Monday, May 5, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

AKTIVIS BUDAYA SUDAH DIHERET
DALAM POLISI ‘PECAH DAN PERINTAH’

Assalamualaikum,

Memang hari Jumaat (2 Mei 2008) tak sempat menulis, disebabkan balik dari teh tarik bersama Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dan penyair Yassinsalleh di Jalan Pahang jam 1.00 pagi sampai di rumah. Sabtu (3 Mei 2008), awal pagi sudah bertolak ke Bestari Jaya (Batang Berjuntai) menghantar anak saya Ikram Hafiz mendaftar memasuki Universiti Industri Selangor (Unisel). Kira-kira jam 10.00 pagi, saya menerima SMS dari pimpinan kanan PRIMA, Haji Yahaya Ismail memberitahu menarik diri dari sebarang aktiviti disebabkan masalah keluarga berikutan isterinya menghadapi masalah kesihatan. Haji Yahaya (Pak Ya) memang aktivis bahasa dan budaya tersohor sekitar dekad 1960-an dan 1970-an, malah beliau terbabit dalam gerakan radikal termasuk ‘Front Bertindak Bahasa Kebangsaan’(1966) serta antologi puisi ‘Keranda 152’.

Sdr L Mankadir Shamsi dari Pahang pula menghantar SMS, melahirkan rasa terkilan dengan pimpinan Gapena membawa hala tuju yang berbeza ketika digerakkan pada awal dekad 1970-an iaitu ‘pemupukan kebudayaan nasional berteraskan kebudayaan Melayu’. Memang Sdr L Mankadir Shamsi aktivis DPMP di peringkat awal, menyedari pimpinan Gapena semakin melalut, berselaput dan mengarut. Sebenarnya Gapena sudah membawa kerabatnya condong kepada aliran pemikiran opportunis sejak 1975 lagi, hingga Ketua Satu PENA ketika itu (Dato’) M Noor Azam (lihat Utusan Malaysia 23 Mac 1975) bingkas bangun mempersoalkan kenyataan (Tan Sri Profesor Emeritus) Ismail Hussein di Perlis. Saya turut terbabit dalam polemik tersebut, di samping membuat kenyataan akhbar menyokong Ismail Hussein (lihat Utusan Malaysia 4 Mac 1975).

Apabila menyokong Ismail Hussein tak bermakna saya terikut-ikut dengan rentak yang dibawanya, tetapi mahukan Gapena yang baru sahaja ditubuhkan tak ‘dibunuh’ sebelum sempat membuktikan ‘keberanian’nya. Bagaimanapun lama kelamaan saya melihat Gapena seolah-olah terjebak dalam polisi ‘pecah dan perintah’; apalagi ianya turut membabitkan ‘Dunia Melayu’ dengan penampilan Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Tak hairanlah pula ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ di Johor Bahru bagaikan bayang-bayang Tan Sri Muhammad Mohd Taib menjadi illusi di belakang tabir. Kira-kira jam 2.00 petang (4 Mei 2008) Sdr Yassinsalleh pula mengirim SMS turut menyebut intimnya hubungan Ismail Hussein-Muhammad Mohd Taib sejak gerakan ‘Dunia Melayu’ yang kemudiannya tenggelam selepas insiden Muhammad Mohd Taib ‘pak pung pak mustape’ berikutan isu ‘tak tahu berbahasa Inggeris’ di Australia.

Bagi mereka yang tak buta sejarah, mungkin sahaja mengikuti sirah Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur (1 – 4 Mac 1946) dihadiri 41 persatuan-persatuan Melayu di seluruh negeri-negeri Melayu (sebelum ianya dinamakan Persekutuan Tanah Melayu pada Ogos 1948). Ketika piagam UMNO diluluskan di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 (tetapi apabila bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menyebut UMNO ditubuhkan di Kuala Lumpur, justeru bangkitlah prasit politik membantah, malah nama UMNO itu diproklamir di Kuala Lumpur menerusi cadangan Tan Sri Zaaba), hanya 29 persatuan daripada 41 di pringkat awalnya terbabit. Maknanya ketika itu pun Melayu sudah berhadapan dengan polisi ‘pecah dan perintah’ penjajah Inggeris.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KETUA DPMP DIHALANG BERUCAP
KONGRES PERMUAFAKAT MELAYU KELIRU

Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru pada 1 – 4 Mei 2008, menimbulkan kekeliruan, apabila Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah tak dibenarkan mengambil bahagian membahaskan kertas kerja. Bagaimanapun Persatuan Penghulu-Penghulu Negeri Pahang memberi laluan kepada Dato’ Dr Mohd Mansor mewakili persatuan mereka bagi membahaskan kertas kerja pada 3 Mei 2008. Ketika membahaskan kertas kerja terbabit, Dato’ Dr Mohd Mansor secara retorik mendesak ‘Bahasa Melayu’ tak boleh ditukar ganti dengan ‘Bahasa Malaysia’, di samping pembelajaran subjek Matematik dan Sains di sekolah-sekolah dikembalikan kepada ‘Bahasa Melayu’.

Berikutan insiden Dato’ Dr Mohd Mansor dihalang membahaskan kerta kerja dalam ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ di Johor Bahru itu, bekas penyunting akhbar ‘Balai Muhibbah’ di bawah Jabatan Perpaduan, JPM sekitar dekad 1970-an, Sdr Zakaria Bidin melahirkan rasa kecewa kerana dalam permuafakatan Melayu tak memperlihatkan tanda-tanda ‘permuafakatan’. Bagaimana kongres tersebut dinamakan ‘permuafakatan Melayu’ kalau wakil orang Melayu tak dibenarkan menyampaikan pandangan. Justeru kata Sdr Zakaria, adakah permuafakatan berkenaan sekadar pada nama sahaja, tetapi intipatinya masih memperlihatkan ‘perpecahan’. “Apakah ada sekatan dari pihak tertentu, hingga Dato’ Dr Mohd Mansor dihalang membahaskan kertas kerja?” ujar Sdr Zakaria.

PERINGKAT AKAR UMBI BERSEDIA
PAK LAH BERUNDUR TANPA SYARAT

Peringkat akar umbi UMNO termasuk majoriti Melayu bersedia menerima Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur tanpa syarat daripada pimpinan negara, berdasarkan pandangan pimpinan diperingkat Bahagian UMNO, kata penyair Yassinsalleh yang telah membuat kaji selidik baru-baru ini. Dalam pertemuan dengan pimpinan Bahagian UMNO dari Perak di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2 Mei 2008 lalu, beritahu Yassinsalleh lagi, kekalutan berlaku sekarang apabila ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi lebih bersikap ‘protes senyap’ seperti dilakukan pada PRU ke 12, 8 Mac 2008 lalu. “Kalau hari ini Dato’ Seri Abdullah umumkan pengunduran dari pimpinan negara, mereka pasti akan menyambut dengan senang hati keesokan harinya,” beliau menambah.

Menurut Yassinsalleh dalam pertemuan dengan pimpinan peringkat Bahagian, mereka tak boleh terburu-buru membuat keputusan kerana rangkaian pentadbiran berlapis-lapis, bertapis-tapis dan bertepis-tepis. Malah katanya, pimpinan Bahagian juga ditemu oleh pihak polis dengan bertanyakan pandangan mereka, setiap kali Dato’ Seri Abdullah membuat kenyataan penting di media. Justeru mereka perlu berhati-hati memberikan jawapan, apalagi diprovok dengan mempertikaikan setiap kenyataan Dato’ Seri Abdullah bagi menimbulkan reaksi iaitu bagi mendorong kepada meng‘iya’kan kontroversi yang ditimbulkan. “Pimpinan peringkat Bahagian sekadar berhati-hati sahaja, tetapi majoriti sudah bersedia untuk menerima pengumuman Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

DBP PERLUKAN STRUKTOR SEMULA
‘PELAN INDUK’ MERAKYATKAN BUDAYA

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tak wajar dibiarkan hanyut dalam kepongahan pimpinan, sebaliknya perlu digerakkan dengan penstruktoran semula di samping ianya melestarikan pelan induk (blue print) bagi merakyatkan budaya, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Usaha mencapai matlamat tersebut adalah memerlukan pimpinan baru dalam pentadbiran kerajaan, apabila sasarannya memang mendaulatkan DBP seperti diasaskan pada 1956 di Johor Bahru, jelasnya. Dato’ Kamal Amir berkata demikian dalam pertemuan dengan beberapa aktivis budaya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 2 Mei 2008 lalu. “DBP perlu merakyatkan budaya dengan menjadikan pengarang-pengarang Melayu sebagai aset utama mendaulatkan bahasa dan sastera, bukan sebaliknya,” menurut Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya beliau memberitahu merakyatkan budaya bermakna menolak ‘perhambaan minda’ yang menyebabkan bangsa Melayu menjadi lompong idea, hilang keyakinan diri dan terumbang ambing mencari jatidiri. Pimpinan baru digerakkan bagi mendaulatkan semula bahasa dan bangsa, apabila DBP tak memenuhi matlamat penubuhan 1956, di samping tak menepati resolusi ‘Kongres Kebudayaan Melayu Pertama’ di Johor Bahru, kata Dato’ Kamal Amir lagi. Di samping mengangkat Tan Sri Zaaba sebagai ‘pendeta’, Kongres Kebudayaan Melayu Pertama’ juga merakyatkan budaya dengan sasterawan dan pengarang adalah aset mendaulatkan bahasa. “DBP bukan lagi meletakkan sasterawan sebagai aset, sebaliknya DBP pula menjadi aset kepada segelintir sasterawan,” jelas Dato’ Kamal Amir.

INFO SUARA PROLITAR

‘DEKLARASI PERDANA’ PRIMA
SUDAH MENDAHULUI RESOLUSI GAPENA

UMNO sudah punahkan Melayu 50 tahun lalu untuk kepentingan diri ‘Tuan-Tuan Melayu’ dan mahu meneruskannya. Bagaimanapun tersekat di PRU12 (Pilihanraya Umum Ke 12). UMNO cari patung-patung bergerak buat program berselindung di sebalik permuafakatan Melayu. Tembelang Gapena (Gabungan Penulis-Penulis Nasional) pun mulai berbau. Busuk sebusuk-busuknya (pinjam dari novel ‘Shit’ Shahnon Ahmad). Nak rasa loya pun ada, rasa nak muntah pun ada. Kesian kerabat-kerabat Gapena yang tak tahu agenda yang tersembunyi lagi misteri. Saya dah buka laman blog CUCU TOK KEDU http://prsemantan.blogspot.com/ - silalah layari.

Kami orang Melayu dapat apa dengan perbincangan cerdik pandai Melayu di Kongres Permuafakatan Melayu anjuran Gapena tunggangan heh heh heh! Lagipun resolusi yang dicapai dalam kongres itu, sudahpun wujud menerusi ‘Deklarasi Perdana’ PRIMA iaitu bertarikh 15 Ogos 2007. Apalagi deklarasi berkenaan sudah disembahkan kepada semua raja-raja Melayu dan dikirim kepada pemimpin-pemimpin Melayu termasuk Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (UMNO), Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR), Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (PAS), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. (SMS; 3 Mei 2008; L Mankadir Shamsi, Pahang).

LAPORAN KEPADA PAK LAH
SEMUA INDAH-INDAH BELAKA

Baru saja terbaca laman blog PRIMA. Bagus juga. Memang selama ini Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) menerima laporan yang indah-indah. Semuanya ok. Dalam pilihanraya (8 Mac 2008), ada pemimpin tertinggi UMNO berkempen di kawasan saya. Dia berbisik suruh undi PKR (yakni secara senyap). Tapi, dia semakin diberi tempat selepas UMNO terduduk (terseranduk dan terlintuk). Dalam waktu kempen, ceramah UMNO juga diganggu polis, kerana tak ada permit. Macam mana pegawai UMNO tak tahu peraturan. Apabila dipecat, dikatakan pula kerana dia mahu bertanding Ketua Bahagian. Pak Lah janganlah terima laporan indah-indah saja. (SMS; 4 Mei 2008 – Kak Pun; Bukit Sentosa, Rawang).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

SASAR MATLAMAT MISKIN SIFAR
MACAM BETARA MAJAPAHIT DAN PENYADAP

Kata sahibul hikayat berkatalah Orangkaya Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Mohd Taib mahu mensasarkan matlamat miskin sifar seperti disuratkan oleh tukang-tukang canang hari ini 27 Rabiulakhir 1429 (atau disebut orang banyak 4 Mei 2008). Arakian Orangkaya Menteri itu menyebut mengenai ‘angka-angka’ pada 1990 yang memang molok-molok untuk didengar. Maka disebutlah akan perihal peruntukan Rancangan Malaysia Ke 9 negeri Sarawak dan Sabah diberikan lebih iaitu 19.6 peratus dan 16.5 peratus daripada jumlah RM11.03 laksa (disebut anak cucu fakir bilion). Syahdan akan bekas Orangkaya Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga mahukan ‘miskin sifar’ dan ‘pembangkang sifar’ di Selangor sebelum hari pemilihan 30 Safar 1429 (yakni 8 Mac 2008).

Hatta akan si penyadap itu berjasalah kepada Betara Majapahit. Maka si penyadap itu pun meminta janjinya. Pateh Aria Gajah Mada pun berdatang sembah, “Tuanku, baiklah ayahanda Tuanku itu jadikan ia ganti patik, biarlah patik berhenti, kerana patik pun sudah tua.” Mendengar sembah Pateh Aria Gajah Mada itu berdukacitalah Betara Majapahit, kerana ayah angkatnya itu seorang penyadap lagi miskin. Setelah berbicara dengan Pateh Aria Gajah Mada, maka titah Betara Majapahit, “Sungguh Pateh Aria Gajah Mada itu punya kebesaran, tetapi susahnya terlalu banyak, tak terkerjakan oleh paman. Oleh yang demikian paman diletakkan setara Pateh Aria Gajah Mada iaitu semua penyadap dalam negeri ini di bawah perintah paman.” Terlalulah gembiranya penyadap itu mendengar titah Betara Majapahit seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment