Sunday, July 12, 2009

CORAT CORET PRK MANEK URAI


Pengundi menunggu penampilan Najib:
Calon UMNO macam pilihan Muhyiddin

Persoalan yang belum terjawab biar pun sudah dilontarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada penamaan calon sebelum ini, ialah mengapa Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tak muncul-muncul di Manek Urai, sekalipun kini tinggal sehari lagi kempen menjelang pilihan raya Selasa ini. "Mungkinkah Presiden UMNO takut dengan bayangan Altantuya sehingga tidak kelihatan di Manek Urai sehingga sekarang? Ramai orang tertanya mengapa Perdana Menteri tidak kelihatan," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun pada persidangan media di Markas Induk PAS di sini, hari ini (12 Julai 2009), lapor http://harakahdaily.net/ .

Perdana Menteri nampaknya menyerahkan tugas membawa cabaran UMNO di Manek Urai kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan hari ini beliau hadir pada sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru. UMNO terpaksa menggunakan orang di luar Manek Urai hadir pada program yang dianjurkan memandangkan penduduk tempatan seperti tidak menghiraukan sehingga kehadiran Muhyiddin pun kurang mendapat sambutan. Hari ini ramai guru dari seluruh Kelantan diarah hadir bagi memperlihatkan program dihadiri Timbalan Perdana Menteri mendapat sambutan. Malah guru yang hadir berada jauh dari khemah yang disediakan, seperti tidak menghiraukan ucapan pemimpin UMNO.

Banyak pihak berhujah ketidakhadiran Perdana Menteri membayangkan BN menghadapi laluan sukar di Manek Urai. Malah pengundi-pengundi di Manek Urai juga dikatakan tertunggu-tunggu akan penampilan Dato' Seri Najib. Ketiadaan Dato' Najib juga seolah-olah Ia menggambarkan pemilihan Tuan Aziz Tuan Mat seperti tidak mendapat perkenan Najib, sebaliknya pilihan Muhyiddin. Abdul Fatah juga melahirkan rasa bimbang di atas kehadiran begitu anggota polis di Manek Urai sehingga menimbulkan kecurigaan kerana ramai di kalangan mereka difahamkan tidak mempunyai tugas yang khusus. Katanya, banyak cawangan polis yang dihantar ke Manek Urai termasuk 'special branch', bahagian trafik dan lebih ramai yang kelihatan tidak mempunyai tugas.

Polis halang lalu lintas
"Kita tidak tahu apa fungsi mereka dengan kehadiran yang begitu ramai anggota polis. Kita akan cuba dapatkan maklumat mengenai apa sebenar peranan mereka," katanya. Ditanya dengan kehadiran anggota polis yang kemungkinan wujud pengundi hantu kata beliau, PAS juga merasa bimbang kerana tidak tahu apa sebenar fungsi mereka sehingga terlalu ramai di Manek Urai. Menurutnya kehadiran polis juga menimbulkan rasa resah di kalangan penduduk tempatan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya di Cabang Tiga Laloh.

Kata beliau, polis meletak kenderaan di tepi jalan sehingga menghalang lalu lintas. "Kami berharap pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi penduduk memandangkan kehadiran ramai polis menimbulkan rungutan masyarakat," katanya. Beliau juga mendakwa ada sebuah rumah yang didiami isteri kepada seorang pegawai polis telah dijadikan markas UMNO. Abdul Fatah juga berkata, kerajaan pusat menggunakan secara berleluasan jentera kerajaan bagi membantu kempen BN termasuk Kesedar, Risda, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan banyak lagi kementerian lain. Menurutnya, sehingga kini kerajaan pusat dan Petronas belum lagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti kepada kerajaan Kelantan. - mj/mks. _

SELEPAS SEHARI BN MENANG DI MANEK URAI:

Muhyiddin janji jambatan RM7j:
Dibina sebaik sahaja BN menang

KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) hari ini berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan moden sekiranya parti itu mendapat mandat daripada rakyat, Selasa ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi membuktikan komitmen BN, sebuah jambatan baru akan dibina menggantikan jambatan lama di Kampung Manik Urai Lama, sejurus BN memenangi kawasan itu. "JKR sudah mentaksirkan kos membina jambatan baru itu nanti adalah sebanyak RM7 juta... Kita (BN) janji jambatan baru itu akan dibina sehari (selepas) kita menang.

"Janji capai kejayaan dulu," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manik Urai, di sini petang tadi. Jambatan sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa berusia lebih 40 tahun, menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana tiada sebarang tindakan diambil bagi memperbaikinya oleh kerajaan negeri. Pembinaan jambatan yang amat diperlukan penduduk serta tawaran menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan dilihat sebagai kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa Manek Urai dalam arus pembangunan negara.

Mengulas mengenai kota agropolitan itu, Timbalan Perdana Menteri, berkata kawasan Manek Urai mempunyai ramai penduduk yang terbabit dalam bidang pertanian seperti penoreh getah dan pekebun kecil. Dengan cara itu, pembangunan pertanian akan dilakukan secara lebih tersusun dan sistematik serta bantuan-bantuan berkaitan boleh disalurkan dengan lebih efektif, katanya. Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat membuat tawaran itu kerana sedar kerajaan negeri tidak mampu berbuat demikian dan pada masa yang sama rakyat Manek Urai memerlukan pembelaan. Beliau juga mengulangi cabaran kepada kerajaan negeri pimpinan Pas untuk menyatakan apa yang mereka lakukan untuk pembangunan Islam dan ummah di negeri yang diperintahnya sejak 1990. (Gambar, Manek Urai hadapi PRK sekarang)

"BN kalah pun kita tetap bina 564 buah masjid di seluruh Kelantan," katanya. Kerajaan Persekutuan juga membina banyak kemudahan lain seperti sekolah, hospital untuk kemudahan rakyat. "Saya minta pengundi buat (solat) istikharah. Tidak salah memilih BN kerana BN mampu (membawa perubahan dan pembangunan)," katanya. Antara yang hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat. - Bernama

BAHANA INFLUENZA A (H1N1)

Terpaksa ditutup akibat H1N1:
Sekolah Rendah Sultan Sulaiman Satu

12/07/2009 7:02pm

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) — Sekolah Rendah Sultan Sulaiman Satu di sini ditutup selama tujuh hari mulai Khamis lepas apabila dua murid sekolah itu disahkan positif Influenza A (H1N1). Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata sekolah itu ditutup setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. “Tidak mudah untuk kami menutup sementara sekolah itu. Tetapi setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan supaya berbuat demikian (menutup), barulah ditutup,” katanya di sini hari ini. Ariffin berkata sekolah itu akan dibuka semula Rabu ini dan

Sementara itu dilaporkan dari Melaka jam 6:59 pm, empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah disahkan positif Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata seorang dari empat penuntut itu kini dirawat di Hospital Melaka manakala tiga lagi dikuarantin di asrama kampus itu. “Buat masa ini keadaan di UiTM Lendu terkawal,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen MCA Melaka oleh Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat di Wisma MCA di sini, hari ini. - Bernama

INFO SASTERA & BUDAYA


PUISI

Kicau Murai dan
Nyanyi Serindit

Manek Urai
dan kicau murai
hitam rambut
dan putih uban.

Semesta langit
dan selerak awan
biru putih
sayup saujana.

Nyanyi serindit
di rimbun hutan
hijau daun
menutup pandang.

Timbang menimbang
di Manek Urai
takkanlah bulan
berlangit hijau
padam lampu
gelita malam
rebah mentari
terendam bulan.

Terleraikah nestapa
tinggalan semalam
teruraikan janji
tanpa mahar?

Terburai dan terbarai
atau terleraikah
kusutnya rambut
perawan tua
yang tak lagi
mau berdandan?

Lalu kelkatu kehilangan sayap
terayap-rayap di bekas
tapak tidur petugas tempur
yang tiada lagi asap.

Dan Manek Urai
tidak akan lagi ramai!

-Yassinsalleh
jam 1336
Julai 11, 09
Manek Urai.

SEKALI PERSETUA:

Banyak buruk dari baik:
100 hari Orangkaya PM
Syahdan tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sudah 100 harilah ia menduduki singgahsana di balairongseri. Maka sekalian orang banyak yang hina dina sekaliannya memuji-muji apabila di depan Orangkaya itu, tetapi tetap mencemuh keji sekeji-kejinya apabila di belakang. Adapun akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad itu, tak mengira di belakang atau di depan ia akan kata Orangkaya Dato' Najib itu lebih banyak buruk daripada baiknya. Bekas orangkaya itu bercakap dalam satu majlis selepas menyampaikan ucap utama di balai besar harakah Melayu dikenali orang sebagai PWTC.
Majlis tertutup "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" mengenai pandangannya kepada 100 hari pentadbiran Orangkaya Dato' Seri Najib Razak "lebih banyak yang buruk daripada yang baik". Sebermula yang buruk itu katanya, ialah mengenai cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura. Satu perkara lagi yang dianggap buruk, menurut bekas Orangkaya (Tabib) Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang huh huh huh dalam pentadbiran Najib. Bekas Orangkaya itu berkata, adapun orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan iktisad dan sebagainya.

Arakian setelah berteguh-teguhan janji, maka Seri Nara Diraja pun berlengkap menghimpunkan segala orang-orang besar yang serta menghadap bendahara dan orang lain sekalian. Telah hari malam, maka Raja Kasim naik gajah yang bernama Juara Demang (gamaknya macam Proton Perdana). Seri Nara Diraja mengepalakan gajah. Maulana itu pun sama di atas gajah itu. Maka orang kapal (layar, tetapi sudah bertukar kepada dacing, adanya) pun naik dengan segala alat senjatanya (sperti di Perak, gamaknya). Maka kata Raja Kasim, "Apa bicara tuan hamba, jika bendahara tiada serta kita?". Maka kata Seri Nara Diraja, "Mudah juga pekerjaan itu pada hamba, mari kita ke rumah bendahara." Syahdan tak diketahui pula selepas 100 hari kelak, kerana orang banyak diperbuatnya nyanyi:

Kalau antah dibubuh kanji/Kain sehasta bawa ke muara/Kalau sudah berteguhan janji/Mari kita ke rumah bendahara.

Maka sekalian orang banyak sama-sama menyuratkan 'Kitab Melayu' kepada:




HIDUP BAHASA MELAYU!

SEKILAS PANDANG...

Kalau rebung tak miang:
Buat apa bemban nak miang?



Barangkali sesuai dengan pepatah Melayu (bagi mereka yang taksub PPSMI, tak berapa faham pepatah ni) 'rebung tak miang, bemban pula yang miang'. Pimpinan UMNO tak berapa nak ambil kisah, tup tup tup Utusan Malaysia (Utusan Melayu dah lama lingkup) yang sibuk dengan berita dari Kuala Krai hari ini (12 Julai 209) - Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa akhirnya muncul di Manek Urai bagi membantu kempen pilihan raya kecil dengan meyakinkan penyokong PAS bahawa pergeseran kepimpinan parti itu sudah berakhir. Di samping menyebut kenyataannya yang berbeza kepada pihak media dalam tempoh beberapa jam kononnya pula terus menimbulkan tanda tanya. (Sebenarnya tanda tanya kepada heh heh heh!).

Dengan menampilkan isu Nasharuddin yang pada awalnya seolah-olah menjadi liabiliti bagi parti itu, pada sebelah pagi menghadiri solat sunat Dhuha di Masjid Peria bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun kedua-duanya kelihatan bersahaja, apakah ianya memang memberi manfaat kepada bangsa Melayu atau sekadar untuk kepentingan isy isy isy? Apalagi pengamal media pada 2009, tentu tak pernah mengalami kekemelutan, kekelabutan dankeserabutan pengamal media pada 1969 (atau 40 tahun lalu). Ketika itu Pak Osman Abadi terkebil-kebil mata apabila diserbu sekumpulan mahasiswa. Aduhai!

Isu berkenaan membabitkan Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Zulkifli Ahmad (dikenali Zul Sarimah, kerana ketika itu beliau ialah suami seniwati Dato' Sarimah) mengenai ura-ura MCA mahukan univerisiti aliran Cina (Universiti Tunku Abdul Rahman Putra). Ketika 'Hari Sastera' di Kota Bharu pada 1971 saya mengutuk Zakry Abady (editoriol Utuzan Zaman bersama Subky Latiff), kerana tak menyiarkan 'kenyataan media' Zulkifli. Secara spontan Zakry menjawab: 'Utusan Zaman tu bukan bapak aku yang punya!'. Malah Pak Osman juga tak lama selepas itu memberitahu 'Kalau permit KDN kena tarik, lebih 200 wartawan akan kehilangan kerja, tau tak!".

Fenomena yang berlaku pada awal 1970-an, tak perlulah dilestarikan semula kerana pada 2000-an, media IT terutama laman blog dan laman web mampu menangkis segala laporan media arus perdana yang alahai, alahai! Barangkali media berjaya menghancurkan PAS pada 1978, apabila Presidennya Tan Sri Asri Muda dilaga-lagakan dengan timbalannya Dato' Haji Hassan Adli Arshad dan Menteri Besar Kelantan Dato' Muhammad Nasir, tetapi media arus perdana tak mampu membendung kehancuran UMNO pada 1987, diikuti pada 1998 dan barangkali juga heh heh heh!


-Pak Dharma.

SURAT MENERUSI EMEL

Dr Marwa was killed
Just for wearing hijab

from: Shahzaib Arif

(to Peace-Valley, CSKU2008-2011a, ala_hazrat, dawateislami_i., Islam_Muslims, Islam-in-Urdu, Islamic_circle, islamic_profes., Islamic-ebook, MadaniMahol, noori_softwares, QADRIS, ya_muhammad show details Jul 9, 2 days ago).

July 6 at 3:47 amReply the 32 years old Egyptian doctor Marwa El Sherbini was killed in a German court on the hands of a killer who has accused her of being a terrorist before just for wearing hijab (head veil) he stabbed her 18 stabs after the judge sentenced him to fine and an apology and she was killed before the eyes of her 4 years old son she was pregnant in her 3rd month and her husband was having his m.d he was stabbed too and just recovered from coma to get the terrible news we want a formal apology from the German government.

We Egyptians, Arabs and Muslims are no terrorists and our blood is not cheaper than any other humans guess what? our blood is red too and we breath the same air you breath we want a fair revenge from the killer and a formal apologycontact the German embassy and the parliament for them to know we have a voice our blood is not cheap and tomorrow Tuesday there will be a peaceful stand in front of the German embassy for the soul of an innocent mother killed brutally in cold blood

PERIHAL SI LUNCAI MODEN...

BAHASA INGGERIS BUAT
MELAYU UMNO JADI GILA

Di sana sini kini orang bercakap tentang bahasa Inggeris, selepas UMNO melalui pemimpin besar mereka, Si Luncai Moden (kita sudah lama ada Pak Pandir Moden) meminda mengikut pandai sendiri polisi pendidikan negara dengan menaikkan taraf bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan matematik melalui projek PPSMI. Setelah didesak bertalu-talu oleh orang Melayu dan orang Cina yang taksub bahasa Cina, maka PPSMI dihentikan. Tetapi bahasa Inggeris dipertahankan dengan lebih gigih dengan tambahan perbelanjaan berbilion ringgit dan tambahan guru bahasa Inggeris seribu peratus. (Gambar, Mohd Affandi Hassan).

Adakah kerajaan dan UMNO sudah gila, dan orang Melayu sendiri pun sudah gila berdepan dengan bahasa Inggeris ini? Memang benar dan tepat sekali pemerhatian Prof. Diraja Ungku Aziz bahawa polisi PPSMI adalah polisi gila. Kini benar-benar sudah terjadi. Selepas dihentikan tahun 2012 nanti, sudah kelihatan dengan jelas betapa gelabahnya pemimpin UMNO kerana terpaksa menghentikan pemikiran bernas Si Luncai Baru, pemimpin besar mereka, lebih-lebih lagi apabila Si Luncai Baru dengan sedih yang dibuat-buat (orang ini seorang pelakon yang baik) mengisytiharkan anak-anak Melayu terutamanya akan jadi mundur, tiada pekerjaan, tidak berfikiran moden, tidak berfikiran global, tidak boleh membaca Inggeris apatah lagi memahami bahasa Inggeris, dan akhirnya kata Si Luncai Baru, Melayu akan kehilangan segala-galanya. (Gambar, Ungku Aziz - PPSMI gila).

Para pemimpin UMNO ketakutan mendengar pandangan tidak siuman ini, lalu dengan serta-merta keluar wang berbilion untuk memastikan bahasa Inggeris terus kekal dengan megahnya dalam sistem pendidikan Malaysia selepas gagal meningkatkan penggunaan bahasa Melayu setelah merdeka lebih dari 50 tahun. Semua media, elektronik dan akhbar, riuh rendah memberi amaran kepada orang Melayu bahawa masa depan mereka sangat gelap jika mereka tidak mencintai bahasa Inggeris dan tidak mahu anak-anak mereka belajar bahasa Inggeris. Tidakkah ini suasana gila namanya? Bukan gila sakit mental, tetapi gila kira bicara. (Gambar, Allahyarham Aminuddin Baki, pejuang Bahasa Melayu).

Kegilaan ini sudah merebak di kampung-kampung terpencil kerana terpengaruh dengan analisis palsu dalam TV yang hampir setiap minit mengetuk kepala orang kampung supaya terus percaya kepada UMNO yang menjadi tempat mereka bergantung hidup. Tetapi mujurlah masih ada orang kampung yang siuman. Kata orang kampung yang siuman ini, mereka masih ingat pesan datuk nenek mereka dahulu, zaman penjajahan Inggeris, supaya tidak hantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris, terutama anak-anak perempuan. Kalau mereka tidak jadi Kristian, mereka akan lupa daratan dan menganggap kehidupan mereka hanya akan selamat jika mendapat pekerjaan di bandar-bandar, dan ini hanya akan diperolehi jika anak cucu mereka fasih berbahasa Inggeris.

Kata orang kampung yang sedar ini, yang masih ada harga diri sebagai orang Islam dan percaya Islam saja yang akan menyelamatkan mereka dunia akhirat, orang Melayu sekarang tidak saja memuja bahasa Inggeris, tetapi pada waktu yang sama benci agama mereka sendiri. Kata mereka, itulah yang membuat mereka susah hati. Kini sangat sukar hendak belajar agama. Tidak ada lagi pondok-pondok seperti dahulu. Tidak ada lagi tok guru yang kerjanya hanya mengajar agama secara sukarela, kerana kini ajaran agama hanya diberikan kepada rakyat di TV oleh orang-orang yang menggunakan agama untuk mendapat imbuhan wang yang banyak. (Gambar, Allahyarham Aminuddin Baki, pejuang Bahasa Melayu sejati).

Orang ini bukan ustaz atau lebai, tetapi selebriti yang sama tarafnya dengan penyanyi dan pelakon. Mereka berlakon dalam bicara agama mereka untuk membuat orang tertawa, bukan untuk membuat orang sedar dan cintakan agamanya. Semuanya kini sudah diperdagangkan. Itulah, kata orang kampung yang insaf, yang membuat mereka amat dukacita. Mereka lebih dukacita lagi apabila kini anak cucu mereka diberitahu hanya dengan pandai bahasa Inggeris saja mereka boleh berjaya, jika tidak mereka akan terus jadi miskin, tidak mempunyai kerja yang baik dan tidak mempunyai peluang untuk maju.

Kata mereka, bukan main hebat lagi bahasa Inggeris, lebih hebat daripada zaman penjajahan. Dalam zaman penjajahan mereka bebas mendirikan pondok, tidak ada gangguan dari parti-parti politik seperti UMNO. Kini semua ditentukan oleh UMNO, malah ketua-ketua UMNO dengan beraninya berkata jika pengundi Manek Urai memilih UMNO, mereka pun akan masuk syurga juga, sama seperti mereka memilih PAS. Kedua-dua parti Melayu itu, kata ketua-ketua UMNO, adalah parti-parti yang boleh menjamin syurga kerana kedua-duanya memperjuangkan Islam.

Bukan main hebat lagi ketua-ketua parti sekarang, kata orang-orang tua di kampung-kampung. Mereka mengambil tempat tok-tok guru, walaupun mereka jahil dan tidak jujur seperti tok guru. Mereka adalah pejuang bahasa Inggeris yang bahasa Melayunya sangat buruk dan lemah. Malah bercakap Melayu pun menggunakan bahasa pasar yang tidak bermutu, tetapi boleh digunakan untuk menipu rakyat. Tokoh-tokoh ini sangat banyak bercakap tentang semua perkara, tetapi tidak satu pun boleh dipercayai.

Siapa sangka, selepas merdeka setengah abad, bahasa Inggeris menjadi puaka jahat mengancam keselamatan rakyat Malaysia setelah diberi makan nasi kuning oleh UMNO dalam polisi bahasa untuk menghidupkan bangkai bahasa Inggeris yang ditolak oleh Perlembagaan Malaysia. Yang tertulis dalam Perlembagaan Malaysia tidak dilaksanakan sepenuhnya, manakala yang tidak tertulis diperjuangkan dengan gigih. Jadi semangat bahasa Inggeris, yang tertulis dalam Perlembagaan Malaysia bahawa segala tafsiran tentang apa juga fasal dalam Perlembagaan itu, jika menghadapi masalah, maka versi Inggeris itulah yang muktamad, dijadikan panduan.

Sudahkan ini berubah? UMNO patut diberi pujian tinggi oleh rakyat kerana masih mendaulatkan bahasa Inggeris baik dalam Perlembagaan (yang mesti dibaca dalam bahasa Inggeris jika timbul masalah) mahupun dalam sistem pendidikan negara. Sesuai dengan semangat ini, para menteri UMNO/BN akan bercakap Melayu bercampur bahasa Inggeris pasar (bukan bahasa Inggeris yang baik) untuk menunjukkan mereka boleh berbahasa Inggeris. Sekarang tidak ada lagi saluran Melayu di TV, tetapi masih ada saluran Cina dan India. Yang wujud sekarang ialah saluran Melanggeris (Melayu Inggeris) yang kedua-duanya tidak bermutu. Itulah hakikat sebenarnya tentang kemajuan bahasa Melayu dan Inggeris di Malaysia. - [12 Julai 2009] Mohd. Affandi Hassan.

OBAMA JELING REMAJA PUN JADI HEH HEH HEH!


Gara-gara sidang puncak G8:
Kemiskinan dan pemanasan global

ROME: Golongan muda dari negara membangun serta industri bersatu di L'Aquila di Itali ketika pemimpin Kumpulan Negara Lapan (G8) mengadakan sidang kemuncak. Mereka dikenali sebagai 'Junior 8' atau J8 hadir bagi membincangkan tema kemiskinan dan pemanasan global. Seorang wakil setiap delegasi nasional berpeluang bertemu pemimpin negara mereka untuk mengambil gambar, Khamis lalu. (Gambar, Obama diperhatikan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memandang belakang Travares dalam sesi bergambar di sidang G8).

Wakil Brazil dari Rio de Janeiro, Mayara Tavares, 16, yang alam perjalanan bertemu Presiden Brazil, Luiz InĂ¡cio Lula da Silva, mendapat perhatian Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy serta Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Gambar yang seolah-olah menunjukkan Obama memandang punggung gadis itu kini amat popular di internet. Laman Drudge Report membuat lawak kejadian itu dengan menyiarkan foto itu menggunakan tajuk : 'Second stimulus package' (pakej rangsangan kedua).

Presiden Amerika itu ditunjukkan berada rapat dengan jelitawan Brazil dalam gaya lebih berwaspada. Laman J8 memberitahu latar belakang gadis itu: "Mayara Tavares berusia 16 tahun dan tinggal di pinggir Rio de Janeiro, Brazil. Beliau mewarisi minat nenek dan bapanya untuk mengambil bahagian dalam masyarakat dan pergerakan sosial selain menjadi seorang aktivis memperjuangkan bagi hak kanak-kanak dan dewasa dalam masyarakatnya. - Agensi.

INFO HAK ASASI MANUSIA


Dosa BN tak boleh dimaafkan:
Mangsa ISA dianiaya dan dizalimi

Salmiyah Harun Sat Jul 11, 09 8:54:32 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Hrkh) - Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) di negara ini tidak boleh dimaafkan. "Ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri,"tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu apabila bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan. Semalam Nik Aziz menyifatkan penggunaan ISA terhadap pemimpin lebih teruk daripada istilah 'binatang'.

"Kezaliman Umno menggunakan ISA ke atas pembangkang yang tidak bersalah lebih teruk daripada perkataan itu,"bidas Nik Aziz. Beliau berkata demikian bagi menjawab serangan media yang menyebut beliau mengeluarkan kata-kata kesat termasuk binatang atau 'menate' dalam loghat Kelantan dalam satu ceramah di Manek Urai Dua baru-baru ini. Nik Adli Nik Aziz salah satu anak beliau turut menjadi mangsa tahanan ISA dituduh terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia pada 4 Ogos 2001 kemudian dibebaskan pada 18 Oktober 2006. Mohamad Sabu yang turut mengulas mengenai akta zalim itu turut sama bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am itu dan menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.

Katanya, akta seperti ISA tidak perlu lagi dipertahankan kerana ternyata ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri. Tegasnya yang juga pernah ditahan dibawah akta itu semasa Ops Lalang, kerajaan yang mementingkan kedudukan mereka sahaja sanggup mengggunakan akta ini. Justeru, beliau yang tidak berganjak dari pendirian bahawa ISA harus dimansuhkan meminta seluruh rakyat negara ini turun beramai-ramai pada 1 Ogos nanti untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman kerajaan BN. Beliau yang akan berada di lokasi Masjid Negara pada hari tersebut, percaya himpunan itu akan berlangsung secara aman jika tidak ada sebarang provokasi dari mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Yang dipertua PAS Kawasan Batu Ishak Surin yang pernah ditahan ISA pada 1965 turut merasai kepahitan ditahan dalam tempoh 60 hari. Beliau berkata, mereka yang tidak merasai keseksaan ditahan dibawah akta itu boleh bermacam-macam mengandaikan akta itu ada baiknya. Tetapi, kata beliau hanya mereka yang mengetahui dan mengalami sendiri pengalaman dizalimi akan tetap menyatakan akta itu harus dimansuhkan. Beliau menyeru semua bekas tahanan ISA, keluarga tahanan dan orang ramai bersama-sama dalam perhimpunan itu nanti. "Kita tunjukkan satu perpaduan menentang kezaliman ISA pada hari itu, dan tuntut agar akta itu dihapuskan," katanya semasa dihubungi. - mks. _ http://harakahdaily.net/