Monday, August 3, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA

5 PUISI YASSINSALLEH

Dah Nak Buat Camno

Rendah hati dan tinggi budi
tapi jalan kaki takkan siapa peduli
tertib dan hemah
adalah tanda lemah
tulus dan ikhlas
adalah sifat peminta sedekah
hinanyalah;
sedih, perih, pedih.

Buat apa hidup
papa dan nestapa
mari kita jadi
orang terhormat
banyak duit,
banyak harta
banyak kereta,
banyak rumah,
banyak riak,
banyak takabur,
banyak kuasa,
banyak dusta,
banyak dosa,
dan banyak jilat
dan banyak ampu
dan banyak tipu
banyak rasuah
kaya merempah ruah.

Alhamdulillah, syukurlah
di belakang orang hina
kata katak lompat
di hadapan orang hormat
panggil datuk
berebut nak bukakan
pintu kereta
dalam hati kata
pandai sungguh binatang ni.

Kalau aku dapat
jadi macam dia kan untung
kaya raya dan jadi pejuang
kekalkan ISA walaupun dulu
kena sumbat di Kemunting,
bersumpah nak mansuhkan ISA
P Ramlee kata,
"Celaka punya penyamun,
sial!"

-Yassinsalleh
Jam 1737
Ogos 09
jalan kaki hala
ke stesen lrt
nak pegi chowkit
kalau-kalau dapat
jumpa runner menteri.

Yang Celaka Khianat
Dan Laknat

Carik-carik bulu ayam
lama-lama bercantum jua.

Makanya, yang jauh kta dekatkan
yang jarak kita rapatkan
yang tempang kita tongkatkan
yang condong kita sokongkan
yang berkelahi kita damaikan
yang bercerai kita rujukkan
yang berpecah kita satukan
yang diperbantah kita muafakatkan
yang lemah kita gagahkan
yang merajuk kita pujukkan
yang memimpin kita muliakan
yang dipimpin kita setiakan
yang berkuasa kita amanahkan
yang melata kita sejahterakan.

Kiranya,
tak bulat air dek pembetong
kalaulah tak turun hujan
dek langit berdentum
andainya tak bertaut
kiambang bila biduk dah berlalu
jikalah tak pulang
sirih ke gagang
membawa pinang
kembali ke tampuknya;
sahajalah kita
adalah suatu bangsa
yang menempah petaka
menatang kesumat
mengundag bencana
bagaikan membakar
padi di kepuk
mencurah racun ke telaga
untuk warisan cucu-cicit kita
tinggalan nenek moyang mereka
yang celaka, khianat dan laknat.

-Yassinsalleh,
jam 0337
Ogos 3, 09
merenung langit
Kuala Lumpur
yang kehilangan bintang.

Hanyut Jadi Selut

Macam aur dengan tebing
dua pihak bersatu
dalam suatu kesepakatan
yang saling perlu memerlukan
dan saling tahan mempertahankan
bertahun-tahun berkurun-kurun
tebing tak runtuh
aur tak tumbang.

Batapalah kukuhnya
bangsaku Melayu
kalaulah orang Melayu itu
aur dan tebing
adalah pemimpinnya.

Betapa pun sungai menerjah
kita tetap teguh dan perkasa
bagaimanapun sungai bah
kita tetap bertambah gagah
dan megah.

Aduhai,
tebing yang berpaling
aur kau biarkan tumbang
dibelah-belah menjadi colok berhala
diracik-racik menjadi sepit makanan
diikat-ikat menjadi rakit
hanyut ke muara berkecai di segara
dan tebing tanpa aur
terhakis roboh jadi lumpur
hanyut jadi selut.

-Yassinsalleh
jam 0221
Ogos 3, 09
ribuan mata tersula
di jantung Kuala Lumpur
yang kian tak bertebing
sungainya.

Hari Ini Kuala Lumpur 2

(versi yang mutakhiri)

Segalanya sempol-sempol,
adanya.

Hari ini Kuala Lumpur
menyaksikan serti kesetiaan
your obedient servants
yang menurut perintah
mempertahankan keselamatan
pemerintah yang marah
bila orang beramai-ramai
buat salah
pemerintah yang tak suka
bila orang ramai-ramai
langgar undang-undang
bila orang ramai-ramai
tak reti basa
bahawa negara kita
ada perlembagaan
ada rukun negara
ada undang-undang
ada general erection
every five years!

Jahat sungguh orang-orang tu
semua buat malu Malaysia je!

-Yassinsalleh
jam 2243
Ogos 1, 09
Nak pergi jumpa doktor,
lama sangat main
sengal habis telur.

Payah, Duit Takde!

Duit takde
nak rompak Bank Rakyat
tak sampai hati
sebab itu rakyat punya
Bank Bumiputra
pun tak boleh juga
sebab bank itu
dah takda
Maybank pulak
takut kena baham
dek rimau
nak pinjam Ah Long
takut rumah
kena sembur cat merah
payah! payah! payah!

-Yassinsalleh
jam 2200
Ogos 3, 09
Kuala Lumpur
masih basah air mata.

No comments:

Post a Comment