Tuesday, February 5, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


TERENGGANU MAJU SELEPAS 2004
PAK LAH PERLEKEH MB-MB TERDAHULU


Assalamualaikum,


Beberapa orang kawan mengirim SMS pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sudah mendapat ilham, sekalipun masih tak sebut fasal tarikh Pilihan Raya Umum Ke 12, berdasarkan laporan media hari ini (5 Februari 2008). Apalagi Pah Lah membuat pengumuman berkenaan di Kota Bharu, seolah-olah memberi signal kepada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Dato’ Annuar Musa senarai calon-calon yang dikemukakannya, ok laaa! Peliknya, Pak Lah ungkit mengenai pemerintahan PAS di Terengganu tak membuat sebarang perubahan, seolah-olah lupa Terengganu diperintah oleh UMNO/BN sejak 1961-1999. PAS mentadbir negeri Terengganu hanya pada 1959-1961, kemudiannya 1999-2004. Itu sahaja!



Kalau Terengganu maju selepas 2004, maknanya Pak Lah memperlekeh pentadbiran Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad, Dato’ Mahmud Sulong, Dato’ Nik Hassan dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Astaga! Sebenarnya Terengganu sudah memiliki telaga minyak menerusi carigali PETRONAS yang diilhamkan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, malah ketika saya ke Kuala Terengganu sekitar dekad 1990-an mengunjungi ‘Pesta Buku’, pembangunan di Terengganu sudah rancak dibandingkan dengan kunjungan bersama Allahyarham Pak Sako pada dekad 1970-an. Ketika berbual dengan Dato’ Nik Hassan (Allahyarham) di salah sebuah gerai pameran, beliau begitu ‘merendah diri’, di samping membahasakan dirinya ‘pak cik’. Begitu berhemahnya orang Terengganu!



Ilham Pak Lah sekadar mahu membubarkan Parlimen, sebaliknya tarikh pembubaran belum lagi diilhamkan, seolah-olah para karyawan yang memperoleh ilham dengan cara yang berbeza. Kabarnya, pemuzik terkenal di Indonesia Idris Sardi ilham akan mencurah datang apabila isterinya sentiasa memberi sumber idea di sisinya. Begitu juga mengenai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mampu memperoleh sumber ilham bagi mencipta lagu-lagu di mana-mana sahaja, sekalipun dalam suasana hiruk pikuk. Sebaliknya penyair-penyair muda sekarang menunggu waktu malam yang sunyi sepi bagi menghasilkan puisi atau menulis cerpen sambil menghisap rokok bersambung puntung. Heh heh heh!


Tetapi semakin lambat diberikan tarikh, mungkin juga terencat program mereka yang sudah menghadiri kursus menghadapi pilihan raya. Misalnya, kalau tarikh yang diilham Pak Lah kebetulan pula menyangkut hari perkahwinan saudara mara, tentulah sukar mahu membuat pilihan. Apalagi mereka yang terbabit bagi mengira undi atau mengawal pusat pengundian, akan melangsungkan perkahwinan tentulah menjadi masalah kepada kedua-dua belah pihak. Sebaik-baiknya setelah memperoleh ilham membubarkan Parlimen, eloklah gunakan kaedah para seniman bagi sumber ilham menentukan tarikh pula. Setakat ini BN dikatakan mampu mempertahan 2/3 majoriti, ayuh ‘tepuk dada tanya selera’ – membujur lalu melintang patah. Hubaya!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASAS MANUSIA:


LEGASI KECOH DAFTAR PEMILIH
KELEMAHAN KETARA PENGERUSI SPR


Kecoh mengenai daftar pemilih yang bercelaru, berselaru dan mengeliru masih jadi amalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekalipun pilihan raya umum belum digerakkan ke seluruh negara. Justeru Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman perlu menerima tanggungjawab sepenuhnya mengakui kesilapan yang berlaku, bukan ianya meletakkan sebagai ‘kelalaian manusia’, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Dato’ Zahidi Zainul Abidin, Dato’ Kamal Amir yang juga penganalisis politik memberitahu, “Sukar mahu dipercayai bagaimana ADUN di kawasan yang diwakilinya tiba-tiba menjadi pengundi di kawasan ADUN yang lain,”.


Menurut Dato’ Kamal Amir, kalau ADUN seperti Dato’ Zahidi tak menyedari namanya dipindahkan oleh SPR, bagaimana dengan mereka yang kurang memberi perhatian kepada isu daftar pemilih. Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir, terlalu sukar bagi sesiapapun menerima hakikat apabila SPR tak meneliti persempadanan pilihan raya hingga pengundi-pengundi di DUN Baseri dipindahkan ke DUN Titi Tinggi dan Chuping. Apalagi insiden pengundi dipindahkan membabitkan Kelantan, Perlis, Pahang, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. “Sebelum kekecohan meledak pada hari pengundian seperti tahun 2004, Tan Sri Abdul Rashid perlu menerima tanggungjawab kebobrokan SPR ini dengan berundur,” katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA:
HASILKAN KARYA BUKAN PAKSAAN
PEMILIHAN BUKU TEKS BUKAN KEUTAMAAN


Pengarang yang berani tak mengharapkan karyanya menjadi buku teks menerusi skim Komponen Sastera dalam Mata pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) di bawah Pusat Pengembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pelajaran. Justeru menurut novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, pengarang harus berkarya bukan secara paksaan bagi memperoleh peluang karyanya dipilih oleh PPK, sebaliknya memberi keutamaan kepada ketekunan berkarya. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui kekecewaan yang diluahkan oleh penerima SEA Write Award, Dr Lim Swee Tin (Utusan Malaysia, 4 Febaruari 2008) bukan karyanya tak terpilih, tetapi atas keprihatinannya kepada pembangunan sastera Melayu.


“Tak mungkin Dr Lim Swee Tin mahu melahirkan karya popular dan picisan semata-mata mahu dipilih oleh PPK bagi skim Komsas, sebaliknya beliau kecewa dengan isu kebobrokan dalam sastera Melayu masakini,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor. Beliau juga meminta Dr Lim Swee Tin terus menghasilkan karya-karya besar, di samping memujuk Dato’ Dr A Samad Said menarik balik keputusannya tak mahu dipanggil ‘Sasterawan Negara’, tetapi kembali bergerak memperbetulkan kebobrokan yang dicipta oleh manusia dengan melacurkan sastera Melayu. “Kami bersama PRIMA memang bergerak ke arah mempelopori bulldozer meranapkan kebobrokan tersebut,” katanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MENUKAR SIKAP HIDUP RAKYAT
PERIHAL KU LI MEMACU IKTISAD


Sekali persetua tersebutlah akan bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dilaporkan oleh sekalian para penyurat hari ini (5 Februari 2008), rakyat Malaysia perlu dididik tak bergantung lagi dengan bantuan kerajaan. Maka berkatalah Ku Li, dasar baru bagi memacu iktisad ialah menarik segala bantuan kepada rakyat secara beransur-ansur. Alhamdullillah! Bahawasanya adalah kepada suatu ketika, fakir menemui Tunku Abdul Rahman Putra selepas ianya bersara sekitar tahun 1982, mengakulah akan orang besar itu ia tak mempunyai harta apabila tak lagi menjadi pembesar. Lalu katanya kepada fakir, nasib baiklah kereta saya tu, anak raja Kelantan (maksudnya Ku Li) yang tolong belikan. Entahlah!



Syahdan dibacakan kepada fakir akan ‘Kitab Melayu’ itu, adapun saudagar-saudagar dari atas angin turunlah mereka berniaga ke Melaka kerana meningkatkan iktisad mereka. Adalah kepada suatu hari seorang saudagar dari Arab melihat akan Raja Kassim itu menjual ikan ke kapalnya bersama nelayan-nelayan lain di Melaka. Akan saudagar Arab itu dipeluknya Raja Kassim, lalu dimandikan serta dipermuliakan sebagai anak-anak raja jua, adanya. Sebermula berasa hairanlah Raja Kassim, kerana selama ini tak sesiapa pun di negeri Melaka itu mahu memberi bantuan kepadanya.


Syahdan mustaidlah perjanjian Raja Kassim yang tak menerima bantuan dari kerajaan di Melaka dengan Saudagar Arab itu, kalau ia menjadi raja maka permudahkanlah urusan perniagaan saudagar-saudagar Arab di pelabuhan Melaka. Maka kepada suatu malam, pergilah Raja Kassim dengan bantuan Saudagar Arab itu menemui bapa saudaranya Seri Nara Diraja Tun Ali, lalu mereka membawa gajah ke rumah Bendahara Seri Wak Raja. Sebermula dilanggarlah istana Raja Melaka yang tak memberi bantuan atau subsidi kepada rakyatnya itu, dan matilah Sultan Abu Shahid dan Raja Rekan itu seperti disebut-sebut oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment