Friday, July 31, 2009

Pilihan raya kecil lagi...


Belasungkawa keluarga Hamdan:
Adun PAS Permatang Pasir meninggal dunia


Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Pulau Pinang Dato' Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Sekalipun secara peribadi hubungan pimpinan PRIMA tak begitu akrab, tetapi ianya dikira rakan seperjuangan yang sama-sama menentang perhambaan minda menerusi wadah yang berbeza. PRIMA difahamkan menerusi kenyataan media Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man jenazahnya di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu. - (Gambar fail - Hamdan bersama Wan Azizah)

Menurutnya, allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. "Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an.

Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya. Baru-baru ini allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71. Jenazah allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini. Pimpinan PRIMA mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan pimpinan PAS, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.

No comments:

Post a Comment