Tuesday, February 26, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)









PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
KETETAPAN BERSAMA PIMPINAN PRIMA





DARI LAMAN BLOG

PENJAJAH MANIPULASI PEJUANG:
PEMIMPIN MELAYU DIANGGAP ‘DERHAKA’

Assalamualaikum,

Acara ‘Sehari Bersama Tokoh’ semalam (25 Februari 2008) di Muzium Negeri Sembilan, tak diduga mendapat sambutan hingga memenuhi dewan tayangan apabila disertai oleh pelbagai grup peminat sejarah termasuk dato’dato’ adat, pelajar-pelajar IPTA (dari UKM dan UPM), pensyarah-pensyarah IPTA, pasukan pengakap, pegawai jabatan dan orang awam yang sekadar memuatkan kira-kira 50 peserta sahaja. Justeru kurator Muzium Negeri Sembilan Drs Shamsuddin Ahmad merancang akan mencari dewan yang lebih besar dengan kapisiti mampu memuatkan ramai peserta mengikuti wacana, termasuk berkaitan adat, agama dan lain-lain yang difikirkan sesuai masa akan datang. Kebetulan saya dipilih dalam acara ‘Sehari Bersama Tokoh’ dengan wacana sejarah perjuangan nasionalisme Melayu yang membabitkan Tuanku Tambusai, Dato’ Siamang Gagap dan Perang Bukit Putus.



Waris keturunan Tuanku Tambusai juga turut hadir termasuk pensayarah di UPM Sdr Basri Hamzah, di samping pelajar-pelajar UKM berasal dari Tambusai yang memang tertarik untuk berkongsi idea mengenai sejarah perjuangan nasionalisme sama ada di Indonesia mahupun di Tanah Melayu. Misalnya, pelajar-pelajar UKM dari Sumatera Tengah berasa terkejut apabila saya mengemukakan pandangan mengenai pembabitan Tuanku Imam Tambusai bersama ‘Tuanku Imam Empat’ yang dipimpin Tuanku Imam Bonjol yang juga dikenali ‘Tuanku Imam Nan Renceh’ dan ‘Harimau Salapan’ sekitar dekad 1830-an di Sumatera Tengah (merangkumi Lubuk Sakaping, Rao, Air Bangih dan Tambusai) sebagai berhemah, tetapi di dalam tesis mereka perjuangan tersebut secara militan, kekerasan dan pengugutan.

Sebaliknya persepsi kekerasan pejuang-pejuang radikal sama juga seperti Inggeris memanipulasi gerakan Dato’ Siamang Gagap (di Seri Menanti), Dato’ Maharajalela (di Pasir Salak), Dato’ Bahaman (di Semantan), Tuan Guru Haji Mat Hassan (di Pasir Putih) dan Tuan Guru Abdul Rahman Limbong (di Hulu Terengganu) sebagai ‘penderhaka’ dan antogonis Melayu terkutuk. Tuanku Imam Bonjol yang berhemah itu bersedia menerima kompromi Belanda ke meja perundingan pada 1832, tetapi dikhianati menerusi muslihat dengan menangkapnya di samping di buang negeri ke Makasar. Menyedari kebangsatan Belanda, Tuanku Imam Tambusai enggan ke meja perundingan justeru beliau bertahan di ‘Benteng Tujuh Lapis’ di Dalu-dalu sehingga 1838 apabila ditewaskan.



Antara kaki tangan jabatan turut menghadiri acara berkenaan ialah dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), yang kabarnya diresuti pengarahnya Sdr Siri Neng Buah. Memang saya pernah bertemu Sdr Siri sekitar tahun 1980, ketika beliau berkhidmat di Kemaman, Terengganu malah menyedari beliau begitu peka dengan kebudayaan Melayu di samping prihatin terhadap perkembangan sastera. Apabila kaki tangan jabatan terbabit memberitahu Sdr Siri berkirim salam, teringat saya ketika berkunjung ke Kemaman dalam urusan ‘Persaudaraan Nasrul Haq’. Beliau sentiasa memberikan kerjasama dalam aktiviti yang berkaitan dengan jabatannya kerana prihatin terhadap gerakan kebudayaan dan kesuasateraan Melayu. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PRIMA AKAN GERAKKAN KEMPEN
UNDILAH CALON, BUKAN UNDI PARTI

Bagi membantu pengundi-pengundi membebaskan diri daripada perhambaan minda bagi menghadapi pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008, pimpinan PRIMA bersetuju mengadakan mesyuarat khas tak rasmi besok (27 Februari 2008). Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, mesyuarat tersebut bagi merangka deraf pernyataan bersama di samping menggariskan sebab-sebab pengundi di Malaysia diminta mengundi calon, bukan memberi sokongan kepada parti. Menurut Dato’ Kamal Amir, pihak PRIMA bersetuju dengan saranan dari bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat mengundi calon-calon yang bersih, mampu berkhidmat dan menolak kebobrokan pentadbiran. “Pernyataan bersama ini akan diedarkan kepada pengundi-pengundi ke seluruh negara bagi membantu kempen calon-calon yang baik,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Di samping itu beberapa pihak memberi sokongan kepada PRIMA dalam kempen ‘undi calon, bukan undi parti’ yang diumumkan menjelang hari penamaan calon pada 24 Februari lalu. Di samping pimpinan GERAK, Sdr Ezam Mohd Noor yang mengirim SMS, seorang pengamal perubatan di Lembah Kelang dikenali Dr Ibrahim ketika ditemui petang ini (26 Februari 2008) menyokong pendekatan PRIMA mengajak rakyat Malaysia membebaskan diri daripada ‘perhambaan minda’. Katanya, secara peribadi beliau sudah lama mengamalkan pendekatan ‘undi calon, bukan undi parti’ menerusi pilihanraya yang lalu, tetapi sekarang akan memberi sokongan kepada usaha PRIMA. “Kita tak perlukan kerajaan yang terlalu kuat, tetapi rakyat mahukan kerajaan bertanggungjawab,” beritahu Dr Ibrahim selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

LESTARIKAN PENGAJARAN DI SEKOLAH
TULISAN JAWI SEBAGAI MATA PELAJARAN

Pakar kaunseling dan aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menggesa kementerian pelajaran melestarikan pengajaran mata pelajaran ‘tulisan jawi’ sebagai wajib seperti dilaksanakan pada period pra merdeka. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, dalam lawatannya ke Perlis dan Kedah minggu lalu, masyarakat Melayu terkilan dengan nasib ‘tulisan jawi’ bukan sekadar macam ‘kerakap tumbuh di batu’, malah menunggu masa untuk ‘ditalkinkan’, berikutan langkah kementerian pelajaran meminggirkan pengajaran ‘tulisan jawi’ di sekolah-sekolah. “Tak memadai dengan mata pelajaran agama bagi mengajar ‘tulisan jawi’ di sekolah-sekolah, kerana ianya tak dilaksanakan secara ilmiah,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.



Justeru katanya, kementerian pelajaran bukan sahaja melestarikan semula pengajaran ‘tulisan jawi’, sebaliknya menjadikan mata pelajaran wajib seperti dekad 1950-an dalam usaha mempertahankan pemakaian tulisan berkenaan. Menurutnya lagi di zaman kerajaan Melayu lama, semua perjanjian yang dibuat dengan kerajaan luar adalah ditulis menerusi penggunaan ‘tulisan jawi’, malah diterima baik tanpa rasa segan silu. Di samping turut menyalahkan sistem pendidikan yang tak peka dengan ‘tulisan jawi’, Dato’ Dr Mohd Mansor juga menyelar sebahagian pemimpin Melayu yang lebih berbangga melihat ‘tulisan Cina’ dan ‘tulisan Tamil’ subur sebagai ‘tulisan akhbar’ yang mampu dikekalkan kepada kepada generasinya. “Usaha mahu menguasai sekolah agama rakyat juga akan meletakkan ‘tulisan jawi’ sebagai persediaan untuk ditalkinkan,” katanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

CALON ORANG BESAR BERLAKON
DENGAN WAJAH YANG CENGIH, SENGIH…

Kata sahibul hikayat berlakulah kebengangan, kebangangan dan kebingungan dalam surat menyurat di sebuah negeri bernama Malaysia itu, adanya. Adapun negeri itu mahu memilih orang-orang besarnya dalam pemilihan rasmi pada 8 Mac 2008 (iaitu bukanlah tarikh yang fakir arif sangat). Syahdan dikatakan akan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang itu sombong sangat orangnya, hingga tak mahu berjabat tangan dengan lawannya yang konon orang Islam lagi hebat Islamnya dan terlalu tahu akan hukum-hukum Islam. Adapun berjabat salam yang disebut itu sekadar mahu ditunjukkan kepada orang ramai sahaja seperti dilakukan kepada wayang kulit untuk hiburan seluruh pelusuk negeri. Fakir pun diberitahu fasal Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin yang menyebut mengenai badan kehakiman janganlah menjadi seperti heh heh heh, hingga ianya mengikut kehendak penyurat-penyurat yang sudah ditetapkan.

Sebermula kebengangan, kebangangan dan kebingungan itu semakin menjadi-jadi di setiap pemukul canang (sekarang dikenali di negeri itu sebagai TV dan media, kerana fakir tak faham sangat akan istilahnya) apabila diberitahu kepada fakir malam 19 Safar 1429 (kononnya 26 Februari 2008) ramailah calon-calon orang besar itu munculkan wajah mereka yang cengih, sengih dan lengih mengutuk lawannya. Syahdan akan poster-poster calon orang besar itu yang koyak dikatakan dilakukan oleh lawannya, dengan berlakonlah mereka macam pemain-pemain wayang kulit itu, adanya. Arakian akan Hang Tuah itu berpura-puralah di depan Mak Inang meminta dikasihani kerana kononnya sudah dibuah oleh raja Melaka. Setelah diperdayanya Mak Inang, maka dilarikan oleh Hang Tuah akan Tun Teja itu menghilir sungai seperti disurat oleh

















HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment