Monday, July 27, 2009

Info ringkas pagi Isnin...

Amaran angin kencang, laut bergelora

27/07/2009 3:39am

KUALA LUMPUR 27 Julai - Angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, dijangka berlaku di kawasan utara perairan Condore, Reef North, Pulau Layang-layang dan Palawan (Utara Sabah) bermula hari ini sehingga Rabu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini malam tadi memaklumkan bahawa keadaan itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi laut.

Ribut petir di perairan Laut Sulu dijangka berterusan sehingga pagi ini yang boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Bekas Ahli Parlimen Pakistan ditahan kes pembunuhan jurutera Poland

27/07/2009 3:39am

WARSAW 26 Julai - Bekas Ahli Parlimen Pakistan ditahan berhubung dengan penculikan dan pembunuhan seorang jurutera Poland oleh Taliban, menurut Kementerian Luar Poland semalam.

Shah Abdul Aziz disoal siasat di Pakistan berhubung dengan pembunuhan Piotr Stanczak, 42, yang dipenggal kepalanya pada Februari lepas selepas diculik semasa bekerja di negara Asia itu.
“Kami telah dimaklumkan bahawa penahanan bekas ahli parlimen itu berkait dengan penculikan dan pembunuhan Stanczak, kata jurucakap kementerian, Piotr Paszkowski kepada AFP.

Aziz ‘sangat aktif’ di dalam perbincangan bersama penculik Taliban itu, jelas jurucakap itu.
“Tetapi saya akan berhati-hati untuk menyatakan bahawa dia adalah dalang penculikan dan pembunuhan tersebut,” tambahnya.

Pendakwa raya Poland mahu terlibat dalam proses soal siasat itu tetapi permintaan tersebut ditolak, kata Paszkowski.

Penangkapan itu dilakukan 10 hari selepas polis menahan salah seorang pembunuh Stanczak, Attaullah Khan, di ibu negara Pakistan, Islamabad.

Menurut agensi berita Poland, PAP, Khan menyatakan bahawa Aziz adalah dalang pembunuhan itu. - AFP

MUTAKHIR

Gempa kuat gegar Bengkulu, Sumatera

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 6.2 magnitud melanda bandar Bengkulu di Sumatera, awal pagi tadi. Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa yang berlaku jam 6.10 pagi waktu tempatan (2310 GMT) itu berpusat di 135 kilometer di barat daya bandar Bengkulu, di barat Sumatera. Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai kerosakan dan mereka yang cedera. - AFP

No comments:

Post a Comment