Monday, February 4, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PERIHAL ULAR TAK MEMBELIT
MANUSIA LEBIH TAKUTKAN PERHILITAN

Assalamualaikum,


Hujan turun sepanjang balik ke Jelebu hari ini (3 Februari 2008), menyebabkan hampir jam 1.00 tengahari baru sampai di rumah emak saya, Hajjah Safiah binti Jatin. Sebaik sahaja masuk ke rumah, hampir juga saya terkejut kerana keadaan lengang macam tak berpenghuni. Rupa-rupanya emak saya di biliknya berzikir dan berdoa selepas solat sunat sejak jam 11.00 pagi, memohon Allah SWT memberi perlindungan serta jauhkan bala. Adik saya memberitahu di sebelah paginya ketika bangun untuk menyediakan sarapan, seekor ular sawa berlingkar di penjuru dapur. Mungkin sahaja hujan berterusan (tak pula berlaku banjir), reptilia berkenaan mencari tempat berlindung hingga menyusup ke dalam rumah.



Reptilia tersebut tak pula mengganggu ayam ternakan di reban yang lokasinya tak jauh dari penjuru dapur. Justeru emak saya memberitahu jiran-jiran mengenai reptilia berkenaan ‘menumpang’ berlingkar di dapur sepanjang malam. Terpaksalah si jiran meminta bantuan ‘pasukan bomba dan penyelamat’ bagi menangkap reptilia yang ‘menumpang’ berlingkar itu, disebabkan tak dibenarkan membunuhnya oleh pihak jabatan hidupan liar atau Perhilitan (dulunya jabatan mergastua). Rupa-rupanya si jiran itu lebih takutkan ‘Perhilitan’ daripada reptilia yang berlingkar boleh membahayakan keselamatan apabila sudah menyusup ke dalam rumah. Aduhai!

Tak hairanlah sekitar dekad 1960-an, aktor A.R. Tompel (yang juga seorang penulis) pernah menulis di Utusan Melayu mengenai ‘sketsa masyarakat’. Keratan akhbar tersebut tak ada lagi dalam simpanan saya, tetapi memang menarik idea penulisan A.R. Tompel apabila menyentuh mengenai kehebatan ular sawa membelit. Bukan takat kambing yang lemah sahaja tewas sekiranya dicerut menerusi belitan ular sawa, menurut A.R. Tompel dalam rencananya, malah harimau yang ganas di hutan pun tak mahu bertahan sekiranya termasuk perangkap belitannya yang melingkar panjang. Bagaimanapun A.R. Tompel meneruskan: Sepanjang pengamatannya tak pernah ular membelit ular, tapi sudah jadi lumrah ‘manusia membelit manusia’. Begitulah!


DATO’ KAMAL RAI MOHD SAYUTI
BALIK HAJI & SAMBUT HARI JADI


Balik sahaja ke Kuala Lumpur dari Jelebu, sementara menunggu solat maghrib, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon, beritahu sudah menunggu ‘teh tarik’ di tempat biasa. Ketika sampai di gerai berkenaan, bukan sahaja Sdr Mohd Sayuti Omar yang baru balik dari menunaikan fardu haji sudah menunggu, malah Sdr Emman Jr juga tersengih-sengih menghulur tangan. Sdr Emman Jr yang meneroka sejarah penulis pertama di Malaysia merengkok dalam lokup polis semata-mata kerana menulis buku (bukan melakukan jenayah) memberitahu saya, beliau sudah terbabit menjadi blogger dengan laman webnya: http://www.malaysia-hariini.com/ . Rupa-rupanya 3 Februari ialah hari jadi Sdr Mohd Sayuti. Tahniah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA :


MUZIUM ADAT TERSERGAM DI JELEBU
PENGISIAN BUKAN SEKADAR BERMUSIM


Perasmian bangunan ‘Muzium Adat’ semalam (2 Februari 2008) di pekan Kuala Kelawang, Jelebu di Negeri Sembilan dikatakan bukan khusus mengenai ‘Adat Perpatih’, tetapi merangkumi pelbagai adat di kalangan kaum-kaum di Malaysia. Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman Haji Musa Wahab merasmikan bangunan muzium berkenaan bersama Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa), Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, di samping Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Mohamad Hassan turut hadir dalam upacara perasmian. Hingga hari ini (3 Februari 2008) acara mengisi kemeriahan perasmian diteruskan dengan persembahan muzik tradisional menjelang 1.00 tengahari.


PRIMA difahamkan ‘Muzium Adat’ berkenaan sudah lama dirangka, malah disebut-sebut akan dirasmikan pada Disember 2007. Bagaimanapun pengisian yang dijadualkan boleh dilengkapkan sekitar 2006, berhadapan dengan pelbagai masalah apabila pihak Muzium Negara mahukan individu yang mempunyai autoriti membuat rangka kerjanya. Sebaliknya individu yang dianggap mempunyai autoriti, dikatakan ke London dalam tempoh yang terlalu lama. Setelah berhadapan dengan kerenah birokrasi yang sukar dibendung, individu yang pada peringkat awal sudah mengemukakan rangka kerja diminta semula membuat pengisian. Justeru beberapa pihak berharap, pengisian ‘Muzium Adat’ bukanlah sekadar bermusim, tetapi wajar berterusan dan berkesinambungan.


PIMPINAN SEMAKIN SUKAR:
PILIHANRAYA DIRAMAL ‘TIADA’


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meramalkan kemungkinan pilihanraya ‘tiada’ bagi tempoh terdekat, berdasarkan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan semakin sukar. Menurut Dato’ Kamal Amir, berdasarkan fenomena sekarang, memang kemungkinan besar pilihanraya di’tiada’kan, tetapi tak menolak ianya akan berlaku perubahan besar. Dato’ Kamal Amir yang juga penganalisis politik berkata demikian ketika menghubungi sekretariat PRIMA, di samping menarik perhatian kepada pergolakan yang membabitkan institusi istana, apabila pelantikan dibuat kepada jawatan ‘pemangku’ ketika baginda berada di dalam negeri.


“Terlalu ramai pimpinan yang akan digugurkan daripada menjadi calon, malah sudah disebut-sebut mengenai kabinet bayangan, ketika Perdana Menteri belum lagi memberi tarikh Parlimen akan dibubar,” beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Sekalipun isu Hindraf memberi sedikit kredit kepada BN ujar Dato’ Kamal Amir lagi, tetapi memang sukar mengatasi kebobrokan dalam pimpinan. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menyentuh kebiadapan Presiden MIC Dato’ Seri Samy Vellu yang mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput mendahului Pengerusi BN. “Seseorang calon perlu terlebih dahulu menerima pelantikan dari ketua parti bagi menggunakan simbol untuk diserahkan kepada SPR pada hari penamaan calon, lainlah kalau Samy Vellu gunakan simbol MIC,” beritahu Dato’ Kamal Amir.



INFO SASTERA & BUDAYA:


KECENDERUNGAN PENGGEMAR LAGU
PENYANYI LAMA KEHILANGAN PEMINAT


Kecenderungan baru penggemar lagu masakini menyebabkan penyanyi-penyanyi lama kehilangan peminat, bukannya mutu persembahan mereka sudah menurun, beritahu pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah ketika mengulas keputusan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 22 baru-baru ini. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, kecenderungan atau trend baru penggemar-penggemar lagu masakini memang tak membabitkan mutu melodi, lirik mahupun persembahan, sebaliknya dinilai kepada penyanyi-penyanyi muda. Mereka merasakan menjadi peminat kepada penyanyi-penyanyi terbabit, bukan mutu atau kualiti yang dipersembahkan, ujar Dato’ Dr Mohd Mansor. “Penyanyi yang diminati tak semesti membawa persembahan yang menghiburkan,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.


Misalnya jelas Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, penyanyi Aishah memberikan idea persembahan yang menghiburkan malah bermutu tinggi, sebaliknya beliau dikalahkan oleh kecenderungan baru penggemar-penggemar lagu. Begitu juga dengan Dato’ Siti Norhaliza memberikan persembahan yang berkualiti, tetapi ditewaskan oleh elemen-elemen kecenderungan baru itu. Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, sekitar dekad 1950-an kualiti persembahan Tan Sri P. Ramlee, R. Azmi dan Tan Sri S.M. Salim diterima oleh penggemar-penggemar lagu berdasarkan karya dan nyanyian mereka. “Mereka juga bertanding bagi bintang radio, dan ranking masing-masing adalah berdasarkan mutu persembahan,” katanya.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
SEMBILAN HARI SEMBILAN MALAM
PERKAMPUNGAN HADHARI DI TERENGGANU


Syahdan dititir canang ke seluruh negeri akan perkampungan hadhari di Pulau Wan Man, Terengganu itu selama sembilan hari (tak tahulah sama ada sembilan malam atau tidak) seperti disuratkan ianya bermula sejak 1 Februari 2008 yang lalu. Maka disediakan 25 bot penambang dan 20 bas secara percuma, hingga berpusu-pusulah rakyat jelata ke perkampungan tersebut bagi melihat perayaan nyanyian lagu-lagu berunsur Islam yang indah-indah. Gamaknya! Sebermula akan perkampungan hadhari itu dititir canang melalui TV9 seperti keperihalan ‘Jom Heboh’ yang sudah termasyhur di TV3 itu, adanya. Maka fakir tak dibawa sama ke perkampungan hadhari, kerana tak larat seperti diberitahu Dato’ Lubuk Batu ketika Feringgi menyerang dahulukala.


Sebermula Dato’ Lubuk Batu itu diusunglah oleh segala anak tuan-tuan dibawa ia berundur, kerana dato’ itu mahu dilanggarkan juga kepada seldadu-seldadu Feringgi. Apalagi sewaktu mudanya Dato’ Lubuk Batu memang gemar menghadiri jamuan-jamuan bersama orang-orang muda sebayanya seperti Laksamana Hang Tuah. Adapun Dato’ Lubuk Batu itu memanglah anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak, Tun Muhammad namanya, Paduka Tuan gelarannya. Syahdan apabila orang berayap-ayapan di dalam istana, Paduka Tuan itu penghulunya, maka ia akan menjemput anak tuan-tuan menari-nari. Syahdan setelah tua tak bergigi, seekor ayam itu habis dimakan oleh Dato’ Lubuk Batu dilulurnya sahaja dengan tak berkunyah seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ menurut kata:

HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment