Thursday, July 16, 2009

DARI PEJABAT ANWAR IBRAHIM

Betapa ghairah SPRM bertindak
Tapi, skandal PKFZ cuba dilenyapkan

oleh: Dato' Seri Anwar Ibrahim

Semalam di perkarangan Mahkamah Tinggi, saya menyelar keras tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku alat pimpinan UMNO.Kenyataan tersebut dikeluarkan satelah menyaksikan betapa ghairah SPRM bertindak terhadap ADUN Pakatan Rakyat Selangor. Walhal rasuah yang melibatkan dana berbilion ringgit saperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), pembelian senjata, dan lain-lain cuba dilenyapkan! Dan hari ini, akibat tindakan kasar terhadap petugas Pakatan Rakyat, menyaksikan tragedi kematian pembantu YB Ean Yong Hian Wah iaitu mendiang Teo Beng Hock. Apakah SPRM akan menjelaskan keadaan sabenar, dan siapa yang mengarah tindakan rakus terhadap Pakatan Rakyat? Dan apa peranan pimpinan kerajaan UMNO-BN dalam percaturan SPRM kini?

Keputusan Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan agar pihak pendakwaan membekalkan bukti serta dokumen kepada barisan peguam kecuali bukti yang saya kira amat penting; sampel asal DNA penuduh. Ramai yang melihat keputusan tersebut merupakan petanda positif, namun pengalaman difitnah lebih 10 tahun lalu seraya mengingatkan saya agar sentiasa berwaspada. Jika benar keadilan mahu ditegakkan, gugurkan pertuduhan fitnah jahat kali kedua ini dan tak perlu berdolak-dalih lagi.

Pimpinan UMNO-BN Gagal Tangani Kemelut Ekonomi

Sayugia diingatkan, kenyataan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) hari ini mengesahkan kebimbangan saya berhubung kedudukan ekonomi negara. Sungguhpun beberapa langkah pemulihan ekonomi yang disaran olih Pakatan Rakyat diterima pakai kerajaan, kedudukan ekonomi rupanya tidak akan pulih dalam masa terdekat ini. MIER menyatakan ekonomi negara memerlukan sekurang-kurangnya tambahan RM 8 bilion bagi meransang kembali ekonomi akibat penguncupan yang mencecah 4.2%. Perkembangan ini memperlihatkan kelemahan pimpinan negara dalam menangani isu mendesak dan berkepentingan umum. Sikap tunggu dan lihat pastinya tidak membantu membawa negara ini keluar dari kelembapan. Retorik dan omong kosong perubahan pastinya menjadi jenaka andai tidak disusuli dengan tindakan bermakna.

No comments:

Post a Comment