Tuesday, June 17, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PEJAWAT AWAM TERIMA NOTIS
TINDAKAN MIRIP KEPADA ‘GANGSTERISM’.

Assalamualaikum,

Hingga jam 4.00 pagi (17 Jun 2008) saya masih teh tarik di Ampang bersama adik angkat Ir Adnan dan aktivis sosial dikenali ‘Abang Lajak’. Sebelumnya malam 16 Jun 2008, santak 12.00 malam bersama penduduk di rumah pangsa Batu Muda menemui kawan lama, Shafie Ibrahim. Memang Shafie bersama beberapa kawan yang sudah usia warga emas, berasa terkilan dengan sikap kerajaan negeri Selangor melayani penjawat awam seperti insiden pegawai di Muzium Negeri Selangor yang diberi notis melepaskan jawatan oleh penggantinya yang akan mengambil alih. (Dalam sejarah kemanusiaan pun tak pernah lagi berlaku si pengganti membawakan notis berhenti kerja kepada penjawat yang sedang berkhidmat). Entahlah!

Shafie Ibrahim yang pernah menjadi aktivis teater sekitar dekad 1970-an menyifatkan tindakan kerajaan negeri Selangor itu mirip kepada prosedur ‘gangsterism’ apabila bakal pengganti membawakan notis meminta penjawat berkenaan meletakkan jawatan. Aduhai! Kebetulan 8.00 malam (16 Jun 2008), saya hubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim beritahu mengenai unsur-unsur ‘gangsterism’ di kalangan belia-belia Melayu (kerana beliau masih lagi aktivis belia) Ir Adnan pula berbual-bual kosong ke rumah jam 10.00 malam, tiba-tiba ‘Abang Lajak’ menelefon dari Ampang beritahu mengenai belia-belia terbabit dengan aksi ala gangsterism. Justeru saya mengekori Ir Adnan ke Ampang, di samping mahu berkenalan dengan kawannya ‘Abang Lajak’.

Sebenarnya ‘Abang Lajak’ berusia lebih muda daripada saya, di samping ianya bekas tentera yang aktif dalam gerakan sosial. Kononnya, seorang belia terbabit membawa keluar seorang gadis menyebabkan timbul perbalahan dengan ‘abang si gadis’, tetapi ironinya sampai menggunakan ‘senjata tajam’. Abang Lajak menyelesaikan kes tersebut, di samping kecewa dengan sikap belia-belia yang bertindak ala ‘gangsterism’. Berbeza dengan Francis Drake sekitar abad ke 18 di Laut Inggeris dengan tindakan ‘gangsterism’ memusnahkan armada Sepanyol, hingga kerajaan Inggeris mengurniakan glori darjah kebesaran membawa gelaran ‘Sir’. Begitu juga kehebatan Henry Morgan melancarkan gerakan ‘gangsterism’ yang membeir manfaat kepada kerajaan Inggeris, dengan tindakan militan ke atas armada musuh iaitu Sepanyol.

Kementerian Belia dan Sukan pula lebih menjurus kepada aspek sukan yang tak sudah-sudah melalut, mengelabut dan mengarut. Pembangunan belia sekadar berkisar kepada kursus-kurus motavasi menerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), sekalipun latihan-latihan ala tentera sudah digerakkan di Pusat Latihan Belia Negara (PLBN) di Dusun Tua sejak dekad 1960-an. Tak tahulah sama ada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ismail Sabri mahu melestarikan pembangunan belia lebih dari program motavasi PLKN, yang masih belum menampakkan peningkatan. Gejala-gejala negatif ‘gangsterism’ di kalangan belia sekarang memerlukan menterinya turun padang hingga jam 4.00 pagi seperti dilakukan oleh Abang Lajak dan Ir Adnan ini. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


SOKONG DEWAN PEMUDA PAS
PELIHARA MORAL DAN NILAI MELAYU

Keputusan Dewan Pemuda PAS Selangor pimpinan Sallehin Mukhyi, membantah pemilihan ratu rock Ella dan ratu dangdut Mas Idayu membuat pesembahan sebelum perlawanan bola Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam 6 Julai (2008) ini disifat sebagai retak menunggu belah’, beritahu beberapa aktivis masyarakat di Selangor. Mengulas laporan akhbar hari ini (16 Jun 2008), ahli jawatankuasa surau Rumah Pangsa Batu Muda di Jalan Ipoh, Shafie Ibrahim memberitahu, kerajaan negeri Selangor lebih condong kepada kemahuan DAP daripada mempertahan moral dan nilai masyarakat Melayu. Katanya, ratu rock dan ratu dangsut bukan sahaja mempamer imej seksi, malah tak sesuai dengan prinsip Islam yang digerakkan oleh PAS, katanya.

“Kami menyokong ketegasan Pemuda PAS Selangor, dan menolak sebarang unsur-unsur negatif yang mahu diterapkan oleh kerajaan negeri Selangor,” menurut Shafie memberitahu sekretariat PRIMA. Sebelum itu Shafie juga melahirkan rasa kesal apabila menyentuh Exco dari DAP dilantik mewakili Menteri Besar Selangor dalam majlis makan malam ‘Rakan Media PAS’ pada 13 Mei 2008 lalu di Grand Session, Jalan Pahang. Pelantikan Exco DAP menjadi wakil Menteri Besar kata Shafie, seolah-olah menjadi ‘Timbalan Menteri Besar’ secara tak rasmi. “Ianya bukan sahaja memperlekeh pimpinan PAS di Selangor di bawah Dato’ Dr Hassan Ali, malah mencabar titah baginda Sultan Selangor yang mahukan ‘wakil Menteri Besar’ mestilah yang boleh berbincang mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu dengan baginda,” ujar beliau.


INFO SASTERA & BUDAYA

Pimpinan ‘PIKIR’ Penyair Dinsman yang dikatakan menggerakkan ‘Malam Karyawan 2’ dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor pada 7 Jun (2008) lalu tak hadir di majlis berkenaan dilihat sebagai kecewa dengan program tersebut di monopoli oleh pihak lain. Satu sumber memberitahu pengkritik sastera, Haji Yahaya Ismail insiden Dinsman tak hadir disebabkan ‘PIKIR’ juga dilayan seperti ‘PRIMA’ pada ‘Malam Karyawan 1’ yang digerakkan di kediaman Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bukit Damansara (12 Februari 2008) lalu. Sebelum membentuk kerajaan negeri Selangor, Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta PRIMA memberikan kerjasama, tetapi pimpinan PRIMA juga dipinggirkan pada majlis berkenaan, dengan ianya dimonopoli oleh jawatankuasa panatia yang dibentuk oleh PKR dipengrusikan oleh Omar Jaafar.

Menurut sumber yang disampaikan kepada Haji Yahaya (Pak Ya), Dinsman mungkin tak berpuas hati apabila program yang diatur oleh PIKIR tak diambil kira, sebaliknya dikendali oleh panatia yang dibentuk oleh kerajaan negeri. Malah kehadiran SN Dato’ Dr A Samad Said selaku pendeklamator puisi jemputan juga di luar pengetahuan ‘PIKIR’, beritahu sumber tersebut. Sebelam itu dilaporkan SN Dr Muhammad Haji Salleh turut diundang memberikan ucapan pada majlis tersebut, sebelum peserta berdialog dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Serentak dengan itu Pak Ya yang juga pimpinan kanan PRIMA mencabar Dato’ Seri Anwar berdialog bersama PRIMA dalam isu kepimpinan Melayu, bukan sekadar berkaitan sastera dan budaya semata-mata.


INFO SUARA PROLITAR

SINGKIR SETIAP PELOBI BANGSAT
KEMBALIKAN SEMULA MARUAH MELAYU!

Perjuangan mesti diteruskan demi agama, bangsa dan negara. Penyangak, pengampu, pengkhianat, penyapu, pelobi-pelobi bangsat, pemusnah negara, pembelot dan KITUL negara mesti dimusnahkan. Bangsa Melayu dah banyak kehilangan hak, maruah dan segalanya. Hari ini Melayu tak dapat membantu Melayu, mungkin Malaysia perlu dijajah sekali lagi dan isytihar heh heh heh! – (SMS; 15 Jun 2008; 10.33:45 – Rakan Setia Yas; Malim Nawar, Perak).

SERAH TERAJU PIMPINAN NEGARA
UMNO PERLU BARISAN PIMPINAN BARU.

Syabas Pak Lah. Akhirnya setuju serahkan teraju pimpinan negara dan parti (dijangka) pada akhir bulan Julai 2008 pada Najib (barangkali). Kini terserah kepada Bahagian UMNO mencalonkan Presiden, Timbalan Presiden dan barisan baru pimpinan UMNO untuk hadapi PRU akan datang. Mereka yang merosakkan Pak Lah, UMNO dan bangsa Melayu sebelum ini mesti disingkirkan. Ingat angkara huh huh huh, heh heh heh, hah hah hah, hih hih hih yang jadikan semuanya berberantakan! – (SMS; 15 Jun 2008; 10.21:29 – DIA & YS; Kuala Lumpur)

KENAPA SEMBUNYI LUAHAN RAKYAT
3,000 DEMONSTRASI BANTAH HARGA MINYAK.

Baru terbaca akhbar. Itupun bukan akhbar arus perdana. (Rupa-rupanya) hampir 3,000 orang berarak dari Masjid Kampung Baru ke Jalan Tunku Abdul Rahman, semalam (14 Jun 2008) selepas solat Jumaat sebab minta kerajaan fikir balik fasal harga minyak. Hairan juga kenapa akhbar arus perdana, nak sembunyi luahan hati nurani rakyat, kerana yang beli akhbar arus perdana orang Melayu dan rakyat bawahan. Majoriti orang politik BN beli akhbar berbahasa Inggeris. Faham-fahamlah! – (SMS; 15 Jun 2008; 02.21:52 – Nur, Seri Kembangan, Selangor).

KETIKA UMNO TERUMBANG AMBING
PAK LAH BANGKIT MENJADI WIRA BARU

Beginilah Abang Mahmor,
Bukannya baru saya mengenali PM ini. Saya sudah kenal Pak Lah kira-kira lebih 30 tahun lalu. Pak Lah memang tabiatnya sentiasa berhati bersih dan mulia. Dia tidak ada menaruh sedikit pun syak wasangka terhadap orang lain. Cuma Pak Lah ini satu sahaja kelemahannya, dia cepat sangat lupa. Oleh kerana dia jujur dan ikhlas, sebab itulah dia terima Ezam dengan baik sahaja. Dia tak cakap banyak dan tak mahu selidik-selidik itu dan ini. Lagi pun, Pak Lah fikir, dalam keadaan sekarang ini, masa UMNO terumbang ambing, congkang manking, melilau-meliling, ramai pula orang yang masing-masing banyak dan pandai pula menaruh perasaan syak wasangka sesama sendiri, baik TPM mahu pun Mahyidin Yassin, barangkali mereka ini berasa tergugat dengan kehadiran Ezam ini agaknya.




Bagi mereka itu, kemasukan Ezam bekas orang kanan Parti Keadilan dulu, semacam satu racun yang berbisa bagi mereka yang memang ada mempunyai kepentingan dan agendanya tersendiri. Sebab itulah mereka berapi-api membantah Pak Lah meneriuma Ezam. Apakah Pak Lah lupa, suatu ketika dahulu, jikalau tidak silap saya, ada seorang hamba-Allah, iaitu SU kerja DAP, anak Melayu, yang sanggup keluar dari DAP secara sukarela, semata-mata mahukan memenangkan pihak Barisan Nasional pada plihanraya 1999. Pak Lah ingat tak lagi, apa dah jadi kepada beliau itu agaknya? Pak Lah memang tak ada buat janji apa-apa atas pengorbanannya yang hampir menempah mautnya itu, bukan? Kasihan dioa.

Untuk makluman Pak Lah, saya keliru apabila dengar khabar, Pak Lah dan rakan-rakan lain dalam parti UMNO sudah tak ingat pun lagi peristiwa mulia itu. Malah Pak lah sendiri agaknya sudah tak ingatkan dia lagi yang telah melumpuhkan DAP pada 1999 dengan mengorbankan dirinya sendiri. Tiba-tiba apabila Ezam hendak masuk UMNO, ramai yang tampil ke muka memintak penjelasan itu, minta penerangan ini, telanjangkan itu, telanjangkan ini supaya dapat menampakkan melihat dengan jelas sejelas-jelasnya kesetiaan Ezam itu konon! Apakah mereka yang menyuruh dedahkan kain dan baju Ezam itu sebenarnya tidak ada mempunyai parut, atau sopak, atau kudis atau kurap dan panau di badan atau tubuh agaknya? Saya cukup keliru apabila melihatkan betapa para pemimpin UMNO selain Pak Lah, dalam keadaan sengit begini terlampau mudah dan cepat benar melatah! Apakah agaknya mereka kini sudah lupa atau tak pernah berastgfar, atau lupa untuk bersyukur? Cubalah ingatkan diri, muhasabah diri kita kembali, apakah kita sudah cukup bersih, sebersih kain putih? Kalau tidak, tak usahlah cuba suruh yang bukan-bukan.

Pak Lah kena ingat, menerima Ezam ini pun samalah juga dengan menerima SU Kerja DAP yang meletakkan jawatannya dahulu. Dia buat wawancara di TV pula, supaya jadi gempar dan DAP terkapar! Tetapi nampaknya, apa pun hamba Allah itu tak dapat! Inilah yang saya katakan apakah pemimpin UMNO yang ada sekarang sudah tidak ingat lagi atau sudah lupakan diri? Jika begitu, apakah mereka ini tak ada cacat celanya, Pak Lah, sehingga mahu menyusah dan menyekat Ezam masuk UMNO agaknya? Saya rasa mereka bukannya tak kenal, bukannya tak lihat, malah bukannya tak tahu siapa hamba Allah yang saya katakan itu. Tapi oleh kerana mereka ini namaknya tamak haloba, dan balun semua yang ada, maka sampai terlupa kawan yang menderita demi UMNO sejahtera. Sedarkah wahai ahli UMNO sekalian, bahawasanya, akhirnya beliau itu menulis buku yang berbentuk simbolik satira, tentang kuturunan datuk, nenek Pak Lah sendiri dengan judul “Lilin Membakar Diri” Siapakah lilin yang telah membakar dirinya itu demi menerangi yang lain?

Apakah tidak langsung terlintas di dalam hati kecil Pak Lah bahawa rintihan anak bangsa yang telah berkorban besar begini? Pada hemat saya, jika beliau menjadi komunis pun ada lagi baik daripada mengundur diri dari parti DAP. Setidak-tidaknya, dengan menyerah diri sebagai seorang komunis, seudahpastinya mendapat pampasan baik tanah dan sebagainya, sebagaimana gurila komunis yang lain-lain itu menyerah diri dahulu. Mereka menjadio tersohor! Nama mereka keluar di dalam akhbar padai muka hadapan. Cukup gah sekali, miskipun telah membunuh berpuluh anggota keselamatan di rimba belantara. Tetapi, beliau ini bukan orangnya semacam itu, Pak Lah. Dia orang yang reda, penyabar dan cepat bersyukur! Justeru itu, sekali lagi saya harap kepada semua ahli UMNO, jangan terkejut, jangan melatah cepat sangat apabila Ezam masuk UMNO. Itu adalah lumrah alam dan perkara biasa dalam parti. Malah anggaplah nia sebagai suatu pertanda baik yang patut dihargai! Cuma saya sahaja parti santan yang dah basi - Wak Semar.
17/06/08 14:35



Dengar sekalian hubaya-hubaya,

Selama ini ramai benar orang yang menyangkakan Wak Khir Toyo apabila sudah jatuh, beliau ditimpa tangga. Kononnya semua itu adalah akibat keberaniannya menyapu sampah sarap anggota-anggota kerajaan yang malas, lembab, pengampu bodek dan suka bertangguh-tangguh. Sebenarnya, kekalahan UMNO di Selangor bukan disebabkan Mbnya atupun disebabkan sial penyapunya. Ternyata kalaulah MBnya yang bersalah dan penyapunya yang sial, kenapa beliau sendiri tidak bungkus? Tetapi yang semakin jelas sekarang, Wak Khir masih juga boleh menang cuma beliau tidak dapat menjadi MBnya sahaja. Namun demikian, ramai lagi MB yang senasib dengannya. Misalnya Mantan MB Perlis, MB Kedah, MB Terengganu dan MB Perak juga tak merasa naik takhta MB lagi. Itu sudah lumrah alam, Wak.
Tapi apa yang kulo rasa kagum dan amat kaget sekali, kerana Wak Khir Toyo memang ganteng dan Jagoan Keliwon. Beliau orangnya yang bukan sahaja berani kerana benar, tetapi tajam sindirannya tepat mengenai sasaran! Siapa lagi MB yang begitu berani mempersoalkan tindak tanduk kaki tangan kerajaan kalau bukan Wak Khir Toyo? Beliau adalah wakil kepada rakyat, maka apa yang diutarakannya itu adalah permasalahan yang dihadapi oleh rakyat marhaen atas kerenah kaki tangan kerajaan di pejabat-pejabat itu sebenarnya. Justeru itu, langkah dan tindakan yang dibuatnya tempoh hari kulo rasa patut dijadikan cermin bagi membuat refleksi diri terhadap sesetengah pegawai kerajaan yang sengaja melambat-lambat dan menyusahkkan kerja dan sesuatu tindakan.
Contohnya, kulo diberitahu, hampir di semua Pejabat Tanah Negeri, di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini, seperti sepakat mereka suka dan gemar melambat-lambatkan tindakan kerjanya. Bagi mereka dengan berbuat demikian, nampaklah bahawa kerjanya itu amat sukar dan berat sekali. Pada hal hanya orang bodoh dan begok saja yang merasai begitu! Percayakah anda kalau kulo katakan ada yang sesuatu tindakan itu sampai empat tahn baru selesai. Misalnya untuk mendapat kebenaran menukarkan hak milik tanah daripada seorang ayah kepada anak, atau daripada seorang ibu kepada anak kerja-kerja menukarkan hak milik daripada Ali kepada Ah Chong atau Pakmanathan, boleh pula cepat dan segera benar. Tak sampai sebulan pun boleh beres!
Kulo sendiri sering saja tertanya-tanya kenapa begitu jadinya? Pernah Wak Khir kata, ada di antara mereka itu yang mahukan (meminta) pelincirnya! Wah, kalau sudah begitu, agaknya bapa atau si emak tadi oleh kerana tidak ada pelincirlah maka kerjanya dilambat bangatkan! Sebab itu dia terpaksa tunggu sampai empat tahu. Kasihan.
Contoh seterusnya pula, mengenai tuntutan bayaran kerja-kerja dengan kerajaan oleh kontrektor-kontrektor Bumiputera. Mereka mendakwa selalu sahaja pembayarannya dilambat-lambatkan. Banyak kerenah, banyak songel yang dikenakan terhadap mereka ini. Walaupun kerja sudah selesai sampai empat lima bulan, namun wangnya belum juga dibereskan. Sedangkan mereka itu terpaksa membayar gaji para pekerjnya dan hutang di kedai kerana membeli bahan-bahan pembinaan dan sebagainya tempoh hari. Sekali lagi yang meninggalkan timbunan tanda tanya pada kulo, kenapa kontrektor bukan Bumiputera cepat pula mendapat pembayarannya? Apakah mereka itu ambil surat lawyer supaya menuntut segerakan pembayarannya? Atau mereka juga ada pelicirnya pulak? Justeru itulah saya kira Wak Khir Toyo memang jagoan keliwon! Berani dan tegas bukan semberangan. Anak Jawa jati Tanjung Karang tak memalukan turunannya. Dan khabarnya dia sedang kencang berkempen senyap-senyap macam penyu yang lazimnya bertelur berpuluh-pulouh biji tapi senyap sepi. Tidak sebagaimana ayam yang bertelur sebiji hingga riuh sekampung. Khabar yang diberitakan kepada kulo, Wak Khir Toyo mahu mencabar sesiapa saja yang mahu jadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Waduh, waduh hebat sekali! Kulo tak hairan dan tak nampak ganjil kalau benar sekalupun kerana beliau menjadi Presiden MBM cukup lama dan mampam sekali. Takkan anak-anak buahnya seperti Sobri mahu berdiam diri melihatkan ketuanya menang tapi tak berkuasa! Inilah masanya kalau mahu menonjolkan kewibawaan MBM, ayuh Wak Khir, ganyang misti ganyang. Kulo sokong dari Bagan Terap!Nampaknya Wak Khir Jagoan Keliwon ini akan berdepan dengan dua tokoh muda - Mukhriz dan Khairi tentunya. Pertandingan tiga penjuru itu kalau mengikut Marga Paksi atau Taming Sari, itu perkara enteng dan gampang! Wak Khir jangan gentar, Kulo sendiri bisa pukul gendang kalau tiba masanya nanti Wak mahu bertarung. Dalam permainan wayang kulit, Wak Semar memang diperlukan. Wak Semar punya kuasa dan sakti bagi membantu sesiapa yang disukainya! Justeru itu, ayuhlah Wak Khir jangan memandang ke belakang lagi, teruskan perjuangan! Sekali merengkuh dayung, biar tiga empat pulau terlepas! Doa dari pendekar tua - Wak Semar.
17/06/08 16:08

TETAMU KL DI KAMPUNG PIAN




Ada tetamu penting akan datang ke Kg Pian, Kuala Krau dipermulaan bulan Ogos nanti. Tentunya tetamu penting ini akan menyuarakan hak dan perjuangan Orang Asli, orang asli Pahang amnya, Orang Asli di Dun Jenderak, Kuala Krau khususnya.Tentunya Orang Asli akan membuat persembahan budaya mereka dengan lagu-lagu dn puisi perjuangan bagi menuntut hak-hak Orang Asli.Tentunya Orang Asli akan menceritakan bahawa mereka berada didalam kemiskinan dan dinafikan hak-hak persamaan dengan kaum-kaum lain.Tentunya mereka akan keluhkan tentang perjuangan mereka untuk mendapatkan geran tanah seperti 48000 rakan-rakan mereka yang sudah dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Perak.Tentunya mereka akan menceritakan betapa projek-projek Kerajaan yang berbentuk TSB dan TSK bukan nak menyenangkan Orang Asli bahkan merugikan pendapatan Orang Asli seperti yang disuarakan oleh Orang Asli Rompin.Tentunya mereka akan keluarkan keluhan mereka bahawa cara pengeluaran pertanian mereka masih ditahap lama yang sudah ketinggalan zaman yang tak digunakan lagi setelah 50 tahun Merdeka.Tentunya mereka akan luahkan keluhan untuk anakanak mereka yang ketinggalan dari segi pelajaran. Kenapa ketinggalan? Kerana kemiskinan, kerana kurang kemudahan!Tentunya mereka akan berjuang bagi memperolehi tahap kesihatan umum dikalangan masyarakat mereka untuk berada ditahap yang sama dengan penduduk-penduduk di perkampongan bukan Orang Asli.Tentunya mereka akan keluhkan betapa tanah-tanah adat mereka telah menjadi tanah bagi kaum-kaum lain.Tentunya mereka akan keluhkan tentang perumahan yang tidak sempurna bagi mereka.Tentunya mereka akan nyatakan bahawa apakah habuan untuk mereka di Bumi Merdeka ini, sedangkan merekalah penduduk Asal dan merekalah yang menanggung warisan kemiskinan.Saya sangat berharap tuan-tuan dan puan-puan hadi pada hari kehadiran tetamu itu nanti.Kalau mahu berucap, ucapkan nada perjuangan membela nasib Orang Asli. Kalau mahu berpuisi, puisikanlah nada perjuangan membela nasib orang Asli.Kalau mahu mempamerkan buku,pamerkanlah buku-buku perjuangan untuk Orang Asli.Perjuangan ini bukan "lip-service".Perjuangan ini bukan untuk keseronokan.Perjuangan ini bukan untuk menunjukkan simpati.Perjuangan ini untuk komitmen meletakkan diri bahawa jika sekiranya mereka itu adalah kamu.Komitmen!SUHAIMI SAID,
Lubuk Kawah, Pahang.


ONAK DAN RANJAU SUDAH DILALUI

SEPERTI yang pernah saya ceritakan sebelum ini, saya memulakan tugas di Post Office Savings Bank (POSB) yang kemudiannya dijenamakan sebagai Bank Simpanan Nasional yang merupakan sebuah agensi Kementerian Kewangan semenjak 28.5.1974. Jika dihitung sehingga 2007, saya telah berkhidmat selama 33 tahun.Di sepanjang tempoh tersebut pelbagai onak dan ranjau telah dilalui, apa lagi setelah bertugas dengan Unit Bergerak di Alor Setar mulai 1977 dan bertanggungjawab terus kepada Bahagian Perhubungan dan Pemasaran Ibu Pejabat BSN di Kuala Lumpur.Pada mulanya Ibu Pejabat BSN ditempatkan di Wisma Pahlawan sebelum berpindah ke bangunan yang dibeli daripada anak Syarikat Kompleks Kewangan bertempat di 117 Jalan Ampang berdekatan Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Bahagian Perhubungan dan Pemasaran kemudian ditukar namanya kepada Bahagian Perhubungan dan Penerangan berikutan dengan kesukaran mentafsirkan erti istilah pemasaran oleh pegawai bertanggungjawab Datuk Zain Hamzah yang kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Bahagian. Cawangan BSN di Alor Setar bermula pada tahun 1978 di tempatkan di premis yang disewa daripada Penang Music Centre di Jalan Kota bersebelahan dengan Restoran Laman Nurani dan MNI sekarang. Perasmiannya telah dilaksanakan oleh KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dengan turut dihadiri oleh Dato’ Seri Syed bin Tun Syed Sheh Shahabuddin (Pengerusi BSN) dan YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah yang ketika itu adalah Menteri Kewangan Malaysia. Pejabat Perhubungan dan Penerangan yang bertempat di tingkat bawah Bangunan Lembaga Penanam-Penanam Padi di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar masih digunakan dan ruang pejabat yang ada turut menempatkan bahagian-bahagian BSN yang tidak dapat dimuatkan di premis Jalan Kota.Di sepanjang bertugas dengan Unit Bergerak selain mengadakan lawatan guna menyampaikan penerangan di seluruh Kedah dan Perlis hingga ke sempadan Perak Utara iaitu di Bandar Bharu dekat Parit Buntar juga mengambil bahagian dalam ekspo dan pameran. Seingat saya antara ekspo dan pameran ialah ketika pihak RISDA mengadakan pameran di Baling dan MADA juga pernah beberapa kali mengadakan pameran di Kepala Batas, Kedah dan Simpang Empat, Perlis. Manakala Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebelum diswastakan dan kini dikenali sebagai Bernas juga pernah mempelawa BSN menyertai pameran di perkarangan Ibu Pejabat LPN, Anak Bukit, Kedah.Ketika diadakan Ekspo Pertanian dan Perindustrian Kedah (sebelumnya dikenali sebagai Pesta Kedah) yang diusahakan penyelenggaraan oleh Tan Sri Haji Osman Haji Arof sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah mulai 24.1.1985, sekurang-kurangnya dua kali BSN terlibat. Lebih membanggakan penyertaan buat kali kedua memenangi Hadiah Hiasan Gerai Cantik bagi kategori Gerai Swasta. Kemenangan ini biarpun tidak memperoleh apa-apa nilai material, tetapi amat menggembirakan saya kerana telah diberi tanggungjawab melakar rekabentuknya yang berjaya menarik pengunjung menyaksikan tayangan filem cereka pada setiap malam. Salah sebuah daripadanya berjudul Cinta Gadis Rimba (warna) iaitu adaptasi novel dengan judul yang sama karya Harun Aminurrashid dengan para pelakon utamanya ialah Dato S Roomai Nor dan M Amin. Bertugas di gerai ekspo pada waktu malam sekalipun tiada peruntukan elaun lebih masa agak menyeronokkan kerana di samping boleh memasukinya secara percuma, juga tidak perlu bertugas pada sebelah siangnya. Harga tiket untuk memasuki tapak ekspo yang juga disediakan pentas hiburan dengan penampilan beberapa orang artis jemputan terkenal kalau saya tidak salah ingat ialah RM 10 atau RM 15. Tetapi risikonya tetap ada. Debu berterbangan kerana tapak ekspo yang kini telah dibangunkan sebagai Komplek Alor Setar dan turut tersergam Menara Darul Aman juga menempatkan Pejabat Cellcom dan NTV 7 itu tidak dilengkapi tar. Ini menyebabkan ia berdebu jika di musim kemarau dan becak apabila hujan turun.Akibat setiap malam terdedah kepada debu-debu tersebut, ia turut melekat dalam lubang hidung manakala rambut menjadi kotor dan keras sperti dawai. Mahu tidak mahu terpaksalah ia dicuci dengan shampoo setiap hari.“Kalau macam ni kepala boleh jadi botak,” rungut Yahya, Pemandu dan Jurutayang yang turut bertugas setiap malam.Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang sukar dilupakan di sepanjang saya bertugas dengan Unit Bergerak. Peristiwa pertama berlaku sewaktu Unit Bergerak memenuhi jadual lawatan untuk membuka akaun pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Bohor Mali, Perlis. Jika saya tidak silap waktu itu ialah bulan puasa (Ramadan) dan pelajar-pelajar yang terlibat bersekolah pada sesi petang. Setelah selesai segala urusan, kami bersiap mengemaskan peralatan untuk pulang. Tiba-tiba enjin kenderaan tidak dapat dihidupkan, sedangkan semua guru bertugas dan para pelajar telah pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal hanyalah kami bertiga petugas Unit Bergerak BSN iaitu Ustaz Haji Ibrahim, Yahya dan saya. Mahu tak mahu terpaksalah kami menolaknya. Kenderaan berkenaan ialah van Ford Transit yang menggunakan disel sebagai bahan bakar bagi menghidupkan ejinnya dan terlalu berat. Penatnya hanya Allah sahaja yang tahu! Hairannya beberapa ketika kemudian kenderaan berjaya dihidupkan dengan kaedah biasa.Peristiwa kedua berlaku ketika Unit Bergerak dijemput oleh Jabatan Penerangan Daerah Baling untuk menyampaikan ceramah berkaitan produk-produk BSN di sebuah kampung di sana. Kami pergi bertiga dengan menggunakan kenderaan yang sama juga. Mengikut jadual, progarm berkenaan berlangsung diwaktu malam. Jadi pada sebelah siangnya kami mengadakan lawatan bertujuan membuka akaun atas undangan sebuah sekolah dalam daerah Baling. Bagi melanjutkan tugas, kami bermalam di Rumah Rehat Baling betul-betul berhampiran dengan Masjid Ridhwaniah di pinggir pekan Baling yang hanya disempadani oleh sebatang jalan tar kecil.Seperti dijadualkan, kami pergi ke kampung berkenaan yang terletak di Mukim Siong dan khabarnya tidak jauh daripada Kampung Memali tempat yang berlaku peristiwa berdarah tidak lama dahulu. Cuaca pada malam itu tidak begitu baik di mana hujan mulai turun yang pada mulanya renyai-renyai kemudian menjadi bertambah lebat. Oleh kerana jadual telah diatur, kami terpaksa juga memenuhinya. Jalan masuk untuk pergi ke tempat yang telah dijadualkan selain sempit tidak pula diturap dengan tar. Tanpa disedari, kenderaan kami terlanggar tunggul yang terbonjol di tengah jalan sebelum merempuh tunggul langsat setinggi kira-kira 7 meter di pinggir jalan pada sebelah kiri menyebabkan bahagian hadapan kenderaan kemik. Nasib kami agak baik kerana lampu besar tidak rosak. Seperkara lagi ialah berkaitan dengan kecekapan pemandu kenderaan.“Kalau saya tidak memaut steering dengan kuat ke sebelah kiri kita barangkali tercampak ke dalam gaung di sebelah kanan,” kata Yahya.Memang benar telahannya itu kerana pada sebelah siang kami telah membuat tinjauan terlebih dahulu di tempat berkenaan dan mendapati ada gaung pada sebelah kanan jalan. Anehnya sewaktu tinjauan itu dibuat, kami tidak perasan kewujudan bonjolan tunggul yang telah dilanggar itu. Mungkin disebabkan pandangan kami hanya tertumpu pada gaung di sebelah kanan jalan berkenaan.Dalam tahun 1986 BSN Cawangan Alor Setar berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Tunku Ibrahim, bersetentang dengan Bangunan Tunku iaitu Pejabat UMNO Negeri Kedah yang juga disewa oleh Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan kini dikenali sebagai CIMB.BSN Cawangan Alor Setar merupakan cawangan yang bertuah kerana KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan merasmikannya. Menteri Besar Kedah pada masa itu ialah Dato’ Seri Syed bin Tun Syed Sheh Shahabuddin yang juga masih berfungsi sebagai Pengerusi BSN.Selepas kembali bertugas di BSN Cawangan Alor Setar mulai tahun 1990 setelah berada di Ibu Pejabat BSN Kuala Lumpur selama 25 bulan tidak termasuk di cawangan Pulau Pinang selama 8 bulan sebelumnya, saya telah diberi tugas di luar pejabat. Tugas utama ketika itu ialah menguruskan pembukaan akaun para pesawah kerana ketika itu dikehendaki setiap orang pesawah memiliki akaun BSN. Ini adalah kerana pihak LPN bercadang supaya semua subsidi harga padi diagihkan kepada pesawah menerusi akaun BSN. Kewujudan lebih 30 buah cawangan BSN di seluruh Kedah dan Perlis pada masa itu dilihat sebagai di antara kemudahan yang bakal dimanfaatkan oleh para pesawah di kawasan MADA yang mengikut perangkaan berjumlah melebihi 80,000 orang.Selain menguruskan pembukaan akaun, disebabkan saya pernah terlibat dengan operasi penerangan bersama Ustaz Haji Ibrahim dahulu, saya juga turut memberi ceramah kepada orang ramai berkaitan produk bank yang memberi banyak kemudahan kepada pendeposit. Bersama-sama Encik Shamsudin Hassan, yang mahir berceramah, saya mengambil peranan bagi menerangkan kaedah penggunaan Kad ATM. Ketika menyampaikan ceramah saya turut menjelaskan perkara berhubung dengan perkhidmatan Giro di mana pendeposit boleh mencarum wang di dalam Tabung Haji tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia terdedah kepada kejadian rompakan. Dengan menggunakan kemudahan Giro, pendeposit hanya perlu membuat Arahan Tetap di mana nilai wang akan dipindahkan secara elektronik yang terjamin keselamatannya.Ketika berdialog dengan pesawah yang mengikuti penerangan, mereka ada mencadangkan supaya pembayaran tidak terhad kepada subsidi sahaja, malah harga padi juga sepatutnya disalurkan pembayarannya menerusi akaun BSN.“Alangkah baiknya jika bayaran harga padi yang dijual itu dimasukkan terus ke dalam akaun. Lepas tu bolehlah kami balik ke rumah bagi membuat kerja-kerja yang lain,” cadang wakil mereka pada salah satu program ceramah yang saya turut terlibat.Perolehan hasil kemasukan subsidi membolehkan peruntukan urusniaga setiap hari kaunter menyebabkan BSN Cawangan Alor Setar tidak perlu diminta dipindahkan wang (TT) daripada Ibu Pejabat BSN di Kuala Lumpur. Sebaliknya simpanan BSN yang ada di Bank Negara Alor Setar pula yang terpaksa dikembalikan ke Ibu Pejabat BSN di Kuala Lumpur.Jika difikirkan secara rambang, andainya cadangan supaya bayaran harga padi dibuat menerusi akaun seperti yang dicadangkan itu sudah tentulah bukan sedikit perolehan BSN. Setelah semua pesawah di kawasan MADA memiliki akaun, kami melanjutkan operasi kepada pesawah-pesawah di luar MADA pula. Antaranya ialah di Merbok, dekat Bedong dan Malau, berdekatan Kulim. Akhir sekali ialah di daerah Baling.Operasi di beberapa buah kilang di berdekatan pekan Sungai Petani dan Jitra bagi membolehkan gaji kalangan pekerjanya disalurkan menerusi akaun BSN merupakan di antara aktiviti yang terhitung berjaya. Di samping itu, lawatan ke sekolah-sekolah bertujuan membuka akaun para pelajar masih berterusan.Beberapa waktu kemudian, terdengar desas desus bahawa BSN akan menjalankan tindakan bertujuan mengurangkan jumlah kakitangan.Sebelumnya terdengar berita bahawa BSN akan melaksanakan Skim Persaraan Sukarela (VSS) dan kakitangan yang telah bertugas melebihi 30 tahun. Tetapi cadangan bagi melaksanakannya tidak diluluskan setelah dikemukakan sebanyak 2 kali kepada Kementerian Kewangan.Saya menerima surat daripada Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) bilangan BN/BSM/SULIT/TT/664(5) bertarikh 29.5.2007 memaklumkan bahawa prestasi kerja saya tidak memuaskan bagi tahun-tahun 2004, 2005 dan 2006. Sehubungan itu saya diminta menyatakan secara bertulis (SURAT TUNJUK SEBAB) dengan menyatakan alasan dan sebab mengapa tindakan tatatertib tidak wajar diambil terhadap saya.Seperti yang dikehendaki, menerusi surat bertarikh 5.6.2007, saya telah memberikan jawapan bahawa serangan angin ahmar (strok) mulai 17.9.1999 yang menyebabkan saya hilang upaya iaitu lumpuh sebahagian badan dan tidak berupaya menggunakan tangan kanan untuk menulis dengan sempurna. Bagaimanapun saya masih boleh memanfaatkan gunatenaga dengan menggunakan komputer semenjak kembali bertugas mulai Mac 2000. Sementara bidang tugas yang diberikan kepada saya untuk tempoh yang dinilai iaitu tahun-tahun 2004, 2005 dan 2006 memerlukan saya banyak menulis dan bertutur, manakala kes-kes yang dipertanggungjawabkan pula adalah yang bersifat kritikal.Malangnya alasan yang saya berikan itu tidak memuaskan hati pihak pengurusan BSN. Lalu pada 19.6.2007 lebih kurang jam 9.15 pagi saya telah dipanggil oleh pengurusan BSN Alor Setar untuk menemui pegawai daripada JPSM, Ibu Pejabat BSN, Kuala Lumpur, Encik Masriza bin Zakaria. Dalam pertemuan tersebut saya telah diminta memilih salah satu syor berikut:1. Menulis surat kepada BSN untuk meletak jawatan ATAU2. Menerima Tindakan DI (Ditahan Untuk Siasatan).Saya telah diberi tempoh sehingga 26.6.2007 untuk membuat pilihan, tetapi tiada kenyataan bertulis yang diberikan. Sehubungan itu menerusi sepucuk surat bertarikh 20.6.2007 saya telah meminta agar diberikan surat pengesahan berkaitan hal tersebut secara hitam putih dan jawapannya telah saya perolehi menerusi surat BN/BSM/SULIT/TT/664/(13) bertarikh 22.6.2007.Selanjutnya menerusi surat BN/BSM/SULIT/TT/664/(14) bertarikh 3.7.2007 saya telah dimaklumkan bahawa pihak bank mendapati penjelasan yang telah di berikan menerusi surat bertarikh 5.6.2007 itu tidak memuaskan pihak pengurusan BSN. Lantas saya digantung tugas dan diarahkan supaya menghadiri perbicaraan dalaman pada 20.7.2007 di BSN Alor Setar. Menerusi surat tersebut saya tidak dibenarkan berada di premis BSN sehingga diberitahu kelak kecuali telah mendapat kebenaran bertulis daripada JPSM. Larangan tersebut sangat biadap! Pihak pengurusan BSN beranggapan seolah-olah saya telah melakukan kesalahan pecah amanah. Pada hal demi Allah semenjak bertugas dengan BSN lebih tiga dekad silam saya tak pernah melakukan perbuatan keji itu.Sebagai mematuhi arahan, saya telah menghadiri perbicaraan dalaman seperti yang dikehendaki. Dalam perbicaraan tersebut Pegawai Pendakwa BSN, Encik Mohmad Kamal Hanafiah Abdul Karim menyatakan bahawa saya telah tidak lagi berminat untuk berkhidmat dengan BSN. Keputusan yang diterima menerusi surat BN/BSM/SULIT/TT/664(24) bertarikh 8.8.2007 yang ditandatangani oleh salah seorang Timbalan Pengurus Besar BSN, Puan Norazian Ahmad Tajuddin itu memang sudah diduga. Mengikut keputusan Jawatankuasa Tatatertib BSN yang bersidang pada 1.8.200 saya didapati bersalah dan ditamatkan perkhidmatan mulai 8.8.2007.Dengan angkuh, pihak pengurusan BSN mengarahkan saya mengembalikan semua harta benda milik BSN seperti Kad PM/Care, Kad Pekerja, Kad Kuasa dan lain-lain sebelum atau pada 14.8.2007. Arahan berkenaan masih tidak saya penuhi kerana sebahagiannya ada di pejabat. Tetapi saya tidak menerima sebarang kebenaran bertulis daripada JPSM untuk memasuki premis BSN. Inilah persoalan yang membingungkan saya. Juga saya diminta supaya menjelaskan segala hutang jika ada.Memang saya masih mempunyai hutang Pinjaman Perumahan di BSN. Tetapi bagaimana saya hendak menjelaskannya? Untuk belanja makan setiap haripun terpaksa ditanggung dengan gaji isteri yang bertugas sebagai guru. Manakala saya sudah tiada lagi pendapatan setelah ditamatkan perkhidmatan sekalipun tarikh sebenar mengikut syarat perkhimatan ialah pada 23.5.2007. Di sisi Islam benar hal begini adalah ditegah. Tetapi apa yang boleh saya buat kerana untuk melaksanakan sebarang kerja tentulah tiada siapa yang bersedia menerima ‘orang kurang upaya’ (OKU) seperti saya. Segala dosa bersabit dengan tegahan tersebut mudah-mudahan Allah pikulkan ke atas bahu pihak pengurusan BSN. Kelonggaran telah diberikan kerana saya dibenarkan mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh 14 hari dari 8.8.2007 iaitu tarikh surat KEPUTUSAN JAWATANKUASA TATATERTIB. Namun rayuan bertulis tersebut langsung tidak dilayan!Demikian tragedi yang terpaksa saya hadapi setelah lebih tiga dekad bertugas di BSN, sebuah agensi Kementerian Kewangan yang sebelum ini pernah mempunyai lebih 600 buah cawangan di seluruh Malaysia. Kini jumlah cawangan telah mengecil kepada sekitar 300 buah iaitu separuh daripada jumlah yang pernah wujud dan tidak mustahil akan bertambah kecil yang menjurus kepada pengakhiran riwayat BSN yang kini telah tersasar daripada matlamat asalnya. Menariknya ialah tragedi konspirasi sedemikian berlaku ketika Malaysia berada di ambang usia 50 tahun merdeka.Hasil tinjauan, saya dimaklumkan tidak kurang 40 orang kakitangan BSN telah menerima nasib seperti yang saya alami itu. Apa yang menyedihkan ada di antaranya masih muda dan terpaksa menanggung anak-anak yang masih kecil serta masih bersekolah – modal insan yang sering dilaung-laungkan oleh kalangan pemimpin. Lebih memilukan ada di antara isteri mereka itu tidak bekerja. Sewajarnya Perdana Menteri yang juga memegang potfolio Menteri Kewangan Satu turut memantau situasi konspirasi tersebut! Pebicaraan Dalaman bukanlah bertujuan untuk mengamalkan sikap adil dan telus, sebaliknya bagi memaksa kakitangan yang dikenakan pertuduhan mengaku bersalah berpunca daripada prestasinya merosot.Faktor kesihatan langsung tidak diambilkira, sedangkan ia sangat-sangat mempengaruhi prestasi seseorang.Berkaitan dengan hal ini saya teringat ketika mula-mula berkhidmat di Tingkat 3, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan, Petaling Jaya dahulu yang mana di situ ada seorang kakitangan keturunan India berjawatan Ketua Kerani, K. Laksman namanya. Beliau merupakan ‘orang kurang upaya’ (OKU) selepas mengidap demam kepialu sehingga tidak berupaya melakukan tugas berat serta gagal berkomunikasi.Itu pada era 1960-an dan 1970-an pada melenium lalu. Kini ketkia kita sedang meniti milenium baru, budaya kenang budi, hormat menghormati, peri kemnusiaan, pengalaman rupanya tidak lagi digunapakai. Mungkin inilah sebabnya generasi kini semakin biadap dan mengamalkan budaya ganas dan amalan gengsterisme yang bakal meruntuhkan tamadun.Lalu saya teringat sebuah lagu yang didendangkan oleh Tan Sri P Ramlee iaitu Hujan Di tengah Hari yang ungkapan akirnya menyebut:Kusangka panas sampai ke petangRupanya hujan di tengah hariJuga saya teringat akan sebuah pepatah Melayu yang mengungkapkan:Hujan sehari menghapuskan panas setahun.

DUKA NAJIB DI SEBALIK WAJAH

Rasanya di sebalik wajah tenang Najib itu tersembu... Rasanya di sebalik wajah tenang Najib itu tersembunyi duka lara. Barangkali setiap malam dia sukar melelapkan mata, atau memenuhi masa dengan menangis setiap malam.Daripada segala rentetan peristiwa semenjak menjelang Pilihan Raya Umum 12 (PRU12)lalu bolehkah segala cakap-cakap Abdullah yang mengatakan penyerahan kuasa itu dipakai?Andainya Abdullah terus mengamalkan tabiat bercakap dusta yang merupakan salah satu ajaran Islam Hadhari, alamat Najib akan terus berendam air mata kerana impiannya untuk menyandang gelaran Perdana Menteri Malaysia tidak akan jadi kenyataan.Masakan Abdullah tidak berbuat sesuatu bagi mengukuhkan kedudukan menantunya, Khairy Jamaludin?Tambahan pula ada pemerhati yang terkesan bahawa Najib juga mengatur agenda bagi memalukan Abdullah semenjak PRU12 di mana majoriti Abdullah merudum. Sementara negeri asal Abdullah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) yang kelihatan kian teguh. Aduhai malang sungguh nasib BN kerana para pemimpinnya terus bercakaran dan seterusnya bergigit sesama sendiri sejak lebih dua dekad lalu. Sedangkan PR semakin meningkat sokongannya yang bermula semenjak menjelang PRU12 lagi.Andaian saya ini bukan omong kosong kerana saya adalah salah seorang AJK UMNO yang turut bertugas di tempat pembuangan undi yang majoriti pengundinya berketurunan Cina. Seorang berketurunan Cina dilihat bekerja keras bagi menjamin kemenangan calon ADUN PAS, memakai T Shirt dan menggunakan payung PAS. Lalu calon PAS beroleh kemenangan besar di samping calon Ahli Parlimen dari PKR juga meraih kemenangan yang di luar jangkaan. Desas-desus yang saya dengar mengapa kalangan pengundi berketurunan Cina dan bukan penganut Islam berkata: "Kita pilih calon PAS kerana mustahil mereka akan berdusta kerana ugama Islam menegah penganutnya berbuat begitu."Saya jadi terkesima dengan ungkapan itu kerana umat Islam sendiripun mengamalkan dusta sama ada perbuatan atau percakapan. Seperkara lagi ungkapan yang saya dengar ialah berkaitan dengan Islam Hadhari. Kata beberapa orang yang bukan Islam; "Yang kami tahu Islam hanya satu. Islam Hadhari ni ajaran barukah?"
ONAK

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MELAYU DUDUKLAH SEMEJA
BINCANG KEKALUTAN DALAM KEPIMPINAN

Syahdan diberitahu kepada orang banyak akan Mursyidul Am permuafakatan orang-orang Islam (disebut anak cucu fakir ke hari ini ialah PAS), Orangkaya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetujulah ia untuk bersedia duduk semeja dengan ketua segala Melayu (dikatakan oleh orang banyak iaitu UMNO) bagi membincangkan perihal kusut masai, kecut lasai dan kalut basai dalam kepimpinan Melayu. Arakain sebelum itu akan Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin mencadangkan kepada semua Orangkaya-Orangkaya seperti Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang duduklah semeja menyelesaikan kekusutan pimpinan Melayu itu, adanya.

Sebermula akan Orangkaya Dato’ Nik Aziz mahukan setiap Orangkaya terbabit berlaku ikhlas, kerana orang Islam itu katanya sedialah mereka itu ikhlas seperti disurat orang banyak dalam warta hari ini 13 Jamadilakhir 1429 (iaitu dikatakan juga 17 Jun 2008). Syahdan, maka sekali peristiwa Kadi Yusof hendak pergi sembahyang Jumaat, lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusof akan Maulana Abu Bakar dikeliling oleh cahaya seperti sumbu dian yang dikeliling apinya, demikian rupanya. Maka Kadi Yusof segera berlari-lari datang menyembah Maulana Abu Bakar; maka segera disambut oleh Maulana Abu Bakar, seraya tersenyum seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:













HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. JANJI & UMPAN

    Lunak pelbagai janji dihulurtabur
    resepinya pasti enak andai perencah dusta
    juga pura-pura diadun serta. Lalu sini sana
    membiak luas tersebar di media terkini
    era langit terbuka dunia tanpa sempadan.

    Pelbagai umpan makmur dihambur
    manis di wajah di kalbu bercuka duka
    di hujung pengorbanan pasti raih zon selesa
    mesti dikejar biar dengan apa jua cara
    lantaran di hujung menanti habuan.

    Janji & umpan satu fenomena bermusim
    wujud terselindung helah tanpa silu
    pun ada tokoh bermuka-muka
    jiwa konon murni menganjur kebajikan
    sedang baru seketika digelumangi maksiat
    tanpa sedar ada kala umpan yang terhambur
    lantas berserakan pembaziran jadi pekung
    timbunan hutang lapuk. Tidak mungkin dihapuskira.

    Alor Setar, Kedah.
    17 Februari 2008.

    ReplyDelete