Sunday, March 1, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,

HAIWAN BERBANGGA DENGAN BAHASA
MELAYU HILANG BAHASA KERANA PPSMI

(Sedutan teks ucapan Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharma dalam forum ‘Menentang PPSMI’ pada 28 Februari 2009, mulai jam 9.00 malam di Sekolah Agama Rakyat (SARA) Gedong Lalang, Ampangan di Seremban anjuran TERAS dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan)

Segelintir Melayu yang menjadi pendukung Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adalah Melayu Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang bersedia untuk ‘dijual’ menerusi sistem undang-undang Siddiq Sigaraga, ketika Tuan Penasihat meraih keuntungan 25 persen. Disebabkan menjual Melayu Abdul Wahab dan Abdul Wahib lebih menguntungkan daripada ‘berniaga unta’ yang diwarisi oleh Hussin Lempoyang, justeru orang Melayu memerlukan Melayu Abdul Wahub tampil menyelamatkan keluarga Melayu Isketambola daripada undang-undang Siddiq Sigaraga yang mempraktikkan kekuasaan Dato’ Nikah Kahwin.

Dato’ Nikah Kahwin yang mengakui kepada isteri orang yang diceroboh rumahnya ketika si suaminya keluar dengan memberitahu: Salah tu memang salah, tetapi itu undang-undang dato’ yang bikin. Justeru tak hairanlah Dato’ Nikah Kahwin itu wajar dilabelkan sebagai ‘Musang Berjanggut’ mengikut persepsi Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee. Apalagi sejak dekad 1950-an lagi menerusi filemnya ‘Pendekar Bujang Lapok’ secara kritis menerapkan ‘Sekolah Buta Huruf’ sambil salah seorang daripada karektor menyebut: Alif tendang mim, nun tendang wau – sarkas’. Maknanya, wajarlah ‘alim mim nun wau’ itu sarkas dan ditakrif sebagai ‘Sekolah Buta Huruf’.

Justeru pelaksanaan PPSMI ini akan meletakkan Bahasa Melayu menjadi bahasa sisipan seperti keperihalan akhbar tulisan jawi sekadar menjadi akhbar sisipan, ketika akhbar Cina dan Tamil mampu bertahan. 100 tahun dari sekarang pada 3009, generasi Melayu ketika itu tak akan menyalahkan UMNO, PAS atau PKR apabila mereka tak memiliki bahasanya, tetapi menyalahkan generasi Melayu sekarang sebagai nenek moyang mereka yang bahlul, tolol dan konyol! Dalam masa haiwan seperti lembu, kerbau, kambing berbangga dengan bahasa haiwannya, Melayu kehilangan bahasa disebabkan PPSMI yang bangsat.

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


SASTERAWAN GUNA PENTAS PAS
ISU PPSMI BUKAN TUJUAN POLITIK

Beberapa orang sasterawan telah menggunakan pentas PAS dalam perjuangan untuk memansuhkan PPSMI termasuk Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, kata Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik. Memberitahu peserta forum ‘Mansuhkan PPSMI’ di Sekolah Agama Rakyat (SARA) Gedong Lalang, Ampangan di Seremban malam 28 Februari 2009, Dato’ Ustaz Abu Bakar mengakui Dato’ A Samad Said tampil di pentas PAS di Terengganu. “Dato’ A Samad Said mengaku beliau bukan ahli PAS tetapi meminjam pentas PAS, ketika sasterawan bertindak secara berhemah tetapi Menteri Pelajaran (Dato’ Seri Hishamuddin Hussein) bertindak garang,” menurut Dato’ Ustaz Abu Bakar.

Seterusnya beliau juga menasihatkan Pemuda UMNO bertindak lebih rasional apabila dipanggil ‘celaka’, ketika banyak ‘kecelakaan’ berlaku disebabkan tindak tanduk bapak-bapak UMNO. PPMSI beritahu Dato’ Ustaz Abu Bakar adalah antara ‘kecelakaan’ yang berpunca daripada bapak-bapak UMNO. Banyak ‘kecelakaan’ berlaku sekarang seperti kebakaran hutan di Australia, kemusnahan Gaza akibat serangan Yahudi atau ribut salji di Amerika Syarikat semuanya berpunca daripada perbuatan tangan manusia, kata Dato’ Ustaz Abu Bakar. “Justeru ‘kecelakaan’ yang dihadapi oleh Pemuda UMNO sekarang adalah disebabkan tangan mereka sendiri,” ujar beliau menambah.

Dato’ Ustaz Abu Bakar memberitahu sebagai salah seorang ahli penal dalam forum ‘Mansuhkan PPSMI’ yang dianjurkan oleh TERAS dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan pimpinan Tuan Haji Kassim. Selain daripada Dato’ Ustaz Abu Bakar, ahli panel yang turut serta ialah Ustaz Zulkifli Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Pak Dharma, Ketua Pimpinan PRIMA. Forum yang pada awalnya dijangka turut disertai oleh Presiden TERAS, Ustaz Azmi Hamid digantikan oleh Ustaz Zulkifli Omar, di samping Ustaz Haji Wan Azhar Wan Ahmad dari Muslim Care bertindak selaku moderator.

Sementara itu seorang peserta forum Haji Jamlus dari Jelebu, mengalu-alukan langkah menggerakkan ‘Himpunan 100 Ribu’ di hadapan Istana Negara, 7 Mac 2009 ini sebagai mesej ‘Mansuhkan PPSMI’. Haji Jamlus seterusnya berikrar akan meneruskan segala usaha pimpinan, sekiranya mereka ditahan pihak berkuasa. “Kami akan mengumpulkan dana bagi mempertahankan pimpinan menerusi undang-undang,” beritahu Haji Jamlus. Peserta dari Rembau, Sdr Taufik mendesak penentangan wajar disertakan dengan fakta bagi menangkis dakyah kementerian pelajaran yang memaksa PIBG memberikan bukti kerjayaan PPSMI sekarang.


INFO SASTERA & BUDAYA:


ANTARA KEMATANGAN POLITIK
DI SAMPING KERAKUSAN KUASA

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan dan Pengkritik Sastera Melayu)


Setelah lebih dari 51 tahun berkuasa di Malaysia, UMNO/BN berjaya menjadikan kerakusan kuasa sebagai satu strategi politik yang berisiko, tetapi boleh dilakukan dengan berjaya jika mempunyai cukup wang untuk dibelanjakan bagi maksud itu. Tetapi mereka gagal memperlihatkan kematangan politik. Mereka bercakap tentang tamadun, adab, sikap demokratik, kejujuran berpolitik dan sebagainya, tetapi perbuatan mereka di Perak memperlihatkan sebaliknya.


Paling ketara ialah sikap anti-rakyat yang mereka perlihatkan dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menyerahkan kepada rakyat membuat pilihan mereka setelah berlaku kebuntuan yang merugikan rakyat seluruhnya, akibat perbuatan UMNO sendiri. Apa yang berlaku di Perak sekarang diceritakan dengan terperinci oleh Sejarah Melayu dalam berpuluh episod yang menunjukkan kesalahan raja-raja Melaka membuat keputusan, sehingga menimbulkan kesusahan kepada rakyat di samping menyerlahkan kezaliman raja-raja Melaka yang menjadi teras sistem beraja Melayu moden.


Mujurlah muncul seorang tokoh besar Melayu dalam diri Tun Perak yang sabar dan bijaksana itu. Banyak kali raja-raja Melayu diselamatkan oleh tindakan berhemah dan bijaksana Tun Perak. Anak-anak muda sekarang, termasuk ahli politik yang bercita-cita tinggi, harus membaca kembali kitab penting ini. Perkara ini disebut di sini untuk menyedarkan orang Melayu bahawa raja-raja Melaka, yang menjadi teras kesultanan Melayu, adalah manusia biasa yang mewariskan kelemahan mereka kepada raja-raja Melayu yang kemudian, sebagai manusia yang sentiasa membuat silap betapa pun tingginya daulat mereka.


Raja dan rakyat yang menerima hakikat ini adalah golongan beriman yang menerima ajaran para nabi dan para sahabat baginda. Ucapan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah menjadi teras prinsip kepemimpinan dalam Islam dan dalam tamadun Melayu sebelum dikotorkan oleh pengaruh Barat. Hal ini pun disebut dalam Sejarah Melayu dan perlu dicari sendiri oleh orang muda dan pemimpin politik untuk dijadikan teladan.


Para pemimpin UMNO/BN banyak sekali membuat laporan polis tentang kejahatan ketua-ketua parti pembangkang. Hampir semua laporan itu tidak memperlihatkan kematangan berpolitik kumpulan yang telah berkuasa lebih dari 51 tahun. Banyak daripada laporan itu hanya untuk melepas geram dan menunjukkan perasaan benci meluat yang amat sangat, kerana kuasa dan peluang yang selama ini dinikmati oleh puak ini menjadi semakin nipis setelah golongan ini menerima kekalahan dalam PRU 12, April 2008.


Dengan muka bengis seorang samsing, para pelapor ini menyeranah lawan politik mereka sebagai penderhaka, biadab, kurang ajar dan segala makian yang tidak pantas keluar dari mulut pemimpin yang sudah berkuasa lebih dari 51 tahun yang sedia kala mengaku paling sopan, beradab, jujur dan bersih. Semua ini terjadi kerana sifat kerakusan kuasa itu sudah menjadi darah daging, tidak boleh lagi bertolak ansur untuk menerima kekalahan dalam pilihan raya secara gentleman. Mereka akan menjadi lebih bengis dan merbahaya jika dibenarkan berkuasa selama 50 tahun lagi.


Seperti yang dibayangkan dalam amaran seorang Bendahara Melaka, orang yang biasa makan daging tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa saja yang tidak disenanginya. Dan pembunuhan politik di zaman moden boleh berlaku dalam 100 cara. Barangkali di situlah tersembunyi kematangan politik para political animals. Kemuncak kerakusan itu diperlihatkan dalam tempik sorak penuh makian di luar Dewan Rakyat oleh sekumpulan pemuda UMNO yang marahkan YB Karpal Singh yang dituduh telah menghina raja-raja Melayu dan pemuda UMNO.


Beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat, seolah-olah Dewan Rakyat itu rumah pemuda UMNO yang tidak boleh dimasuki tanpa izin tuan rumah. Dalam dunia politik yang matang, lebih banyak digunakan perbahasan dan perdebatan yang diucapkan dengan wibawa, iaitu wibawa dari segi kelakuan dan berwibawa dari segi ilmu. Nampaknya orang UMNO kehilangan punca bila berdepan dengan lawan mereka yang jauh lebih pintar berhujah dan pandai bermain dengan kata-kata yang boleh membuat pihak sebelah lagi menjadi gila.


Itulah yang terjadi di halaman Dewan Rakyat pada hari Khamis 26 Februari 2009, satu tarikh dan kejadian yang sangat penting dalam perkembangan demokrasi di Malaysia. Siapakah yang akan menghukum mereka? Dalam politik demokrasi di Malaysia, yang akan dihukum seringkali pihak yang berkata benar, bukan yang bertindak liar dan biadab.


INFO SUARA PROLITAR:


MAT TAIB JADI ‘WIRA MELAYU’
SEKADAR BAKAR MERIAM BULUH!

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohd Taib sepatutnya mencermin diri sendiri apabila mengingatkan pihak lain ‘jangan cuba kebangkitan kemarahan orang Melayu’. Tan Sri Muhammad yang terlepas daripada hukuman di mahkamah Australia kerana ‘tak tahu berbahasa Inggeris’ sepatutnya menasihati pimpinan UMNO supaya menghapuskan PPSMI yang membangkitkan kemarahan orang Melayu sekarang. Apalagi Tan Sri Muhammad yang pernah diselamatkan oleh ‘Bahasa Melayu’ seharusnya tampil sekarang meredakan kemarahan orang Melayu kerana PPSMI.

Isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sekadar ‘masalah kulit’ sahaja, malah bersifat sementara. Ianya lebih bertujuan kepada ‘gimmik politik’ untuk memperoleh publisiti semata-mata. Tetapi isu PPSMI adalah kepentingan Melayu, justeru kemarahan orang Melayu adalah dimulakan oleh UMNO sendiri. UMNO yang lakukan penghapusan kepada kekebalan raja-raja Melayu dengan pindaan perlembagaan pada 1993. Tan Sri Muhammad tak perlu salahkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, tetapi salahkan diri sendiri kerana tak mampu menegur pimpinan UMNO. Tan Sri Muhammad tak perlu nak berlagak jadi ‘wira Melayu’ kalau sekadar membakar ‘meriam buluh’. – (Man Cincai, Selayang, Selangor – 1 Mac 2009): PAK PARJO

HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, February 27, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KADAR TOL NAIK LAGI
KETIKA EKONOMI TENGAH TERUK

Assalamualaikum,

Ketika Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan kabinet mengkaji semula keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuhraya, seolah-olah semacam perkara tak kena apabila Menteri Kerja Raya Dato’ Ir Mohd Zain umumkan kenaikkan. Malah ada pihak mendakwa mungkin sahaja projek ‘jambatan bengkok’ akan diteruskan semula selepas Mac 2009. Dato’ Seri Abdullah mengakui keadaan ekonomi sekarang tak sesuai untuk laksanakan keputusan kabinet beberapa minggu lalu. Pemborosan dan pembaziran.kembali kedengaran apabila tempoh pelan peralihan kuasa semakin dekat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kabarnya pilihan Dato’ Seri Mohd Najib Razak untuk jawatan Naib Presiden UMNO, terikut-ikut stail bosnya. Dato’ Dr Ahmad Zahid misalnya meluluskan geran awal RM1 juta bagi tujuan penubuhan Darul Hadis. Apalagi Dato’ Seri Mohd Najib berasa berang apabial didakwa tawar RM20 juta kepada dua ADUN PR. Memang tawar menawar sukar mahu dibuktikan, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga sekadar mampu menyuarakan RM200 seorang dmenyebabkan beliau disingkirkan oleh Kubang Pasu pada 2003.

Bagaimanapun berdasarkan pandangan Tun Dr Mahathir (ketika perjumpaan dengan PRIMA pada 15 Ogos 2007); apabila sesuatu dakwaan itu dinafikan tak bermakna ianya tak berlaku. Justeru merujuk pandangan Tun Dr Mahathir ini, sesiapa sahaja boleh menafikan dakwaan termasuk juga Dato’ Seri Mohd Najib, bagaimanapun tak semestinya perkara berkenaan tak berlaku. Tak hairanlah, Pemuda UMNO nak tunjuk garang apabila kononnya dicerca oleh seorang Ahli Parlimen. Kalau media tak beri publisiti, tak siapa pun kenal Ahli Parlimen terbabit (sebenarnya tak sehebat mana!). Cercaan itu pun sebagai satu perangkap untuk menarik perhatian Pemuda UMNO agar terlatah, melatah dan keletah.

Apalagi Pemuda UMNO juga sekadar mencari gimmick politik denngan memberi tempoh 24 jam kepada Ahli Parlimen terbabit membuktikan dakwaan, kalau tidak rakyat menganggapnya ‘penipu’. Sepatutnya tempoh 24 jam yang diberi ialah untuk tindakan susulan yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen, tetapi perkara berkenaan tak timbul langsung. Sebaliknya 22 orang ahli Pemuda UMNO yang berang itu didakwa menghina Parlimen, malah dirujuk mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Bak kata orang tua-tua dulu, kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Heh heh heh!

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA

BUKIT GANTANG TOLAK KHAIRY:
‘BEBAN’ YANG MERUGIKAN UMNO

Beberapa cawangan UMNO di Parlimen Bukit Gantang mengingatkan pimpinan negeri Perak tak membawa Khairy Jamaluddin berkempen dalam pilihanraya kecil di kawasan itu, sekalipun beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Menurut sumber, Khairy adalah ‘beban’ kepada UMNO Bukit Gantang yang menyebabkan UMNO gagal merebut semula kerusi Parlimen di situ. Justeru, menurut sumber itu lagi cawangan-cawangan terbabit mahukan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir di bawa berkempen. “Kami sudah mengirim SMS kepada Dato’ Mukhriz menyampaikan pendirian itu,” beritahu sumber berkenaan.

Cawangan-cawangan terbabit menurut sumber itu, menganggap Khairy adalah beban kepada UMNO yang sukar untuk memulihkan semula krisis keyakinan di kalangan ahli-ahli parti. Ketika menghubungi secretariat PRIMA, cawangan-cawangan UMNO di Bukit Gantang tak akan berkompromi dengan isu Khairy sebagai ‘beban’ kepada parti. Bagi menjamin kemenangan UMNO di Bukit Gantang, mereka mahukan pimpinan negeri Perak membawa Dato’ Mukhriz berkempen ke Bukit Gantang. “Sekalipun Dato’ Mukhriz kalah bagi jawatan Ketua Pemuda, beliau perlu dibawa berkempen ke Bukit Gantang,” menurut sumber itu lagi.


PEMUDA UMNO JANGAN BERLAGAK:
KOKOK BERDERAI, EKOR BERGELUMANG TAIK

Pemuda UMNO perlu mendesak Parlimen memulihkan semula immuniti raja-raja bagi membuktikan keikhlasan dalam isu mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Langkah calon Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin menganjurkan demonstrasi bagi mempertahankan institusi raja-raja, boleh menyebabkan rakyat ‘meluat’ dan tak menghormati Pemuda UMNO. Dato’ Kamal Amir menyentuh isu Pemuda UMNO berdemonstrasi di Kedah hari ini (27 Februari 2009). “Kalau immuniti raja-raja dipulihkan, tak siapa pun pimpinan bukan Melayu boleh menunjukkan sikap mempersenda institusi raja-raja Melayu,” menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

Beliau juga menarik perhatian kepada pindaan perlembagaan 1993, hanya DUN Kelantan sahaja yang tak meminda immuniti rajanya. Justeru Khairy Jamaluddin yang ditampilkan dalam pimpinan Pemuda, selepas bapa mertuanya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, melakukan kesilapan apabila mendakwa PAS terbabit menghina institusi raja-raja. Bagi memastikan Pemuda UMNO prihatin dengan kedaulatan institusi raja-raja Melayu, mereka wajar memperjuangkan pemulihan immuniti itu. “Pemuda UMNO jangan kokok berderai-derai, tatapi ekor bergelumang taik,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

RETORIK ‘KENTUT BEREBUS’:
DALAM BUDAYA POLITIK MELAYU

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Tokoh Pengkritik Sastera Melayu)

Orang Minang yang bijaksana dan tajam akalnya, mencipta satu ungkapan yang menjadi simpulan bahasa yang tajam menusuk maknanya. Simpulan bahasa itu ialah “kentut berebus”, yang ditujukan kepada sesiapa saja yang pandai bercakap tetapi kosong tidak berisi yang tepu dengan unsur penipuan. Inilah retorik politik yang sering kita dengar keluar dari mulut para pemimpin. Sejauh mana UMNO terlibat dengan politik “kentut berebus” ini boleh kita nilai daripada retorik yang mereka pakai yang boleh kita dengar dan lihat di TV dan baca di akhbar.

Retorik “kentut berebus” ini juga diucapkan oleh para pembaca berita TV dan radio, yang memburukkan ahli politik bukan UMNO. Adakah para perampas kuasa di Perak terhindar dari perilaku “kentut berebus” ini? Nampaknya lagak pura-pura mereka kononnya menolak elaun bulanan demi kepentingan rakyat hanyalah sejenis propaganda murah berbau “kentut berebus” juga. Tetapi sesuai dengan ucapan bersifat “kentut berebus” itu, rakyat yang begitu disayangi dan diberi pembelaan semakin susah hidupnya, manakala para pemimpin makin banyak hartanya dan makin mewah hidupnya.

Lagak “kentut berebus” ini boleh dilihat dalam propaganda mereka bahawa merekalah yang paling terbuka, paling telus dalam semua tindakan mereka, paling jujur dan berani menyatakan kebenaran walaupun pahit. Antara kehebatan mereka ialah kesediaan para pemimpin mereka mengisytiharkan harta kepada Ketua Tertinggi mereka untuk dikunci dalam almari, menjadi rahsia besar yang tidak boleh dilihat oleh sesiapa sekali pun kecuali Ketua Besar tadi. Mengapa orang yang berani mesti bersembunyi dalam almari? Mungkin mereka tidak tahu kehebatan ahli politik yang sebenarnya hebat, yang tidak berdolak dalik, tetapi terus mengisytiharkan hartanya dan anggota kabinetnya serta para pegawai tingginya.

Itulah yang dilakukan oleh James Callaghan dalam tahun 1976, ketika Parti Buruh menang pilihanraya dan beliau menjadi Perdana Menteri. Perisytiharan harta itu disiarkan sepenuhnya dalam The London Times pada minggu kedua bulan April 1976. Sesiapa yang berminat bolehlah membuat rujukan, sebaik-baiknya dengan bantuan British Council di Kuala Lumpur, atau terus ke arkib akhbar terkenal itu. Rakyat yang bencikan penipuan dan korupsi harus memujuk para pemimpin mereka bertindak jujur dan berani seperti James Callaghan, yang memberitahu manusia seluruh dunia semua harta yang dipunyainya dan yang dipunyai para menteri dan timbalan menteri serta para pegawai tinggi.

Mana mungkin para pemimpin Islam dalam UMNO dan yang bukan Islam dalam parti-parti bergabung takut menghadapi kebenaran, kerana mereka selalu mendakwa mereka orang jujur, telus dan sebagainya. Atau adakah semuanya hanya tidak lebih daripada “kentut berebus” saja? Malaysia yang serba boleh wajar menerbitkan buku senarai harta benda para pemimpin sebelum dan selepas mendapat kuasa, dijadikan semacam direktori telefon yang tebal itu.

Andainya Perlembagaan Negara tidak menggalakkan kejujuran dan ketelusan, dan sangat kuat menjaga hak asasi manusia untuk tidak bertindak benar, tidak bercakap benar, dengan diberi kebebasan untuk merahsiakan korupsi dan penipuan, maka tak usahlah kita bercakap tentang kejujuran, ketelusan dan sebagainya itu jika semua itu hanya “kentut berebus” saja. Hanya pemimpin miskin yang jujur dan berani sanggup mengisytiharkan hartanya. Pemimpin yang kaya dan mewah hanya bercakap tentang kejujuran dan ketelusan, tetapi tidak membuatnya. Itulah keistimewaan mereka. Merekalah pengamal “kentut berebus” yang paling istimewa. (25/2/2009)

INFO SASTERA & BUDAYA

DEBAT TERRBUKA ISU PPSMI:
MEMANG HISHAM MENOLAK

Keengganan Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin berdebat secara terbuka dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallehuddin Ayub dan isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris), memang sudah diduga lebih awal, kata aktivis budaya Yassinsalleh. Kalau media tak diberitahu pun memang rakyat Malaysia menyedari Dato’ Seri Hishamuddin tak mampu berdebat. Apalagi dalam isu PPSMI yang memang kesilapan besar dilakukannya kepada bangsa Melayu, menurut Yassinsalleh. “Kalau mencium keris pun boleh meminta maaf kepada pimpinan bukan Melayu, nilaikanlah kewibawaan beliau,” ujar Yassinsalleh menambah.

Seterusnya menurut Yassinsalleh, setelah enam tahun PPSMI dilaksanakan, segelintir orang yang menyokong PPSMI sekadar memburu kedudukan. Tak seorang pun yang menghasilkan buku kajian sains dan matematik yang boleh dijadikan rujukan di sekolah-sekolah, beritahu Yassinsalleh. Beliau juga meminta Dato’ Seri Hishamuddin membuktikan kejayaan PPSMI dengan buku-buku teks sains dan matematik dihasilkan oleh mereka yang mendakwa menyokong PPSMI. “Mereka yang mempertahankan PPSMI termasuk Dato’ Seri Hishamuddin wajar menghasilkan buku ilmiah sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi memperlihatkan mereka benar-benar tahu dengan apa yang dilaksanakan,” kata Yassinsalleh.

PENERBIT KECIL GULUNG TIKAR:
BUKU IMPORT AKAN KUASAI PASARAN

Pelaksanaan PPSMI (Pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) turut memberi impak kepada penerbit-penerbit buku, justeru memberi ruang kepada penerbit-penerbit yang mengimport buku dari luar negeri, menurut bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah. Dengan pelaksanaan PPSMI ianya menguntungkan penerbit-penerbit yang mengimport buku, malah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akhirnya akan menjadi pengimport buku. “Sejak enam tahun lalu banyak pernerbit kecil gulung tikar, sekalipun ianya boleh dikaitkan dengan perkembangan IT sekarang,” beritahu Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor.

Apabila penerbit-penerbit tak mampu dapatkan penulis-penulis menghasilkan buku teks sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, adalah dibimbangkan DBP turut menjadi pengimport buku, ujar Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor. Dalam keadaan kegawatan ekonomi sejak 1999 jelas Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor, banyak penerbit-penerbit buku gulung tikar. Pelaksaaan PPSMI lebih banyak memudaratkan kepada perkembangan Bahasa Melayu dan penerbit-penerbit yang terbabit dalam industri buku-buku berbahasa Melayu. “Pelaksanaan PPSMI adalah umpama meletakkan tali gantung ke leher Bahasa Melayu,” menurutnya lagi.

Sementara penerbit buku, Haji Abu Bakar Ninggal mengakui mengalami masalah dalam industri penerbitan buku berikutan ketiadaan khalayak. Katanya pada dekad 1980-an, perkembangan industri penerbitan buku mencapai tahap gemilang. Beliau juga mengakui pernah membuat ulang cetak kepada buku penerbitannya pada dekad 1980-an hingga menjangkau 100,000 naskhah, tetapi fenomena berkenaan tak mungkin berulang lagi. “Khalayak pembaca buku-buku Melayu terbatas, dengan memberi keutama kepada Bahasa Inggeris, status Bahasa Melayu semakin mengecil,” ujar Haji Abu Bakar.


INFO SUARA PROLITAR















































































KOMENTAR
Bersama Pak Parjo
ANAK-ANAK BUAH DIPANGGIL CELAKA
MANI PURINDAM YANG LARI KE MELAKA
Syahdan tersebutlah ceritera Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein memberitahu Orangkaya Bukit Gelugor mahu mengalihkan pandangan orang banyak, supaya tak ambil hirau perkara ia menghina raja Melayu. Arakian Orangkaya Bukit Gelugor itu dituduhnya anak-anak buah Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin mengirim dua butir peluru bedil yang mengugut mahu membunuhnya. Adapun Orangkaya Bukit Gelugor itu dipanggilnya anak-anak buah Dato’ Seri Hishamuddin sebagai ‘celaka’. Maka sekalian anak-anak buah Dato’ Seri Hishamuddin itu sekadar memberang-berang sahaja, sebaliknya Orangkaya Bukit Gelugor itu bulu romanya pun tak reras sehelai pun.

Arakian berasa malulah baginda Mani Purindam kerana kata-katanya tiada diturut oleh saudaranya itu. Maka fikirlah ia di dalam hatinya, ‘Sedang pekerjaan sebegini lagi tiada diturut oleh saudaraku, jikalau pekerjaan yang besar berapa lagi? Jika demikian, baiklah aku pergi membuangkan diriku barang ke mana. Jika di sini pun bukan aku kerajaan di dalam negeri ini. Tetapi ke mana baik aku pergi melainkan ke Melaka, kerana pada zaman ini raja Melaka itu raja besar; patutlah aku sembah. Lagipun baginda itu daripada anak cucu Raja Iskandar Dzulkarnain’. Akan perihal anak-anak buah Dato’ Seri Hishamuddin itu samalah seperti Mani Purindam mencari akan tempat berlindung yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, February 25, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERSOAL KUASA RAJA-RAJA MELAYU:
JANGAN MELATAH, MELALUT DAN MENGARUT!


Assalamualaikum,

Pelantikan bagi jawatan Perdana Menteri tak perlu kuasa DYMM Yang Dipertuan Agong, disuarakan di Dewan Rakyat hari ini (25 Februari 2009), memperlihat usaha Ahli Parlimen berkenaan mahu memberi ruang kepada UMNO yang sudah ditolak rakyat pada PRU12. Keghairahan Ahli Parlimen terbabit menyentuh kuasa raja-raja Melayu, banyak membantu UMNO menerima simpati orang Melayu yang menentangnya pada PRU12. Apabila meminta orang Melayu mencontohi lanskap politik di Amerika Syarikat bagi pemilihan Presiden; Ahli Parlimen terbabit sebenarnya melatah, melalut dan mengarut!

Kegarangannya mengetuk-ngetuk buku perlembagaan (seperti disiarkan di kaca TV jam 12 tengahari, 25 Februari 2009), seolah-olah memperagakan beliau sahaja yang tahu mengenai perlembagaan. Amerika Syarikat sebuah Negara berbentuk ‘persyarikatan’, jauh berbeza dengan Malaysia dengan sistem ‘persekutuan’; apalagi mengguna pakai ‘raja berpelembagaan’. DYMM Yang Dipertuan Agong adalah diperlukan membuat pelantikan jawatan Perdana Menteri seperti keperihalan raja-raja Melayu diberi kuasa melantik Menteri Besar baginda.

Perdana Menteri dan Menteri Besar sudah dipilih oleh rakyat melalui ‘peti undi’, justeru pelantikan yang dibuat oleh baginda berdasarkan pilihan rakyat. Bagi jawatan-jawatan terbabit sudah jelas disebut menerusi perlembagaan: Seorang Ahli Dewan Rakyat yang menerima sokongan majority di Dewan Rakyat. Apabila Ahli Parlimen terbabit mempersoal kuasa raja-raja Melayu, ianya turut mengheret parti-parti komponen mereka ‘ditelan mati emak, diluah mati ayah’. Ketika rakyat sudah bosan dengan gelagat UMNO, tiba-tiba Ahli Parlimen terbabit membuka ruang untuk membolehkan orang Melayu kembali menyokong UMNO. Aduhai!

Sama ada naratif ‘Bukit Seguntang’ perlu diulangkaji atau tidak adalah perkara lain, tetapi sikap Ahli Parlimen terbabit sekadar mahukan survival partinya sendiri, dengan harapan komponen lain tersungkur, terdengkur dan terkubur. Inilah yang berlaku selepas pilihanraya 1974, apabila parti-parti lain bosan, justeru kekallah parti berkenaan menjadi parti tunggal mendominasi kuasa pembangkang. Kalau tak disebabkan Tengku Razaleigh Hamzah membawanya ke meja persefahaman pada 1990, memang parti berkenaan mahu menampilkan diri merekalah ‘juara dari segala juara’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PLAK & CEK PALSU DI TV::
NEGARA MAKMUR UTK PEMIMPIN

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Tokoh Pengkritik Sastera Melayu)

Sukar untuk rakyat Malaysia dan sesiapa juga yang hidup di Malaysia untuk tidak percaya negara Malaysia ini sangat kaya dan makmur. Buktinya cukup banyak, tidak dapat disenarai kecuali jika seseorang sanggup menerbitkan senarai dalam sepuluh jilid buku yang setiap satunya setebal 1000 halaman. Dalam senarai itu hanya terdapat tiga kumpulan utama rakyat Malaysia: para pemimpin yang kaya raya; para peniaga yang kaya raya dan mewah melimpah; para pegawai tinggi kerajaan dalam segenap bidang yang ada (jangan lupa Pegawai Rasuah, yakni yang kerjanya membasmi rasuah).

Merekalah yang paling berjasa dan tiada siapa pun di Malaysia yang boleh menewaskan mereka dalam menabur jasa ini. Cubalah hitung berapa banyak plak dan cek palsu yang besar-besar ditayangkan dalam TV dan akhbar yang diserahkan kepada orang yang terplilih untuk menerimanya, sebagai tanda berjasa para pemimpin. Termasuk jasa besar para pegawai tinggi kerajaan yang bergelar tinggi-tinggi ialah mereka yang dengan gembira tersengih-sengih membantu sekretariat UMNO mengundi calon-calon yang akan bertanding pada bulan Mac 2009 nanti.

Sungguh cantik dan menyeronokkan melihat mereka yang bergelar Tun dan Tan Sri mengopak cembul kecil yang mengandungi nombor-nombor undi. Sungguh menyegarkan perasaan meluat kita melihat para calon yang kaya raya tersengih-sengih atau tertawa sambil menepuk belakang teman-teman kaya mereka setelah mendapat nombor itu. RTM yang pemurah dengan propaganda murahan yang kaya dengan pembohongan wajar sekali menerbitkan CD lengkap peristiwa penting ini, penting kerana inilah peristiwa paling bersejarah kerana tidak lama lagi kita semua akan mendapat para pemimpin baru yang hebat dan sangat kaya dengan kemewahan dan cerita-cerita indah tentang keistimewaan kehidupan mereka, dibayangi oleh legenda Altantuya dari Monggolia yang sampai ke Malaysia memohon diberi upah setelah melaksanakan kerjanya dengan jujur.

Pengarah drama atau filem Melayu yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita pontianak yang muncul kerana ingin membalas dendam di atas kezaliman, kejahatan dan penipuan manusia kaya-kaya ini, wajib menulis cerita baru yang lebih mengasyikkan tentang undi memilih pemimpin, yang mungkin akan diikuti dengan undi tidak percaya nanti. Biarlah rakyat berasa seronok melihat telatah orang berkuasa yang kaya-kaya dan sangat berjasa ini.

Rakyat juga sudah lama menunggu munculnya sebuah buku setebal 2000 halaman dalam empat jilid, yang memuat kemajuan seni bina di negara ini yang terhasil daripada pembinaan rumah-rumah mahligai tiga kumpulan orang berjasa yang telah membuktikan kemakmuran Malaysia. Berapa ribu pakar seni bina yang telah kita lahirkan untuk mencipta rumah mahligai orang-orang berjasa ini? Mereka harus diberi anugerah negara sebagai tokoh senibina yang telah berjaya mengubah lanskap pembinaan rumah di Malaysia hasil kemakmuran tiga golongan orang berjasa tadi.

Rakyat berhak tahu dan kenal mereka semua dan berhak berasa kagum melihat rumah-rumah mahligai mereka. Rakyat ingin melihat wajah ceria mereka ketika memperagakan kemewahan mereka. Rakyat ingin membaca biografi mereka, senarai bintang-bintang dan anugerah yang mereka terima, jenis-jenis jasa yang mereka taburkan di syarikat-syarikat besar, gambar-gambar mereka berwisata di luar negeri dan lain-lain. Rakyat ingin menunjukkan kekaguman dan kebanggaan mereka melihat kejayaan para pemimpin dan orang berjasa mereka memperagakan kemewahan hidup mereka.

Jangan nafikan mereka untuk sama-sama gembira dan bangga melihat kemewahan para pemimpin mereka. Para pemimpin ini adalah warisan agung negara yang perlu dijadikan mercu tanda kejayaan pembangunan negara kita. Biarlah para pemimpin dan orang berjasa di negara kita tahu bahawa kita sudah jemu mendengar kisah pembasmian kemiskinan atau projek besar-besar untuk membantu orang miskin yang terus papa kedana. Orang miskin ini tidak perlu dibantu, kerana tidak pernah terjadi di kalangan mereka ada yang bangkrap kerana terlalu banyak berhutang.

Berilah bantuan itu kepada para pemimpin dan orang kaya-kaya yang susah kerana terlalu banyak wang. Negara Malaysia ini akan terus makmur jika rakyat terus miskin. Tetapi jangan biarkan tiga kumpulan berjasa ini mendapat susah, oleh itu jangan biarkan mereka rugi dalam bentuk apa pun juga. Mari kita sokong semua tindakan mereka untuk mendapat kekayaan, kerana kekayaan itu tidak menyusahkan orang miskin yang masih boleh hidup bahagia sebagai penjual pisang goreng, atau penternak ikan, atau penanam sayur, pemelihara ayam, pembuat dodol dan ketupat, atau hanya menjadi tukang kebun dan pengawal rumah-rumah besar serba mewah orang kaya tadi.

Jangan biarkan kemiskinan tegar dihapuskan, kerana usaha itu menyusahkan orang miskin untuk hidup tanpa diganggu dengan janji-janji yang tidak pernah ditunaikan. Jangan ganggu orang miskin kerana mereka juga berhak mendapat hak asasi sebagai orang miskin. Jangan hanya orang kaya dan berkuasa saja diberi dan mendapat hak asasi untuk berkuasa dan menjadi kaya. Tetapi alangkah baiknya jika orang miskin yang berjasa kepada keluarganya memberi makan dan tempat tinggal dianugerah bintang atau apa juga anugerah yang munasabah untuk menghargai kemiskinannya dan kesabarannya menghadapi kemiskinan dalam kekayaan para pemimpin, peniaga dan pegawai tinggi kerajaan.

Alangkah manisnya si miskin itu tiba di istana dalam paluan rebana kercing untuk menerima anugerah yang penuh bermakna. Itulah jasa paling besar bagi orang miskin, apabila kemiskinannya dihargai dan dimuliakan. Tidakkah para nabi berdoa supaya miskin harta benda tetapi kaya dengan iman sebagai hamba Allah? Sesungguhnya orang miskin jauh lebih mulia daripada orang kaya atau para pemimpin yang mewah. (25/2/2009)

INFO SASTERA & BUDAYA

PERJUMPAAN PENULIS WARGA EMAS:
PRIMA AKAN LAKSANA TANGGUNGJAWAB


Kealpaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ormas-ormas yang lain mengenang sumbangan sasterawan-sasterawan silam, akan mnjadi tanggungjawab PRIMA untuk menggerakkan perjumpaan penulis-penulis warga emas, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, saranan pengkritik sastera Melayu tersohor dekad 1960-an dan 1970-an Mohd Affandi Hassan mahukan inisiatif diambil dalam mengenang sumbangan mereka mendaulatkan Bahasa Melayu. “Mungkin sahaja PRIMA tak mampu memberi anugerah dengan ringgit dan sen, tetapi perjumpaan dengan dialog bersama penulis-penulis warga emas akan memartabatkan sumbangan mereka,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Menurutnya lagi, PRIMA sentiasa prihatin dengan perjuangan sasterawan silam; apalagi mereka dilupakan oleh generasinya selepas kematian mereka. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, buat permulaan PRIMA akan cuba menggerakkan perjumpaan di Sudut Penulis DBP dengan menjemput beberapa orang panel memperkatakan karya-karya sasterawan silam seperti Abdul Rasid Talu, Syed Sheikh al-Hadi, Ahmad Bakhtiar, Ahmad Kotot, Mohamad Sallehuddin, Ahmad Murad Nasaruddin, Abdul Samad Ahmad, Abdullah Sidek, Shamsuddin Salleh dan beberapa lagi. “PRIMA tak melihat kepentingan ringgit dan sen, tetapi menjurus kepada mendaulatkan Bahasa Melayu,” katanya.

INFO SUARA PROLITAR

SURAT TERBUKA KEPADA PAK PARJO:
TREND BARU KPD MEREKA PERTAHAN PPSMI


Oleh: Wak Semar

Angin timur kencang bertiup membawa khabar berita dari jauh bahawa Dato' Johan Jaafar, Pengerusi Lembaga DBP akan dilantik menjadi pengerusi Berita PRIMA. Tahniah dan syabas kerana mendapat durian runtuh. Tokoh seperti Dato' Johan ini bukan senang mahu dicari. Dia memang layak dan sewajarnya dilantik ke jawatan lebih tinggi daripada sekarang ini. Keberaniannya mempertahankan kedaulatan bahasa Inggeris, masih belum mudeah dilupakan apabila beliau ,menulis dalam salah sebuah majalah terbitan DBP tentang itu.

Apa lagi dalam zaman sekarang apabila pemimpin muda dalam barisan UMNO tegak mempertahankan PPSMI sejak kebelakangan ini. Oleh kerana suara hati dan sanubari antara keduanya selari dan serasa, maka tak ada sebab kenapa orang seperti beliau ini diketepikan. KeAgaknya Pak Parjo sendiri dapat melihat trend baru hari ini. Keberanian beliau semakin menyerlah apabila mengangkat Ketua Pengarah DBP yang baru, yang sama seiring dengan perjuangannya, bilamana beliau juga menyokong dan menyatakan bahawa PPSMI tak menggugat prestasi pembelajaran anak Melayu.

Bermakna dia juga menyokong PPSMI sama. Rupa-rupanya dunia hari ini begitu pula coraknya. kalau mahukan penghargaan maka eloklah menyokong apa jua tindakan pemimpin, walaupun diketahui banyak mendatangkan kemudaratan. Kata seorang teman sambil bergurau, padanlah mantan TNC, HEP, UTM, Dato Dr. Mohd Mansor Abdullah tak terpilih menjawat jawatan Ketua Pengarah DBP dulu.

Lagi pun beliau kalau tak salah adalah insan yang melalui sistem pembelajarannya dalam bahasa ibunda, dan tambahan lagi dia pun kuat menentang PPSMI pula. Justreru itu tak hairanlah mengapa dia tak terpilih. Nasibnya tak jauh berbeza dengan Prof Emeratus Dr. Abdullah Hassan, Dato Dr. Hassan Ahmad dan Mohd Affandi Hassan yang begitu lancang dan tegas menentang keras PPSMI diteruskan. Berbalik kepada pelantikan Dato Johan Jaafar ke jawatan Pengerusi Berita PRIMA adalah suatu yang mengkagumkan Wak Semar.

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

PEMBORONG TAK PERLU BERSAING:
ANUGERAH KERJA-KERJA BAWAH RM500,000


Sebermula tersebutlah alkisah sebuah ceritera dinegeri Melayu itu, Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak mengisytiharkan kerja-kerja untuk kerajaan bernilai RM500,000, cukuplah dengan sebut harga sahaja. Maka terlalu sukacita segala pemborong-pemborong yang kebanyakan suku sakat harakah Melayu (UMNO), kerana tak perlu lagi bersaing. Pemberian kerja itu bahawasanya ialah ‘anugerah’ jua maknanya, wallahua’lam. Syahdan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemborong-pemborong kelas E sahaja diberi, justeru ianya tak jejaskan pemborong-pemborong kelas F. Begitulah!

Syahdan, tersebutlah perkataan Merah Silu diam di Rimba Jerun itu. Maka segala orang yang diam di rimba Jerun itu pun diemasinya, sekaliannya menurut katanya. Pada suatu hari Mera Silu pergi berburu; maka anjing Merah Silu yang bernama Si Pasai itu pun menyalak. Maka dilihat oleh Merah Silu Si Pasai menyalak itu di atas tanah tinggi, seperti ditimbun orang rupanya. Maka Merah Silu naik di atas tanah tinggi itu, maka dilihatnya seekor semut besarnya seperti kucing. Maka oleh Merah Silu semut itu diambilnya, lalu dimakannya. Arakian dinamai tempat itu Merah Silu Samudera, ertinya semua besar. Maka dialah menjadi raja kerana semua orang sudah diemasinya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, February 24, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

50% KES POLITIK WANG TUTUP::
SUKAR LAWAN KEPAKRAN UMNO

Assalamualaikum,

Pemilihan pimpinan tertinggi UMNO Mac 2009 ini dibongkar dengan kelibat unsure-unsur ‘politik wang’ atau bahasa bodohnya ‘sogokan’, ‘wang kopi’ dan secara tak cerdiknya ialah ‘rasuah’. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku menerima 90 kes aduan rasuah politik, tetapi 45 daripdanya atau 50% ditutup kerana ‘ketiadaan bukti kukuh’. Apalagi SPRM juga wajar disoal siasat, berikutan laporan polis yang dibuat aktivis UMNO di Damansara apabila beliau dibelasah di dalam lokap ketika disoal siasat di Temerloh. Heh heh heh!

Kalau tak ditubuhkan SPRM pun, masyarakat umum sudah tahu gejala ‘wang kopi’ yang disebut Kassim Baba dalam ‘Ali Baba Bujang Lapok’, ketika Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee menggarap karyanya. Malah dalam episode Siddiq Sigaraga ke majlis hari jadi orang kaya al-Ketambola juga terpaksa beri ‘wang kopi’ kepada pengawal, kerana membawa sama anak-anak perempuannya Afidah, Hamidah, Ghasidah diikuti dengan pegi dah! (Tetapi Melayu Abdul Wabah dan Melayu Abdul Wahib yang majoritinya dalam UMNO, tak pernah faham…)

Allahyarham Tun Abdul Razak sudah sentuh mengenai gejala ‘beli undi’ dalam Perhimpunan Agung UMNO 1975, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui menerusi sajaknya ‘Melayu Mudah Lupa’. Justeru pada 2003, Melayu mudah lupa itu tak memberikan undi kepada Tun Dr Mahathir untuk mewakili Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung. Aduhai! Hulubalang-hulubalang UMNO meminta Tun Dr Mahathir memberikan bukit berlakunya ‘rasuah politik’. Kalau Tun Dr Mahathir yang pernah memimpin Negara tak mampu memberikan bukti, bagaimana SPRM mahu melangkahi sempadan heh heh heh!

Justeru tak hairanlah apabila 50% kes aduan ‘politik wang’ ditutup kerana ketiadaan bukti. Disebabkan sukar menemui bukti, kes lembu di Selangor menjadi lebih mudah. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim lebih mudah disoal siasat daripada aktivis UMNO; begitu juga Speaker DUN Perak Sivakumar tak sesukar menyoal siasat aktivis UMNO, yang memang pakar dalam kes-kes ‘politik wang’. Kalau pegawai-pegawai SPRM menonton filem
‘Tiga Abdul’ cubalah kritis adegan Rafi menemui Pak Ali: ‘Encik Rafi, cukup bulan ni gaji awak naiklah.’ Jawab Rafi, ‘Kita ni sama aje Pak Ali, mudahkan kerja saya, Pak Ali pun tak perlu susah-susah lagi.” Faham-fahamlah!

- Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

RAKYAT NS MENENTANG PPSMI:
TERAS-PAS BERGANDING ANJUR FORUM.

Forum ‘Isu Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Subjek Matematik dan Sains’ atau polisi PPSMI kementerian pelajaran, akan diadakan pada 28 Februari 2009, jam 9.00 malam di Sekolah Agama Rakyat (SARA), Gedung Lalang, 162 Ampangan. Ahli panel Tuan Haji Azmi Hamid, Presiden TERAS, Dato’ Ustaz Haji Abu Bakar Cik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS dan Pak Dharma (sasterawan Dharmala N.S.), Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA). Moederator Ustaz Haji Wan Azhar Wan Ahmad, dari Muslim Care. Forum dianjurkan oleh TERAS Negeri Sembilan dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan TERAS Negeri Sembilan, Sdr Suhaire meminta mereka yang prihatin dengan pendidikan anak-anak hadir dalam forum ini. Di samping itu menurut Sdr Suhaire, Pak Dharma adalah antara mangsa dasar pelajaran UMNO yang dieksprimen bagi penubuhan Sekolah Menengah Melayu yang pertama di Negeri Sembilan. Antara mereka yang dieksprimen apabila Sekolah Menengah Melayu yang ditubuhkan pada 1958, sebelum disediakan UKM (yang hanya ditubuhkan pada 1971) ialah bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah di Perak dan aktivis perfileman Yassinsalleh di Pahang. “Setelah mereka dieksprimen, pengorbanan mereka dikhianati oleh UMNO dengan polisi PPSMI,” kata Sdr Suhaire

MEMANG PEMUDA BERNASIB MALANG:
BERKETUAKAN PIMPINAN ‘TAK MELAWAN’

Bekas Exco Pemuda UMNO, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yakin Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, tak akan berani menyambut cabaran Ketua Pemuda PAS, Sallehuddin Ayub untuk berdebat mengenai PPSMI. Katanya, Pemuda UMNO bernasib malang berketuakan seorang yang tak berkemampuan berhadapan dengan lawan, kecuali menerusi media atau di Dewan Rakyat yang dilindungi oleh kuasa Speaker.. “Pemimpin Pemuda seharusnya tak gentar berdepan dengan siapa sahaja seperti Dato’ Harun Idris atau Tan Sri Jaafar Albar,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Ketua Pemuda PAS Sallehuddin Ayub menyampaikan memorandum kepada Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Parlimen semalam (23 Februari 2009), bagi mencabar Dato’ Seri Hishamuddin berdebat mengenai PPSMI. Keengganan Dato’ Seri Hisahmuddin menemui pihak lawan membuktikan beliau tak mampu berhadapan bagi membincangkan isu-isu membabitkan kepentingan Melayu. Dato’ Seri Hishamuddin bukan sahaja tak mampu berdebat, tetapi tak memahami langsung kelemahan PPSMI yang dianggapnya baik untuk orang Melayu, katanya. “Adsakah meletakkan Bahasa Melayu di tali gantung dianggap baik kepada Melayu?” jelas Dato’ Kamal Amir.

PERLU DERHAKA UNTUK BERJAYA:
PERSETAN NILAI-NILAI KEBENARAN

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Pengkritik Sastera Melayu Moden)

Kini istilah derhaka digunakan sewenang-wenangnya untuk mengelirukan kebenaran. Malah terdapat raja Melayu sendiri mengutuk rakyatnya sebagai perderhaka hanya kerana mereka dengan tegas menyatakan perbezaan pendapat dan perasaan meluat mereka terhadap penipuan yang berlaku di sekeliling mereka. Semua ini terjadi bukan kerana kejahilan tentang perlembagaan dan undang-undang, tetapi kerana mempersetankan nilai-nilai kebenaran yang diajarkan oleh Islam. Ulama sendiri tidak mahu menegaskan bahawa hanya terdapat tiga jenis penderhakaan sebenar: menderhaka undang-undang Allah SWT; menderhaka kepada ajaran Nabi SAW; dan menderhaka kepada ibu bapa.

Dua jenis penderhakaan pertama itu boleh dihapuskan sekiranya penderhaka tadi memohon ampun daripada Allah Ta’ala; tetapi perderhakaan ketiga hanya akan hapus jika ibu bapa yang didurhakai itu mengampunkan anaknya yang terlanjur itu. Dalam Islam, apabila seseorang membunuh, yang berhak mengampunkannya hanya ahli waris yang terbunuh, bukan orang lain yang tidak kena mengena. Itulah ketentuan hukum, yang cuba ditutup oleh ulama yang mendapat naungan daripada naungan selain naungan Allah Ta’ala. Apabila hakikat ini ditutup, maka berlakulah keriuhan gila-gilaan tentang “penderhakaan” yang dipermainkan untuk mencapai maksud politik yang sangat jahat.

Jangan kita biarkan anak-anak muda, para pemimpin mereka, dan sesiapa juga yang bermaksud jahat menjeritkan sewenang-wenangnya istilah “derhaka” tadi, padahal perbuatan itu jelas sejenis perderhakaan yang sangat jelek kerana hukum Allah diselewengkan begitu berani untuk mendapat faedah peribadi yang tidak jujur. Jangan biarkan anak-anak muda kita hanyut dalam kekeliruan besar dengan menerima ajaran Hindu sebagai panduan mereka. Islam tidak menerima ajaran Hindu yang menganggap ketua negara tidak berdosa dan tidak boleh dikritik.

Saidina Abu Bakar menegaskan ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah, bahawa baginda wajib ditaati jika melaksanakan undang-undang Allah Ta’ala, bukan kerana sebab-sebab lain. Kerana terdapat ulama yang menyembunyikan hakikat ini, maka terjadilah keriuhan gila-gilaan berasaskan kejahilan tentang hukum Islam dan penderhakaan terang-terangan terhadap ajaran Islam. Imam Ghazali telah mengingatkan umat Islam, terdapat dua jenis ulama: ulama jahat yang menggunakan Islam untuk dunia; ulama baik yang takutkan Allah Ta’ala dan cintakan Nabi SAW dan umat Islam. Sukar mendapat jenis ulama kedua ini, kerana begitu ramai “ulama” yang mengutamakan dunia dan kemewahan hidup. Ulama jenis ini wajib diderhakai seperti pemimpin yang jahat juga wajib diderhakai. Itulah prinsip Islam yang mesti dipegang dan dilaksanakan oleh umat Islam. Tepat dan jelas, tiada apa-apa kekeliruan lagi. (22/2/2009)

INFO SASTERA & BUDAYA:

ANUGERAH PRESTIJ SASTERAWAN NEGARA:
SUMBANGAN PENGKRITIK JUGA WAJAR DINILAI

Pengkritik sastera juga wajar dicalonkan untuk menerima anugerah berprestij ‘Sasterawan Negara’, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah. Sama ada mereka menolak atau menerima adalah perkara lain, tetapi sumbangan mereka kepda sastera dan budaya Melayu amat bernilai, beliau menambah. Serentak dengan itu Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor menyarankan Jabatan Perdana Menteri lebih peka dengan sumbangan sasterawan seperti ditunjukkan Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang memperuntukkan ganjaran RM60 ribu kepada penerima anugerah ‘Seniman Negara’.

“Secara lojik sasterawan atau seniman yang perlu diangkat sebagai pejuang mendaulatkan bahasa dan memartabatkan budaya,” kata Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor. Seterusnya beliau memberikan beberapa nama pengkritik sastera yang berwibawa perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi menerima anugerah Sasterawan Negara termasuk Yahaya Ismail, Mohd Affandi Hassan, Drs Ramli Isin, Profesor Abdu Bakar Hamid, Profesor Rahman Shaari, Dr Rosnah Baharuddin dan beberapa lagi. Bagaimanapun menurut Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor, setakat ini di Malaysia pengkritik sastera yang wajar diberi prioriti ialah Yahaya Ismail dan Mohd Affandi Hassan.

PUISI

Hujung

Daripada sejarah
runtuh dan tertimbus
sesudah zamannya Adam
dibangun kembali
zaman Ibrahim dan Ismail
dipulangnya fungsi asal
zaman Muhammad Khatim an-Nabiyin.

Di sinilah hujung diriku
hujung segala perjalanan
fikiran, kehidupan dan alam

Indahnya Kaabah yang mulia
indah suasana merangkul umatnya.

- Nahmar Jamil
Kangar, Perlis.


(Dari antologi ‘Duka Mukmin’)

INFO SUARA PROLITAR:

MESTI BERBOHONG UNTUK BERJASA:
SENJATA POLITIK PALING BERKSESAN

Menurut YB Ibrahim Ali yang digelar Raja Lompat oleh orang ramai, Ahli Parlimen yang bebas bernaung di bawah PAS dan menang atas tiket PAS, masalah politik Malaysia menjadi begitu gawat kerana ahli-ahli politik pembangkang (tidak termasuk bebas) semuanya munafik. Mereka pembohong dan sangat pandai menggunakan pembohongan untuk mendapat kuasa hingga hilang kuasa di Perak. Rakyat Malaysia patut bangga kerana adanya orang seperti YB Ibrahim Ali ini yang seumur hidupnya tidak pernah berbohong.

Sebenarnya inilah masalah politik Malaysia yang merumitkan iaitu apabila semua pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang ditendang keluar seperti Ibrahim Ali tidak saja tidak pernah telanjang seperti Elizabeth Wong, tetapi juga tidak pernah berbohong. Pembohongan sangat penting dalam politik. Tanpa pembohongan tidak akan wujud muslihat politik. Hal ini disedari oleh para pemimpin UMNO, yang menggunakan strategi “tidak bercakap benar” sebagai senjata politik yang amat berkesan.

Tidak bercakap benar tidak sama dengan berbohong. Seseorang itu berbohong jika dia tidak bercakap benar; tetapi orang yang tidak bercakap benar bukan berbohong, hanya menggunakan strategi untuk mengelirukan musuh politik yang jahat dan bodoh. Peristiwa rampasan kuasa di Perak adalah contoh paling baik untuk dijadikan kajian kes (case study) tentang makna bohong yang tidak sama dengan tidak bercakap benar. Orang yang tidak bercakap benar adalah orang yang sempurna akalnya, bersih hatinya daripada segala penyakit hati, jujur dalam kata-kata dan mulia semua kelakuannya serta tindakannya.

Semua ini telah dibuktikan dalam kes rampas kuasa di Perak. Rampasan kuasa itu dilakukan untuk membela kebenaran dan menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat telah malakukan kesilapan besar dengan memberi kuasa kepada puak yang tidak boleh dipercayai. Menurut ulama yang tidak pernah berbohong, dan tahu betapa jahatnya berbohong, rampasan kuasa itu menjadi wajib dan berdosa jika tidak dilakukan kerana rakyat menderita di bawah pentadbiran para pembohong yang tidak tahu mentadbir negara. Oleh itu ulama berkata ada bohong sunat, ada bohong wajib, ada bohong harus. Bohong sunat, kata ulama, ialah bohong kecil yang terpaksa dilakukan untuk memelihara maruah; manakala bohong wajib pula ialah jenis bohong yang tidak dapat tidak mesti dilakukan untuk memastikan kuasa yang ada terus kekal.

Kerana jika kuasa itu terlucut celakalah rakyat dan pemimpin yang sudah biasa dengan pembohongan itu; Sementara bohong harus pula ialah jenis bohong main-main untuk memujuk rakyat mengundi seseorang calon pilihan yang dijamin kebaikannya dan tidak pernah berbohong serta tidak pernah telanjang seumur hidupnya. Barangsiapa yang tidak percayakan pembohong akan jadi susah, akan dituduh menderhaka, biadab, kurang ajar, pembelit, tak tahu undang-undang, jahil dan lain-lain kutukan yang dilemparkan dengan rakus dan angkuh oleh para pembohong yang jujur.

Para pembohong yang jujur ini akan menggunakan apa juga ruang yang ada atau diadakan untuk menunjukkan kejujuran pembohongan mereka kepada rakyat. Merekalah orang paling berjasa dan paling jujur serta paling prihatin kepada rakyat. Mereka tidak main-main dengan pembohongan mereka, kerana berasaskan pembohongan itulah mereka melaksanakan pembangunan negara dan mendapat faedah besar daripadanya.

YB Ibrahim Ali mempunyai pengalaman luas dalam aspek pembangunan ini dan beliau boleh menghuraikan dengan mendalam mengapa pembohongan menguntungkan para pemimpin yang berkuasa. Krisis politik di Perak tidak akan berlaku andainya para pemimpin bercakap benar memberitahu rakyat bahawa mereka berbohong kerana itulah jalan terbaik dan jujur untuk membela rakyat yang sudah lama tertipu.- (Mohd Affandi Hassan, Petaling Jaya - 21/2/2009)

KOMENTAR:
bersama Pak Parjo

CEH, PANTANG ANAK MELAYU DERHAKA,
TAPI, TAK MAHU BERTUAN DIBOLEHKAN PULA!

Syahdan terlalu sukacita Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak akan meneruskan usahanya apabila mengambil alih kuasa. kelak. Adapun Orangkaya Perdana Menteri hadir pada majlis santapan ‘Sembang Makan Malam’ yang turut berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Sebermula akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib sedang menunggu-nunggu ia sepurnama lagi untuk berkuasa penuh di seluruh negara. Arakian berkatalah segala orang banyak, Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib itu sudah bermimpi-mimpilah ia menunggang gajah putih.

Sebermula segala perihal ihwal itu semuanya dikatakan orang kepada Bendahara Paduka Raja. Maka kata bendahara, ‘Jika demikian mengapakah maka kamu sekalian berlengkap ini?’. Maka sahut segala anak buah bendahara, ‘Sahaya semua hendak berbalaskan kematian saudara saya semua.’ Arakian kata bendahara, ‘Hai, hai, hendak derhakakah kamu sekalian? Hendak derhakakah? Ceh, kamu sekalian, ceh, kerana tiada adapt, hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.’ Maka sekali anak buah bendahara bertanya, ‘Tak mahu bertuankan anak raja ini dengan membalas kematian saudara kami, bukankah sama juga derhakanya?’ Syahdan terdiamlah bendahara, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, February 23, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

ISA SEKADAR PUSAT PEMULIHAN:
ABDUL WAHUB TENTU LEBIH TAHU!


Assalamualaikum,

Majlis Bicara Tokoh anjuran Pertubuhan Penggerak Generasi Muda Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri di Kuantan semalam (22 Februari 2009) membincangkan ‘Adakah ISA Satu Bentuk Penganiyaan?’ memang menakjubkan. Apalagi ahli panel yang diundang ialah bekas tokoh penting al-Arqam, Zabidi Mohamed dan bekas bendahari kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) Faiz Abu Bakar Bafana, di samping Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Rumusan ahli-ahli panel ialah ISA sebagai pusat pemulihan, bukan berbentuk hukuman yang bersifat penganiayaan. Kalau tak silap, Zabidi juga pernah tampil di kaca TV bersama pimpinan al-Arqam Ustaz Ashaari Muhammad sekitar dekad 1990-an dulu. Barangkali!

Mungkin sahaja saya tak kenal rapat dengan Zabidi, Faiz mahupun Ustaz Ashaari, tetapi berkawan dengan Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) malah Tan Sri Abdul Samad Idris (pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri). Pak Sako dan Pak Boes memang bekas tahanan ISA sejak period kolonial British, sementara Tan Sri Abdul Samad adalah bertanggungjawab dengan ISA sekitar dekad 1970-an, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Ibrahim Ali, Tan Sri A. Samad Ismail, Dato’ Abdullah Ahmad dan Dato’ Abdullah Majid turut menjadi tahanan ISA.

Tak pernah pula ISA ditakrif sebagai pusat pemulihan, kecuali pada period kolonial British dekad 1940-an, Pak Sako memohon supaya tahanan ISA diberi latihan kemahiran sebelum dibebaskan. Pak Sako dan Pak Boes juga pernah memberitahu saya mengenai bilik SW (di kurung dalam bilik gelap melebihi 50 hari hingga tak mengenal siang dan malam, apabila keluar mata mereka berbinar-binar disilau matahari, menyebabkan mereka mengalami masalah mata). Saya difahamkan ISA untuk membanteras anasir-anasir subversif, komunisme dan menjaga ketenteraman awam. Ironinya, isu Dato’ Harun tak pula digunakan ISA, kerana MT UMNO yang bersidang 18 Mac 1976 dalam Perkara 4 jelas menyebut:

“…Memandangkan keadaan keselamatan dan ketenteraman dalam negara adalah terancam oleh musuh-musuh negara di mana persefahaman dan perpaduan rakyat seluruhnya sangat-sangat penting dan mustahak untuk menghadapi ancaman ini maka Majlis Tertinggi UMNO telah membincangkan dan mengambil keputusan menasihatkan Dato’ Haji Harun supaya meletakkan semua jawatannya dalam parti UMNO dan Barisan Nasional dan juga Menteri Besar Selangor…”

Maknanya, keselamatan negara tak terancam kalau Dato’ Harun menerima keputusan tersebut, dengan tak memerlukan ISA. Disebabkan Dato’ Harun enggan, beliau dipecat mengikut Fasal 11 Ceraian 13 Perlembagaan UMNO dan heh heh heh! Apabila Zabidi dan Faiz diminta bercakap di hadapan Timbalan Ketua Polis Negara, selaras dengan filem ‘Tiga Abdul’ karya Tan Sri Dr P. Ramlee: “Oh, sebut fasal nak bawa ayahanda ke hospital semua harta tak ada…” Untuk tambahan – kalau minta ayahanda cepat mati, barulah peruntukan harta boleh dibahagi mengikut ‘demokrasi terpimpin kepala otak kamu’ kata Abdul Wahab. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

PPSMI MIRIP ‘MALAYAN UNION’
UNTUK KUBURKAN BAHASA MELAYU


(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharma di Kuala Lumpur, 23 Februari 2009 menyokong Gerakan Mansuh PPSMI, bagi menggerakkan ‘Perhimpunan 100 Ribu’ orang umat Melayu di hadapan Istana Negara pada 7 Mac 2009, sebagai manifestasi bangsa Melayu yang tergugat bahasanya, kerana kebobrokan dasar pelajaran, kepongahan pimpinan negara dan keberantakan pemikiran penjenayah budaya.)

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) memberi sokongan kepada Gerakan Mansuh PPSMI (GMPPSMI) pimpinan Dato’ Dr Hassan Ahmad yang menggerakkan suara rakyat dalam ‘Perhimpunan 100 Ribu’ di hadapan Istana Negara 7 Mac 2009 ini. Malah PRIMA sudah menghubungi Dato’ Dr Hassan dengan memberi jaminan akan turut serta dalam perhimpunan tersebut, di samping bersetuju menggerakkan 100 orang pencinta Bahasa Melayu menyertai ‘Perhimpunan 100 Ribu’. Memang PRIMA prihatin dengan isu PPSMI yang mirip kepada gagasan ‘Malayan Union’, justeru harus ditentang sebagai musuh nombor satu negara.

Hari ini (23 Februari 2009) PRIMA menghubungi Dato’ Dr Hassan, di samping berasa kagum dengan kesungguhan beliau tak berkompromi dalam isu PPSMI. Memang secara berterusan PRIMA menganggap mereka yang menyokong PPSMI adalah penjenayah budaya yang tak boleh dimaafkan, berikutan memperdaya ibu bapa pelajar-pelajar Melayu. PPSMI bukan sekadar dua mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris, sebaliknya merangkumi semua mata pelajaran yang berkaitan dengan Sains dan Matematik. Bahasa Melayu tak seharusnya menjadi mangsa dasar yang sudah membunuh ‘tulisan Jawi’ malah turut mengkuburkan akhbar ‘Utusan Melayu’.

LEMPAR BATU SEMBUNYI TANGAN:
SIKAP ‘MEMPERBODOH’ DIRI SENDIRI
Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengingatkan calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tak ‘memperbodohkan’ dirinya dengan politik ‘limpar batu sembunyi tangan’, malah ditertawakan oleh masyarakat umum. Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin hari ini (23 Februari 2009) meminta jangan dikaitkan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan salah guna kuasa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato’ Kamal Amir berkata Tan Sri Muhyiddin sudah memalukan UMNO seolah-olah kerajaan sekarang bukan ditadbirkan oleh BN. “Siapa SPRM hingga ianya boleh mengatasi kuasa kerajaan,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya menurut Dato’ Kamal Amir, banyak kes laporan polis dibuat berkaitan salah guna kuasa lebih awal daripada kes lembu di Selangor, sekadar diberi jaminan ianya akan disiasat tetapi tak pula diambil tindakan segera untuk didakwa. Dato’ Kamal Amir juga membangkitkan kuasa SPRM yang keterlaluan dalam soal siasat seorang aktivis UMNO yang ditahan Temerloh pada 23 Januari 2009 iaitu dengan no repot Kuantan/002014/09 tak ditakrifkan sebagai salah guna kuasa. “Tan Sri Muhyiddin calon untuk jawatan nombor dua, janganlah memperbodohkan diri dengan kenyataan begitu,” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

SUMBANGAN SASTERAWAN SILAM:
LESTARIKAN GAGASAN PERSURATAN BARU

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) didesak mengambil inisiatif mengenang sumbangan sasterawan-sasterawan silam dengan menggerakkan majlis memperkatakan karya-karya mereka, menurut pengkritik sastera tersohor Mohd Affandi Hassan. Katanya, majlis mengenang sasterawan silam bukan sahaja menghormati karya-karya mereka, malah turut menghimpunkan pemikiran bersama dalam melestarikan gagasan persuratan baru. Mohd Affandi yang juga bekas pegawai tinggi kementerian melahirkan rasa kesal kerana badan-badan persuratan termasuk Gapena, Pena mahupun ormas-ormas yang lain gagal untuk mengambil inisiatif menggerakkan majlis demikian.

“Ramai pengarang lama yang berjasa kepada persuratan Melayu dilupakan oleh generasi sekarang,” beritahu Mohd Affandi ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Seterusnya beliau menyebut tokoh-tokoh persuratan seperti Ahmad Bakhtiar, Mohamad Sallehuddin, Ahmad Rashid Talu, Harun Aminulrashid, Abdullah Sidek, Shamsuddin Salleh dan ramai lagi seolah-olah hilang bersama angin. Serentak dengan itu beliau menyarankan DBP, menggerakkan perjumpaan sasterawan-sasterawan warga emas dalam majlis bertukar-tukar pandangan mengenai karya-karya mereka.
Sementara itu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah bersetuju dengan saranan Mohd Affandi meminta DBP mengenang jasa sasterawan silam menerusi majlis perjumpaan demikian. Menurut Dato’ Dr Mohamad Mansor, sumbangan Mohamad Sallehuddin novelis ‘Dua Orang Tawanan’ (terjemahan daripada karya barat) dan banyak lagi hampir tak diketahui oleh penulis-penulis muda sekarang. “Mohamad Sallehuddin satu-satunya wartawan Melayu yang terpilih menyertai ‘victory parade’ di London pada 1945, iaitu pencapaian tak pernah diterima oleh penulis sekarang,” kata Dato’ Dr Mohamad Mansor.

PRIMA TAK TERBABIT GERAKKAN:
DEKLAMASI PUISI DENGAN WANG

Dalam gerakan deklamasi puisi menentang PPSMI, tak pernah PRIMA meminta mana-mana pihak menyalurkan sumber wang secara mengugut untuk meranapkan reputasi mereka, beritahu penyelaras deklamasi puisi PRIMA penyair Yassinsalleh. Beliau mengakui terkejut dengan dakwaan seorang Ahli Parlimen kepada beberapa rakan di lobi Parlimen baru-baru ini, bahawa pihaknya menuntut peruntukan besar bagi majlis berkenaan. Menurut Yassinsalleh, pihaknya sekadar ditawar menyelaraskan deklamasi puisi di kawasan Parlimennya. “Kalau pihak Ahli Parlimen itu mahu memperalat PRIMA untuk kepentingan politiknya, kami pun tak ambil kira,” beritahu Yassinsalleh.

Sebaliknya kata Yassinsalleh, apabila ditawarkan lokasi bagi menggerakkan majlis tersebut, PRIMA akan hadir sebagai manifestasi menentang PPSMI. Malah beliau juga menambah, PRIMA sanggup ke Jerantut di Pahang yang jaraknya jauh dari Kuala Lumpur dengan tak pernah mengharapkan diongkosi. Beritahu Yassinsalleh lagi, lokasi di Jerantut disediakan oleh PKR, justeru PRIMA tak menolak apabila tawaran itu datang dari UMNO. “Disebabkan tak semua pimpinan UMNO bersetuju dengan PPSMI, sebab itu PRIMA menerima tawaran, tapi tak pernah mendesak peruntukan yang memang karut jumlahnya,” jelas Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

TAK HORMAT PIMPINAN LAMA:
MEMANG FENOMENA DALAM UMNO

Pengakuan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir, mengenai ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad tak diberi penghormatan selepas persaraan oleh pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun Dato’ Mukhriz semasa bercakap ketika melawat mangsa ribut di Rembau, meminta pentadbiran selepas ini hendaklah memberi penghormatan kepada Dato’ Seri Abdullah. Semua itu mendedahkan kebobrokan sebenar dalam UMNO. Selepas insiden 1987, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri mahukan monomen Tunku di depan bangunan Parlimen dibuang.

Dato’ Seri Najib tak akan bercakap begitu, kalau tak direstu oleh bos ketika itu. Malah Dato’ Seri Najib tak berasa segan mengkritik ayahnya Tun Razak yang perkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Felda. Pada masa pentadbiran Dato’ Seri Abdullah, barulah Dato’ Seri Najib berbangga dengan DEB dan Felda. Masa Tun Abdul Razak pun heboh dengan ‘orde baru’ dan ‘orde lama’. Pimpinan yang dikira pro ‘orde lama’ pun tak diberi tempat termasuklah Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Fatimah Hashim, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan lain-lain. Begitulah fenomena UMNO - (SMS; 23 Februari 2009; 21: 36: 09 - Mat Toro, Felda Jenderak Utara, Pahang)
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

KISAH MAKAN MUNTAH HANTU:
& KISAH ORANGKAYA MURAH HATI

Sebermula akan Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pergilah ia ke Tawau. Berkatalah Orangkaya Menteri itu guru-guru yang mengajar al-Quran dan Fardu Ain (atau disebut anak cucu fakir, Kafa) berada dalam kelompok miskin. Arakian bersetuju Orangkaya Menteri itu mahu menyemak bayaran kepada guru-guru itu. Maka terfikirlah kepada orang banyak, terlalu bermurah hati Orangkaya Menteri ketika pertandingan merebut jawatan dalam harakah Melayu (UMNO) itu semakin hampir.

Syahdan maka hantu itu pun muntahlah, terlalu banyak muntahnya itu. Maka dimakannya oleh Badang muntah hantu itu habis semuanya; akan janggut hantu itu, dipegang oleh Badang, tiada dilepaskannya. Telah sudah ia makan muntah hantu itu, maka dicubanya oleh Badang, dibantunnya pohon kayu yang besar-besar itu habis tercabut. Maka dilepaskannya janggut hantu itu, maka Badang pun berjalanlah. Sambil berjalan dibantunnya kayu yang besar itu habis tercabut, sepertilah orang di akhir zaman ini makan muntah hantu berupa ampu sana ampu sini untuk menjadi senang linang yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




HIDUP BAHASA MELAYU.