PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
KEPUTUSAN BERSAMA PIMPINAN PRIMA
DARI LAMAN BLOG:
PIMPINAN PRIMA TURUT BERGERAK
MATLAMAT ‘UNDI CALON’ DILESTARIKAN
Assalamualaikum,
Keputusan bersama pimpinan PRIMA dalam mesyuarat tak rasmi semalam (27 Februari 2008) bersetuju menyampaikan mesej kepada orang ramai ‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’ dengan turun padang bukan sekadar menerusi laman blog dan penyibaran maklumat. Misalnya, sebelum ini Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut berucap dalam ceramah politik di Pasir Mas, Kelantan menyampaikan mesej pimpinan PRIMA. Malam ini (27 Februari 2008) saya sendiri bersama Haji Mohd Sayuti Omar dan Haji Abu Bakar Ninggal menghadiri ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Wangsa Maju dalam menyampaikan mesej tersebut. Bagaimanapun dalam program ‘turun padang’ ini tak semestinya pimpinan PRIMA turut sama berceramah, sebaliknya memadai menyampaikan mesej tersebut secara terbuka.
Dalam mesyuarat tak rasmi hari ini (27 Februari 2008) di Taman Seri Gombak, pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, peguam Mohd Radzi Mustapha dan Zakaria Bidin tak sempat hadir, sebaliknya bersetuju menerima keputusan bersama itu. Keputusan juga bersetuju merestui Dato’ Kamal Amir turun ke Rembau, 6 Februari 2008 ini bagi menyampaikan mesej PRIMA kepada orang ramai. Malah PRIMA juga tak menghalang mana-mana aktivis ikut sama naik ke pentas berceramah memberi sokongan moral kepada calon-calon yang bertanding, tak mengira atas tiket mana-mana parti. Calon-calon UMNO yang dianggap bersih, bersedia memberi khidmat dan menolak kepentingan peribadi juga akan diberi sokongan.
Pengarah pilihanraya PAS di kawasan Parlimen Rembau, Sdr Rozmal Malakan menerusi SMS semalam (27 Februari 2008) mengalu-alukan pimpinan PRIMA ke Rembau disamping menyambut baik mesej kepada orang ramai ‘Undi Calon, Bukan Undi Parti’. Memang sukar bagi sesiapa sahaja mahu menilai ‘kejujuran’ individu yang boleh ditakrif sebagai bersih apabila menjadi calon pilihanraya, sebaliknya latar belakang mereka boleh dinilai secara sempurna. Mungkin sahaja pemilihan yang dibuat bukanlah 100% menepati kriteria yang disasarkan, tetapi persaingan individu boleh memberi peluang kepada pengundi membuat pilihan bukan berasaskan pengaruh atau propaganda parti, sebaliknya penampilan peribadi diberi keutamaan.
Misalnya, apabila seorang calon terbabit dengan kekerasan membelasah ‘orang lain’ seolah-olah gangsterisme, pengundi-pengundi boleh menolaknya sekalipun individu berkenaan mewakili parti berpengaruh. Begitu juga dalam insiden seseorang calon itu menuduh pihak lain tak menggambarkan perwatakan seorang pemimpin Islam atas alasan enggan ‘berjabat tangan’, ianya perlu dinilai apakah individu terbabit sengaja mencari gimmik politik. Apalagi sekiranya individu berkenaan bertindak seperti gangsterisme sebelumnya dengan mencekak baju seorang, tetapi dipilih menjadi calon lantas pula menuduh lawannya tak menggambarkan sifat-sifat pemimpin Islam. Segalanya terbuka kepada pengundi-pengundi memilih ‘calon’ dan bukannya ‘parti’ dalam proses demokrasi yang tulin bukan ala Malaysia atau ala barat. Barangkali!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
PILIHANRAYA KECIL SELEPAS APRIL
PERMATANG PAUH MENJADI SASARAN
Kawasan Parlimen Permatang Pauh (sebelumnya dikenali Seberang Tengah) di Pulau Pinang menjadi pertaruhan kepada pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam persaingan politik dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail selepas hari penamaan calon, beliau akan mengosongkan kerusi berkenaan selepas April 2008, sekiranya memenangi pilihanraya 8 Mac 2008 memang sinikal untuk diterima oleh Pak Lah. Datin Seri Wan Azizah bersedia mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada pilihanraya kecil berikutan tempoh hilang kelayakan Dato’ Seri Anwar menjadi calon ialah selepas April 2008.
Bukan sahaja Datin Seri Wan Azizah, malah anak mereka Nurul Izzah Anwar juga dilihat bersedia mengosongkan kerusinya sekiranya menang di Parlimen Lembah Pantai. Maknanya strategi Pak Lah menghalang Dato’ Seri Anwar menjadi Ahli Parlimen adalah memerlukan calon BN di Permatang Pauh dan di Lembah Pantai memastikan kejayaan masing-masing. Pilihanraya kecil mungkin sahaja BN mudah menghadapi senario politik seperti pilihanraya kecil di Pendang berikutan berpulangnya ke rahmatullah Dato’ Fadzil Noor, sebaliknya tetap juga sukar ketika pilihanraya kecil di Gua Musang pada 1995 bagi memerangkap Tengku Razaeligh Hamzah (ketika itu PSM46). Tengku Razaleigh mampu memberi pukul ‘ko’ kepada UMNO sekadar dengan kempen ‘ambo mau Ku Li’.
RON LANCAR TIGA BUKU
PENULIS-PENULIS DIJEMPUT
Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) melancarkan tiga buah bukunya hari ini (28 Februari 2008) di Taman Melewati jam 8.00 malam. Tiga buah buku berkenaan berjudul ‘Toyol Code’, ‘Hindraf Satu Konspirasi’ dan ‘Gelombang Kuning Kebangkitan Rakyat’ sudah berada di pasaran dengan harga bagi satu set RM51. Menurut penyelarasnya, penyair Yassinsalleh, kalangan penulis dijemput menghadiri majlis tersebut bagi menyambut cabaran massa dalam kebangkitan menentang ‘perhambaan minda’. “Kawan-kawan penulis adalah dijemput untuk sama-sama menyemarakkan semangat ketika kebobrokan pentadbiran negara semakin sukar dibendung,” beritahu Sdr Yassinsalleh.
Sebelum ini Ron menghasilkan bukunya ‘MAHATHIR MENYINGA’ diterbitkan oleh Thinker’s Library dikatakan menyingkap isu ‘jambatan bengkok’ yang dibatalkan projeknya oleh pentadbiran Perdana Meteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Isu ‘jambatan bengkok’ di Selat Teberau dianggap kontroversi, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad tersinggung dengan keputusan Pak Lah membatalkan projek berkenaan setelah diprotes oleh kerajaan Singapura. Ron dalam buku berkenaan mengkritik pentadbiran Pak Lah yang tunduk kepada desakan Singapura dan tak menghiraukan kepentingan rakyat di Johor. Justeru penampilan serentak tiga buah buku Ron kali ini, adalah kesinambungan kritikan beliau terhadap kebobrokan pentadbiran Pak Lah, kata Sdr Yassinsalleh.
ANWAR KEMPEN DI WANGSA MAJU
PERUBAHAN SIKAP PENGUNDI KETARA
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka turut berkempen di kawasan Parlimen Wangsa Maju malam ini (28 Februari 2008) di lokasi berhampiran Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju, beritahu aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar. Beliau yang juga penganalisis politik dalam tinjauannya ke kawasan Parlimen berkenaan mengakui perubahan sikap pengundi amat ketara, berikutan kempen PKR mendapat sambutan. Malah di kawasan majoriti penduduk Melayu, mereka keluar mengikuti ceramah PKR secara terbuka seolah-olah gelombang 1999 kembali digerakkan ke kawasan-kawasan perumahan, menurut Haji Mohd Sayuti selanjutnya. “Kebangkitan awal sejak hari penamaan calon, memperlihatkan calon lawan PKR dalam keadaan terdesak,” beritahu Haji Mohd Sayuti.
Kehadiran Dato’ Seri Anwar membantu kempen di Wangsa Maju malam ini, seolah-olah memberi petanda jentera pilihanraya PKR dan PAS semakin selesa dengan frasa perkembangan tersebut, beliau menambah. Haji Mohd Sayuti ketika meninjau kempen PKR semalam (27 Februari 2008) di kawasan perumahan Wangsa Setia mengakui turut disertai pimpinan PRIMA, di samping menerima sambutan di luar dugaan. Tepukan gemuruh di kalangan penduduk-penduduk sepanjang kempen berkenaan seolah-olah kembali kepada nostalgia kebangkitan rakyat pada 1999. “Justeru ketika pengumuman dibuat mengenai kehadiran Dato’ Seri Anwar malam ini (28 Februari 2008), mereka semakin teruja,” jelas Haji Mohd Sayuti.
Pada pilihanraya ke 12 ini, PKR meletakkan Wee Choo Keong sebagai calon bagi menentang calon BN. Wee Choo Keong pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang pada pilihanraya 1990 dan 1995, tetapi hilang kelayakan pada 1995 berikutan kes ‘menghina mahkamah’. Calon BN diisytihar menang selepas Wee Choo Keong hilang kelayakan, dengan tak diadakan pilihanraya kecil. Kontroversi tersebut dianggap satu episod dalam amalan demokrasi Malaysia yang memalukan negara, tetapi tak diberi perhatian disebabkan kepongahan pentadbiran. Justeru langkah PKR meletakkan Wee Choo Keong bertanding di Wangsa Maju, memberi peluang kepada pengundi-pengundi menyampaikan mesej mereka dalam menetukan wakil pilihan mereka.
PERATUSAN EKONOMI CEMERLANG
RAKYAT MASIH LAGI TAK GEMILANG
Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dicatat dalam tempoh suku keempat tahun lalu (2007) dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 7.3 peratus yang dianggap cemerlang kerana melepasi unjuran rasmi kerajaan, mungkin dilihat ianya naratif ‘gemilang dan terbilang’ di atas kertas sahaja, beritahu Jurucakap PRIMA yang juga ahli perniagaan, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Pencapaian yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia, kemudian diulas oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menurut Dato’ Kamal Amir, adalah amalan biasa dalam jabatan kerajaan iaitu memberikan laporan ‘yang baik-baik’ bagi mendapat kredit. “Setiap laporan kepada pihak atasan sejak era penjajah pun semuanya baik-baik belaka, sekalipun fakta sebenar sengaja dipesongkan demi kepentingan pihak tertentu,” jelas Dato’ Kamal Amir.
Menurut Dato’ Kamal Amir lagi, laporan media hari ini (28 Februari 2008) turut menunjukkan indeks keuntungan melonjak di kalangan badan-badan korporat seperti Sime Darby dengan pencapaian pendapatan RM16.3 bilion dalam tempoh enam bulan pertama berakhir 31 Disember 2007 atau kumpulan infrastruktor dan utiliti tempatan MMC Corporation Bhd yang mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.02 bilion, tetapi secara realiti penduduk-penduduk di luar bandar, nelayan-nelayan dan petani-petani masih berhadapan dengan isu ‘kemiskinan tegar’. “Peniaga-peniaga kecil yang berurusan langsung dengan pengguna-pengguna tahu pertumbuhan ekonomi adalah berdasarkan kemampuan ‘kuasa beli’ di tangan pengguna,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Apabila ‘kuasa beli’ pengguna merosot, bermakna pendapatan mereka ditahap terlalu rendah berbanding dengan di England misalnya, ‘kuasa beli’ pengguna adalah menjadi rangsangan kepada pertumbuhan ekonominya, kata Dato’ Kamal Amir yang pernah menetap di kota London. Selanjutnya Dato’ Kamal Amir memberitahu, sekalipun ‘belanja hidup’ di England tinggi, tetapi pendapatan bulanan individu juga pada tahap tinggi menyebabkan mereka mampu menjadi ‘kuasa beli’. Katanya, kalau seorang pemandu kereta berbelanja untuk keluargnya 50 pound seminggu, pendapatan purata mereka seminggu ialah antara 80 – 100 pound. “Berbeza dengan pekerja am di Malaysia yang menerima gaji RM700-RM800 sebulan, tak mampu mengatasi ‘belanja hidup’ yang semakin meningkat,” ujarnya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PELANCARAN AKADEMI BUKU MALAYSIA
& TABUNG PEMBANGUNAN BUKU NEGARA
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa), Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim melancarkan ‘Akademi Buku Malaysia’ dan ‘Tabung Pembangunan Buku Negara’ di Balai Tun Syed Nasir, Menara DBP besok (29 Februari 2008). Penerbit-penerbit buku di samping penulis-penulis turut dijemput menghadiri pelancaran berkenaan, sekalipun ianya dilihat berkaitan dengan pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008 ini. Penulis-penulis yang terbabit sebagai aktivis budaya, memang memberi sokongan kepada usaha menggerakkan ‘Akademi Buku Malaysia’ dan ‘Tabung Pembangunan Buku Negara’ ke arah menggalakkan masyarakat membaca, bagi membasmi ‘perhambaan minda’ yang membelenggu masyarakat Melayu sejak pra merdeka.
Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah ketika mengalu-alukan program ‘Akademi Buku Malaysia’ dan ‘Tabung Pembangunan Buku Negara’ memberitahu, keprihatinan KeKWa terhadap industri penerbitan buku memang sudah lama ditunggu-tunggu oleh aktivis budaya. Beliau yang juga novelis, bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui pembangunan buku negara semakin malap apabila digerakkan oleh pihak swasta semata-mata, sekiranya tak mendapat suntikan kerajaan secara terancang. Apalagi dalam usaha menggalakkan masyarakat ‘mesra buku’ ianya tak mungkin mampu menari minat secara individu, sebaliknya memerlukan program yang terancang. “Memang langkah menubuhkan perpustakaan desa di seluruh negara oleh pihak KeKWa adalah dialu-alukan,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
MAT HASSAN SENGAJA MELAWAK
TAKKAN KHAIRY ‘MENGABIH BOREH’
Kata sahibul hikayat seorang pembesar di sebuah negeri di Tanah Melayu bernama Dato’ Seri Mohamad Hassan yang bergelar ‘Menteri Besar Negeri Sembilan’ dalam lafaz ucapannya ketika ceramah pilihanraya di Rembau (menerusi TV, 27 Februari 2008) ia menyebut, bukanlah untuk ‘mengabih boreh’ apabila menantu Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dibawa bertanding ke Rembau. Adapun akan pembesar itu mungkin sahaja ‘melawak’, sebaliknya tentulah juga bekas wakil terdahulu Dato’ Mohd Firdaus bukanlah ‘mengabih boreh’. Syahdan akan puji-pujian kepada menantu Perdana Menteri iaitu Orangkaya Khairy Jamaluddin yang tak akan ‘mengabih boreh’ itu, belum tentulah ianya memberi manfaat kepada rakyat jelata di Rembau, adanya.
Sebermula akan semua orang besar-besar di Rembau juga bukanlah ‘mengabih boreh’ sekalipun mereka bukanlah menantu Perdana Menteri seperti halnya Orangkaya Khairy Jamaluddin itu. Sekali persetua akan Sang Aji Jaya Ningrat setelah menaiki takhta jadi Betara Majapahit, datanglah bapa angkatnya si penyadap menuntut janjinya iaitu mahu dilantik menduduki jawatan Pateh Aria Gajah Mada. Maka masyghullah dalam hatinya, hingga berdatang sembah Pateh Aria Gajah Mada. Setelah diberitahu oleh Sang Aji Jaya Ningrat mengenai janji kepada si penyadap apabila ia terhutang budi itu, maka dilantik si penyadap itu menjadi penghulu segala penyadap setara kedudukannya dengan Pateh Aria Gajah Mada juga seperti disuratkan fakir daripada
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment