JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
SPEKULASI MAKIN SUKAR DITOLAK
PARLIMEN AKAN DIBUBAR 12 FEBRUARI?
Assalamualaikum,
Semakin sukar mahu menolak spekulasi Pilihan Raya Umum ke 12 akan diadakan pada Februari 2008, malah sumber-sumber di kalangan pimpinan kerajaan sendiri sudah meramalkan 12 Februari, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka memproklamir pembubaran Parlimen. Pemilihan tarikh 12 Februari pula dilkatakan sesuai dengan Pilihan Raya Umum Ke 12, malah akan membawa angka 12-02-2008, di samping angka simbolik kepada jumlahnya 24. Justeru Pak Lah memilih 12 Februari bagi membubarkan Parlimen dikatakan sesuai berdasarkan ianya jatuh pada 4 Safar dalam kaedah kalendar Islam (4 Safar1429) dengan angka simbolik berjumlah ‘20’. Bagi mereka yang memahami kaedah angka dalam kalendar Islam percaya tarikh 4 Safar atau 12 Februari akan menjadi pilihan Pak Lah. Barangkali!
Ketika saya berkunjung ke Air Baning di daerah Jelebu semalam (8 Februari 2008) seorang rakan yang dikatakan memahami kaedah angka dalam kalendar Islam (atau ianya disebut kiraan Falaq), kemungkinan besar Pak Lah memilih tarikh 4 Safar 1429 (atau 12 Februari 2008) kerana jumlah angkanya memberi simbolik yang baik. Misalnya, jumlah 24 dalam kalendar Februari ialah jumlah bagi huruf ‘kalimah syahadat’ atau dalam sehari ianya sesuai berjumlah ‘24 jam’. Begitu juga 4 Safar berdasarkan kalendar Hijrah akan membawa jumlah 20 (atau lebih jelas lagi ialah ‘sifat 20’). Di peringkat ini menurut rakan itu, sudah cukup memberi advantage kepada Pak Lah berdasarkan angka.
Menurut rakan itu lagi, jumlah abjad bagi ejaan nama Pak Lah dan ibunya (Datin Khailan) dikatakan 833, kemudiannnya ditafsirkan kepada 5 dengan burujnya (petak) al-Asad dan bintangnya ialah al-Shams. Daripada jumlah tersebut dipadankan kepada bulan Safar pula ialah (1 hingga 3) di bawah zodiak ‘kelam’, apabila menjelang (4 hingga 8 Safar) keadaannya ‘bercahaya’. Justeru katanya, pada 4 Safar atau 12 Februari bintang al-Shams dalam keadaan ‘bercahaya’ yang membolehkan Pak Lah serasi memproklamir pembubaran Parlimen (atau memulakan pekerjaan). Di samping itu rakan berkenaan juga percaya akan memilih jam 7.00 pagi atau 2.00 petang bagi membuat proklamir, kerana ketika itu bintang al-Shams berada dalam buruj terbaik.
Bagaimanapun kawan berkenaan sekadar membuat spekulasi, bukanlah ramalan mengikut amalan falaq seperti dilakukan oleh almarhum datuk Pak Lah (Tuan Guru Sheikh Abdullah bin Sheikh Ibrahim atau Pak Him atau dikenali Abdullah Fahim) apabila memberikan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Katanya, tak tahulah tarikh yang dipilih oleh Pak Lah bagi memproklamir pembubaran Parlimen, tetapi menurut rakan itu lagi kemungkinan besar ialah 12 Februari 2008 sekiranya beliau memilih tahun ini bagi mengadakan pilihanraya. “Mungkin Pak Lah juga tahu serba sedikit fasal kiraan angka daripada almarhum datuknya,” beritahu rakan berkenaan. Entahlah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
SAINGAN PAS KAWASAN JELEBU
HAJI HASSAN BERSEDIA JADI CALON
Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kelawang Bandar, Haji Hassan bin Abdul Rahman bersedia dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 12 di mana-mana kawasan DUN di Parlimen Jelebu bagi memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN). Haji Hassan yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pemborong Kelas F daerah Jelebu, sudah lama terbabit dalam gerakan sosial, malah terbabit dalam isu pengambilan tanah melibatkan beberapa kampung termasuk Teriang, Cenderak dan Sungai Legom bagi membina empangan air di Kampung Gagu. “Keputusan pemilihan calon terserah kepada pimpinan tertinggi PAS,” menurut Haji Hassan.
Haji Hassan, 63 menyertai PAS sejak dekad 1980-an merupakan kontraktor kelas F di daerah Jelebu, sudah beberapa kali menolak untuk menjadi calon apabila memberi laluan kepada aktivis yang lebih berpotensi. Bagaimanapun berikutan senario politik sekarang, beliau merasakan sudah sampai masanya untuk menerima tawaran bagi memberi saingan kepada calon BN. Pada 2006 misalnya, Haji Hassan menyokong tindakan PRIMA dalam protes tindakan agresif pihak pejabat tanah dengan sikap arogan dalam isu pengambilan tanah penduduk kampung di Kampung Teriang. Haji Hassan juga turut menyokong PRIMA dalam isu limpahan air babi di gerai makan Kampung Petaling pada 2006 lalu. “Saya sedia memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang prihatin kepada masalah rakyat,” kata Haji Hassan seterusnya.
NAZIR MASJID DI SELANGOR
AKAN DISINGKIR SERTA MERTA
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo memberikan definasi ‘ceramah politik’ di masjid bagi membolehkan nazir masjid di negeri Selangor disingkirkan serta merta. Laporan berita radio jam 5.00 petang hari ini (9 Februari 2008) menyebut, Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengarahkan semua nazir-nazir masjid di Selangor disingkirkan serta merta sekiranya didapati ianya membenarkan ‘ceramah politik’ di masjid. Di samping bersetuju masjid bukannya ‘medan tempur politik’, Dato’ Kamal Amir mengingatkan Dato’ Seri Dr Mohd Khir tak perlu menjadi hulubalang Pak Lah, kerana nazir-nazir dilantik oleh kerajaan negeri di samping jawatankuasa masjid dilantik oleh nazir (bukanlah oleh ahli kariah).
“Kalau nazir-nazir masjid menderhaka kepada Dato’ Seri Dr Khir, beliau sepatutnya menilai kesilapan diri sendiri apabila campur tangan dalam urusan masjid di seluruh negeri Selangor, kerana bukannya ‘mudah mengkajang batu sepulau’ seperti pepatah orang tua-tua kita,” beritahu Dato’ Kamal Amir. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini, Dato’ Kamal Amir mendedahkan teks khutbah Jumaat (8 Februari 2008) di Masjid al-Khiriyah, Gombak yang dibacakan oleh khatibnya adalah berkaitan dengan ‘Islam Hadhari’. Justeru Dato’ Kamal Amir meminta Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberi definasi mengenai teks khutbah yang dibuat oleh jabatan agama Islam mengenai ‘Islam Hadhari’ adakah ceramah politik atau sebaliknya.
KERUSI PARLIMEN JELEBU
DATO’ DR RAIS AKAN DIGUGUR?
Isu menawarkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) Dato’ Seri Dr Rais Yatim memegang jawatan Setiausaha Agung Komanwel tak lama dulu, dikatakan memang mempunyai kaitan dengan spekulasi akan digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke 12. Dalam tinjauan PRIMA di beberapa kampung di Parlimen Jelebu termasuk Air Baning, Lakai, Jerang dan Geylang ianya diberitahu Pembantu Khas Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Mohd Yunus Rahmat dikatakan akan membuat ‘come back’, berikutan beberapa perjumpaan dengan penyokongnya di Teriang Hilir menerima sambutan. Kata sumber berkenaan, Dato’ Mohd Yunus menerima sokongan dari DUN Pertang dan Lui bagi menjadi calon Parlimen Jelebu disebabkan sebelumnya beliau adalah Ahli Parlimen Jelebu, sebelum memberi laluan kepada Dato’ Seri Dr Rais pada pilihanraya 1999.
“Dalam perjumpaan baru-baru ini di DUN Pertang, Dato’ Mohd Yunus diberi sambutan hangat oleh ahli-ahli UMNO di sini,” menurut sumber tersebut seterusnya. Dato’ Mohd Yunus juga pernah menewaskan Dato’ Seri Dr Rais dalam pilihanraya 1995, ketika beliau (Dato’ Dr Rais) bertanding atas tiket PSM46. Apalagi Dato’ Mohd Yunus menggunakan kapisiti sebagai Pembantu Khas Setiausaha Agung UMNO turut menulis buku mengenai perjuangan Dato’ Ahmad Badawi (ayah Pak Lah) dalam gerakan Pemuda sebagai usaha menampilkan diri untuk menjadi calon. Sebaliknya menurut sumber itu lagi, sekalipun penulis sebenar buku berkenaan sudah menulis surat kepada Pak Lah mengenai nama Dato’ Mohd Yunus yang tertera pada bukunya, tetapi peluang beliau (Dato’ Mohd Yunus) tak mungkin terjejas.
INFO SASTERA & BUDAYA
NOVEL BERUNSUR POLITIK
KEHILANGAN KHALAYAK PENGGEMAR
Mungkin sahaja novel berunsur politik, ditakrif sebagai sebuah karya yang menggarap senario dalam pergolakan politik, menyebabkan pengkritik sastera merumuskan novel-novel berkenaan kehilangan khalayak penggemarnya, menurut novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Misalnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor sekitar dekad 1970-an beliau menghasilkan novel satira ‘Daerah Tercinta’, tetapi tak ditakrif sebagai karya berunsur politik. Sebaliknya pengkritik sastera seperti A. Talib Samat lebih cenderung membawa khalayak kepada karya-karya ‘keberangan’ seperti ‘Krisis’ (Alias Ali), ‘Menteri’ (Shahnon Ahmad), ‘Juragan’ (Dharmala N.S.), ‘Tiada Lagi Kompang Berbunyi’ (Marwilis Haji Yusuff) dan beberapa lagi sebagai karya berunsur politik.
Karya-karya satira seperti ‘Putera Gunung Tahan’ (Ishak Haji Muhammad), ‘Tikus Rahmat’ (Hassan Ibrahim” atau ‘Daerah Tercinta’ (Mohd Mansor Abdullah) juga adalah tergolong kepada novel-novel berunsur politik, beliau menambah. Apabila Shahnon pula menghasilkan novel keberangannya ‘Shit’ pada 1999, pengarang dianggap kehilangan daya kreativiti, bukan dinilai sebagai kritikan sosial terhadap kebobrokan politik, kata Dato’ Dr Mohd Mansor lagi. Kehilangan khalayak penggemar-penggemar novel bukan sahaja terhadap karya-karya berunsur politik, malah yang menjurus kepada pemikiran dalaman seperti dihasilkan oleh A. Samad Said atau Arenawati sukar menembusi sasaran pembaca, jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PERIHAL CALON PILIHAN RAYA
PENAMPILAN NAMA PERKARA BIASA
Kata sahibul hikyat seperti disurat orang yang empunya ceritera, Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin memberitahu, penampilan namanya yang dicalonkan antara lima orang yang lain di Parlimen Rembau di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke 12, adalah perkara biasa atas kapisitinya selaku Ketua Pemuda Bahagian berkenaan. Hari ini (9 Februari 2008) disuratkan orang banyak akan Khairy itu melancarkan ‘Gerak Gempur Pemuda’ di Perak, dengan tak diajak sama akan Ketua Pemudanya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein. Heh heh heh! Maka diberitahu kepada fakir oleh segala anak-anak orang besar dan sida-sida, akan Dato’ Seri Hishamuddin itu sama sahaja sama ada ianya menjadi ketua atau tak menjadi ketua. Astaga!
Syahdan akan Bendahara Putih (adik Tun Perak) itu sampailah ajalnya, ditanamkan menurut adat orang besar-besar jua, adanya. Sebermula dalam ‘Kitab Melayu’ disebutkan dalam hikayatnya akan negeri Melaka itu ada sembilan orang disenaraikan menjadi calon (lebih empat orang kalau dibandingkan di Parlimen Rembau, gamaknya!) bagi menjadi bendahara menggantikan Bendahara Putih. Maka semua calon-calon itu berbarislah di hadapan Sultan Mahmud, sementara bonda Sultan Mahmud (kakak Tun Mutahir) pula bersembunyi ia di sebalik pintu. Sebermula berbisiklah ia dari sebalik pintu supaya Sultan Mahmud memilih Tun Mutahir Seri Maharaja akan menjadi bendahara (kerana berbaris semasa jadi calon pun memang perkara biasa ketika itu) seperti yang disuratkan oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment