JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
Assalamualaikum,
Sambil meneliti naskhah lama mengenai ‘warta kerajaan’ dan ‘perjanjian’ berat sebelah British sekitar dekad 1880-an bagi menulis buku berkaitan ‘luak Rembau’ atas permintaan YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman, Undang Luak Rembau, saya menerima panggilan telefon beritahu mengenai bapa mertua di Perak sakit. Justeru 15 Mei 2008, saya terpaksa juga balik ke Bagan Datoh kira-kira jam 3.00 petang, di samping singgah terlebih dahulu di Unisel (Universiti Industri Selangor), Bestari Jaya (Batang Berjuntai) bagi mengambil anak saya, Ikram Hafiz. Kebetulan pula kelasnya berakhir jam 4.00 petang, malah saya juga memerlukannya untuk memandu kereta.
Setelah dimasukkan ke wad hospital di Teluk Intan kira-kira jam 2.00 pagi, saya berehat beberapa jam sahaja, dan terpaksa balik ke Kuala Lumpur disebabkan Ikram Hafiz perlu menghadiri kelas pada jam 4.00 petang (16 Mei 2008). Sepanjang malam ketika menguruskan kemasukan bapa mertua saya ke wad, sempat pula berbual dengan pengawal keselamatan yang bertugas. Mereka beritahu mengenai dilema berkhidmat selaku pengawal keselamatan, yang terpaksa berhadapan dengan kerenah orang ramai di samping disiplin hospital. Mereka dikehendaki mengawal keluarga pesakit supaya tak berpusu-pusu di dalam wad, tetapi dalam masa yang sama kakitangan hospital benarkan keluarga pesakit masuk melawat.
Sebaliknya doktor yang bertugas pula tak memakai ‘name tag’ turut mengelirukan kerana disangka pelawat di waktu malam. Justeru apabila dihalang memasuki kawasan wad hospital, doktor berkenaan mengherdik. Malah pernah berlaku VIP bersatus dato’ memarahi pengawal keselamatan kerana menghalang memasuki wad, dengan tak beri apa-apa pengenalan diri. Sekumpulan anggota ‘Rela’ yang memasuki wad pula beritahu pengawal keselamatan pihaknya diberi surat oleh pihak hospital untuk memasuki wad pada jam 12.00 malam, tetapi pihak pengawal keselamatan pula tak tahu membaca. “Kalau saya berpelajaran tinggi takkan saya memohon kerja pengawal keselamatan,” jelas salah seorang daripada mereka.
Begitulah! Apabila pengawal keselamatan terbabit membiarkan ramai pelawat masuk ke wad (di waktu bukan dibenarkan melawat), mereka akan dipersalahkan oleh doktor mahupun kakitangan hospital. Sebaliknya ketika mengambil langkah mengawal ketat, mereka dipersalahkan oleh orang ramai, di samping mendedahkan di media mengenai keperongosan pengawal keselamatan. Mereka juga dimarahi oleh VIP yang berstatus apabila tak memberitahu pengenalan diri, malah doktor juga tak memakai ‘name tag’ dan alat rawatan. Saya merasakan fenomena berkenaan seolah-olah pentadbiran yang tak diselaraskan, hingga berlaku dilema di kalangan pihak yang mahu menjalankan tugas.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
RISIKO BAGI PESAKIT JANTUNG
KAEDAH GUNAKAN TISU KULIT BABI
KAEDAH GUNAKAN TISU KULIT BABI
Pesakit jantung beragama Islam yang menerima rawatan di hospital daerah mahupun hospital negeri berhadapan risiko kaedah rawatan yang dijalankan, beritahu salah seorang keluarga pesakit terbabit. Dua kaedah rawatan diberikan kepada pesakit-pesakit jantung, justeru keluarga pesakit boleh memilih salah satu daripada kaedah tersebut, menurutnya ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Kaedah tersebut katanya, diberitahu oleh doktor yang bertugas bagi membolehkan keluarga pesakit membuat pilihan sama ada kaedah rawatan memasukkan ubat menerusi air (iaitu botol glukos), tetapi mungkin berhadapan dengan risiko pendarahan. Kaedah yang satu lagi ialah rawatan menerusi kulit, tetapi ianya menggunakan tisu kulit khinzir (babi) yang kononnya tak berlawanan dengan mereka yang beragama Islam.
Sekretariat PRIMA diberitahu oleh keluarga pesakit yang sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital di Perak sekarang. Doktor yang merawat sudah memberitahu pihak keluarga pesakit berkenaan kaedah rawatan tersebut, apabila mendapati pesakit terbabit mengalami tekanan darah rendah, kesan jantung dan hampir mengalami stroke. Berikutan insiden tersebut, keluarga pesakit diberi taklimat mengenai kaedah menerusi kulit lebih berkesan iaitu menggunakan tisu kulit khinzir. Serentak dengan itu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta Majlis Agama Islam Negeri Perak mengeluar fatwa, sama ada kaedah rawatan jantung yang membabitkan tisu kulit khinzir sudah diumumkan secara rasmi atau tidak kepada orang ramai, bagi mengelakkan kekeliruan yang berterusan.
“Tak wajar keluarga pesakit diberitahu oleh doktor sahaja mengenai kaedah rawatan gunakan tisu kulit khinzir, sekiranya orang ramai tak diberitahu terlebih dahulu kerana ianya membabitkan isu sensitif,” menurut Dato’ Kamal Amir. Justeru kata Dato’ Kamal Amir lagi, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam perlulah prihatin dengan isu yang sensitif, di samping penggunaan tisu kulit khinzir sebagai kaedah rawatan pesakit jantung. Apabila perkara sensitif diberitahu oleh doktor kepada keluarga pesakit, ianya adalah isu yang tak boleh dirahsiakan kepada orang Islam. “Jangan biarkan keluarga pesakit Islam dalam keadaan terdesak baru diberi penerangan mengenai kaedah rawatan yang membabitkan isu sensitif,” jelas Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA:
BERI PENGHARGAAN SASTERA LISAN
KARYA YANG PERNAH DIJADIKAN EKSPRIMEN
Penggiat sastera lisan di masa lalu perlu diberi penghargaan dengan mengetengahkan hasil karya mereka secara terancang. Sebelum ini karya-karya dari ‘Pawang Ana’ seperti ‘Hikayat Malim Deman’dan ‘Hikayat Awang Sulung Merah Muda’ pernah dijadikan buku teks sastera di sekolah menengah rendah sekitar awal dekad 1960-an, tetapi berikutnya karya-karya dari Indonesia termasuk cerita-cerita panji diperkenalkan kepada pelajar, menurut aktivis persatuan buku Malaysia, Sdr Zainal Abidin Rasidin. Katanya, masih banyak karya-karya lisan yang pernah dituturkan oleh ‘Awang Batil’ di utara, mahupun ‘Awang Kitang’ di Pahang Barat dan di utara Negeri Sembilan, tetapi diabaikan apabila pihak penerbitan lebih memberi prioriti kepada unsur-unsur ‘ringggit dan sen’.
Menurut Sdr Zainal Abidin, sepanjang pengalamannya sebagai pelajar di samping rakan-rakan yang pernah dijadikan ‘eksperimen’ kepada penubuhan sekolah menengah Melayu penghujung dekad 1950-an atau pasca merdeka, ketika itu sastera klasik dijadikan bacaan tambahan yang relevan. Guru-guru Bahasa Melayu menggunakan karya-karya seperti ‘Syair Siti Zubaidah’ atau ‘Syair Selendang Delima’ sebagai teks sampingan ketika mengajar, ketika sekolah menengah Melayu masih kekurangan buku teks. Kata Sdr Zainal Abidin, tanyalah kepada Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah atau sasterawan Dharmala N.S. antara pelajar yang dijadikan ‘eksperimen’ penubuhan sekolah menengah Melayu, betapa pentingnya sastera klasik ketika itu sebagai bahan tambahan pembelajaran di sekolah. “Apakah sastera klasik dibuang begitu sahaja, setelah ianya digunakan membuka minda sebelum ini?” ujar Sdr Zainal Abidin.
INFO SUARA PROLITAR:
GELOMBANG RADIASI BESAR
PENGGUNA DIMINTA TUTUP HP.
Semua HP (telefon bimbit) malam ini (15 Mei 2008) hendaklah dimatikan. Menurut Metro TV, pada jam 11.00 malam ini, akan ada gelombang radiasi yang besar; yang sangat berbahaya kepada manusia, yang akan tertangkap oleh semua HP & PEMANCAR dan beritahu semua kawan-kawan jangan letak HP dekat kepala. (SMS; 15 Mei 2008 – YS, Kajang, Selangor).
PENGGILAN TELEFON NO PANJANG
& AMALAN ILMU HITAM DI INDONESIA.
Kepada semua kawan-kawan yang dikasihi. Jikalau anda mendapat panggilan telefon yang bernombor panjang, contoh: +62852731520946 – nombor itu berwarna merah, diharap-harap sangat jangan diangkat panggilan tersebut, kerana di Indonesia sekarang, sekumpulan penuntut ilmu hitam sedang menguji ilmu mereka melalui telefon, jika sesiapa yang menjawab panggilan itu, mulut akan berbuih dan akan mati selepas itu. Di Indonesia sudah 9 orang mati. Ini benar-benar terjadi! (SMS; 15 Mei 2008 – AAD, Pucong, Selangor).
DIMINTA PAK YA TERUS BERSAMA
DEMI MENENTANG PERHAMBAAN MINDA
Kenapa Pak Ya (Haji Yahaya Ismail) menarik diri daripada aktiviti PRIMA? Pak Ya sangat berpengalaman. Banyak perkara boleh kita kongsi bersama dengannya. PRIMA perlu memujuk Pak Ya supaya kembali bersama menyertai aktiviti kita. Secara peribadi saya meminta Pak Ya jangan menarik diri daripada aktiviti PRIMA. Sebagai pengasas PRIMA, idea Pak Ya adalah diperlukan. Kita perlu meneruskan perjuangan menentang kebatilan dan perhambaan minda. (SMS: 16 Mei 2008 – L. Mankadir Shamsi, Lancang, Temerloh, Pahang).
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo
NEGERI MELAYU MAHU LAHIRKAN
GURU YANG MENCAPAI TARAF DUNIA
Arakian akan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu negeri Melayu itu melahirkan lebih ramai guru dan pemimpin pendidikan bertaraf dunia ketika ‘Hari Guru’ di Air Keroh, Melaka semalam 10 Jamadilakhir 1429 (atau disebut orang banyak 16 Mei 2008). Syahdan akan guru-guru Melayu sebelum ini gerangannya bukanlah bertaraf dunia, sekalipun sudah ramai ‘Tokoh Guru’ diberi anugerah termasuk Ibu Zain (Tan Sri Hajjah Zainun binti Munsyi Sulaiman), atau Cikgu Ahmad Arshad yang bangun bercakap menggunakan Bahasa Melayu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adanya! Sebermula akan Ibu Zain itu disuratkan orang banyak menjadi wanita pertama membuka sekolahnya sendiri di kampung pendalaman di Pasuh Jaya (daerah Jelebu) pada tahun Masehi 1920, ketika usianya 17 tahun.
Syahdan akan Cikgu Ahmad Abdul Rahman pula engganlah ia dihantar mengajar ke Hulu Tembeling di Pahang pada tahun 1960-an. Berjuanglah ia untuk mendaulatkan Bahasa Melayu, hatta tak dinaikkan pangkat menjadi guru besar pun, relalah dia akan ketentuan nasib begitu. Sebermula Cikgu Ahmad Arshad itu bersetia hatilah dengan UMNO ketika Cikgu Mohd Noor Ahmad tak bertolak ansur mahukan sekolah menengah Melayu ditubuhkan juga pada tahun Masehi 1958. Arakian guru-guru berkenaan bukan bertaraf dunia, kerana keengganan mereka menuruti kemahuan UMNO seperti lembu ternak yang ditindik hidung. Maka lembu ternak itu diheret ke bendang membajak sawah, akan tetapi kucing yang tidur di sudut dapur juga yang kekenyangan. Alahai!
Arakian, maka Sultan Mahmud hendak pergi mengaji maklumat pada Maulana Yusof. Adapun tuan itu jenun; jika layang-layang orang lalu di atas bumbungnya disuruh buangi ali-ali. Maka telah dapat disuruhnya pesuk-pesukkan, katanya, ‘Mengapa engkau biadap lalu dari atas rumahku’. Demikianlah lakunya Maulana Yusof, bapa Kadi Menawar itu. Maka Sultan Mahmud pun naik gajahlah, diiringkan orang banyak pergi ke rumah Maulanan Yusuf, kononnya guru bertaraf dunia itu. Telah datang di luar pintu Maulana Yusof, maka kata Maulana Yusof, ‘Apa kerja sultan datang ke rumah fakir? Tutup pintu pagar kita’. Maka Sultan Mahmud pun kembalilah ke istana, kerana diusir oleh guru bertaraf dunia itu seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment