Tuesday, May 6, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

GALERI SAMAD IDRIS DIRANCANG
MUZIUM TOKOH PEJUANG NASIONALISME

Assalamualaikum,

Lebih satu jam berligar di kawasan Bangsar mencari premis restoran ‘Rebung’ milik Cef Ismail, tetapi hingga jam 2.30 petang barulah saya sampai ke lokasi berkenaan. Bagaimanapun rakan-rakan yang menunggu baru sahaja mula menghadapi hidangan makan tengahari termasuk Kurator Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad dan anak-anak Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, Dr Noraini bersama suaminya Dr Yusuff Hussein dan adiknya Sdr Mohd Fadzil. Memang kami bercadang mewujudkan ‘Galeri Samad Idris’ bagi melestarikan muzium khusus pejuang-pejuang nasionalisme di Negeri Sembilan yang terbabit dalam gerakan kemerdekaan. Muzium berkenaan sempena nama tokoh tersohor dalam gerakan nasionalisme di Negeri Sembilan iaitu Tan Sri Abdul Samad Idris.

Kertas kerja yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan memang mengekalkan rumah kediaman Tan Sri Abdul Samad Idris berhampiran Istana Lama Seri Menanti (sekarang dikenali Muzium Diraja Negeri Sembilan) sebagai premis ‘Galeri Samad Idris’ itu. Pembabitan Tan Sri Abdul Samad Idris bukan sekadar menerusi gerakan nasionalisme, malah pemikir budaya yang tetap unggul di samping menggerakkan ‘Kongres Kebudayaan Melayu Ke 2’ di Seremban pada 1956, selepas Kongres Kebudayan Melayu Pertama di Johor Bahru pada tahun yang sama. Kongres Kebudayaan Melayu Ke 2 yang digerakkan oleh Tan Sri Abdul Samad Idris di Seremban pula menyokong Kesatuan Guru-Guru Melayu mendesak penubuhan ‘Sekolah Menengah Melayu’ dilaksanakan.

Sebelumnya Presiden Penaja Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin menelefon memberitahu perkembangan ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ di Johor Bahru pada 2-4 Mei 2008. Sdr Zainal Abidin mengakui segala kos perbelanjaan termasuk penginapan peserta disponsor oleh heh heh heh! Maknanya, ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ diselenggara dengan ‘ongkos’ berbanding dengan ‘Kongres Kebudayaan Melayu Pertama’ di Johor Bahru dan ‘Kongres Kebudayaan Melayu Ke 2’ di Seremban pada 1956 yang dihadiri secara sukarela di samping ‘ongkos’ dari poket sendiri. Begitulah! Malah rumusan daripada kongres berkenaan tak ‘terburai’ di tengah jalan, sebaliknya boleh dilihat sebagai sejarah terpenting.

‘Kongres Kebudayaan Melayu Pertama’ menggerakkan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka di Johor Bahru pada 1956, dengan Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid menjadi pengarah (sebelum ditukar kepada Ketua Pengarah) yang pertama. Apabila Ungku Aziz dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya, Tun Syed Nasir Ismail menggerakkan DBP bagi mendaulatkan Bahasa Melayu. ‘Kongres Kebudayaan Melayu Ke 2’ di Seremban pula tak berkompromi dalam gerakan penubuhan ‘Sekolah Menengah Melayu’, sekalipun bangunan sekolah terpaksa dikongsi dengan sekolah lain. Tetapi menurut Sdr Zainal Abidin, rumusan ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ lebih bersifat ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik’. Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

LEGASI PERHAMBAAN MINDA DITERUSKAN
AKTA HASUTAN MENANTI PENGENDALI LAMAN WEB

Legasi perhambaan minda masih diteruskan kepada rakyat Malaysia, apabila kerajaan menggunakan Akta Hasutan bagi menghalang pengendali laman web dan laman blog mendedahkan isu yang membabitkan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan ke sekretariat PRIMA, beliau memberitahu pengendali laman web ‘Malaysiakini’ Sdr Raja Petra Kamaruddin dihadapkan ke mahkamah majestrit Jalan Duta, besok (6 Mei 2008) jam 9.30 pagi dengan dituduh di bawah Akta Hasutan. “Raja Petra merupakan pengendali laman web pertama di Malaysia didakwa di bawah Akta Hasutan,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Sementara itu penyair Yassinsalleh meminta setiap pengendali laman web dan laman blog memberi sokongan moral kepada Sdr Raja Petra sebagai mesej kepada kebobrokan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu perhambaan minda terlalu mahal harganya di Malaysia. Katanya, Akta Hasutan pernah dijadikan senjata pada period pentadbiran Tun Abdul Razak-Tun Dr Ismail sekitar awal dekad 1970-an berikutan pasca tragedi 13 Mei 1969, apabila UMNO dan Parti Perikatan mengalami kemerosotan sokongan dalam pilihanraya. Bagaimanapun selepas kematian Tun Dr Ismail dan Tun Abdul Razak, akta berkenaan seolah-olah tak berfungsi. “Justeru UMNO di bawah Dato’ Abdullah belajarlah dari sejarah,” ujar Yassinsalleh.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Gurindam Poksu

(i)

Sekian ini lamanya sudah
kau Melayu
menimba bara dalam perlumbaan
memburu mimpi
meniti pelangi angan-angan
dengan memenggal kesantunan peradaban
warisan keramat zaman berzaman.

Sekian ini lamanya sudah
kau Melayu
menarah bukit bukau
meratakan gunung ganang
menara khazanah bumimu
pesaka keramat anugerah tuhanmu
yang diamanahkan kesejahterannya
dalam jagaanmu.

(ii)

Sekian ini lamanya sudah
engkau sendirian
meredah belantara kealpaan bangsamu
tidurmu bertilamkan onak
mimpi bertatahkan duri
jagamu mencari muara
kelangsaian rimba sejarah tanahairmu
yang menuntut pemetaan hakiki
kembaramu menjunjung jihad
mencari nur-hidayah.

Semoga tersuluh keluar
bangsamu yang kian terpilih
dalam simpang siur kesesatan
di mana agamamu dibungkus
bagaikan barang dagangan
berpelekat lebel-lebel teknologi kreatif
para haiwan politik.

Maestro-maestro buluh perindu
mendodoikan bangsamu
dengan simfoni
ayam menang kampung tergadai
dan bangsamu
rakyat jelata yang melarat melata
menyambut dengan chorus si Luncai
“biarkan, biarkan!”

(iii)

Poksuleh
tahulah kau duhai anak Labok keramat
kini kau tidak lagi tersendiri menghirup duri
kini kau tidak lagi dimengerti
selagi sungainya tanah tumpah darah kelahiranmu
tetap terus mengalir ke utara
selagi itulah satu demi satu
demi satu demi satu tanpa henti
kami akan mengerumuni menjadi armada
bersama kita merentas segara
membelah benua
demi mengembalikan
mertabat bangsa kita
yang kini bukan Cuma
sekadar itik kehausan di air
ayam kelaparan di kepuk
malah sebenarnya
adalah lebih hina dan tak bermaya
dari sekandang abdi yang buta
bisu dan tuli.


Yassinsalleh
Awal Ogos 2007.

Teratak Wan Fatul
Kampung Mempatih
Lancang, Pahang.

INFO SUARA PROLITAR

MELEPAK SALAH BERSANTAI SALAH
KE KAWASAN MASJID AKAN DIUSIR PULA

Ruang untuk anak-anak muda melepak semakin sempit di Kuala Lumpur. Kalau melepak di padang permainan, akan dianggap penagih. Apalagi berlonggok beberapa orang. Anak-anak akan ditahan, atas alasan menerima repot daripada penduduk. Tetapi kalau melepak di kawasan masjid, akan diusir oleh pegawai masjid. Hingga anak-anak muda pun sukar dibawa menjadi ‘rakan masjid’. Melepak ni sekadar untuk ‘bersantai’. Orang tua-tua dan kaki masjid pun melepak di kedai-kedai kopi sampai 12.00 malam. Apa nak jadi dengan tahap keselamatan sosial anak-anak muda ni? (SMS; 5 Mei 2008 – Anak Tok Sagor, Gombak, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BERJIMAT DENGAN KURANGKAN NASI
JADIKAN KANGKUNG HIDANGAN SAYUR

Syahdan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat jelata sekalian berjimat ketika seluruh pelusuk dunia menghadapi kekurangan bahan makanan. Fakir hanya mendengar laporan yang dicanang segala orang banyak hari ini (mengikut perkiraan anak cucu ialah 5 Mei 2008) apabila memanda Perdana Menteri itu bercakap di depan perjumpaan mingguan pegawai-pegawai di jabatan itu. Arakian bertanyalah segala anak cucu fakir akan takrif berjimat itu, sama ada sekalian hamba rakyat mengurangkan beras yang dimasak ataupun makan sekadar sehari sekali sahaja. Sebermula akan fakir sudah lama berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, justeru tak perlu berjimatlah, gamaknya!

Arakian raja China itu disuruhnya sayurkan kangkung untuk makanan wakil-wakil orang Melayu yang diketuai Tun Perpateh Putih. Telah sudah masak dihantar ke hadapan Tun Perpateh Putih dan segala orang Melaka pun makanlah. Maka oleh Tun Perpateh Putih dibibitnya hujung kangkung itu seraya ia menengadah dingangakannya mulut. Maka baharulah Tun Perpateh Putih dengan segala orang Melaka melihat nyata raja China. Telah dilihat oleh China, diturutnya; sebab itulah maka Cina gemar makan sayur kangkung datang sekarang. Hatta, maka musim akan pulang datanglah. Berfikirlah raja China, “Baik raja Melaka itu aku jadikan menantu, suapa ia berdatang sembah kepadaku,” seperti disuratkan dalam “Kitab Melayu” oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment