Tuesday, May 20, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

AKTIVIS SASTERA YANG TERPINGGIR
BADAN BAHASA SEKADAR MENCARI GLORI

Assalamualaikum,

Cuaca panas di Bagan Datoh menyebabkan saya terpaksa ‘berlenging’ sekalipun kipas angin berputar, tetapi seolah-olah tak memberi keselesaan. Memang saya bagai berulang alik ke Bagan Datoh sejak Khamis lalu (15 Mei 2008), dan balik semula menjengah pada Ahad semalam (18 Mei 2008), berikutan bapa mertua saya mengalami masalah kesihatan. Dalam keadaan ‘berlenging’ itulah, aktivis sastera dari Kapar, Selangor Sdr Ismas Saring (atau dikenali dengan panggilan ‘Wak’) menelefon, setelah hampir tiga bulan tak dengar khabar. Rupa-rupanya Wak Saring juga mengalami masalah kesihatan apabila terjatuh di rumahnya, berikutan demam beberapa hari. Sejak dua bulan Wak Saring terbaring, tak pula diziarahi rakan-rakan aktivis sastera dari Kuala Lumpur.

Mungkin sahaja rakan-rakan aktivis sastera dan bahasa di Kuala Lumpur sibuk dengan ‘Perjumpaan Perpaduan Melayu’ di PWTC pada 27 April 2008 atau terbabit ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ di Johor Bahru (1-4 Mei 2008) yang menampilkan kehebatan glori ‘Gapena’ di bawah Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein. Sebelum ini saya juga menerima surat dari Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad dari Pulau Pinang beritahu beliau juga mengalami masalah kesihatan hingga lemah pada bahagian fizikal di sebelah kiri. Memang ramai rakan-rakan aktivis sastera tak menyedari ungkapan orang tua-tua Melayu yang menyebut: ‘Kawan ketawa ramai di sisi; kawan menangis seorang diri’. Justeru diperingatkan kepada bangsa Melayu: ‘Kalau pelepah yang di bawah jatuh, pelepah yang di atas jangan ketawa’. Begitulah!


- Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA

DALAM TEMPOH ENAM TAHUN
KEJUTAN KEDUA DIBUAT TUN DR M

Dalam tempoh enam tahun sejak 2002, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan kedua kepada pimpinan negara, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Kejutan pertama kata Dato’ Kamal Amir apabila Tun Dr M memproklamir peletakan jawatan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 2002, ianya memang seolah-olah memberi advantage kepada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pimpinan negara. Bagaimanapun kejutan kedua pada 2008, beliau menambah adalah ‘signal’ kepada Dato’ Seri Abdullah iaitu UMNO tak bersalah, sebaliknya pimpinan UMNO sekarang perlu membawa pendekatan ‘self criticism’. “Dato’ Seri Abdulllah perlu pentingkan UMNO bukan pertahankan isu peribadi,” jelas Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO.


Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dato’ Kamal Amir melahirkan rasa kecewa berikutan langkah Tun Dr M keluar dari UMNO, sekalipun secara historikal beliau satu-satunya pengasas UMNO sejak 1946 yang masih aktif. Dato’ Kamal Amir menjelaskan, Tun Dr M terbabit bersama UMNO sejak menyertai SEBERKAS di Kedah, malah turut menjadi aktivis pelajar ketika menuntut di Universiti Malaya, Singapura apabila bersama 37 orang rakan-rakannya menghantar memorandum kepada pimpinan Melayu memprotes isu kerakyatan ‘Jus Soli’. Di samping itu keluarga Tun Dr M juga adalah pejuang UMNO sejak 1946 termasuk abang iparnya Tun Ismail Mohd Ali dan kakak iparnya Datin Paduka Saleha Mohd Ali, beritahu Dato’ Kamal Amir.


PAK LAH JUMPA UMNO SELANGOR
TAKLIMAT KEPADA PIMPINAN CAWANGAN

Perjumpaan Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan semua pemimpin cawangan UMNO Selangor malam ini (19 Mei 2008) menimbulkan teka teki apabila ianya dibuat secara mengejut, malah setiap pimpinan cawangan dihimpunkan di sebuah hotel di Shah Alam dengan alasan ‘memberi taklimat’. Beberapa kalangan pimpinan di peringkat cawangan terbabit dilaporkan berasa hairan, apabila pimpinan perhubungan negeri yang baru seolah-olah ‘bermurah hati’ mengongkosi perbelanjaan penginapan, kemudahan perjalanan serta makan minum semasa ‘dihimpunkan’ di Shah Alam bagi mendengar taklimat. “Perjumpaan tersebut terasa bagaikan ‘luar biasa’ kerana tak pernah berlaku sebelum ini,” menurut sumber pimpinan cawangan terbabit.

Pimpinan peringkat cawangan UMNO di Selangor beranggapan ‘cara’ Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang baru Tan Sri Muhammad Mohd Taib menangani kemelut pimpinan di Selangor seolah-olah episod ‘bomoh’ dalam filem ‘Nasib Do Re Mi’ karya seniman legenda Tan Sri P. Ramlee. Kata sumber berkenaan agenda Tan Sri Muhammad seolah-olah mahu memberitahu Dato’ Seri Abdullah kedudukan UMNO di Selangor begitu mantap, seperti ‘Re’ meyakinkan ‘Komeng’ kehebatan aksi ‘bomoh’nya, dengan ‘Do’ dan ‘Mi’ mengikat ‘bomoh’ sebenar di belakang tabir. “Apabila Do Re Mi beritahu bomoh sebenar, mereka bukanlah bomoh, si bomoh yang sebenar juga turut mengaku dia pun sama adalah bomoh pembohong,” beritahu sumber berkenaan.


PENDUDUK MASAK UBI KAYU
KETIKA HARGA BERAS MELAMBUNG


Sekeluarga penduduk di Bagan Sungai Belukang, Bagan Datoh meraikan tetamu yang berkunjung dengan memasak ubi kayu, berikutan harga beras yang melambung naik sejak beberapa minggu lalu. Di beberapa pekedai runcit sekitar Simpang Empat, di Hutan Melintang dan di Bagan Datoh mengakui harga bagi beras isian 10 kg yang paling murah ialah RM28 sekampit. Sekalipun harga komoditi kelapa sawit memang naik, tetapi masih tak seimbang dengan kenaikan harga barang keperluan termasuk gula dan tepung. Bagi keluarga penduduk terbabit, mereka bukan sahaja mahu melahirkan sikap protes tetapi juga satu peringatan kepada kerajaan, supaya segera mengambil langkah-langkah positif bagi mengelakkan harga barang-barang keperluan terus melambung naik.


INFO SUARA PROLITAR

DULU MCA, SEKARANG PKR.
PAPAN TANDA SUDAH BERTUKAR

Bangunan tersergam di Taman Seri Gombak ini, dahulunya ialah premis pejabat MCA. Sebelum PRU12 pada 8 Mac 2008, di situlah MCA cawangan di sini beroperasi. Tetapi sekarang di bangunan berkenaan, sudah naik papan tanda PKR. Apa maknanya? MCA sudah menyertai PKRkah? Kepada penyokong UMNO, janganlah bergantung sangat kepada sokongan parti komponen. Apalagi sebelum ini pun parti komponen yang bergantung pada UMNO. (Emel; 18 Mei 2008 – Aktivis UMNO, Gombak, Selangor).



JANGAN BUAT-BUAT TAK FAHAM!
PERIHAL TUN DR M KELUAR UMNO

Berbagai cerita tentang mengapa Tun Dr Mahathir (Mohamad) keluar UMNO. Apapun juga its shood be read as TDM (Tun Dr Mahathir) is spitting on Dolahwi (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) face & all those spineless UMNO members. It is actually the beginning of the FINALE. Phase of things to happen to save the country. It’ll snowball to the immenent FINALE. Kalau tak mahu faham-faham juga, entahlah! Tapi bagi mereka yang faham, janganlah buat-buat tak faham. Kalau buat-buat tak faham, lagi susah nak beri faham. (SMS; 19 Mei 2008 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor)


MUSLIHAT DR M KELUAR UMNO
MACAM BOMOH JAMPI TENGAH NAZAK

Dr M (Tun Dr Mahathir Mohamad) pengkarya terbaik bulan ini. Dia nak (hendak) mengumpulkan kekuatan UMNO supaya tidak berlaku MP (Ahli Parlimen) lompat parti. Nak tahu bila Dr M ‘bermuslihat’? Apabila dia bercakap masa itulah ada ‘muslihat’nya. Boleh kata macam bomoh jugalah, yang terakhir menjampi UMNO tengah nazak. Sanggup terjun ke air asalkan perahu tak karam. Heh heh heh! Kalau terkilat ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Jadi, kata orang tua-tua kita, jauhari sahaja yang mengenal manikam. Carilah jauhari, kalau nak kenal ‘manikam’ dari Tun Dr M. (SMS; 19 Mei 2008 – L Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang)


GAMAKNYA TUBUH PARTI BARU
INSIDEN UMNO BERULANG LAGI

Alkisahnya, Mukhriz (Dato’ Mukhriz Mahathir) pun akan keluar UMNO lepas ni. Dia nak buka (tubuh) parti baru, agaknya. Buat pertama kalilah ‘makam pahlawan’ akan diisi oleh bukan ahli UMNO, kalau benarlah begitu. Bukan Mukhriz juga gamaknya, mungkin diikuti oleh beberapa orang lagi. Apa nak jadi dengan UMNO? Insiden 1988, UMNO pun teruk sampai kena haram. Insiden 1998, lagi teruk tapi hampir karam. Tak tahulah dengan insiden 2008. Kalau tak lagi teruk, boleh jadi taruk-taruk. Astaga! (SMS; malam 19 Mei 2008 – Zakaria Bidin, Cheras, KL).


CUKUPLAH UNTUK BERSANDIWARA
JAWAPAN YANG SENGAJA BERBELIT-BELIT

Telefon dari kawan-kawan yang dengar taklimat (Ketua cawangan UMNO di Selangor malam ini, 19 Mei 2008), Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) macam nak beri malu cendekiawan Melayu (intelektual Melayu) yang terbabit dalam pimpinan UMNO cawangan di Selangor. Ketua cawangan dari kalangan tak memiliki akademik pun kecewa dengan jawapan Pak Lah yang berbelit-belit masa beri taklimat malam ni (19 Mei 2008). Rasanya, cukuplah untuk bersandiwara. Rakyat Malaysia tak sanggup lagi dengan cara pendekatan pentadbiran Pak Lah yang sukar diterima oleh majoriti rakyat sekarang ini. (SMS; 19 Mei 2008 – Dato’ Dr MMA, Puchong, Selangor).


KOMENTAR
Bersama Pak Parjo


BEZA ARAHAN DAN CADANGAN

MACAM HANG TUAH DENGAN SULTAN

Sebermula sekali persetua mengakulah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya di negeri Melayu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, akan kejadian memansuhkan dakwat itu ialah keputusan jemaah menteri yang telah bersidang. Syahdan ketika berlangsung akan pemilihan Orangkaya-Orangkaya yang menduduki balairongseri, sudah diputuskan mahu menggunakan dakwat pada jari rakyat jelata yang memilih. Tetapi memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan arahan dari jemaah menteri, sebaliknya cadangan sahaja kononnya. Arakian bertambah peninglah kepala fakir kerana tak faham akan perbezaan ‘cadangan’ dan ‘arahan’ dari jemaah menteri; apalagilah yang memberi cadangan itu ialah memanda Perdana Menteri sendiri.

Syahdan akan Sultan Mansor Shah pun berpalinglah kepada Hang Tuah. Maka tahulah Hang Tuah baginda Sultan Mansor Shah menyuruhnya menyahut cabaran Taming Sari yang menunggu di tengah peseban. Akan Taming Sari itu melompat-lompatlah dia di tengah peseban, bagaikan tidak jejak kaki ke lantai oleh kerana tangkasnya memencak. Terasa dahsyatlah kepada semua orang banyak yang melihatnya. Arakian ketika Taming Sari mencabar pahlawan Melaka, Sultan Mansor Shah hanya memandang kepada Hang Tuah. Syahdan tahulah Hang Tuah apabila baginda Sultan Mansor Shah berpaling ke arahnya, maka maknanya itulah titah perintah seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh :









HIDUP BAHASA MELAYU !

1 comment:

  1. MENGAPA NIK AZIZ GEMBIRA.BILA MAHATHIR UNDUR UMNO?


    BUKANLAH satu perkara yang menghairankan jika Menteri Besar Kelantan, YAB Dato Nik Aziz Nik Mat menyatakan beliaulah orang yang paling gembira bila Tun Dr Mahathir mengumumkan keluar UMNO.
    Beliau juga menyatakan pintu PAS sentiasa terbuka untuk Tun Dr Mahathir andainya dia berhasrat menyertai PAS.
    Meskipun Tun Dr Mahathir menafikan akan menyertai PAS, tetapi dalam politik macam-macam kemungkinan boleh berlaku.
    Dalilnya sangat jelas kerana meskipun Tun Dr Mahathir pernah memimimpin UMNO selama lebih 22 tahun, akhirnya dia meninggalkan parti yang amat disayanginya itu.
    PRU 12 menyaksikan hal yang di luar jangka telah berlaku. Manakala kini Kelab Penyokong PAS semakin galak pertumbuhannya di sana sini, sedangkan hal sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
    Dulunya orang bukan Islam juga amat khuatir kalau-kalau PAS berkuasa, tetapi kini tidak lagi.
    Saya teringat PRU tahun 1991 di mana waktu itu saya adalah petugas di Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO yang pada waktu itu turut ditentang oleh Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Anak raja Kelantan ini merupakan 'orang lama' dalam UMNO dan sudah tentulah menyimpan banyak maklumat berkaitan UMNO.
    Ketika tersebar berita serta foto Ku Li memakai hiasan kepala yang ada lambang salib ugama Kristian, Dato Khalid Abdullah (kini Tan Sri) segera datang ke Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO menyampaikan mesej bahawa Dr Mahathir mahu supaya PAS dapat meneruskan survival.
    Alasan yang diberikan ialah kerana PAS merupakan satu-satunya parti Melayu yang masih wujud bagi meneruskan kesinambungannya dan tidak pernah diharamkan seperti yang pernah dialami oleh UMNO. Ini adalah kali kedua saya mendengar perkara sedemikian.
    Sebelum ini dalam tahun 1980-an saya pernah mendengar cerita yang sama daripada Ustaz Halim Arshad yang pernah menentang Tun Dr Mahathir di kawasan Parlimen Kubang Pasu dalam PRU.
    Saya yakin biarpun Tun Dr Mahathir dikatakan memperlekehkan pimpinan PAS oleh kebanyakan golongan ulama, dalam hatinya dia tetap menyanjung ketrampilan PAS sehingga mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Kelantan.
    Di pihak PAS pula kini sewajarnya mengamalkan sikap fikiran terbuka demi perpaduan umat Melayu.

    ReplyDelete