Sunday, October 7, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SUKA DUKA TAK DIDUGA
AKTIVIS PRIMA MENJELANG RAYA
Assalamualaikum,

Menjelang berbuka puasa pada 5 Oktober 2007, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon beritahu keretanya tersadai di lebuhraya Karak, ketika balik dari memberikan kuliah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu yang menjadi pensyarah sambilan di UIA sekarang dalam perjalanan balik ke rumahnya di Puchong, apabila masalah temperature kereta menjadi bobrok. Setelah berhenti di sebuah petrol kiosk, beliau didatangi fomen yang mahu membantu. Disebabkan terdesak beliau membenarkan si fomen membaiki masalah kereta (bukanlah kereta beliau pula, tetapi milik isterinya, disebabkan kereta mercedes beliau juga dimasukkan ke workshop. Aduhai!).

Hampir dua jam si fomen menghilang selepas membuka kipas kereta, kononnya di situlah masalah berkenaan, justeru perlu mencari alat ganti ke kedai aksesori. Gamaknya! Disebabkan waktu berbuka hampir menjelang si fomen masih tak nampak kelibat, Dr Mansor memang berasa gubra. Mahu ditinggalkan kereta di petrol kisok berkenaan untuk ke rumah saya bagi berbuka mahupun solat, semuanya sudah terburai, terberancai dan berkecai! Terpaksalah Dr Mansor berbuka air mineral, solat di ceruk premis petrol kiosk dan menahan lapar tak menjamah nasi hingga 10 malam. Apabila si fomen menjengah muka dengan tersengih-sengih (mungkin dah kekenyangan), diberitahu masalah lain pula, iaitu memanggil kren untuk ditarik ke workshop.

Justeru bukan sekadar berhati-hati di jalanraya apabila menjelang Hari Raya, tetapi waspada juga dengan fomen di lebuhraya. Mujurlah Dr Mansor celik minda sikit, beliau menyuruh dipasang semula kipas keretanya, malah bersedia menerima risiko memandu kereta sepanjang perjalanan balik ke Puchong. Hingga jam 12.00 malam barulah beliau sampai ke rumah, menyebabkan janjinya mahu ikut sama meraikan anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Selayang (pada 6 Oktober 2007) tak kesampaian.

DEMAM DENGGI GANGGU ANAK
SAYUTI BERPELUH DALAM KERETA


Dalam perjalanan ke Selayang menghadiri majilis meraikan anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) anjuran Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) dan UMNO Cawangan Selayang Baru semalam (6 Oktober 2007), Mohd Sayuti Omar menelefon tak sempat ikut sama. Beliau baru sahaja balik dari Ipoh, apabila diberitahu anaknya yang sedang menuntut di sana menghidap demam denggi di asrama. Kononnya, beliau terperangkap dalam kesesakan jalanraya dari Tanjung Malim, hingga berpeluh dalam kereta sepanjang perjalanan balik. Pada mulanya dijangka sampai ke Kuala Lumpur jam 4.00 petang, sebaliknya tergendala hingga melebihi dua jam akibat kesesakan jalanraya yang sudah mula ‘beroperasi’ menjelang raya.

Sayuti yang berhasrat untuk menghadiri majlis meraikan anak-anak yatim, ibu tunggal dan OKU terpaksa mengalah kepada senario persekitaran yang serba tak diduga. Es es es! Apalagi Haji Abu Bakar Ninggal, SMS juga tak berjawab disebabkan tekanan H/B masih di paras sukar. Sekalipun saya sudah memintanya ke hospital bagi rawatan lanjut, tetapi beliau lebih selesa berihat di rumah bersama keluarga. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pula sudah dua hari tak dapat dihubungi, sementara Mohd Radzi Mustapha ke Kota Bharu bagi menghadiri kes di mahkamah. Yahaya Ismail (Pak Ya) orangkuat PRIMA pula memberitahu, beliau masih lagi di Perak (kerana isterinya juga berhadapan dengan masalah kesihatan). Masya Allah!

INFO HAK ASASI MANUSIA

WHAM SUMBANG ‘DUIT RAYA’
MAJLIS RAI ANAK YATIM DI SELAYANG


Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) memberi sumbangan ‘duit raya’ kepada 15 anak yatim, 30 ibu tunggal dan 6 orang kurang upaya (OKU) di kariah masjid Selayang Baru malam kelmarin (6 Oktober 2007), dengan kerjasama UMNO Cawangan Selayang Baru. Majlis berkenaan diadakan di pekarangan rumah Timbalan Ketua UMNO Cawangan Selayang Baru, Abdul Rahim Karim dihadiri lebih 200 tetamu, termasuk ketua pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S., pemuzik Mas Omar, pengacara masak Cef Liza dan penulis Nurul Salwa (pemenang kedua hadiah mengarang novel remaja sempena 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007 yang juga aktivis pelajar di Universiti Industrial Selangor (Unisel) di Bestari Jaya).

Majlis yang berlangsung jam 6.00 petang, di samping berbuka puasa bersama anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan OKU di sekitar kariah masjid Selayang Baru, lebih bercirikan suasana ‘kampung’ beritahu Presiden WHAM Hajah Fauziah Raof. Sebelum ini katanya, majlis berkenaan diadakan di Kuala Lumpur dengan jemputannya kalangan ‘kelas menengah’ di samping golongan elit, hingga ‘ciri-ciri kampung’ langsung tak diberi perhatian. Menurut Hajah Fauziah lagi, mereka yang diraikan sama ada anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan OKU lebih selesa dengan ‘ciri-ciri kampung’, kerana mereka mempunyai persekitaran (environment) semula jadi.


Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak yang juga Ketua Cawangan Selayang Baru, Omar Sudi Abdul Manan menyampaikan sumbangan tersebut, di samping hamper kepada ibu-ibu tunggal dan OKU. Sementara pemuzik Mas Omar pula menyampaikan sumbangan peribadi kepada mereka yang diraikan selepas majlis berbuka puasa menerusi isterinya. Menurut Omar Sudi, majlis sumbangan ‘duit raya’ memang acara tahunan dari cawangannya bagi meraikan anak-anak yatim, ibu tunggal dan OKU apabila menjelang hari raya. “Bagaimanapun bagi tahun ini pihak UMNO Cawangan Selayang Baru, bekerjasama dengan WHAM dalam menjayakan aktiviti masyarakat,” beritahu Omar Sudi selepas majlis sumbangan ‘duit raya’ dan berbuka puasa itu.

DILEMA MUZIUM ADAT DI JELEBU
CONTOHILAH IDEA BERNAS ISA SAMAD

Muzium Adat yang tersergam di pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan masih belum dibuat pengisiannya kerana menunggu tokoh yang mempunyai autoriti untuk pelaksanaannya. Frasa pengisian ‘Muzium Adat’ berkenaan juga dikatakan turut menjadi dilema kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa) Dato’ Seri Dr Rais Yatim, kerana sejak 2006 masih lagi takat macam ‘anak indung anak ketitir, anak merbah terlompat-lompat’. Pernah juga dilaporkan syarikat yang menghantar proposal dikehendaki mencari tokoh yang mempunyai autoriti bagi merangka manuskrip pengisian ‘Muzium Adat’, kononnya bekas pensyarah di IPTA.


Bagimanapun ‘Muzium Negara’ menolak rangka manuskrip berkenaan, malah pihak syarikat yang menghantar proposal turut membengang, membangang dan tercengang. Alahai! Banyak kelonggaran dalam manuskrip berkenaan, sekalipun bekas pensyarah itu khabarnya mempunyai ‘keahlian’ dalam Adat Perpatih. Sebaliknya takrif ‘Muzium Negara’ yang dikatakan ‘adat’ itu bukanlah ‘Adat Perpatih’ tetapi merangkumi semua ‘adat resam’ etnik di Malaysia. Justeru dipilihlah ketua jabatan di IPTA yang lain dengan status profesor bagi menyediakan manuskrip pengisian ‘Muzium Adat’, selepas Dr Rais kononnya berang dengan kelambatan tersebut. Bagi meredakan keberangan Dr Rais, syarikat berkenaan memperkenalkan seorang sasterawan dan budayawan kepada Ketua Pengarah Muzium Negara, tetapi pegawai di bawahnya menolak dengan alasan tak mempunyai autoriti.

Hingga 2007 bekas pensyarah di peringkat awal, dipanggil semula setelah ketua jabatan berstatus profesor itu ‘wal asil balik asal, wal asal balik asil’ sahaja; apalagi Dr Rais mahukan segalanya ‘beres’ menjelang Disember 2007. Berbeza dengan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, apabila menggerakkan pembinaan ‘Teratak Zaaba’ pada 1998, tak pernah mengharapkan orang yang mempunyai autoriti. Mohd Isa mahukan semua ‘beres’, hatta yang mampu melaksanakan kerja-kerja tersebut ‘kutu belahak’. Makanya ‘Teratak Zaaba’ tersergam megah di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, di Jempol pada 2000 di bawah pengawasan ‘Muzium Negeri Sembilan’, apabila Mohd Isa menyerahkan pelaksanaan kepada ‘kutu belahak’, malah tak menyusahkan kerajaan negeri dalam mengongkosi bujet. Nampaknya, lebih bernas idea Mohd Isa yang dilucutkan jawatannya pada 2004. Heh heh heh!

KESIHATAN DR M POSITIF
SEMUA PIHAK MENYAMBUT CERIA

Laporan terkini mengenai tahap kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menunjukkan perkembangan positif, memang disambut dengan ceria oleh semua pihak, bukan sekadar kegembiraan keluarga beliau sahaja, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (7 Oktober 2007), Kamal menyebut mengenai laporan laman blog Datin Paduka Marina Mahathir berkaitan perkembangan terbaru Tun Dr M yang menakjubkan keluarganya, apabila bekas Perdana Menteri itu sudah mampu berjalan kira-kira 20 meter. “Sewaktu Datin Paduka Marina melawat, Tun Dr M nyenyak tidur selepas makan tengah hari berlaukkan ketam,” ujar Kamal turut ceria dengan perkembangan tersebut.


Tun Dr M menjalani pembedahan bagi memberishkan luka pada 23 September di Institut Jantung Negara (IJN), selepas 19 hari pembedahan pintasan jantung pada 4 September yang dikatakan menimbulkan spekulasi menerusi penghantaran sistem kiriman ringkas (SMS) telefon bimbit yang tak berasas. Di samping melahirkan kesal dengan sikap segelintir pihak menggunakan SMS bagi menimbulkan spekulasi, Kamal meminta mereka terbabit supaya prihatin dengan perasaan keluarga Tun Dr M. “Kalau kita seorang tak suka kepada Tun Dr M, ada seribu orang lagi yang suka dan menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada negara, bangsa dan agama,” beliau menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

IDEA HASIL PENULISAN CERPEN
TERJELMA DALAM INSIDEN HUI YEE.

Cerpen yang dihasilkan oleh Mior Shariman Hassan tersiar di akhbar Utusan Zaman sekitar dekad 1970-an, seolah-olah menjadi aspirasi kepada pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) dalam membantu Adik Tee Hui Yee, 14 menjalani pembedahan pemindahan jantung pada 5 Oktober 2007. Hui Yee yang menerima derma jantung dari mangsa kemalangan jalanraya sebelum ini, dikatakan tak serasi dengan fizikal beliau. Justeru pembedahan kali kedua selepas menerima derma jantung dari Johor 5 Oktober lalu memperlihatkan tindak balas yang positif kepada Hui Yee, malah dilaporkan makin stabil menjelang hari ini (7 Oktober 2007).
Sekalipun Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek mahukan pihak media merahsiakan nama penderma jantung berkenaan, bagi mengelakkan ianya mengganggu keluarga terbabit, tetapi media melaporkan juga secara umum. Sekalipun tak disebut nama penderma yang terbabit dalam kemalangan jalanraya, tetapi identitinya diketahui juga iaitu remaja Melayu beragama Islam. Fizikal Hui Yee seolah-olah serasi dengan jantung barunya yang didermakan oleh remaja Melayu beragama Islam, mirip kepada cerpen yang pernah dihasilkan oleh Meor Shariman Hassan (yang juga kartunis dikenali dengan nama Mishar) yang tersiar di akhbar Utusan Zaman.

Memang karya Meor Shariman Hassan sekadar fiksyen, tetapi ketika itu menjadi kontroversi isu mengenai pemindahan organ. Bagaimanapun pada dekad 1970-an isu pemindahan organ sekadar membabitkan mata dan buah pinggang, sebaliknya Meor Shariman Hassan secara berani melakarkan isu pemindahan jantung menerusi karyanya. Cerpen yang dihasilkan oleh Meor Shariman Hassan mengisahkan seorang pemuda Melayu yang menerima derma jantung dari lelaki Kristian menerusi pembedahan hingga ia berhadapan dengan dilema apabila fizikal Islamnya menggunakan jantung Kristian. Ironinya selepas dikenali sebagai kartunis, Meor Shariman Hassan seolah malu-malu mahu meneruskan bakatnya sebagai cerpenis yang mampu bereksprimen.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TIKET BAS HABIS DI KAUNTER
WARGA KOTA TAK BERAYA DI KAMPUNG

Alkisah ramailah yang hampa apabila tiket bas tambahan bagi balik ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri dijangka 13 Oktober 2007 habis dijual. Sekalipun pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan (LPK) mengumumkan tambahan 1,000 bas sejak awal puasa lagi, tetapi menjelang 5 Oktober 2007, ramai warga kota yang berhasrat balik ke kampung terutama ke destinasi pantai timur dan utara sudah mula memikirkan logiknya untuk berhari raya di kota sahaja. Tetapi kehampaan mereka yang tak dapat baik ke kampung, tak sama dengan penduduk di Pendang, Kedah apabila pesiapan menyambut hari raya tenggelam bersama limpahan banjir ketika menjalani ibadat puasa.

Sebermula akan mangsa banjir di Pendang itu pula, tak sama dengan penderitaan umat Islam di Iraq, Afghanistan dan Palestin yang sentiasa menghadapi hidangan air mata apabila menjelang hari raya. Begitulah! Akan fakir pula sudah beberapa kalilah menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh kalangan yang mampu dan berstatus, maka hidangannya terlalulah banyak dengan lauk pauk melimpah ruah. Kuih muih juga memenuhi meja, hingga sukarlah bagi fakir mahu memilih yang mana satu makanan paling lazat; apalagi teringatkan roti nan Arab sebesar dulang minuman dan kebab kibas yang menyelerakan.

Syahdan diberitahulah oleh orang-orang tua dahulukala akan keperihalan Saudagar Maimon, sekadar memakan buah tamar apabila singgah berhenti di padang pasir. Tak diduganya biji tamar yang dilontar selepas memakan isinya menyebabkan ia disergah jin yang menjelma di hadapannya. Maka jin berkenaan menuduh akan Saudagar Maimon membunuh anaknya dengan biji tamar yang ‘cinonit’ kalau dibandingkan dengan fizikal jin yang besar itu. Macam tak masuk akallah pula biji tamar berkenaan membunuh si anak jin, seolah-olah sukarlah mahu dipercayai budak-budak remaja merusuh hingga cederakan polis di Kuala Terengganu.

Apalagi keputusan pemilihan di IPTA dan IPTS, pelajar-pelajar yang pro-aspirasi kononnya menyokong kerajaan menang bergaya dalam pilihanraya kampus. Maka berbanggalah menteri yang mencapai kedudukan kerana ihsan, seolah-olah keputusan itu menggambarkan remaja-remaja Melayu sukalah akan kerajaan. Sepanjang yang fakir tahu baik remaja mahupun bukan remaja, tak pernah tak sukakan kerajaan, sebaliknya mereka mengkritik pemimpin-pemimpin kerajaan yang pongah, congah dan melungah! Makanya nenek moyang fakir dahulu apabila Tun Besar mati ditikam disebabkan bola raga yang disepaknya jatuh menimpa destar putera raja, memang ianya tak mengisar hulu keris tapi cukuplah memberi isyarat sahaja ‘tak akan bertuankan anak raja yang satu itu’ seperti keperihalan:









HIDUP BAHASA MELAYU!!!!

No comments:

Post a Comment