeliruan yang mereka timbulkan itu sebagai strategi untuk mencari pengaruh, dengan itu keadaan huru-hara itu adalah baik bagi mereka. Dengan menggunakan istilah huru-hara ini kita boleh melihat pembohongan yang menjadi dasar tindakan manusia dalam mencapai maksud jahat mereka. Oleh itu istilah huru-hara adalah penting kerana telah diberi konteks yang khusus untuk menjadikan pembohongan sebagai dasar tindakan yang seolah-olah mencerminkan kebaikan.

Kata orang UMNO, kerajaan perpaduan adalah gagasan besar yang memerlukan perbincangan teliti antara UMNO dan PAS, demi kepentingan rakyat, negara dan agama. Kata ahli politik PAS pula, kerajaan perpaduan akan menyelesaikan semua masalah negara, terutama sekali tentang perpaduan Melayu. Kedua-dua belah pihak sebenarnya berbohong dan mereka tahu mereka berbohong. Sekarang inilah huraiannya. Kerajaan perpaduan adalah satu “konsep” palsu jika dikaitkan dengan rakyat, negara dan agama; tetapi “konsep” itu boleh dipakai untuk menyerlahkan laku perangai buruk ahli-ahli politik.

Kerajaan perpaduan telah dilaksanakan zaman Tun Razak dan Mohd. Asri Muda antara UMNO dan PAS, tetapi gagal. Tidak ada sebarang kemajuan, malah UMNO melihat PAS berjaya menembusi kawasan mereka. Ini membuat UMNO marah, yang akhirnya PAS menerima padah untuk disingkirkan dari kerajaan campuran alias perpaduan itu zaman Hussein Onn. Jadi dari segi sejarah, kedua-dua belah pihak sudah pernah membentuk kerajaan perpaduan selepas UMNO kalah teruk dalam pilihan raya 1969. Oleh itu untuk ketua UMNO berkata kerajaan perpaduan adalah cadangan baru adalah satu pembohongan dan penyelewengan sejarah.

Adakah orang UMNO buta sejarah atau sengaja tidak mahu mengaku kebenaran sejarah? Dua perkara yang jadi pegangan UMNO ini menimbulkan huru-hara besar dalam politik, kerana kejahatan UMNO merampas kuasa di Perak seolah-olah tidak bererti lagi, kerana tindakan mereka dihalalkan melalui undang-undang yang mereka sendiri buat. Dalam konteks inilah kita harus melihat bagaimana PAS ditendang keluar dari pakatan dengan UMNO/BN kerana pada waktu itu UMNO merasakan mereka tidak perlukan PAS lagi.

Adakah sekarang mereka sekali lagi perlukan PAS hingga melayan permintaan PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan? Dalam konteks inilah UMNO dan PAS menyerlahkan kelemahan berfikir ahli politik Melayu. Mereka tidak peduli untuk menangani masalah negara mereka sendiri yang lebih penting. Adakah mereka tidak tahu? Malaysia sekarang memerlukan tiga jenis tindakan berani dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kezaliman yang sedang berleluasa sekarang.

Pertama, masalah keadilan agihan kekayaan negara. UMNO telah gagal selama 52 tahun untuk mewujudkan keadilan dari segi agihan kekayaan negara ini, dengan menindas orang Melayu sendiri. Yang paling teruk ditindas dan dipinggirkan ialah rakyat Kelantan, yang dibalun dengan kejam kerana tidak memilih UMNO/BN. Mereka dikutuk tidak maju-maju selama 50 tahun selepas merdeka kerana menentang UMNO. Tidak ada pembangunan, kata UMNO. Jika UMNO menjadikan agihan kekayaan negara sebagai prinsip pembangunan negara, tidak timbul penindasan dan peminggiran ini. Semua rakyat berhak mendapat hak mereka untuk dibangunkan.

Mereka juga berhak memilih kumpulan mana yang mereka suka. Tetapi kebebasan ini tidak diberikan kepada rakyat, oleh itu ketika PAS memerintah Terengganu, hasil minyaknya ditahan. Tidakkah ini satu perbuatan yang sangat jahat? Sekarang mereka, yakni UMNO, mengutuk kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat tidak membawa apa-apa kemajuan walaupun sudah diberi peluang memerintah Kurang Dari Satu Tahun, berbanding dengan mereka yang telah memerintah 50 tahun. Cara berfikir, cara bertindak, dan cara berhujah UMNO dan ketua-ketua UMNO semuanya mendorong perpecahan masyarakat, terutama orang Melayu.

Walaupun slogan baru mereka “rakyat diutamakan”, tetapi rakyat tidak bebas menyuarakan hak mereka. Rakyat yang menentang UMNO/BN masih selamat kerana belum ada lagi kem tahanan yang boleh memuat berjuta manusia seperti yang dibangunkan oleh Hitler dalam Perang Dunia II. Tetapi para pemimpin pembangkang tidak selamat kerana mereka boleh ditahan tanpa sebab bila-bila masa saja. Ada undang-undang dan ada aparatus kerajaan untuk melaksanakan semua ini. Motif utamanya bukan keadilan dan keselamatan negara, tetapi keselamatan para pemimpin UMNO/BN yang akan terlucut kuasa jika kebebasan rakyat tidak disekat.

Perkara kedua ialah peranan zakat dalam sistem ekonomi Malaysia. Pada waktu ini tidak ada sistem zakat yang cekap tersusun, oleh itu PAS sebagai sebuah parti politik dibolehkan mengutip zakat di kalangan ahlinya dan juga di kalangan orang ramai yang menyokong PAS. Dalam kerajaan UMNO/BN, yang digalakkan dan dibesar-besarkan ialah kutipan zakat, bukan pembahagiannya. Kutipan sangat banyak dengan adanya kesedaran orang Islam terhadap kewajipan membayar zakat, apatah lagi apabila zakat gaji diperkenalkan. Tetapi apa jadi kepada wang zakat? Tak seorang pun tahu, termasuk yang mengendalikannya.

Yang mengendalikan tidak tahu oleh sebab setiap kali diminta penjelasan dan angka-angka tentang pembayaran kepada yang berhak menerimanya, maka penjelasan itu sentiasa berubah-ubah. Penerima zakat juga tidak pasti mengapa dia menerima zakat dalam bentuk bayaran kecil-kecilan melalui kerenah pentadbiran yang rumit. Pendeknya, zakat adalah masalah besar dalam pentadbiran Malaysia kerana tidak ada akauntabiliti. Masalah zakat ini lebih besar dan lebih rumit daripada perpaduan Melayu, lebih penting diselesaikan dengan tuntas.

Tetapi kerajaan tidak berminat, malah selagi bertambah misteri tentang zakat, selama itulah zakat boleh dipergunakan dalam bentuk dan maksud yang dikehendaki oleh pemerintah. Menyelesaikan masalah zakat ini jauh lebih penting daripada membentuk kerajaan perpaduan yang ternyata karut dari segi politik dan matlamatnya. Masalah besar ini jauh lebih penting daripada slogan satu Malaysia yang kini sudah menjadi nyanyian UMNO di mana-mana. Jika sistem zakat diwujudkan dan pelaksanaannya diuruskan dengan amanah, kemiskinan di kalangan orang Islam dapat dihapuskan dengan segera dan berkesan. Murid-murid Islam yang miskin juga tidak lagi terhalang untuk mendapat pendidikan.

Malah, zakat akan melahirkan ramai pelajar pintar, mungkin yang mencapai peringkat genius, jika dibantu dengan wang zakat dan dipantau dengan cekap kemajuannya. Kerajaan sudah sepatutnya mewujudkan Baitulmal Zakat yang diurus dengan cekap dan amanah oleh pakar kewangan dan akaun. Mengapa persoalan ini tidak pernah ditimbulkan? Sebabnya mudah: jika Baitulmal Zakat diwujudkan, sukarlah penyelewengan wang zakat dilakukan oleh ahli politik. Ketiga, tentang pembangunan.

Pembangunan di Malaysia dikhususkan kepada bangunan, misalnya dengan membangun stadium yang runtuh, atau rumah-rumah di lereng bukit yang runtuh dengan korban kematian, atau bangunan megah Kehakiman yang silingnya pecah dan air melimpah yang juga tidak ada kemudahan untuk OKU (yang memakai kerusi roda terpaksa diusung: tidakkah ini gila namanya bagi negara yang megah membangun!), atau pembangunan yang tidak kena mengena dengan rakyat, misalnya lapangan lumba kereta.

Apa yang terjadi ialah pembangunan dalam konteks fasad, penyelewengan dan korupsi seperti yang dikutuk dalam al-Quran. Pembangunan jenis ini banyak pembaziran dan kerugian wang; kos yang seratus juta menjadi tiga ratus juta (misal: pembinaan stadium runtuh di Terengganu pada mulanya dianggar RM190 juta, tiba-tiba jadi RM292 juta dan runtuh pula, kena belanja berpuluh juta lagi, kemungkinannya ratus juta.) Jika konsep pembangunan seperti yang dikonsepsikan oleh EPU (Economic Planning Unit) masih diteruskan, maka kita akan terus menghadapi pembaziran dan pembangunan bercorak fasad itu.

Jadi apa yang kita perlu buat? Kita perlu merombak semua idea tentang pembangunan negara. Pembangunan negara harus berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan model-model Barat yang menggalakkan fasad. Konsep pembangunan itu telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas. Mengapa kita tidak menggunakan pemikiran seorang genius Melayu yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada Malaysia ini?

Jadi baik UMNO mahu pun PAS, apatah lagi PKR yang ketuanya dididik oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak menjadi pemimpin pelajar lagi, harus menerima hakikat bahawa di Malaysia sudah ada seorang pemikir genius yang ideanya boleh digunakan untuk membangun negara ini. Kita tidak perlukan slogan satu Malaysia. Yang kita perlukan ialah pembangunan secara beradab. Nampaknya tidak ada ahli politik yang berminat tentang pembangunan beradab ini. Adakah kerana mereka begitu biadab hingga tidak tahu lagi makna adab yang sebenarnya? - [15/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

No comments:

Post a Comment