JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
SELAMAT TAHUN BARU CINA
KONGSI RAYA KONGSI KUASA
Assalamualaikum,
Bukan sahaja di Malaysia, di Republik Rakyat China (RRC) juga dilaporkan warga kota mengambil peluang balik ke kampung sempena Tahun Baru Cina esok (7 Februari 2008). Sejak beberapa hari lalu TV melaporkan warga kota di RRC berpusu-pusu balik ke kampung, sekalipun bencana alam terburuk melanda negara berkenaan berikutan ribut salji luar biasa. Berdasarkan ‘kongsi raya kongsi kuasa’ TV3 juga dilaporkan turut bekerjasama dengan akhbar ‘Sin Chew Jit Poh’ melancarkan dana bantuan bencana alam kepada RRC. Bagaimanapun ‘kongsi raya’ memang sudah lama dimanfaatkan sejak dekad 1950an oleh rakyat di Malaysia setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, sebaliknya tak pernah pula dilaksanakan ‘kongsi kuasa’ ketika itu.
Misalnya, di kampung saya di daerah Jelebu sekitar dekad 1950-an dan 1960-an (sebelum pelaksanaan Felda), kebanyakan orang Melayu bekerja mengambil upah di kebun-kebun Cina sama ada meracun rumput, menanam semula pokok getah mahupun memerun (membakar pokok-pokok yang sudah ditebang). Mereka seronok bekerja di kebun Cina, kerana kemudahan termasuk mendapatkan ‘advance’, berhutang di kedai dan pinjaman ketika kesempitan. Begitulah! Justeru pada perayaan Tahun Baru Cina mereka dijemput ke rumah ‘taukeh’ dengan disediakan stout cap kepala anjing, kacang goreng dan rokok. Menjelang jam 12.00 malam apabila balik ke rumah, masing-masing memang terhuyung hayang menunggang basikal.
Apalagi ‘taukeh’ mereka memang baik-baik belaka kerana bersedia ‘kongsi raya’, sekalipun upah mereka sekadar gaji hari sahaja antara RM4 – RM5. Mereka dikehendaki masuk bekerja jam 6.30 pagi dan dibenarkan balik jam 2.30 petang. Maknanya, memang tak boleh dikira ‘kongsi kuasa’, kerana hak sebagai pekerja sama ada KWSP, rawatan perubatan dan insuran tak pernah dikesampingkan. Misalnya, sekitar dekad 1950-an jiran saya ditimpa nahas apabila terbakar ketika ‘memerun’ menyebabkan beliau meninggal dunia setelah beberapa hari terlantar di hospital. Disebabkan tiada ‘kongsi kuasa’ jiran saya meninggal dunia dengan tak menerima sebarang pampasan untuk keluarga yang ditinggalkan. Aduhai!
Bagaimanapun dekad 1950-an dan 1960-an tak sama dengan alaf baru 2000, ketika laungan ‘kongsi raya kongsi kuasa’ sudah tersebati dengan jiwa rakyat Malaysia. Tak tahulah! Mungkin sahaja ‘kongsi raya’ sekadar majlis ‘rumah terbuka’ di rumah pimpinan negara, kerana ‘rumah terbuka’ tak pernah digerakkan di peringkat bawah atau kalangan rakyat di desa-desa. “Kongsi kuasa’ pula sekadar membolehkan calon-calon bukan Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu mencapai kemenangan, sebaliknya calon-calon Melayu kempunan bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, kerana segalanya ‘wal hasil balik asal, wal asal balik hasil, itu fasal tak hasil’. Heh heh heh!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
BEKAL WAKIL RAKYAT RAMALKAN
PELUANG PEMBANGKANG NAFI MAJORITI 2/3
Bekas Ahli Parlimen Seputeh selama tiga penggal (1986-1999), Liew Ah Kim meramalkan Pilihan Raya Umum Ke 12 akan datang, pembangkang berpeluang untuk menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN). Katanya, ramalan tersebut bukanlah berdasarkan kepada kekuatan pembangkang, sebaliknya suasana di kalangan masyarakat di bandar memerlukan perubahan besar. Liew Ah Kim yang juga bekas ADUN Sungai Ujong di Negeri Sembilan (1969-1978) dan ADUN Kajang di Selangor (1978-1982) ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (6 Februari 2008) memberitahu, beliau sudah membuat analisis di kalangan komuniti Cina di bandar, suasana pada pilihan raya kali jauh berbeza pada 1999 dan 2004.
“Analisis saya hanya di kalangan komuniti Cina di bandar, tetapi saya tak tahu dengan komuniti Melayu mahupun Cina di luar bandar,” menurut Liew yang juga penganalisis politik bebas, di samping penulis prosa terkenal di kalangan masyarakat Cina. Seterusnya kata Liew lagi, sekiranya berlaku anjakan pengundi Melayu seperti insiden pilihan raya 1999, peluang besar pembangkang dengan pencapaian menafikan majoriti 2/3 BN adalah sukar ditolak. Liew juga menambah, pilihan raya ke 12 ini suasana yang dihadapi oleh BN jauh berbeza daripada pilihan raya 1969 mahupun pada 1999, disebabkan majoriti peniaga-peniaga di bandar mahukan perubahan drastik sekalipun mereka masih berharap BN terus memegang kuasa pemerintahan.
DILETAKKAN DI PARLIMEN REMBAU
KAMAL ALU-ALUKAN PENAMPILAN KHAIRY
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan dalam laporan berita TV3 jam 8.00 malam ini (6 Februari 2008) menyenaraikan nama Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin antara lima calon bagi kerusi Parlimen Rembau. Menurut Dato’ Kamal Amir, memang wajar Naib Ketua Pemuda UMNO itu dicalonkan, atas kapisiti barisan pimpinan masa hadapan yang berpotensi menggantikan bapa mertuanya, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi. “Pengumuman awal yang dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, mengesahkan spekulasi awal Khairy akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Rembau,” katanya.
Sebaliknya Dato’ Kamal Amir melahirkan rasa hairan, kenapa Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri-negeri lain masih berdiam diri, ketika Dato’ Seri Mohamad di Negeri Sembilan awal-awal lagi membuat pengumuman. Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir lagi, sekiranya Dato’ Mohamad tak membuat pengumuman pun penganalisis politik sudah meramalkan memang Khairy akan diletakkan di Parlimen Rembau. Malah bukan lagi perkara yang asing, apabila Dato’ Mohamad membuat pengumuman ianya juga mempunyai kaitan dengan pengumuman Khairy sendiri yang sudah menetapkan kawasan menjadi pilihannya bagi membuat penampilan. “Kalau Mohammad tak senaraikan pun, Khairy sendiri boleh membuat keputusan di saat-saat akhir,” jelas Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA
SEGMEN DARI NOVEL ‘SEMPERONG’
KARYA DALAM PROSES DITERBITKAN
Terasa rimas apabila di sekeliling kedengaran berulang kali nama yang terlalu asing dipanggil tak henti-henti, malah berterusan macam hafalkan jampi serapah yang diperturunkan premis perguruan kepawangan. Tepringa-pinga dia setiap kali nama yang terlalu asing itu dipanggil dari segala penjuru, hingga terasa bahunya ditepuk-tepuk perlahan. Tak dikenali pula siapa menepuk-nepuk bahunya disebabkan kurang jelas identiti mereka yang berceratuk di sekeliling.
Setiap wajah yang terconggok kelihatan terlalu samar-samar bagaikan illusi spesies hantu puaka di dalam geluk air, hingga sukar mahu klafikasikan jenama masing-masing sama ada bermertabat rendah mahupun bermertabat tinggi. Lainlah spesies haiwan yang berkeliaran memang mudah sangat cam identiti masing-masing sama ada mergastua, unggan, maun atau mamalia disebabkan jelas kelihatan objek jasmaniah mereka.
Tetapi wajah berkeliling di sisinya yang kelihatan samar-samar memang sukar dikenali identiti mereka disebabkan berbayang-bayang bagaikan layar skrin diganggu pancaran. Puas dia merenung tajam pada setiap objek yang berceratuk di sisinya, memang tak satu pun dikenali identiti mereka sama ada sanak saudara, sahabat handai atau kaum kerabat yang dekat mahupun sekadar bau-bau bacang. Entahlah!
“Pak Maulana! Pak Maulana Umarak!” terpinga-pinga dia apabila tak henti-henti nama yang terlalu asing itu diungkapkan berulang kali. Dia memerhatikan keliling sama ada Pawang Rajo Batuah, Pawang Bandaro Paduko atau Pawang Tumanggung Sinaro yang terconggok di situ menepuk-nepuk bahunya. Tetapi tak seorang pun yang nampak kelibat menepuk-nepuk bahunya sama ada kepenghuluan kepawangan yang masih bersila kukuh menghadap geluk air; apatah lagi yang sudah berundur ke penjuru dinding atau ke hujung serambi premis yang makin kalut, kusut dan berserabut.
“Saya Ustaz Hadri, masih cam lagi ke, Pak Maulana Umarak?” segera lelaki itu membongkok rapatkan bibir berbisik ke telinganya. “Ingat lagi tak arwah ayah saya dulu Haji Mustaqim, kawan baik Pak Maulana, sama-sama dalam gerakan nasionalisme melawan Harold Mac Michael!” beritahu lelaki berkenaan menepuk bahunya.
“Iya, iya siratul-mustaqim, siratul-mustaqim!” tersengih-sengih dia mendongak sebaik sahaja diberitahu lelaki di sisinya yang masih samar-samar identiti laksana diri sendiri, diri terdiri dan diri terperi yang serba kompleks.
(Novel karya Dharmala N.S., akan diterbitkan tak lama lagi oleh Pustaka Adimul, Kuala Lumpur).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
IMBUHAN SEMAKIN MENJADI-JADI
APABILA TEMPUA BERSARANG RENDAH
Kata sahibul hikayat tersebutlah di negeri Melayu itu akan mengadakan pemilihan, maka terlalu banyaklah imbuhan diberi kepada rakyatnya, supaya kerajaan itu teruslah menjadi pilihan hamba rakyatnya. Syahdan akan negeri datuk nenek moyang fakir dahulukala, kerajaannya sultan yang menjadi Yang Dipertuan di Melaka itulah yang mesti ditaati. Adapun Menteri Haji (atau timang-timangannnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato’ Dr Abdullah Md Zin, maka ia mengumumkan imbuhan dari dana Tabung Haji sebanyak 7% untuk 4.2 juta yang menabung dengan jumlahnya RM751 juta dividen tahunan dan RM300 juta lagi dividen khas. Maka seronoklah segala hamba rakyat dengan imbuhan yang disebut itu seolah-olah terlupalah mereka akan pepatah nenek moyang dahulu kala: ‘Mulut disuap pisang, ekor dikait onak’. Aduhai!
Sebermula akan Paman Pateh itu, diberinya emas segala pengawal dan budak-budak di rumah Seri Nara Diraja Tun Tahir, kerana kasadnya mahu beristerikan anak gadis dato’ itu bernama Tun Manda. Adapun Tun Manda itu masih kecil baru pandai berlari, ketika dilihat oleh Paman Pateh sebelum ia balik ke Jawa, adanya. Setelah segala para pengawal dan budak-budak di rumah Seri Nara Diraja Tun Tahir diperemasi oleh Paman Pateh, maka mereka semua pun kararlah. Syahdan Paman Pateh pun menaiki rumah Seri Nara Diraja lalu disendalnya Tun Manda pada pahanya. Maka gemparlah sekalian orang banyak akan perbuatan Paman Pateh itu, tetapi apakan daya segala pengawal-pengawal serta budak-budak Seri Nara Diraja itu sudah beroleh emas seperti disebutkan oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment