Wednesday, October 10, 2007

JAWATANKUASA AD-HOD WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


SELAMAT HARI RAYA BUAT DR M:
DIIRINGI DOA SEMOGA SEGERA SEMBUH


Assalamualaikum,


Kabar yang disampaikan oleh Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz hari ini (9 Oktober 2007) ialah kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semakin memberangsangkan. Beliau sudah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Jantung Negara (IJN) ke wad ‘Bunga Raya’, beritahu Kamal ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Memang laman blog PRIMA mengikuti perkembangan kesihatan Tun Dr M berdasarkan laporan IJN dan laman blog anaknya Datin Paduka Marina. “Semenjak Tun menjalani pembedahan di IJN pada 4 September dan diikuti 23 September, PRIMA sentiasa mengiringkan doa semoga Tun segera sembuh,” ujar Kamal menambah seterusnya.



Serentak dengan itu Kamal mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada Tun Dr M sekeluarga menjelang Hari Raya AidilFitri dijangka 13 Oktober ini. Bagaimanapun menerusi setiausaha khasnya Sdr Sufi Yusoff, Tun Dr M sudah mengedarkan kad ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kepada rakyat Malaysia, termasuk juga sekretariat PRIMA sejak seminggu lalu. Apalagi sebagai pemimpin yang sentiasa prihatin dengan rakyat, Tun Dr M tak melupakan sokongan orang ramai terhadapnya, sekalipun masih memerlukan rawatan di IJN menjelang Hari Raya Aidilfitri. Disebabkan belum dibenarkan melawat Tun Dr M, PRIMA mengambil kesempatan mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada beliau dan keluarga di samping mendoakan kesihatannya segera pulih. Insya Allah.


MENJELANG HARI RAYA
UCAPAN SELAMAT KEPADA PAK LAH



PRIMA juga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sekalipun dalam kesibukan tanggungjawab beliau sempat juga meraikan wartawan-wartawan dalam majlis berbuka puasa sebelum ke luar negeri baru-baru ini. Pak Lah yang baru balik menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan menerima sokongan Iran, apabila menolak sebarang usaha mahu membahagi dua negara Palestin, semata-mata untuk memenuhi agenda politik Israel dan Amerika Syarikat. Pendirian Malaysia pula dilihat sebagai suara Persidangan Negara Islam (OIC) atas kapisiti pengerusi pertubuhan berkenaan.


Apalagi kejayaan Malaysia dalam misi menghantar angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mutspha, 35 di samping Kapten Dr Faiz Khaleed, 27 (pilihan kedua) menerusi kapal angkasa Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan jam 9.21 (waktu Malaysia) malam ini (10 Oktober 2007), adalah memberi kredit kepada Pak Lah selaku pentadbir negara. Justeru Hari Raya Aidilfitri tahun ini turut membanggakan Malaysia, berikutan sumbangan dua orang angkasawan negara yang sudah diiktiraf sebagai angkasawan atau ‘cosmonaut’ oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos) yang akan berlegar mengelilingi orbit pada purata kelajuan 27,744 km sejam dengan ketinggian 350 kilometer. Aduhai!

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:



GALERI SAMAD IDRIS DI SERI MENANTI
KELUARGA BERSETUJU SERAH KEDIAMAN



Keluarga bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1976-1980) Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris bersetuju menyerahkan kediaman mereka di pekan diraja Seri Menanti, Kuala Pilah kepada Muzium Negeri Sembilan bagi dijadikan ‘Galeri Abdul Samad Idris’. Ketika menghubungi pihak Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan, sasterawan Dharmala N.S. semalam (8 Oktober 2007), anak lelakinya yang tua Mohd Fadzil Abdul Samad memberitahu, setelah berbincang dengan keluarga mereka bersetuju menyerahkan kediaman berkenaan bagi dipulihara oleh Muzium Negeri Sembilan sebagai ‘warisan’ dan peninggalan sejarah.



Mohd Fadzil yang juga seorang ahli perniagaan menyambut baik tawaran Muzium Negeri Sembilan mahu memulihara kediaman keluarganya di Seri Menanti sebagai premis ‘Galeri Samad Idris’. Beliau bersama kakaknya bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Noraini Abdul Samad serta adik-adiknya Mohd Marzuki dan Mohd Syukri melahirkan rasa gembira apabila jasa-jasa dan sumbangan ayahanda mereka diberi pengiktirafan. Tan Sri Abdul Samad yang meninggal dunia pda 15 Oktober 2003 pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Negeri Sembilan (1964-1965), sebelum memegang beberapa jawatan timbalan menteri di peringkat Persekutuan.


Sebagai penggerak nasionalisme di Negeri Sembilan, di samping memimpin rapat raksasa bantahan ketika lawatan dua orang Ahli Parlimen British, Kapten L. D. Gammans dan Leftenan Kolonal D. Rees William ke Seri Menanti pada Mei 1946, Tan Sri Abdul Samad juga terbabit dalam gerakan budaya dan sastera. Pada 1956 beliau memimpin ‘Kongres Kebudayaan Melayu Ke 2’ di Seremban atas kapisiti selaku Ketua Angkatan Sasterawan Negeri Sembilan (ASAS Negeri), bagi kesinambungan ‘Kongres Melayu Pertama’ di Johor Bahru sebelum itu, yang menganugerahkan gelaran ‘Pendeta’ kepada tokoh persuratan Tan Sri Zaaba.


Tan Sri Abdul Samad juga berhasil membongkar sejarah kedatangan Raja Melewar pada 1773 bagi menaiki takhta dengan memproklamir ‘kerajaan Negeri Sembilan’ di Astana Raja, Rembau. Berdasarkan kajian Tan Sri Abdul Samad, tiga buah makam lama yang ditemui di Astana Raja, diiktiraf sebagai milik Raja Melewar, Raja Hitam dan Raja Lenggang yang bersemayam di lokasi berkenaan. Pemindahan lokasi persemayaman ke Seri Menanti, dijangka pada period pemerintahan Yamtuan Raden sekitar 1824 yang masih belum dibuat kajian mengenai fakta-fakta perpindahan tersebut. Justeru, Tan Sri Abdul Samad bukan sahaja ahli politik berketerampilan di Negeri Sembilan, malah beliau juga pemikir budaya dan aktivis sastera Melayu.


PENAFIAN YANG DIPERCAYAI UMUM
TAK SEMESTI IANYA ‘TAK BERLAKU’


Berikutan laporan agensi berita Reuters mengenai kerajaan Indonesia menghantar bantahan keras (9 Oktober 2007) dalam insiden isteri Atase Pendidikan dan Kebudayaan Kedutaan Besar Republik Indonesia ditahan oleh pihak imigresen dan Rela, tentu sudah menerima arahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Kerajaan Indonesia tak akan meminta penjelasan dari Malaysia, kalau ianya bukan berkaitan dengan kedaulatan dan maruah sesebuah negara. Penafian pihak imigresen dan Rela dalam laporan media hari ini (10 Oktober 2007) ketika menjalankan operasi di Jalan Chow Kit, Sabtu lalu (6 Oktober 2007), di katakan sengaja dibesar-besarkan.


Mungkin sahaja penafian tersebut dipercayai oleh pihak umum, tetapi tak semestinya perkara itu ‘tak berlaku’. Membuat penafian memang mudah, malah boleh dieksploitasi hingga orang ramai percaya dengan ‘penafian’ tersebut, sebaliknya bukan penyelesaian bijak apabila kerajaan Indonesia membuat protes. Sebelum ini sudah berlaku jurulatih karate dari Indonesia dibelasah oleh pihak keselamatan negara ini di Seremban, hingga berlaku kekalutan di Jakarta apabila rakyat negara itu bertindak balas di hadapan kedutaan. Imigresen dan Rela seharusnya mengambil langkah segera menyiasat tingkah laku pegawai terbabit, bukan menafikan setelah pemerintah Indonesia membantah!



Sebagai sebuah negara yang maju dan bertamadun, di samping mampu menghantar angkasawan melakar sejarah, janganlah dibiarkan jabatan-jabatan tertentu bersikap negatif hingga merosakkan nama baik Malaysia yang maju dan bertamadun itu. Lebih berhemah sekiranya imigresen atau Rela menghubungi kedutaan Indonesia, dengan tak memerlukan anak isteri atase terbabit datang membawakan dokumen. Tak malukah? Bagaimana kalau diplomat Malaysia diperlakukan sebagai ‘pendatang tanpa izin’ di negara orang, seolah-olah kepongahan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap masyarakat antarabangsa yang berkunjung ke negaranya? Jabatan-jabatan tertentu tak seharus ‘menafikan’ tetapi meminta maaf, sebagai ‘negara yang maju dan bertamadun’.


TAKRIF MUNDUR DISASAR KE KELANTAN
‘PERHAMBAAN MINDA’ MASIH DIAMALKAN


Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, masyarakat Melayu harus membebaskan diri dari ‘perhambaan minda’, apabila menyentuh propaganda yang mentakrifkan Kelantan sebagai negeri yang mundur di Malaysia. Mengulas isu mangsa tsunami di Pulau Pinang yang menunggu masa hingga lebih dua tahun baru menerima rumah yang dijanjikan kepada mereka (menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini), Kamal mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai mundur, kerana tak prihatin dengan kesengsaraan mangsa tsunami terbabit. “Kerajaan yang tak prihatin dengan kesengsaraan rakyat, adalah kerajaan yang sebenar-benarnya mundur,” beritahu Kamal.


Beliau juga berasa hairan, bagaimana isu bantuan perumahan kepada mangsa tsunami di Pulau Pinang hanya selesai, selepas Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersuara. Katanya, kalau proses pemberian rumah berkenaan belum selesai lagi, kenapa apabila Pak Lah bersuara dalam sekelip mata semuanya ‘beres’. Malah berlaku pula sandiwara, kononnya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak akan menyerahkan kunci rumah kepada mangsa, sebaliknya pada tarikh berkenaan janji berkenaan tak dipenuhi, seolah-olah Najib pula yang disalahkan, ujar Kamal mahukan siasatan dibuat segera berkiatan dengan isu pemberian rumah kepada mangsa tsunami di Pulau Pinang itu.



Menyentuh laporan akhbar hari ini (10 Oktober 2007) mengenai rungutan warga emas, Puan Jah Hashim, 72 di Gopeng, Perak, Kamal mensifatkan kerajaan negeri Perak juga ‘mundur’ dari segi keprihatinan hingga isu berkenaan didedahkan di media. Katanya, kerajaan negeri seharusnya berasa malu apabila Puan Jah yang dijanjikan rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak 2005, terus sahaja ‘macam menunggu buah tak gugur’. “Kalau penghulu yang merobohkan rumahnya dan berjanji untuk dapatkan PPRT sudah bertukar, takkan penghulu baru yang bertugas di situ mahu ‘cucu tangan’ pula,” kata Kamal menambah.


INFO SASTERA & BUDAYA:


BUKU ‘100 TOKOH MALAYSIA’
BUKAN BERDASARKAN ‘ANAK GEMILANG’


Proses menyediakan buku ‘100 TOKOH MALAYSIA’ sudah dibuat sejak Januari 2007, bagi menyambut sempena ’50 Tahun Merdeka’, justeru ianya tak mempunyai kaitan dengan pemilihan ‘Anak Gemilang Malaysia’ yang dianjurkan salah sebuah stesen TV baru-baru ini. ‘100 Tokoh Malaysia’ akan diterbitkan oleh Kantung Network Sdn Bhd, memang memilih Dato’ (Sir) Onn Jaafar sebagai ‘tokoh penggerak nasionalisme’, di samping Tunku Abdul Rahman Putra ‘Bapa Kemerdekaan’; diikuti semua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selaku ‘tokoh pentadbir negara’. Buku setebal 350 muka surat itu akan diterbitkan akhir bulan Oktober ini, iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri dijangka 13 Oktober 2007.



‘100 Tokoh Malaysia’ ialah memperkatakan tokoh-tokoh utama dalam kerjaya mereka termasuk Menteri Besar pertama pra merdeka, Menteri Besar pertama pasca merdeka, menteri kabinet pertama pada 31 Ogos 1957, tokoh pimpinan Pemuda, Wanita, Ulama, Sukan, budaya dan korporat. Bagaimanapun ramai tokoh-tokoh popular tak dimuatkan bukan disebabkan mereka tak diiktiraf, tetapi seperti disebut menerusi ‘kata pendahuluan’ buku ini, pada zaman Rasullullah 14 tokoh dilantik menganggotai ‘majlis fatwa’. Sebaliknya bukan semua 14 tokoh ‘majlis fatwa’ itu menjadi popular, di samping para sahabat ternama seperti Bilal bin Rabah, Zubair bin al-Awwam, Saad ibnu al-Waqas dan beberapa lagi tak tersenarai bagi menyertai ‘majlis fatwa’. Begitulah!

PENERBITAN BUKU ‘REVOLUSI MENTAL’
IDEA TAN SRI SENU YANG KONTROVERSI



Pertemuan dengan setiausaha khas Tun Dr Mahathir Mohamad, Sdr Sufi Yusuf di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya ketika Majlis Perjumpaan PRIMA 15 Ogos 2007 lalu, tak banyak diketahui latar belakangnya. Beliau sekadar seorang yang peramah, di samping pergaulannya mesra disebabkan pengalaman pernah berkhidmat di luar negara. Memang tak disangka pula Sufi rupa-rupanya cucu penggerak nasionalisme yang berwibawa, Tan Sri Senu Abdul Rahman. Secara historikal, Tan Sri Senu dianggap tokoh radikal UMNO yang dilabel oleh penjajah Inggeris ‘berbahaya’, justeru beliau terpaksa berlepas ke luar negeri bagi mengelakkan diri daripada diberkas.



Buku ‘Revolusi Mental’ yang diterbitkan pada dekad 1960-an, adalah idea Tan Sri Senu iaitu kompilasi kertas kerja cendekiawan Melayu yang dibentangkan di ‘khemah kerja’ Pemuda UMNO di Morib, Selangor apabila beliau dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO. Di bawah Tan Sri Senu pimpinannya cenderung kepada ‘Pemuda Tahan Lasak’, yang bertindak agresif menangani isu-isu berbangkit. Misalnya, ketika krisis Lee Kuan Yew memuncak pada 1965, Tun Razak dikatakan membuat pertemuan dengan tokoh politik Singapura itu, menyebabkan Tan Sri Senu membawa delegasi Pemuda bersama Setiausaha Agung Tan Sri Jaafar Albar bersemuka dengan Tun Razak, mempersoal relevannya pertemuan tersebut.


Penerbitan buku berkenaan memang menimbulkan kontroversi, kerana idea Tan Sri Senu sentiasa diselubungi kontroversi. Ketika mewakili SBERKAS dalam gabungan UMNO pada 1947, Tan Sri Senu juga menimbulkan isu kontroversi apabila membawa usul jawatan ‘Timbalan Pesuruhjaya Tinggi’ diwujudkan untuk anak Melayu. Usul berkenaan menimbulkan kemurkaan Sultan Kedah (Almarhum Sultan Badli Shah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah) yang dianggap meletakkan kedudukan ‘rakyat biasa’ melebihi kedaulatan raja-raja Melayu. Ketokohan Tan Sri Senu bolehlah dikatakan aset UMNO juga, sayangnya tak diberi perhatian oleh pimpinan UMNO sendiri. Alahai!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


BIARLAH PERHIMPUNAN SECARA AMAN
SUHAKAM MINTA HAPUSKAN AKTA POLIS



Syahdan diberitahu kepada orang ramai akan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N Siva Subramaniam mahu menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi menyampaikan keputusan sebulat suara semua 18 Pesuruhjaya Suhakam meminta dihapuskan Seksyen 27 Akta Polis 1997, bagi membolehkan mana-mana pertubuhan mengadakan perhimpunan dan perarakan secara aman. Apalagi pihak polis sendiri mengakui negara dalam keadaan aman sentosa, sejahtera dan selesa, maka tak perlulah bimbang akan keselamatan yang sentiasa terjamin. Tahniah kepada Suhakam yang prihatin dengan isu yang berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai mengenai insiden perhimpunan di Batu Buruk, Terengganu baru-baru ini.


Sebermula diberitahu kepada fakir oleh orang tua-tua UMNO sendiri di masa lalu iaitu di bawah kuasa penjajah Inggeris pada 19 Januari 1946, satu perjumpaan besar di Alor Setar, Kedah membabitkan lebih 50,000 orang Melayu menentang Malayan Union, tak pula berlaku insiden seperti keperihalan di Batu Burok, Terengganu. Di Kota Bharu, Kelantan juga rapat raksasa digerakkan pada 1 Februari 1946, dengan dihadiri kira-kira 36,000 orang, di samping tak termasuk lagi di Kuala Lumpur, Ipoh, Seberang Perai, Seri Menanti, malah di seluruh negara, tak pula dilaporkan berlaku rusuhan. Kalau dibanding masyarakat masa itu belum ramai yang terdidik dengan pendidikan tinggi, takkan bangsa Melayu sekarang sudah tak bertamadun.


Makanya akan fakir bersetujulah dengan Datuk Pesuruhjaya Suhakam itu, perkara aman sentosa, sejahtera dan selesa macam tak kena mengenai dengan akta polis tersebut, kerana sudah terbukti pada zaman penjajah dulu semuanya baik-baik belaka. Syahdan akan tabiat mahu sembunyi perkara yang busuk, tak sesuai lagi seperti insiden seorang perajurit di kem Syed Sirajuddin di Gemas dilaporkan mati kerana kemalangan, rupa-rupanya terdapat kesan di belasah mengikut laporan hospital (yakni laporan secara santitifik), di samping bekas tapak kasut (dihentak) pada bahu si mangsa. Aduhai! Begitu juga kes di Jakarta apabila pembunuhan menggunakan arsenik kepada pejuang hak asasi negara berkenaan, dibicarakan selepas Suharto hilang kuasa.


Adapun menyembunyi perkara yang busuk itu, nenek moyang fakir percaya sangat dengan naratif ‘telur tembelang’ yang disorok-sorok lambat laun baunya akan tengit, lengit dan bengit ke seluruh pelusuk. Maka disebut dalam hikayat nenek moyang fakir, akan sekali persetua Sultan Mahmud mahu ke rumah Tun Dewi, diketahuinya Tun Ali Sandang bercengkerama dengan perempuan itu. Bersamanya seorang ‘pengawal raja’ bernama Tun Isap, mahu mengampu raja, maka dibunuhnya Tun Ali Sandang itu. Berita itu sampailah kepada Seri Dewa Raja (anak bongsu Tun Perak), lalu dicambuk kepala Tun Isap dengan tak mampu diselamatkan oleh raja, kerana percayalah fakir setiap orang mempunyai haknya di sisi undang-undang seperti juga:



HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. Ramadhan memberi kesedaran
    Syawal itu kejayaan.
    Tahniah, itu ucapan perayaan.
    Perjuangan ramadhan tiada akhiran.

    Selamat hari raya to all. Maaf zahir batin.

    ReplyDelete