Ceramah ‘Pengkisahan Sejarah Pembukaan Negeri Sembilan Dan Adat Istidatnya’ oleh Dharmala N.S. (Pak Dharma), Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (Prima) anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (Permanis), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi 2008/2009 dalam Program Kembara Seri Perpatih, pada 27 Januari 2009 jam 9.00 pagi di Panggung Budaya UKM, Bangi.
PENDAHULUAN
PENDAHULUAN
Pembukaan negeri dikaitkan dengan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan ciri-ciri super naturalpower di samping limpah daulat rajanya. Kerajaan Melayu Melaka dibina pada 1401 misalnya, berasaskan mitos pelanduk putih menendang anjing perburuan Parameswara (atau Raja Iskandar) hingga tercampak ke anak air. Unsur-unsur mitos juga diterapkan dalam pembukaan kerajaan Salendra yang berpusat di Palembang sebelumnya, atau kerajaan Temasik pada period Sang Nila Utama yang terbias dalam pelayaran dari Bentan. Sang Sapurba di Palembang ditampilkan dengan insiden padi di bendang Wan Empok dan Wan Malini di Bukit Seguntang berbuahkan emas, berbatangkan tembaga, berdaunkan sesuai. Kononnya!
Sang Nila Utama pun dikejutkan dengan insiden terserempak haiwan berkepala singa bertubuh seakan-akan kuda ketika mendarat di Pulau Temasik bagi membuka negeri baru dinamakan Singapura. Sang Sapurba pula melangkaui ke Minangkabau bagi membunuh ular yang mengganggu petani prolitar membangunkan huma di lereng gunung. Dengan kesaktian super naturalpower Sang Sapurba mengurniakan pedang Corek Semandang Kini kepada panglimanya Permasku Mambang bagi membunuh ular berkenaan. Tetakan pedang Corek Semandang Kini menyebabkan raptelia berkenaan mati, tetapi dikekalkan unsur-unsur mitos apabila mata pedang terbabit sumbing 199 banyaknya. Berikutan kehebatan super naturalpower daulat Sang Sapurba kararlah beliau menjadi raja Pagarruyung bagi mewariskan pemerintahan di Negeri Sembilan. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Minangkabau apabila mengungkapkan sirah pembukaan negerinya disebut:
Dari mano asal terbit pelito
Daripada tanglung nan berapi
Dari mano asal nenek kito
Dari lereng Gunung Merapi.
PEMBUKAAN NEGERI SEMBILAN
Berdasarkan buku ‘Peraturan Adat Istiadat Dalam Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus’ yang disalin oleh Ustaz Mahmud bin Talib iaitu bertarikh 12 Muharram 1407 (16 September 1986) dari teks asalnya disusun oleh Tengku Besar Burhanuddin ibni Almarhum Yamtuan Antah, pembukaan Negeri Sembilan diasaskan oleh Raja Melewar dari Pagarruyung pada 1773 sempena sembilan orang penghulu yang membaiah baginda di Astana Raja, Rembau. Bagaimanapun dalam catatan Belanda daripada Van de Veer panglima armada lautnya menyebut Bendahara Sekudai membuat lawatan ke ‘Nine States’ pada 1644, selepas membantu Belanda menewaskan Portugis di Melaka dalam tragedi memanjat sigai pada 1641.
Malah merujuk kepada jurnal ‘Papers on Malay Subjects’ berkaitan ‘Notes on The Negeri Sembilan’ daripada himpunan essei Martin Lister, D.V.A. Harvey, R.N. Bland, A Hale, C.W.C. Parr dan beberapa lagi orientalis barat, kolonial Belanda di Melaka yang mewujudkan ‘Nine States’ pada 1643 dengan mengiktiraf kuasa Dato’ Seri Lela Merah, sebagai pemerintah di Naning, di samping menjadi ketua kepada ‘Nine States’. Pada 1705 pemerintah Naning diiktiraf pula Sultan Abdul Jalil III dengan diberi cop mohor kerajaan Johor, diikuti oleh Penghulu Rembau pada 1707 menerima pengiktirafan kerajaan Melayu Johor menerusi Bendahara Seri Maharaja. Sebaliknya selepas tragedi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang 1699, Bendahara Abdul Jalil memproklamir dirinya menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil IV (atau Sultan Abdul Jalil Riayat Shah) justeru bertepatan gelaran bendaharanya, Bendahara Seri Maharaja.
Bagi masyarakat Negeri Sembilan sejarah pembukaan negeri lebih terarah kepada pengkisahan ‘terombo’ yang disimpan oleh waris masing-masing sebagai salasilah jurai keturunan mereka. Justeru sejarah pembukaan Negeri Sembilan tak pernah dirujuk kepada sejarah bertulis, sebaliknya lebih afdal diungkapkan ‘yang tersurat dan yang tersirat’. ‘Terombo’ akan menjadi pegangan mereka kerana ianya ‘yang tersirat’, sebaliknya sejarah bertulis dianggap ‘yang tersurat’ dianggap berlawanan dengan fakta pertuturan lisan mereka yang berungkai-rungkai, berangkai-rangkai dan berbingkai-bingkai dengan unsur-unsur mitos, legenda mahupun fantasi. Dalam mengungkapkan sejarah pembukaan negeri disebut:
Mengaji dari alif
Berbilang dari esa
Berkata daripda asal
Usul asal jangan ditinggalkan
Sehelai akar sebingkah tanah sebatang kayu
Sehelai akan yang putus akan pengikat
Sebingkah tanah terbalik buat permatang
Sebatang kayu tumbang buat turasan
Permatang sudah lurus, tanah sudah datar
Tanaman sudah menjadi, orang sudah ramai
Si Lawah turun ke hilir, Si Pasin mudik ke hulu
Alam sudah beraja, luak sudah berpenghulu
Suku sudah berlembaga, anak buah sudah berbuapak
Adat nan datar, pesaka nan satu
Runding tidak beralih, ibu adat muafakat!
-WARIS PAK DHARMA-
No comments:
Post a Comment