Saturday, May 2, 2009

Manifestasi seniman rakyat...

Lakonan solo Sabri Yunus:
Dari karya teater Dinsman

Teater Dinsman 'Menunggu Kata Dari Tuhan' (Teater dari Hadis) lakonan solo Sabri Yunus (45 minit) dibantu muzik oleh Sani Sudin Kopratsa (live atas pentas) di Auditorium Muzium Negeri Selangor, Shah Alam 29 April - 3 Mei 2009 (9.00 malam). Sudilah datang menonton. SMS dari Dinsman karyawan teater yang tak jemu-jemu berkarya sebagai manifestasi seniman dengan kebobrokan masyarakat. Bagi peminat-peminat teater, malah orang ramai dijemput turut sama menyaksikan karya terbaru Dinsman.

(*Dinsman adalah aktivis teater, di samping penyair dan pendeklamator puisi. Sajak-sajaknya banyak tesiar di pelbagai media, dan di antara karya teater yang popular ialah 'Jangan Bunuh Diri'. Bekas sidang editorial di DBP, Dinsman lebih selesa berkarya secara bebas bersama rakan-rakannya sperti Ito, Nasir Jani, Sabri Yunus dan Sani Sudin)

SEMPENA HARI PEKERJA...

Pejuang jauh di perantauan
Wajar mereka dibawa pulang

Sempena Hari Pekerja 1 Mei yang diiktiraf di seluruh dunia, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan baru, sepatutnya prihatin dengan pejuang-pejuang bangsa yang terbabit dalam gerakan pekerja ini. Mereka sekarang menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) di selatan Thailand, berikutan perjanjian damai pada period Tun Dr Mahathir Mohamad 1989. Majoriti mereka ingin balik semula ke tanah air, tetapi peraturan yang memerlukan mereka ditahan terlebih dahulu, barangkali tak relevan dilaksanakan.

Baru-baru ini Pakcu Duwi (atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Sarip - 1935 – 2009) meninggal dunia pada pukul 10 pagi, 9 April 2009, dengan tak berpeluang balik ke tanah airnya. Berita awal yang diterima, beliau meninggal ketika berada di rumah isterinya di Daerah Raman, Wilayah Yala. Sebuah kereta telah dihantar untuk membawa jenazah pulang. Allahyarham dikebumikan pada malam itu juga di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12).

Allahyarham berasal dari Kampung Paya Pasir, Temerloh, Pahang, Pernah menyertai Platun 5 Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Manap Jepun. Tahun 1953, mengikuti Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 berpindah ke kawasan sempadan. Berikutnya Abu Samah Kassim (1926-2009, jenazahnya ketika meninggal dunia 14 April 2009) juga meninggal dunia jauh dari kampung halaman. Beliau berasal dari Lanchang, Pahang adalah cucu kepada Dato' Bahaman (Dato' Setia Pahlawan Orangkaya Semantan).

Sempena 'Hari Pekerja', wajar bagi kerajaan membawa mereka balik semula ke tanah air, kerana mereka adalah pencetus kepada perjuangan pekerja dan prolitar. Kalau kerajaan sudah membenarkan Musa Ahmad, Zainab Mahmud (kakak wartawan Osman Abadi), Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Ahmad, apa salahnya mereka dibenarkan balik ke tanah air. Negara sepatutnya berasa akan kehilangan Ibrahim Haji Yaakob (gambar), Rashid Maidin, Onan Haji Siraj dan ramai lagi yang meninggal dunia jauh di perantauan. Mereka juga pejuang nasionalisme yang menggunakan Bahasa Melayu dan persurat khabaran bagi menentang kolonial British.

PANDANGAN SELEPAS SARAPAN...

Perkasa Dewan Negara:
Tak dianggap 'rubber stamp'

Mempersenda DUN Perak dengan kerenah 'menghalal cara', lebih baik memperkasa Dewan Negara yang sekian lama dilabel sebagai 'rubber stamp' sejak merdeka lagi. Pelantikan ahli Dewan Negara mengikut nasihat Perdana Menteri di samping dua ahli dari setiap DUN, masih meletakkan Dewan Negara sebagai 'rubber stamp' hingga sekarang. Persepsi demikian boleh diubah sekiranya Ahli Dewan Negara lebih berwibawa daripada Ahli Dewan Rakyat selaras dengan statusnya sebagai 'House of Lords'.

Barangkali bagi mengelakkan pembaziran idea kalangan intelektual, di samping mengangkat status Dewan Negara supaya tak dilabel 'rubber stamp', pelantikan ahli-ahlinya juga perlu mampu menasihati bukan sahaja Ahli Dewan Rakyat, malah meliputi menteri dan Perdana Menteri juga. Justeru tokoh-tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, Tan Sri Sanusi Junid (gambar), Dato' Ruhanie Ahmad, Tan Sri Lee Lam Thye, Tan Sri Rahim Noor (sekiranya masih sihat) dan ramai lagi wajar dibawa ke Dewan Negara. Pimpinan negara boleh manfaatkan idea mereka, di samping Dewan Negara tak dianggap 'rubber stamp' - Pak Dharma.

Friday, May 1, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI

Jangan Tinggal Daku

Setelah sekian lama
dia mempertinggi
tempat jatuhnya
terdirilah dia kini
di puncak siksa
yang enggan
dirunding.

Di hadapan
ternganga gaung
tak berdasar
di belakang
kian berkerumun
barisan demi barisan
demi barisan
semut merah, hitam
dan jingga
mengarak lentera sarat
amarah
merebahkan
mimpi meroboh
lestari.

Kian tambah
gagah semut-semut
merah, hitam,
jingga dan hijau
menongkah nestapa
berlarian
saf demi saf
demi saf
semut-semut perkasa
menggenta gempita
genderang kebencian
yang tak terbenamkan
lagi.

Di setiap langkah
perlariannya
kesan tapak
injakan kakinya
bergelimpangan
bangkai-bangkai
sampah
dan janji-janji
syurga
yang kian
mengelembung
busuk
bagaikan khinzir korban
JE.

Kian menghampir jua
armada semut-semut
Merah, Hitam, Jingga,
Hijau dan Kuning
yang tidak lagi
kelabu
terpilin satu
dalam gemerlap
sinar warna
pelangi;
badannya naga
sayapnya garuda
aduhai FRU
jangan tinggal daku!

-Yassinsalleh
jam 0942,
Mei 1, 09
Selamat Hari Jadi
Seri Intan,
Lata Kinjang,
Chenderiang, Perak.

Kian Tak Terkawal
Biangnya

Pun berkali-kali sudah
bagaikan bertukar
enjin kereta
ia menunda dan
menunda
terlabuhnya tirai
penamat takdir
dia masih jua
terus mahu merasuk
bagaikan pocong
kehilangan kapan
ke syurga tak dapat
ke neraka tak diterima.

Dalam kepawangannya
hilan magis upayanya
memaksa langit
menarikan bintang-bintang
tidak lagi menjadi
lalu untuk membujuk pilunya
berpautlah ia pada dahan
yang sekah pohon
kesementaraan senda
fatamargona
yang tidak pernah engkar
untuk mungkir
sepasti-pastinya.

Dalam demikian
ia terlontar
ke jeram iktibar
masih jua ia tak
mahu percaya
sudah tiada lagi
ia terdaya menyekat
robohnya
puncak menara
masih jua ia
mahu membina
jambatan yang entah
ke mana nak
disambungkan.

Aduhai,
ingin saja aku kirimkan
kepadanya
secangkir duri kaktus
agar reda berahinya
yang kian tua
kian tak terkawal
biangnya.

-Yassinsalleh
jam 2238
Mei 1, 09
Lata Kinjang
Chenderiang,
Tapah, Perak.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...
Laksamana masyhur namanya:
Laut Melaka sentiasa dalam aman

Arakian gemparlah sekalian orang banyak kerana Selat Melaka itu terdapat 25 pangkalan haram untk menghantar rakyat dari Afgahnistan, Pakistan dan Iraq ke negeri atas angin di Australia. Adapun negeri Melayu itu dijadikan mereka tempat persinggahan sebelum pergi ke negeri atas angin itu. Tak bersuara pula Orangkaya Menteri Pertahanan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi itu. Syahdan pada zaman dahulu, pangkalan haram itu digunakan oleh anak-anak buah Megat Alang Dilaut, yang menerima bayaran laluan, kerana ia yang berkuasa menjadi lanun di laut. Adapun laksamana itu diugaskan untuk menghapuskan anak-anak buat Megat Alang Dilaut, kerana ia berkuasa menjaga keselamatan dagang santeri.

Sebemula maka laksamana menghadap ke arah Tun Jana Pakibul dengan mengereng pada Sultan Ibrahim. Maka oleh laksamana ditunjuknya Tun Jana Pakibul dengan tangan kirinya, katanya, "Tiada berbudi tuan hamba orang hutan, maka tiada tahu cara adat bahasa.Benarkah membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka, hendak merajalelakah tuan hamba di Siak?" Maka Sultan Ibrahim dan segala orang besar-besar semuanya diam, tiada menyahut kata Laksamana Han Tuah. Oleh itu dinyanyikan orang:

Bawa bunga angsana
Ambil pisau seraut
Apa kata laksamana
Beta raja di laut

Oleh kerana laksamana itu masyhur namanya, maka tiadalah Megat Alang Dilaut berani merajalela seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG

Pentas wayang bangsawan:
Lengkap dengan alat kebesaran

Assalamualikum,

Barangkali sidang DUN Perak 7 Mei 2009 tak lagi bernilai apabila diteruskan ketika krisis perlembagaan semakin sukar, malah statusnya akan jatuh ke tahap mesyuarat JKKK di balai raya sahaja, kalau prosedur yang mendaulatkan kedudukan DUN diketepikan. Cukuplah dengan pindaan Akta Perlembagaan (1983) Perkara 66(5), apabila mana-mana perkara diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara hendaklah ditandatangan oleh Yang Dipertuan Agong dalam tempoh 15 hari. Sekiranya Yang Dipertuan Agong tak menurunkan tanda tangan, dengan sendiri ianya dikira sah! (Gambar, ialah sidang Parlimen).

Kita tak mahu Parlimen atau DUN setaraf dengan pentas wayang bangsawan yang dilengkap dengan segala alat kebesaran, tetapi sekadar berstatus sebuah pementasan untuk tontonan audien. Tak hairan Allahyarham Tan Sri P Ramlee menggarap filem 'Musang Berjanggut' dengan meletakkan taraf Dato' Nikah Kahwin di dalam kurungan peti untuk dipersembahkan kepada raja. Di kalangan dato'-dato' yang terbabit menceroboh rumah Nila Utama hanya Dato' Nikah Kahwin sahaja yang menuturkan: "Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato' yang bikin." Maknanya Dato' Nikah Kahwin menggubal undang-undang mengikut seleranya.
Bukan sahaja 'Musang Berjanggut' (gambar hiasan, aktor Mustarjo melakonkan watak 'Musang Berjanggut'), malah 'Tiga Abdul' juga P. Ramlee menggarap 'demokrasi terpimpin' dengan 'Undang-Undang Siddiq Sigaraga' yang berat sebelah, hingga Abdul Wahab dan Abdul Wahib bole dijual di pasar. Justeru Abdul Wahib tampil memperbetulkan semula 'Undang-Undang Siddiq Sigaraga'. Kadangkala kerana kebangsatan, kita sekadar menganggap ianya sebuah fiksyen bagi karyawan, dengan tak menyedari membiarkan diri sendiri menjadi bangsat berterusan kerana sudah ditakdirkan untuk hidup dalam kebangsatan!

Mengimbau insiden yang pernah saya alami sekitar awal dekad 1980-an, ialah seorang ilmuan agama dari UKM berkelulusan Phd Usuluddin dari Universiti Azhar, Mesir menganggap rawatan Islam dilakukan sebuah organisasi tempatan sebagai perkara biasa. Kebetulan pula beliau mengalami perasaan berdebar-debar sepanjang waktu, yang sukar dikesan oleh rawatan perubatan di hospital. Sebaliknya, apabila beliau meramas-ramas rambut, profesor terbabit mengakui sedar apa yang berlaku tetapi tak dapat mengawal dirinya. Justeru PRIMA berharap isu di Perak mampu diselesaikan mengikut prosedur yang dihormati, bukan memaksa orang lain menghormati!

-Pak Dharma

BELASUNGKAWA KELUARGA TAIB...

Perjalanan Terakhir
Laila, isteri KM Sarawak
Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan takziah kepada keluarga keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berikutan berpulangnya ke rahmatullah isteri beliau Puan Sri Laila Taib semalam (30 April 2009). Akhbar melaporkan hari ini (1 Mei 2009) jenazah isteri kepada Ketua Menteri Sarawak itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, Jalan Bako tengah hari ini.

Allahyarham yang meninggal dunia kerana barah disemadikan di sebelah pusara ibu mentuanya, Hamidah Yakub pada pukul 1 tengah hari. Laila, 68, meninggalkan suami dan empat orang anak iaitu Jamilah Hamidah, Mahmud Abdul Bekir, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 orang cucu. Antara kenamaan yang hadir memberi penghormatan dan mengiringi jenazah ke perkuburan ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isteri, Raja Zarith Sofia.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng serta bapa saudara Abdul Taib, bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub turut hadir. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya, al-Fatehah.